Nisan Bergerak
Dalam keadaan yang teragak-agak itu, mata saya terpaku ke arah benda bulat yang bergolek-golek ke arah saya. Sebelum benda itu terkena kepala lutut, segera saya tahan dengan telapak tangan. Benda itu tidak bergerak, sebaliknya tegak dengan sendiri sambil mengeluarkan cahaya yang putih. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.
“Tamar, aku dah dapat lampu picit,” jerit Mat Prai lalu menyuluh ke arah saya. Cahaya dari lampu picit itu terkena pada benda bulat yang tegak di depan saya.
“Tamar batu nisan orang lelaki di depan kamu,” pekik Mat Prai.
Saya menarik nafas gementar kerana batu nisan yang bulat itu bergerak dan berpusing. Tanah di depannya kelihatan merkah. Batu nisan yang terpacak di depan saya terus hilang. Serentak dengan itu terdengar bunyi tapak kaki orang melangkah, datang dari sebelah kanan. Berpandukan pada cahaya lampu picit Mat Prai, saya terus menggolekkan badan ke arahnya, melanggar apa sahaja yang ada di tanah. Saya dapat menyatukan diri dengan Mat Prai.
“Kau tengok tu,” Mat Prai menghalakan muncung lampu picit ke kanan, saya terlihat kaki yang bahagian atasnya berbentuk macam kaki gajah. Penuh dengan bulu tebal, tumit kakinya berbentuk agak tajam seperti taji ayam jantan, jari kakinya berjumlah tiga.
Ibu jarinya bulat dan mempunyai lekuk macam lok keris, manakala dua lagi jarinya kelihatan seperti bercantum dan mengeluarkan cairan yang berwarna putih. Saya mula terhidu bau daun sirih yang baru dipatahkan dari dahannya.
Secara mendadak lampu picit Mat Prai tidak menyala. Kedua belah bahu saya dan Mat Prai seperti ditekan dengan sebatang kayu membuat kami tidak dapat bergerak. Kalau bergerak seluruh sendi terasa sakit. Kami tiada pilihan, selain dari mengarahkan biji mata kami ke arah kaki besar yang berbulu. Kaki itu bergerak ke arah longgokan durian di kaki tangga pondok. Puas saya mencari sebelah lagi kaki yang berbulu.
“Puas aku cari sebelah lagi kakinya. Agaknya, memang makhluk ni berkaki satu,” bisik Mat Prai.
“Agaknya,” saya segera anggukkan kepala.
“Makhluk apa ni?” rungut Mat Prai lagi, sebaik sahaja Mat Prai selesai merungut, seluruh kawasan sekitar kami terang macam keadaan terang bulan. Beberapa ekor kelawar berterbangan di atas kepala kami bersama dengan suara lolongan anjing dan jeritan burung hantu.
BULU
Kaki besar yang berbulu berhenti bergerak. Tempatnya digantikan oleh seekor tupai yang bulunya keperang-perangan.
Besarnya lebih kurang sama besar dengan kambing dara. Mata tupai aneh itu merenung ke arah kami dengan tajam. Giginya yang tajam dan putih itu dipamerkan ke arah kami, misainya bergerak-gerak. Ekornya digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan.
“Triitttttt…,” suara dari tupai aneh itu memekakkan anak telinga kami. Dalam tempoh beberapa saat sahaja beratus-ratus ekor tupai berwarna hitam terjun dari ranting pokok sekitar kawasan pondok. Semuanya menuju ke arah longgokan durian.
Mulut saya dan Mat Prai ternganga. Memang tidak masuk akal dan sukar dipercayai malah akan jadi bahan ketawa kalau disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di dunia. Mereka pasti tidak percaya bila diberitahu, ada tupai hitam menjelma waktu malam untuk makan durian yang dilonggokkan. Tupai-tupai itu hanya mengambil masa tidak sampai lima minit untuk melenyapkan jumlah durian lebih dari seratus biji. Semua yang saya lihat membuat badan saya berpeluh dalam lolongan anjing dan nyanyian burung hantu yang memanjang.
“Panggil datuk kamu, aku bimbang kalau tupai-tupai itu menyerang kita,” Mat Prai menyuarakan kebimbangannya.
“Nanti dulu,” kata saya.
Sebab utama saya tidak mahu memanggil datuk kerana saya tidak dapat bersuara dengan lantang. Tekak saya terasa sakit dan pedih. Selain dari itu, saya jadi terhibur melihat kumpulan tupai yang sudah kekenyangan itu membawa biji-biji durian ke tempat lapang. Biji durian itu dilonggokkan di situ. Bila kerja itu sudah selesai, kulit-kulit durian pula diusung lalu dilonggokkan dekat biji durian.
Tupai yang berbadan besar tetap melihat gerak-geri anak buahnya sambil berbunyi, seolah-olah mengeluarkan perintah.
Tupai besar itu berdiri dengan ekornya dicacakkan ke tanah. Sekali pandang tupai tersebut kelihatan seperti duduk mencangkung dengan kaki depannya memeluk tubuh. Anak buahnya meletakkan tujuh ulas isi durian yang cantik di depannya. Bila dia memakan durian tersebut, anak buahnya duduk kaku, seolah-olah memberikan penghormatan padanya.
Bila tupai besar itu selesai makan, biji durian yang diluahkannya segera diambil oleh anak buahnya dan terus ditanam. Kemudian salah seekor dari anak buahnya membawa beberapa helai daun sirih hutan yang sudah dicalitkan dengan kapur sirih. Tupai besar itu segera menjilat daun sirih hutan beberapa kali. Daun sirih yang sudah dijilatnya itu diletakkan di hujung kaki kanannya, sebaik sahaja hujung kaki kanan terkena daun sirih, semua anak buahnya bertempiaran lari lalu mencari dedahan berdekatan. Apa yang saya dengar ialah bunyi suara tupai.
Bila suara tupai tidak kedengaran lagi, saya dan Mat Prai terpandangkan kaki besar yang berbulu bergerak (dalam keadaan melompat-lompat) akhirnya terus hilang. Saya dan Mat Prai cuba bangun tetapi ternyata kami tidak terdaya bergerak.
Pangkal pinggang terasa sakit, sendi-sendi terasa bisa yang amat sangat. Saya dapati pelita yang padam dalam pondok menyala kembali. Kulit durian dan biji durian yang berlonggok terus hilang. Apa yang ada ialah beberapa helai daun sirih yang sudah dicalit dengan kapur berserakan di kawasan pondok.
Dengan sedaya upaya, saya cuba bangun. Usaha saya tidak berhasil. Bila saya berjaya berdiri tegak, tempurung lutut
saya terasa lembik dan urat-urat di kaki bagaikan terputus. Saya mengalami rasa sakit yang amat sangat. Saya terus jatuh menggelepar di sisi Mat Prai. Apa yang terdaya kami lakukan adalah meniarap di bumi sambil bergerak ke kiri dan ke kanan.
Gerakan tubuh kami tidak ubah macam gerakan ular di atas jalan raya, dengan lain perkataan kami seperti berenang atas daratan. Saya terus bertempik menyeru nama datuk dengan sekuat hati. Suara saya itu menenggelamkan suara cengkerik dan lolongan anjing. Selesai sahaja saya bersuara, badan saya terus lemah. Tidak bermaya untuk menegakkan kepala. Saya letakkan kepala atas tanah. Sayup-sayup saya terdengar bunyi telapak kaki orang berlari ke arah saya.
“Astaghafilrullah, apa dah jadi dengan kamu berdua ni,” saya membuka mata melihat datuk berdiri di hujung kepala saya. Mat Prai sudah tidak bergerak langsung.
“Kenapa tak panggil aku di telaga,” tambah datuk lagi sambil duduk mencangkung lalu memeriksa setiap urat nadi saya dan urat nadi Mat Prai.
“Aku tak nampak apa-apa yang datang, semuanya macam biasa. Pelik juga, kenapa aku tak dapat mengesan dengan apa yang terjadi di sini,” datuk merungut sendirian. Dia terus mengambil lampu suluh di tangan Mat Prai yang masih menyala.
BALDI
Tanpa membuang masa datuk terus menuju ke perigi kembali. Datang kepada kami semula dengan membawa satu baldi air.
Datuk letakkan baldi yang berisi air di tengah (di antara saya dengan Mat Prai) dia mengambil beberapa helai daun yang hijau. Dimasukkan ke perut baldi. Datuk mencari ranting kayu lalu air dalam baldi dikacau.
Datuk berhenti mengacau air dalam baldi. Dalam keadaan yang tidak bermaya itu, saya lihat kelopak bibir datuk bergerak, dia mula mengelilingi kami beberapa kali. Datuk duduk mencangkung menghadapi saya kembali.
“Tamar,” katanya.
Saya pun membesarkan kelopak mata dan cuba bersuara tetapi, suara saya tidak mahu keluar. Datuk tetap bersikap tenang.
“Buka mulut kamu Tamar.” Saya terus membuka mulut, dengan telapak tangan kiri datuk membawa air dari baldi ke mulut saya.
“Telan air ni senafas, Tamar.”
Saya buat apa yang datuk suruh. Rasa pedih dan perit di tekak segera hilang. Kedua belah kaki dan tangan saya dapat digerakkan semula. Tidak terasa sesuatu menekan di belakang. Saya segera menelentang dan melihat langit.
“Tamar,” seru datuk lemah. “Ada apa tuk.”
“Hulurkan tangan kamu,” saya pun menghulurkan tangan kanan kepadanya. Tanpa diduga datuk terus menyentap tangan dengan sekuat hati. Kemudian datuk melepaskan tangan saya dengan tiga kali urut dimulai dari pangkal ketiak membawa ke hujung jari.
“Kau duduk diam di sini,” datuk mengeluarkan perintah.
Saya akur dengan perintah itu. Datuk segera mendekati Mat Prai. Apa yang telah dilakukan pada saya, itu jugalah yang dilakukan oleh datuk pada Mat Prai. Usaha datuk berhasil, saya dan Mat Prai dapat duduk.
“Duduk diam-diam, jangan banyak bercakap,” suara datuk meninggi di tengah malam yang dingin. Lolongan anjing masih kedengaran tetapi, suara burung hantu mula berkurangan. Desiran angin malam tetap berlalu dengan lembutnya. Saya dan Mat Prai mengalami rasa kedinginan. Datuk segera menghidupkan api untuk membuat unggun.
Kulit durian yang kering dicampakkan ke dalam unggun api. Kata datuk, asap dari kulit durian yang kering dapat menghalau nyamuk.
Saya terdengar bunyi buah durian jatuh. Mat Prai berhasrat mahu mengutipnya tetapi, datuk tidak mengizinkan. Kata datuk biar hari sudah cerah baru buah-buah itu dikutip dan dikumpulkan.
“Kalau buah durian tu, memang hak kamu, takkan buah tu lari ke mana-mana,” demikian datuk memberikan alasan bila Mat Prai minta keizinan darinya.
“Ingat, sebagai manusia yang beragama Islam, jangan sekali-kali kita hilang pedoman kerana harta,” sambung datuk lagi. Dan Mat Prai terus mematikan hasrat untuk mengutip buah durian. Walaupun demikian, setiap kali dia terdengar bunyi buah durian gugur, Mat Prai tetap nampak resah dan gelisah.
“Sekarang apa yang dah jadi hingga menyebabkan kamu berdua berenang atas bumi,” datuk mengajukan pertanyaan. Biji matanya silih berganti menatap wajah saya dan Mat Prai. Saya tidak berani untuk mengingati peristiwa yang terjadi, saya membuat keputusan untuk menutup mulut.
“Cakap kenapa membisu?” sergah datuk sambil menjegilkan matanya ke arah saya. Cepat saya menundukkan kepala merenung bumi.
“Ceritakan pada aku Mat Prai,” datuk mendekatkan batang hidungnya dengan batang hidung Mat Prai. Kelihatan hidung mereka seperti berlaga dan mata datuk tetap merenung anak mata Mat Prai. Saya menarik nafas kelegaan kerana saya sudah arif dengan perangai datuk, bila dia berbuat demikian secara tidak langsung datuk cuba menguasai perasaan dan hati Mat Prai melalui pernafasan.
“Ceritakan pada Datuk Alang, Mat,” nada suara datuk cukup lembut, cuping telinga kanan Mat Prai dihembusnya. Saya lihat Mat Prai menganggukkan kepala dua tiga kali.
PETAH
Kemudian dengan petah Mat Prai mengungkapkan peristiwa yang terjadi pada datuk. Selesai sahaja Mat Prai bercerita, datuk segera membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan pondok disuluh dan diteliti. Datuk terus duduk di tangga pondok.
Baru dia sedar durian yang berlonggok sudah tiada. Dia melihat daun sirih hutan yang tercalit dengan kapur bertabur di mana-mana.
“Pelik, aku tak dengar apa yang terjadi, sedangkan jarak pondok dengan perigi tidaklah jauh sangat,” datuk mengedutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.
“Bukankah masa aku mandi tadi, kamu datang bercakap dengan aku, Mat, kamu bercerita tentang masalah keluarga kamu pada aku,” datuk terus bangun.
“Masa Datuk Alang mandi, kami di sini, kami tengah berdepan dengan makhluk ganjil, Datuk Alang tanya si Tamar ni.”
“Ya tuk, kami berdua tak ke mana-mana.”
“Jadi syaitan mana yang menyerupai kamu tadi Mat Prai, aku sudah terpedaya,” datuk terus hentakkan kaki ke bumi.
Dengan andang daun kelapa di tangan datuk terus berlari ke perigi. Dinding perigi yang dibuat dari daun rumbia terus dibakar datuk. Api terus marak menerangi kawasan sekitar pondok durian. Asap berkepul menguasai ruang udara yang dibalut kedinginan malam. Badan datuk berpeluh kena bahang api.
GUGUR
Berpuluh-puluh ekor kelawar berterbangan di atas bumbung pondok. Angin yang bertiup menjatuhkan dedahan dan reranting kering ke bumi. Sesekali terdengar bunyi buah durian gugur.
“Banyaknya kelawar,” rungut saya perlahan.
“Biarkan, itu bukan urusan kita,” sahut Mat Prai.
Sesungguhnya, saya merasa pelik. Dari manakah kumpulan kelawar itu datang. Suara lolongan anjing kian gamat datang dari arah Pekan Kongsi. Rasa cemas dan takut masih belum reda dari perasaan saya.
“Tak apa, orang tua tu dah datang,” Mat Prai luruskan telunjuk menghala ke arah datuk yang datang ke arah kami kembali. Di tangannya, ada sepotong kayu yang masih berapi. Datuk renung ke arah kelawar yang berlegar-legar di bumbung pondok. Datuk balingkan kayu yang masih berapi itu ke arah kumpulan kelawar.
Aneh, kumpulan kelawar yang berlegar-legar atas bumbung segera berpecah dan terbang menuju ke arah kaki bukit yang berdekatan. Bukit yang terpegun kaku di malam yang dingin itu kelihatan amat menggerunkan. Sesekali seperti ada cahaya api di puncak bukit tersebut. Datuk segera mendekati kami.
“Kau orang dengar salakan anjing tu?” tanya datuk.
“Dengar,” Mat Prai dan saya menjawab serentak.
“Kamu tahu, anjing-anjing itu menyalak syaitan yang berkeliaran di udara.”
“Kenapa syaitan itu berkeliaran tuk?” saya menyoal.
“Nanti lain kali, aku cakapkan dengan kamu, Tamar.” “Hum…” saya merasa kecewa dengan kata-kata yang datuk luahkan itu.
Datuk pijak tangga pondok yang bulat. Dia terus duduk dekat Mat Prai.
“Macam mana Datuk Alang?”
“Apa yang macam mana tu, Mat?”
Datuk tatap biji mata Mat Prai yang terkebil-kebil. Dia tidak mahu untuk mengemukakan sebarang pertanyaan lagi. Memang dia tidak menduga datuk akan mengungkapkan kata-kata demikian.
“Aku tak mahu banyak soal, tak mahu banyak tanya, kita tidur sekarang,” suara datuk meninggi dan terus merebahkan badannya. Tidak sampai lima minit, datuk terus terlelap. Saya dan Mat Prai segera mengikuti jejak langkah datuk.
Antara terlelap dengan tidak, saya terdengar datuk batuk berkali-kali. Kemudian dia bangun. Buat beberapa minit saya berhasil mencelikkan mata.
“Kamu tidur, jangan banyak fikir, Tamar."
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak ke perigi.”
Datuk terus menuju ke perigi yang dindingnya sudah menjadi abu. Saya kira datuk mengambil air sembahyang. Ramalan saya memang tepat, sekembalinya datuk dari perigi dia terus membaca al-Quran.
KEJUT
Malam yang dingin, membuat tidur terasa enak. Saya terus membengkokkan badan. Rasa takut dan bimbang langsung tidak terbayang dalam kepala saya.
“Bangun dah subuh ni,” terasa badan saya digoyang berkali-kali, “Pergi ambil air sembahyang. Orang yang tak sembahyang Subuh, tidurnya diapit syaitan,” lanjut datuk lagi.
Saya tidak ada pilihan, sama ada mahu atau tidak, saya terpaksa bangun dan pergi ke perigi untuk mengambil wuduk. Mat Prai lebih dulu bersedia dari saya.
“Dah ambil wuduk?” tanya saya pada Mat Prai.
“Sudah, kau pergi cepat,” Mat Prai mendesak.
“Pergilah, tak ada apa yang nak ganggu kamu,” datuk terus renung wajah saya.
Dia bagaikan mengerti dengan apa yang ada dalam hati saya. Dalam keadaan takut campur berani, saya menuju ke perigi.
Saya tidak pasti apakah air sembahyang yang saya ambil itu mengikut peraturan atau sebaliknya. Saya berlari ke pondok kembali.
Dan Subuh itu, datuk mengimamkan sembahyang Subuh kami. Selesai berwirid dan membaca doa, datuk memberikan kuliah Subuh yang pendek tetapi amat mengesankan. Datuk memperkatakan tentang diri manusia yang binasa kerana terlalu cinta pada harta benda dan kekayaan hingga lupa pada tugas seorang hamba terhadap Allah yang mencipta mereka.
“Nampaknya usaha kita tak berjayalah, Datuk Alang?” Mat Prai mengajukan pertanyaan setelah datuk menamatkan kuliah Subuh di pondok durian. Datuk tersenyum sambil memandang keluar, melihat hari yang mula beransur cerah.
“Masih ada masa untuk berusaha,” jawab datuk.
“Hum…,” Mat Prai menarik nafas panjang. Ada rasa kecewa terpamer di wajahnya. Kicau burung menyambut kehadiran matahari pagi mula terdengar. Jalur sinar matahari mula jatuh pada dedaun yang masih ada kesan air embun.
“Aku nak berjalan di seluruh kawasan ni, aku nak mandi embun dan nak buat senaman. Kau ikut aku Tamar.”
“Saya macam mana Datuk Alang?” tanya Mat Prai.
“Kau pergi tengok buah durian yang jatuh,” datuk mengeluarkan arahan pada Mat Prai. Tanpa banyak soal jawab, Mat Prai mematuhi arahan itu.
TINGGI
Matahari kian meninggi, embun di hujung daun yang disentuh cahaya matahari nampak bersinar-sinar, bagaikan ketul berlian di tengah padang. Datuk terus mandi embun dan melakukan senaman yang gerak-gerinya memperlihatkan unsur silat ‘Burung Rajawali’ saya cuba mengikutinya. Bila pergerakan itu dilakukan dengan pantas oleh datuk, saya tidak dapat mengikutinya. Saya jadi penonton sahaja.
“Tamar,” jerit datuk.
Serentak dengan itu saya melihat seketul kayu yang panjangnya kira-kira dua kaki menuju ke arah saya.
“Tangkap atau elakkan,” terdengar lagi suara datuk.
“Oooppp,” saya melompat lalu menyambar kayu tersebut. Terasa badan saya seperti dibawa oleh kayu itu ke kiri, mendekati pokok langsat. Saya tercungap-cungap. Datuk segera mendekati saya sambil ketawa.
“Kamu masih ingat dengan gerak langkah yang aku ajar,” datuk terus menepuk bahu saya berkali-kali. Dengan wajah manis dia mengajak saya mengelilingi dusun durian milik Mat Prai. Terpesona saya melihat buah durian yang bergantungan lebat di dahan. Beberapa ekor tupai melompat dari ranting ke ranting dengan bebas. Matahari terus memancar.
“Sungai, jernih airnya,” jerit saya bila berdiri di tebing sebatang anak sungai. Anak-anak ikan berenang bebas di celah-celah batu di tengah sungai. Tanpa membuang masa saya menuruni tebing dan terus membasuh muka. Terasa sejuknya meresap ke tulang pipi.
“Sudahlah jangan lama-lama di situ, aku nak sampai cepat ke pondok,” tempik datuk dari atas tebing. Saya segera berlari ke arahnya. Kami meneruskan perjalanan dan terpaksa melintasi kaki bukit yang ditujui oleh kumpulan kelawar malam tadi.
Memang terdapat hutan tebal di situ dengan pokok-pokok besar yang digayuti oleh akar-akar hutan sebesar lengan kanak-kanak yang berusia tujuh hingga sepuluh tahun. Monyet-monyet liar bergayutan di situ.
“Hati-hati Tamar,” datuk mengingatkan. Saya segera anggukkan kepala.
“Hutan macam ni, jadi sarang binatang buas,” lanjut datuk lagi. Saya anggukkan kepala lagi. Matahari yang memancar agak terik membuat badan saya berpeluh.
TANGAN
Secara mengejut datuk menarik tangan kanan saya ke perdu buluh hutan. Saya jadi cemas dan takut.
“Kenapa tuk?”
“Dalam rimbunan pokok kecil tu, aku macam ternampak pintu gua. Cuba kau pastikan,” kata datuk sambil jari telunjuknya mengarah kepada pokok-pokok kecil yang merimbun dan tingginya lebih dari tujuh kaki.
Memang sukar untuk memastikannya. Tetapi, tiupan angin yang menggerakkan reranting dan dedaun lebat itu memberi peluang pada saya untuk merenungnya dengan teliti.
“Apa yang kau nampak, Tamar?”
“Saya nampak macam pintu gua tua.”
“Pelik juga ya, selalunya gua pada gunung, bukit yang aku tahu tak ada gua. Tanah bukit tu ditebuk.”
“Agaknya, terowong tinggal tuk,” kata saya tenang, tanpa merasa sebarang kecurigaan. Datuk menggigit bibir sambil menelan air liur. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Boleh jadi juga terowong. Mungkin terowong tu ditebuk oleh askar Jepun masa perang dulu atau ditebuk oleh orang-orang komunis untuk tempat mereka berlindung,” itu pendapat datuk.
“Mari kita periksa tuk.”
“Jangan terburu-buru,” nada suara datuk meninggi. Dia renung kiri dan kanan. Kemudian dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya.
“Lain kali saja kita tengok, Tamar,” satu keputusan yang amat mengejutkan dari datuk, “Mari kita ke pondok Mat Prai,” sambungnya lalu menarik tangan saya. Macam selalu saya tidak akan membantah dengan apa yang datuk katakan.
Kami segera bergerak arah ke utara, menjauhkan diri dari kawasan kaki bukit. Datuk tidak menyatakan apa-apa kepada saya kenapa dia berbuat demikian. Berjalan dalam kebun durian yang tidak begitu bersih keadaannya memang menyulitkan. Saya sering terlanggar tunggul dan akar.
“Ikut sana senang tuk.”
Datuk berhenti melangkah. Dia dongakkan muka ke langit melihat awan yang bersih. Kesempatan itu saya gunakan untuk duduk di atas tunggul buruk bagi menghilangkan penat.
“Maksud kamu, kita berjalan dalam kebun getah?” soal datuk.
“Ya, tuk.”
“Kalau begitu marilah.”
Ilmu Suhaimi Keraba
Saya dan Datuk terpaksa mengubah haluan jalan. Kami terus ke kawasan kebun getah. Keadaannya cukup bersih tidak sesemak dusun durian Mat Prai. Di celah-celah nirai getah itu di tanam dengan pokok koko yang tingginya baru separas lutut orang tua. Melihat keadaan kebun getah tersebut, saya yakin pemiliknya adalah seorang yang cukup rajin.
"Bila tengok pokok-pokok getah ni, teringat pula aku dengan kebun getah kita," Datuk bersuara. Saya segera anggukkan kepala.
"Hati-hati Tamar, ular kapak bodoh suka duduk di bawah daun kering," Datuk mengingatkan saya yang melangkah tanpa mahu merenung ke arah permukaan bumi.
"Macam mana rupanya ular kapak bodoh tu tuk?".
"Warnanya macam daun getah kering, dia selalu duduk berlingkar di bawah timbunan daun getah, tersepak atau terpijak dia terus mematuk."
"Bisa patutkannya tuk?".
"Boleh membawa maut, kalau tak maut boleh jadi tokak," jelas Datuk sambil melihat pucuk-pucuk koko yang menghijau dan melintuk-liuk disentuh angin. Kami terus melangkah sambil menikmati nyanyian burung-burung pagi di reranting getah.
"Aku sudah memberikan kamu petua berjalan di tempat-tempat semacam ini. Aku juga sudah memberikan doa bila berjumpa dengan binatang berbisa. Kenapa tidak kau amalkan," mendadak sahaja Datuk bersuara. Saya tahu, dari nada suaranya itu ternyata ada rasa kesal bermain dalam diri Datuk.
"Kadang-kadang saya jadi lupa."
"Bukan lupa, kamu tak bertanggungjawab, tidak tahu memanfaatkan benda berharga yang diberikan kepada kamu," kali ini suara Datuk cukup tinggi. Saya jeling wajahnya. Dari air mukanya ternyata dia sedang marah. Saya terus membisu.
"Jangan melangkah Tamar, diam di situ jangan bergerak, kalau bergerak mati," kata Datuk separuh menjerit. Saya patuh dengan cakapnya. Badan saya menggeletar, seekor ular melintas di depan saya. Bila ular tedung hilang dari pandangan barulah saya melangkah kembali. Datuk berhenti dekat sebatang pokok getah di bucu nirai. Datuk membelek-belek kulit pohon getah itu dengan teliti.
"Nampaknya pokok-pokok getah ini masih muda, kulitnya lembut. Setahun dua lagi baru boleh ditoreh," Datuk memberikan komentar.
"Saya rasa pun macam tu juga. Umurnya tak jauh beza dengan pokok getah kita."
"Ya," Datuk mengangguk.
Kami meneruskan perjalanan dan saya berharap Datuk tidak akan melencong ke mana-mana. Saya mahu segera sampai ke pondok.
Sambil melangkah saya membayangkan yang Mat Prai sedang membuat kopi untuk kami. Saya juga membayangkan yang isterinya menghantar nasi lemak atau kuih ke pondok untuk habuan perut saya. Saya tersenyum sendirian, bila saya gambarkan dalam kepala yang kami bertiga sedang menikmati sarapan pagi dengan wajah yang tenang.
"Oooppp..."
Datuk melompat tinggi melepasi kepala saya. Bila berdiri tegak saya lihat tangan kanannya ada dahan getah. Datuk mencampakkan dahan itu ke pangkal pokok getah.
"Nasib baik aku terdengar bunyinya masa dahan itu masih ada di atas. Aku melompat menyambarnya, kalau aku lambat dah tentu dahan patah menimpa tengkuk kamu. Tengkuk kamu boleh patah Tamar," Datuk melepaskan nafas tercungap-cungap, mukanya nampak merah padam.
"Terima kasih tuk."
"Aku tak mahu semuanya tu, Tamar. Apa yang aku mahu, kamu mesti pandai mendengar sesuatu dari setiap arah. Tidak kira sama ada sesuatu itu digerakkan angin, air dan manusia.
"Macam mana caranya tuk."
"Sekarang ini, kamu mempelajarinya dari aku secara tidak langsung."
"Sulit," saya mengeluh.
Memang sulit untuk mempelajari sesuatu tanpa diberitahu terlebih dulu. Lebih-lebih lagi, jika tidak ada persediaan yang secukupnya. Bagaimana mahu saya katakan perkara ini pada Datuk.
"Tidak sulit, kalau kamu mahu berusaha. Manfaatkan mata, hidung, telinga, otak dengan sebaik mungkin," cetus Datuk.
"Berapa lama saya mesti berbuat macam tu?"
"Selagi aku masih ada," Datuk tersenyum sambil meraba pangkal dagunya berkali-kali. Entah macam mana, saya mula dapat mengesan langkah Datuk yang rancak beransur perlahan. Macam ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Saya amati, gerak mata Datuk sentiasa tertumpu ke arah dedaun yang bergerak mengikuti arah angin.
"Assalamualaikum."
Seorang lelaki muncul dari balik pohon getah. Bentuk tubuhnya tegap dengan rambut panjang hingga jatuh atas sayap bahunya. Dahinya dililit dengan kain merah selebar dua jari. Ketika saya asyik merenung ke arah lelaki itu, lelaki itu enggan menyambutnya. Datuk masih memperlihatkan sikap kemesraan. Dengan langkah yang teratur, lelaki itu menghampiri Datuk.
"Kamu berdua ni dari mana?"
Dalam nada suara yang sombong lelaki itu mengajukan pertanyaan. Hati saya berdebar, ketika lelaki itu memusingkan tubuhnya ke kanan, saya terlihat ada benda menonjol dalam baju labuhnya yang dibuat mengikut fesyen baju orang Pakistan. Mungkin benda menonjol itu golok atau parang? Mungkin pistol dan mungkin, benda tajam yang mengancam keselamatan kami.
"Kami sampai malam tadi, kami bermalam di pondok Mat Prai," jelas Datuk.
"Kamu berdua, adik-beradiknya."
"Ya," angguk Datuk.
"Adik-beradik rapat atau jauh."
"Rapat," jawab Datuk dalam nada suara yang kurang senang.
"Berapa lama berada di sini?" soal lelaki itu lagi.
"Selama mana, kami sanggup."
"Hisss..."
Lelaki itu mula menatap wajah Datuk. Dia merasakan jawapan yang Datuk berikan adalah sindiran yang tajam. Tindak balas yang dilakukan oleh lelaki itu pada Datuk ialah menjuihkan bibirnya sambil meludah ke kanan.
"Kurang ajar." bisik saya dalam hati.
"Kamu maki aku," lelaki itu segera menjegilkan biji matanya ke arah saya. Serta merta saya gelengkan kepala. "Eh, budak setengah masak, kau jangan nak menipu."
"Tipu?" saya pura-pura terkejut, "Saya tak cakap apa-apa dengan awak," saya makin berani.
"Dengan aku, kamu jangan nak tipu. Apa yang ada dalam hati kamu dapat aku baca," lelaki itu semakin berani, mulutnya kian lancang mengutuk diri saya. Dia buat tidak kisah dengan Datuk yang berdiri dekat saya.
HARAPAN
Saya terus merenung ke arah Datuk dengan harapan Datuk dapat melindungi dari saya, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
"Kalau nak tunjuk lagak ayam jantan, jangan masuk kampung orang ikut suka hati," lelaki itu menghalakan kata-kata itu ke arah Datuk. Dia mula menendang apa sahaja yang ada dekatnya. Lagaknya memang mahu mencari gaduh. Datuk tidak ambil peduli dengan sikap lelaki itu. Datuk tetap memperlihatkan sikap persahabatan.
"Kami tak mahu mencari musuh, biarlah kami pergi," Datuk menundukkan kepalanya dan terus melangkah. Lelaki itu tidak puas hati dengan sikap Datuk.
"Ah..." terdengar suara lelaki itu meninggi. Dia lari mengelilingi pokok getah dan berhenti di depan Datuk. Belum pun sempat Datuk mengucapkan sesuatu, lelaki tu mengeluarkan golok pendek dari dalam bajunya.
"Saya tak mahu gaduh," rayu Datuk sambil menyuruh saya mencari tempat berlindung. Belum pun sempat saya mencari tempat yang selamat, lelaki itu terus menyerang Datuk bertalu-talu dengan goloknya.
Datuk lebih banyak mengelak dari melakukan serangan. Dia tidak melepaskan buah silat yang kemas dan tajam. Ini berlainan dengan lelaki itu yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu membunuh Datuk.
"Sudahlah saudara, saya tak mahu bergaduh, kita tidak pernah bermusuh, kenapa mesti berkelahi," dalam keadaan termengah-mengah Datuk bersuara. Semuanya tidak dipedulikan oleh lelaki itu. Dia terus menyerang dan melepaskan tetakan ke arah Datuk. Dalam satu tetakan yang kencang, Datuk berjaya mengelak, mata golok terkena akar getah dan terus terlekat di situ.
Kesempatan itu Datuk gunakan untuk melarikan diri. Saya terus mengekori Datuk berlari dengan kencang. Masa berlari itu saya gunakan telinga untuk mendengar sesuatu dari arah depan dan belakang. Saya terdengar bunyi dengung yang panjang memburu langkah saya. Dengan cepat saya menoleh ke belakang, saya lihat seketul kayu betul-betul dekat batang leher saya.
"Appp."
Serentak dengan suara itu saya rebahkan badan dan ketuk kayu itu hingga terkandas di pohon getah lalu patah dua. Rupanya, lelaki itu menggunakan semua kekuatannya membaling ketul kayu itu ke arah saya.
Bila saya bangun, Datuk ketawa kecil. Ternyata Datuk lebih cekap dari saya, dia lebih awal dapat mengesan bunyi itu dan tahu apa yang mesti dilakukan. Dia segera berlindung di balik pokok tempat kayu yang dibaling oleh lelaki itu terkandas.
"Lelaki itu tak memburu kita, kita tak perlu lari lagi," ujar Datuk.
"Siapa lelaki itu tuk?"
"Entah, agaknya orang gila. Usah pedulikan tentang dirinya."
"Boleh jadi orang gila, boleh jadi hantu," saya terus merungut panjang. Datuk tidak memberikan sebarang pendapat terhadap komentar yang saya luahkan. Datuk terus berjalan dengan laju.
"Kenapa lambat?"
Dari kaki tangga pondok Mat Prai mengajukan pertanyaan. Dia menatang talam kecil. Manakala di atas pondok, isterinya duduk berjuntai kaki. Dua orang anaknya membaling biji dan kulit durian ke mana sahaja, sesuka hati mereka.
"Seronok mandi embun," jawab Datuk. Mat Prai ketawa lalu meletakkan talam kecil atas pelantar. Dia terus duduk bersila di situ.
"Mari minum," ajak Mat Prai, dia terus tuangkan air kopi ke dalam cawan, "Sekarang dah dekat pukul lapan, sepatutnya kita minum pagi pukul tujuh lebih," sambung Mat Prai. Datuk hanya tersenyum dan terus duduk di pelantar. Isteri Mat Prai turun dari pondok, membuka bungkusan kuih dan diletakkan dalam piring.
"Dah sejuk goreng pisang ni," rungutnya.
"Tak mengapa asalkan barang-barang tersebut boleh dimakan. Kita ini terjumlah orang-orang yang bernasib baik kerana dapat makan pagi," ujar Datuk dengan tenang.
"Ya," angguk Mat Prai. Dia terus menghirup air kopi.
"Kamu Tamar, ambillah. Apa main tengok-tengok aje," isteri Mat Prai ajukan pertanyaan. Dia segera menghulurkan cawan kopi segera saya sambut.
"Cepatnya berhenti, kenapa tak makan pisang goreng," Mat Prai renung muka Datuk.
"Memang menjadi kebiasaan saya, sebelah pagi minum kopi saja," Datuk menolak piring goreng pisang yang dihulurkan oleh Mat Prai kepadanya.
"Ada pantang larang agaknya," soal isteri Mat Prai.
"Tak ada pantang larang, agaknya ini sudah menjadi kebiasaan saya," jelas Datuk dan segera bangun. Datuk segera pergi menemui kedua-dua anak Mat Prai di belakang pondok.
Entah apa yang dicakapkan oleh Datuk kepada kedua kanak-kanak itu hingga mereka berhenti melemparkan biji dan kulit durian ke arah semak-semak dekat pondok. Saya, Mat Prai dan isterinya terus memerhatikan gelagat Datuk melayani kedua kanak-kanak itu.
"Apa yang dibualkannya tu," isteri Mat Prai juihkan bibir ke arah Datuk.
"Entah," balas saya.
"Agaknya Datuk kamu ni memang sukakan kanak-kanak," tanya Mat Prai sambil mengeliat. Matanya tetap meraut wajah saya.
"Dia memang suka dengan budak-budak kecil, dia suka menasihati budak-budak sambil bercerita kisah binatang," jawab saya penuh jujur. Mat Prai dan isterinya terus anggukkan kepala.
Bila isteri Mat Prai melihat Datuk memisahkan diri dengan anak-anaknya, dia segera tersenyum. Dengan suara yang lantang dia menyebut nama kedua-dua anaknya. Bagaikan dikejar sesuatu kedua kanak-kanak itu menerpa ke arahnya.
"Kenapa emak?"
"Tak ada apa-apa, emak cuma nak tanya apa yang Datuk tu cerita pada kamu berdua."
"Macam-macam, Datuk tu pesan dalam dunia ni, kita mesti buat baik dengan manusia dan binatang."
"Bagus, kamu berdua mesti ingat pesannya, sudah, mari kita balik ke rumah," tambah perempuan dua anak yang tidak pernah membantah sebarang perintah dari suaminya.
"Sekarang juga mak?" tanya salah seorang dari anaknya.
"Ya, kamu ingat bila?" isteri Mat Prai jegilkan biji mata ke arah anak yang bertanya. Si anak tidak berani bertanya lagi, apa lagi menentang mata si ibu. Mereka hanya menurut perintah sahaja.
"Semoga anak-anak kamu akan jadi manusia, Mat," ujar Datuk ketika melihat kedua-dua anak Mat Prai melangkah meninggalkan kawasan pondok durian. Mereka berlari kecil di kiri dan kanan denai.
"Berilah didikan agama secukupnya dan jangan pula kau didik mereka membenci dunia," sambung Datuk.
"Ya, saya ingat pesan Ayah Alang tu."
"Sekadar ingat saja, tak memberi kesan tetapi, aku mahu kau melaksanakannya. Anak-anak harus dibentuk ketika rebung."
"Saya setuju dengan Ayah Alang dalam hal ini, saya mahu memimpin mereka supaya menjadi manusia berguna pada bangsa, agama dan tanah air," itu azam yang diluahkan oleh Mat Prai yang disambut dengan rasa bangga oleh Datuk. Saya segera menegakkan ibu jari kanan bila Mat Prai segera beralih tempat duduk. Dari pelantar ke atas bangku yang dibuat dari kayu bulat di bawah pokok rendang. Datuk juga turut berubah tempat tetapi, saya masih bertahan di pelantar. Membiarkan peluh-peluh yang meruap di dahi mengalir ke pipi. Tidak lama Datuk duduk di kayu bulat kerana Mat Prai mengajak Datuk melihat buah durian yang dikumpulkannya.
"Ayah Alang dengan Tamar pergi mandi embun, saya pula kumpulkan wang, cuba tengok," suara Mat Prai lantang.
"Banyak juga jumlahnya," kata Datuk
"Boleh tahan juga," jawab Mat Prai lemah.
"Kau nak jual pada peraih."
"Ya tapi bukan semua, enam tujuh biji saya nak buat nasi durian. Kita tunggu sampai peraih datang, kemudian kita ke rumah," Mat Prai mengemukakan permintaan dan Datuk tidak keberatan memenuhi permintaan itu.
"Tapi, bila kita balik, siapa pula nak kutip durian yang jatuh," secara mendadak Datuk mengajukan pertanyaan.
"Budak yang balik malam tadi ambil alih tugas saya," dalam senyum Mat Prai menjawab. Datuk anggukkan kepala.
BANDARAYA
Lebih kurang pukul sepuluh setengah pagi, peraih dari bandaraya George Town pun sampai ke pondok Mat Prai dengan sebuah lori kecil tanpa bumbung. Peraih berbangsa Cina itu cukup fasih bercakap bahasa Malaysia loghat Pulau Pinang. Orangnya cukup peramah. Setelah membeli durian Mat Prai dia segera pergi ke dusun durian orang lain pula.
Tepat pukul sebelas pagi, kami pun meninggalkan pondok durian Mat Prai. Sebaik sahaja sampai dekat rumpun buluh kuning, kami terserempak dengan dua pemuda yang diupah oleh Mat Prai menjaga dusun duriannya. Badan mereka basah dengan peluh. Masing-masing membawa buluh kuning yang panjangnya kira-kira enam kaki. Bahagian hujung buluh dipecahkan. Kenapa mereka berbuat demikian, saya sendiri tidak tahu, ulu golok yang tersangkut di tali pinggang dari kulit kerbau nampak terbuai-buai.
"Apa macam malam tadi bang? tak ada apa-apa yang datang," tanya salah seorang dari mereka. Mat Prai segera merenung ke arah Datuk. Kemudian dia bersuara.
"Susah nak cakap."
"Kenapa bang?" soal pemuda yang lagi satu.
"Hum," Mat Prai mengeluh, "Dinding perigi kita dah hangus terbakar," tambah Mat Prai lagi. Kedua-dua pemuda itu berpandangan sama sendiri.
"Siapa yang membakarnya bang?" desak kedua-dua pemuda serentak. Mat Prai cuma tersenyum. Dia menyuruh saya dan Datuk meneruskan perjalanan. Kedua-dua pemuda tadi meneruskan langkah ke pondok durian.
"Heeiii."
Kami bertiga berhenti melangkah. Di depan kami terpacul seorang lelaki berbadan tegap memakai lilit kepala dari kain batik. Memakai seluar hitam dan berkasut capal. Kain pelekat berkotak kecil terselempang dari atas bahu ke dada. Dia menghunus keris panjang ke arah kami. Muka Mat Prai kelihatan pucat.
Saya alihkan pandangan ke arah Datuk, serentak dengan itu saya kenyitkan mata ke arahnya. Datuk segera anggukkan kepala tanda faham dengan maksud hati saya, bahawa lelaki yang berdiri di depan tu adalah lelaki yang menyerang saya dan Datuk di kebun getah, beberapa jam tadi. Apakah dia akan membunuh saya dan Datuk? timbul pertanyaan dalam hati.
"Adik beradik kamu?"
Dengan wajah yang garang lelaki itu jegilkan biji mata ke arah Mat Prai. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Mat Prai.
"Adik beradik kamu?" jerit lelaki itu.
"Ya," sahut Mat Prai.
"Beritahu dia jangan nak intip tempat duduk aku. Kalau dibuat lagi sekali, kedua-duanya aku bakar hidup-hidup," sambil bercakap lelaki itu menghalakan hujung keris ke arah saya dan Datuk. Rambut panjangnya sengaja dijatuhkan ke atas kedua belah bahunya. Dua tiga kali dia mengacukan penumbuk kiri ke arah saya. Apa yang boleh saya lakukan ialah tunduk berlagak macam orang bodoh.
"Eh, orang sekampung, beritahu adik-beradik kamu," untuk sekian kalinya lelaki itu mengherdik Mat Prai.
"Saya bagi pihak kaum keluarga saya minta maaf," ujar Mat Prai.
"Hum, ingat pesan aku, kalau dilanggar dusun dan tanah kamu jadi padang jarak," dengan nada suara yang meninggi lelaki itu mengeluarkan ancaman. Gerak-gerinya bagai pahlawan.
"Saya ingat," kata Mat Prai.
"Hum."
Lelaki itu masukkan keris panjang ke sarung lalu diselitkan ke pinggang. Kemudian dia terus bertepuk tangan dengan sekuat hati. Bunyi tepukannya itu macam bunyi petir. Lubang telinga saya terasa bengang.
"Haiii..."
Dia menjerit sekuat hati sambil membuka silat macam silat Kung Fu.
Kura-kura Mata Hijau
Mat Prai berhenti melangkah secara mengejut. Dia menoleh ke arah Datuk dan saya dengan wajah yang pucat. Dia kelihatan berada di dalam keadaan serba salah. Mat Prai seperti enggan meneruskan langkah, dia seperti mahu berpatah balik ke pondok durian. Badannya terus menggeletar seperti orang kena histeria.
"Kenapa Mat Prai," Datuk segera menggoncangkan tubuhnya.
"Saya dah langgar pantang Ayah Alang."
"Nama orang itu tidak boleh disebut atau diberitahu pada orang, siapa yang langgar pantangnya boleh kena penyakit gila babi, ramai orang yang menyebut namanya pada orang lain jatuh sakit.," sebaik sahaja selesai Mat Prai bercakap dia terus rebah atas rumput. Paling mengejutkan, bila Mat Prai terus baring atas rumput.
Dalam keadaan serba salah saya dongakkan muka ke langit melihat matahari yang memancar terang sedangkan awan putih bergerak tenang di dada langit. Angin bertiup menggugurkan dedaun kering. Datuk terus berusaha memberikan keyakinan pada Mat Prai bahawa apa yang dipercayainya itu adalah karut. Tetapi, Mat Prai tidak mudah mahu menerima apa yang Datuk katakan itu.
"Aku nak tanya kamu satu perkara dalam dunia ini, baik di langit mahupun di bumi siapa yang berkuasa dan siapa pula yang menghidupkan dan mematikan manusia," Datuk bertanya dengan lembut pada Mat Prai setelah semua usahanya yang dikemukakan pada Mat Prai sebentar ditolak mentah.
"Tentulah Allah yang maha besar," jawab Mat Prai penuh keyakinan. Dia terus duduk matanya menentang biji mata Datuk.
"Kamu sudah tahu jawapannya, kalau sudah tahu kenapa kamu mesti takut dengannya. Percayalah dia tidak ada kuasa," Datuk memberikan semangat.
"Tapi, ramai percaya dengannya," Mat Prai kelihatan masih ragu-ragu. Datuk terus gelengkan kepala sambil menarik nafas dalam-dalam. Memang terlalu sukar untuknya memberikan semangat baru pada Mat Prai.
"Sekarang kamu sebut namanya berkali-kali, kamu maki dia. Aku nak tengok pantang larangnya berkesan atau tidak," Datuk mendesak Mat Prai.
Cepat-cepat Mat Prai gelengkan kepala, mukanya bertambah pucat. Dan Datuk terpaksa bertindak lebih tegas supaya Mat Prai mematuhi arahannya. Kali ini Datuk tidak mahu mementang biji mata Mat Prai.
"Kamu nak ikut cakap aku atau aku tinggalkan kamu di sini. Biar aku balik ke kampung.
"Jangan, kerja Ayah Alang belum selesai lagi."
"Kalau kamu mahu aku selesaikan, dengar cakap aku."
"Baiklah Ayah Alang," ujar Mat Prai dan terus menyebut nama Suhaimi Keraba serta memaki hamunnya dengan semahu hati.
"Berhenti Mat, berhenti."
Mat Prai pun berhenti memaki hamun Suhaimi Keraba. Saya yang sudah tidak sanggup berdiri segera mencari tempat duduk. Sasaran saya ialah batang buruk yang melintang di tepi denai.
"Sekarang kamu duduk diam," itu arahan Datuk kepada Mat Prai. " Kita tunggu sampai sepuluh minit, kalau benar-benar orang yang pantang namanya disebut itu berkuasa, dan boleh mendatangkan bala kepada kamu, tentu kamu mengalami sesuatu," sambung Datuk sambil mengeluarkan jam saku dari bajunya.
"Nah kau tengok masanya," Datuk menyerahkan jam saku kepada saya, "sampai sepuluh minit beritahu aku." Saya segera patuh pada perintahnya itu.
CUKUP
Sepuluh minit sudah berlalu, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi pada diri Mat Prai. Saya pulangkan jam saku kepada Datuk. Sebelum jam itu disumbatkan ke dalam poket. Datuk melihatnya sejenak untuk memastikan sama ada kiraan soya tepat atau sebaliknya.
"Bagaimana Mat Prai? Kau tentu setuju kalau aku katakan yang orang itu tidak ada kuasa," bisik Datuk ke telinga Mat Prai tetapi dengan lemah dia menggelengkan kepala.
"Kenapa Mat?"
"Sebabnya tak jadi kerana Ayah Alang ada pelindung diri, ada pemakai dan petua, sebab itulah sumpahnya tak menjadi."
Datuk tunduk merenung bumi. Mat Prai segera berdiri. Panas terasa kian keras. Kulit dahi dan muka saya terasa pedih.
"Kau selalu memikirkan perkara yang buruk-buruk. Engkau tahu kuasa Allah tetapi, engkau tidak yakin pada-Nya inilah yang merosakkan diri kamu sendiri, kamu kata aku ada ilmu pendinding, sebenarnya perkara yang kau sebutkan itu memang tidak ada pada aku. Apa yang aku lakukan ialah minta perlindungan dari Allah," Datuk mula memberikan pendapatnya, dia tidak peduli sama ada pendapat itu dapat diterima oleh Mat Prai atau sebaliknya. Pokoknya, dia harus menyedarkan diri Mat Prai yang terlalu percayakan pada hal yang karut-marut.
"Bagi aku dia tidak ada kuasa, dia orang gila," cetus Datuk.
"Baik Ayah Alang minta maaf padanya, kalau tidak susah diri Ayah Alang."
"Tak payah, dia bukan ada kuasa yang berkuasa ialah Allah, pergi jahanam dengannya.
Teruskan perjalanan, aku nak sampai ke rumah kamu cepat," tanpa rasa bimbang atau takut-takut Datuk terus bersuara. Mat Prai jadi termangu-mangu dan serba-salah.
"Jalan cepat. Tak usah fikirkan tentang manusia gila yang tidak bermoral itu," Datuk tolak belakang Mat Prai. Antara mahu dengan tidak Mat Prai terpaksa meneruskan perjalanan. Kami terus melalui beberapa buah dusun durian milik orang lain. Perjalanan selanjutnya tidak ada perbualan. Antara kami bertiga, tiada seorang pun yang berminat mahu bertanyakan itu dan ini. Masing-masing melayani khayalan diri sendiri.
"Aduh!"
Datuk yang berada depan saya terus membongkokkan badan. Kedua belah tangannya menekan pangkal belikat sebelah kiri. Mat Prai segera memangku tubuh Datuk agar jangan tersembam ke bumi. Saya memicit belakang Datuk.
"Kenapa tuk?"
"Ada orang baling benda tajam ke arah aku," jelas Datuk.
Saya segera renung kiri kanan. Anak mata saya tertumpu ke arah bambu runcing sepanjang dua kaki di hujung kaki kanan Datuk. Buluh itu sudah patah dua dan bahagian yang ditajamkan sudah hancur.
"Carikan aku Daun Dukung Anak," ujar Datuk pada saya.
Tanpa membuang masa saya segera mencarinya. Dengan izin Allah Daun Dukung Anak yang melata di bumi itu saya temui dekat pangkal pokok durian mati pucuk.
"Sapukan di tempat yang terkena buluh tu untuk membunuh bisanya," Datuk keluarkan arahan.
Saya segera selak baju Datuk. Memang ada garisan memanjang yang melukakan kulit tubuh Datuk. Darah mula keluar dari kulit yang terkoyak itu.
"Aku dapat menepisnya, kalau tidak buluh itu tembus ke rusuk kiri," terang Datuk sambil menyuruh saya menghancurkan Daun Dukung Anak dengan telapak tangan. Atas arahannya juga daun yang sudah hancur itu saya tampalkan ke tempat yang tergaris sesudah membaca tujuh kali al-Fatihah serta sekali selawat.
Lebih dari sepuluh minit perjalanan kami berhenti. Bila Datuk sudah pulih, kami meneruskan perjalanan pulang. tetapi baru enam langkah Suhaimi Keraba muncul di depan kami dengan beberapa batang buluh runcing di tangan kiri.
"Jangan di lawan"
Itu perintah Datuk untuk saya dan Mat Prai. Peluh yang menguasai setiap sendi membuatkan saya resah. Mat Prai melihat matahari yang terpacak di atas kepala.
"Tengah rembang, kata orang tua-tua alamat tak baik," bisik Mat Prai ke telinga saya.
"Entah," jawab saya.
"Diam jangan banyak cakap, kalau perbuatannya boleh mengancam nyawa kita, cepat-cepat kita lari," datang lagi arahan dari Datuk.
Saya dan Mat Prai anggukkan kepala. Datuk juga menyuruh kami berdiri sebaris menentang wajah Suhaimi Keraba.
"Kamu yang jadi kepala samseng memaki hamun aku. Tak sedar diri masuk kampung orang nak berlagak ayam jaguh," kata-kata itu ditujukan oleh Suhaimi Keraba ke arah Datuk.
"Kamu jadi baruanya," jari telunjuknya mengarah ke wajah Mat Prai.
Suhaimi Keraba terus berlegar-legar di depan kami. Sesekali dia mencabut keris panjangnya. Dua tiga kali diacukannya ke arah saya.
"Aku yang merejamkan buluh tajam kepada kamu, aku sakit hati kerana kamu mencaci dan memperkecilkan aku, apa yang kamu katakan pada aku semuanya dapat aku dengar," Suhaimi Keraba mula memperlihatkan taringnya. Dan Mat Prai terus merenung ke arah Datuk, seolah-olah mengatakan yang cakapnya sebentar tadi adalah benar.
Melihat kami semuanya membisu dan tidak kisah membuatkan Suhaimi Keraba naik angin. Dia mula memaki hamun Datuk dan menyifatkan Datuk dari keturunan orang yang tidak bertamadun. Datuk tetap membisu. Setelah menggunakan pelbagai cara tetapi Datuk tetap bersikap dingin. Tidak mahu memulakan pergaduhan. dia mula menyerang Datuk dengan buluh runcing. Dia merejam sepuluh batang buluh runcing ke arah kami. Satu kebolehan yang di luar kemampuan manusia biasa. Saya kira ada tenaga lain yang membantu Suhaimi Keraba. Bagi menyelamatkan diri, saya dan Mat Prai terpaksa berlindung di balik pokok durian.
Datuk tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Tegak di situ sambil berpeluk tubuhnya. Kedua belah matanya dirapatkan cuma kelopak bibirnya sahaja bergerak seperti menyebut sesuatu.
Lebih dari empat batang buluh runcing direjamkan oleh Suhaimi Keraba kepada Datuk. Tidak satu pun yang mengenai tubuh Datuk. Semuanya menyimpang ke arah lain. Ada yang melekat pada pokok pisang hutan, terbenam ke bumi dan sebagainya. Suhaimi Keraba berhenti dari melakukan sesuatu pada Datuk. Dia termenung sejenak. Datuk tetap berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh. Suhaimi Keraba terus memintas arah belakang Datuk sambil membaling buluh runcing secara curi. Tetapi, sebelum hujung buluh runcing menjamah kulit, terlebih dulu untuk menyambarnya. Buluh runcing itu segera dibenamkan oleh Datuk ke bumi. serentak dengan itu Suhaimi Keraba menjerit. Kedua belah tangan tergapai-gapai seolah-olah minta tolong. Suhaimi Keraba jatuh ke bumi.
Perlahan-lahan Datuk membuka kelopak mata sambil menjatuhkan sepasang tangan yang memeluk tubuhnya. Datuk merenung ke arah Suhaimi Keraba yang tertiarap ke bumi. Berhempas pulas berusaha untuk bangun berdiri.
"Bangunlah, sahabatku," kata Datuk.
Suhaimi Keraba merenung marah ke arah Datuk. Dalam rasa cemas dan takut itu dia berjaya melepaskan diri.
"Kekuatan sahabat tidak sejauh mana. Tidak dapat melawan kekuasaan Allah yang mencipta diri saudara dan saya, yang memberikan nyawa pada kita," ujar Datuk lagi.
"Hisss..." desis Suhaimi Keraba.
"Saudara sudah sesat, kerana sesat itulah hidup saudara dikuasai nafsu syaitan."
"Sudahlah." Balas Suhaimi Keraba.
Terima kasih, saya tidak berniat mahu bermusuh dengan saudara, saya mahu bersahabat," Datuk hulurkan tangan ke arah Suhaimi Keraba.
"Kamu bukan orangnya," Suhaimi Keraba menolak.
"Saudara, kita mahu bersahabat."
"Tidak ada masa untuk bersalam dan bersahabat dengan orang yang tidak berilmu," Suhaimi Keraba mula mencemek.
Saya dan Mat Prai keluar dari tempat persembunyian. Kami segera mendekati Datuk yang kelihatan begitu tenang menghadapi cemuhan yang dilemparkan oleh Suhaimi Keraba terhadap dirinya.
"Saya tahu sejauh mana ilmu yang ada dalam dada saudara," kata Datuk dalam nada suara yang lembut dan mengharapkan akan terjalin tali persahabatan antaranya dengan Suhaimi Keraba.
Ternyata Suhaimi Keraba tidak mempedulikan harapan dan cita-cita Datuk. Dia terus melangkah kami dengan wajah seribu dendam. Kami meneruskan perjalanan pulang. Sampai di rumah Mat Prai disambut oleh isterinya dengan pelbagai pertanyaan. Kenapa kami lambat sampai. Mat Prai memberi jawapan yang kami singgah ke rumah beberapa orang kenalan. Ternyata alasan itu dapat diterima oleh isteri Mat Prai.
Makan nasi durian memang menyelerakan. Itu pengalaman yang menyeronokkan ketika makan nasi durian waktu tengah hari di rumah Mat Prai. Tetapi apa yang kurang menyeronokkan ialah sikap Datuk yang sering mengingatkan agar saya agar makan 'secukup kenyang!' satu ingatan yang boleh mematikan selera makan saya.
Tetapi saya masih beruntung Mat Prai memberikan kerjasama yang baik. Bila dia melihat pinggan yang kosong. Secara sembunyi-sembunyi dia menaruh nasi durian ke dalam pinggan saya dan Datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Tengah hari itu, saya makan betul-betul. Lepas makan saya tersandar di dinding dan Datuk cuma terdaya menjeling marah ke arah saya.
KECIL
Pada petang itu, saya diajak oleh Mat Prai berjalan-jalan sekitar pekan kongsi yang kecil. Saya ditunjukkan kawasan pasar tempat orang menjual buah dan jeruk buah pala. Saya juga dibawa ke kawasan hutan kecil yang menurutnya tempat pelanduk berehat. Tempat tersebut, bertahun-tahun kemudiannya tekah dijadikan ladang ternakan buaya (kini khabarnya ladang buaya itu sudah diberhentikan atas arahan pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai)
Lebih kurang pukul empat dua puluh lima minit petang, saya dan Mat Prai kembali ke rumah. Kami dapati Datuk tiada di rumah. Kata isteri Mat Prai, tidak lama setelah kami meninggalkan rumah, Datuk terus menuju ke arah masjid. Saya dan Mat Prai terus ke masjid. Cakap isterinya memang benar. Datuk duduk tertonggok di tengah ruang masjid membaca al-Quran.
Oleh kerana waktu Asar sudah hampir tiba, kami terus mengambil air sembahyang dan melakukan sunat tahiyat masjid. Sepuluh minit kemudian waktu Asar pun sampai bilal terus memukul beduk dan seterusnya melaungkan azan. Dalam kesempatan itu juga Mat Prai memperkenalkan Datuk dengan iman masjid tersebut.
Setelah menunaikan sembahyang Asar Datuk terus berborak dengan imam yang usianya lima atau sepuluh tahun lebih tua dari Datuk. Dari Imam tersebut Datuk memperoleh cerita yang terperinci tentang diri Suhaimi Keraba serta kejadian aneh yang berlaku di dusun durian beberapa orang penduduk.
"Setahu saya kejadian itu sudah berkurangan, kalau adapun terjadi kerana pemilik dusun durian tidak mahu mematuhi nasihat kami."
"Apa nasihatnya Pak Imam?" Tanya Datuk.
"Perbuatan tu, perbuatan syaitan kita lawan ikut suruhan Allah," Pak Imam bersuara lemah. "Dari dulu lagi kalau ada kejadian macam tu, kami baca Yasin tujuh malam di dusun orang malang, kemudian kami ingatkan pemilik dusun supaya membayar fitrah kalau memperoleh pendapat lebih, itu saja syaratnya," sambung Pak Imam.
"Hasilnya bagaimana Pak Imam?" Tanya Datuk.
"Dengan izin Allah berjaya. Melainkan orang tak mahu ikut nasihat, tidak mahu sembahyang, tidak mahu berpuasa dan mengambil hak orang sebagai milik sendiri.
"Pak Imam tahu durian di dusunnya, dikacau makhluk ganjil," Datuk terus menepuk bahu Mat Prai yang berada di sisinya. Pak Imam renung muka Mat Prai.
"Dia ni cuma datang dan balik ke kampung bila dekat musim durian, jadi dia tidak tahu apa yang berlaku, selain dari dusun ini, ada seorang dua yang dusun mereka kena kacau," ujar Pak Imam dengan wajah yang selamba. saya menoleh ke arah Mat Prai. Dia tersenyum tersipu-sipu, cuba menyembunyikan rasa malunya. Rahsia dirinya telah terbongkar.
"Dulu dia bawa bomoh siam nak halau hantu di dusunnya. Hasilnya tak ada apa-apa. Saya hairan kenapa Si Mat ni tak mahu mengadu pada saya, tak mahu berbincang dengan orang-orang kampung, pada hal saya kenal dirinya dari Datuk neneknya lagi. Dia orang sini," Pak Imam meluahkan suara hatinya. Mat Prai tunduk tidak berkata apa-apa pun.
MESRA
Sebelum berpisah Datuk bersalaman dengan Pak Imam dengan penuh mesra. Datuk sempat memujuk Pak Imam supaya turut sama pergi ke dusun durian Mat Prai. Pada mulanya Pak Imam itu menolak permintaan Datuk. Setelah didesak barulah Pak Imam itu mahu ikut serta ke pondok Mat Prai.
Malam itu, setelah selesai menunaikan sembahyang Isyak di masjid, saya dan Datuk serta Pak Imam terus menuju ke pondok durian Mat Prai. Mat Prai pergi lebih awal dari kami. Perjalanan kami lancar tidak mengalami sebarang gangguan yang aneh. Sampai di pondok, Mat Prai menyambut kami dengan hidangan air kopi panas. Dua pemuda dari Pulau Betung yang menunggu dusun durian pada sebelah siang segera pulang.
Kali ini Datuk melakukan sesuatu di luar dugaan saya. Mat Prai dan saya disuruh duduk di luar kira-kira dua puluh kaki jaraknya dari pondok asal. Di situ Datuk dirikan empat batang tiang dan atapnya dibuat dari daun-daun hutan yang lebar. Tidak sampai dua jam Datuk berusaha mendirikan pondok yang bentuknya macam pondok mainan kanak-kanak. Kami disuruh duduk di situ. Manakala Datuk dan Pak imam duduk di pondok besar. Mereka terus membaca Quran.
Saya tidak mahu berada jauh dari Mat Prai. Ke mana sahaja Mat Prai bergerak di situ saya berada. Kami mendengar bunyi buah durian jatuh tetapi, saya atau Mat Prai tidak berhasrat mahu mengutipnya.
"Ular," jerit saya.
Biji mata Mat Prai terbeliak melihat seekor ular hitam sebesar lengan budak berusia lapan tahun. Panjangnya kira-kira dua kaki. Ular itu terus menuju ke arah pelita minyak tanah. Mat Prai ambil kayu memukul ular itu, kena tepat pada bahagian belakangnya.
Ular itu panggungkan kepala lalu mematuk pelita minyak tanah. Kami berada dalam kegelapan. Saya raba sana, raba sini, cari kotak mancis. Barang yang saya cari ditemui. Sumbu pelita menguasai ruang pondok, jelas kelihatan ular hitam menyusup di bawah dedaun kering dan terus ghaib entah ke mana. Tempat ular itu hilang segera diganti oleh seekor kura-kura yang warna kulitnya kuning keemasan.
Biasanya kura-kura bila terdengar suara atau melihat orang akan menyorokkan kepalanya. tetapi kura-kura yang datang mendadak di pondok kami terus menjulurkan kepalanya sambil memakan dedaun kering. Mata kura-kura aneh itu nampak tersembul dan mengeluarkan cahaya hijau.
"Kenapa semuanya mesti terjadi masa Datuk kamu tak ada bersama kita, ku bunuh kura-kura laknat ni," Mat Prai mula marah dan terus mahu memukul belakang kura-kura dengan kayu yang digunakan untuk memukul ular.
"Jangan."
"Kenapa Tamar?"
"Biarlah dia pergi sendiri."
"Hum..." Mat Prai mengeluh lalu menghempaskan kayu di tangan dengan sekuat hati.
Saya hanya diam sahaja. Kura-kura yang menjulurkan kepalanya masuk ke dalam badannya.
Kelawar Hisap Darah
KALAU diturutkan rasa hati, mahu saja saya menyepak kura-kura yang tertonggok macam besi buruk itu. Akhirnya saya sedar, bahawa saya tidak boleh bertindak atau melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya di malam yang kian dingin.
“Macam mana kalau aku campakkan kura-kura ini keluar,” Mat Prai mempamerkan kemarahan. Sepasang matanya segera diarahkan ke arah belakang kura-kura. Mat Prai terus membongkokkan badannya sambil berusaha mahu memegang badan kura-kura.
“Jangan.”
Saya segera menyergah. Mat Prai terus menegakkan badannya semula.
“Kenapa Tamar?”
“Biar dia pergi sendiri. Saya bimbang ini bukan kura-kura betul, agaknya ini kura-kura jelmaan,” tutur saya lagi.
Dedaun hutan yang dijadikan atap pondok mula bergerak-gerak, malah ada yang jatuh ke tanah akibat disentuh angin.
Aneh! Angin yang bertiup lembut secara mendadak bertukar menjadi keras. Saya terdengar reranting tua jatuh bertalu-talu ke tanah. Saya dan Mat Prai terdengar bunyi suara tupai.
Semuanya mengundang kecemasan dalam diri. Ganjil sekali, bila tupai berbunyi malam. Dalam rasa serba salah dan takut itu, terdengar suara harimau mengaum. Beberapa ekor kelawar berterbangan dalam pondok.
Salah seekor dari kelawar itu jatuh di depan saya dan Mat Prai. Jarak kelawar itu dengan badan kura-kura kira-kira tiga hasta saja. Bentuk kelawar yang jatuh itu agak berbeza dengan kelawar-kelawar yang biasa saya lihat.
Bentuk badannya agak besar, sayapnya juga agak lebar. Bulunya berwarna kekuningan dan biji matanya tersembul seperti memancar-mancarkan cahaya api.
“Kamu tengok giginya.”
Saya segera mengarahkan mata ke arah yang disebutkan oleh Mat Prai. Darah saya tersirap melihat muncung kelawar yang bentuknya macam muncung babi hutan. Giginya yang putih dan besar menyeringai ke arah saya.
“Ini kelawar puntianak jenis penghisap darah, “ kata saya pada Mat Prai.
“Berbahaya,” jawab Mat Prai cemas, “biar aku bunuh Tamar.”
Sebaik Mat Prai selesai bersuara, kelawar di depan kami terus berbunyi dengan nyaring. Kedua belah kepaknya dikembangkan dan terus terbang, berpusing-pusing dalam pondok kecil. Dan kura-kura terus hulurkan kepalanya, seolah-olah turut menyaksikan apa yang dilakukan oleh kelawar itu..
KELAM
Dalam keadaan yang kelam kabut itu, saya lemparkan pandangan ke arah luar pondok. Malam yang gelap pekat itu membuat saya tidak dapat melihat apa-apa pun. Deru angin terus mengasak lubang telinga di samping bunyi telapak kaki manusia memijak reranting dan dedaun kering di setiap sudut pondok.
“Panggil Datuk kamu, Tamar”
Mat Prai keluarkan cadangan. Saranan itu tidak dapat saya terima. Terlalu awal rasanya untuk menyampaikan perkara ini pada Datuk. Biarlah Datuk dan Pak Imam menyelesaikan urusan mereka. Bila melihat saya tidak memberikan sebarang reaksi, Mat Prai mengulangi pertanyaannya lagi.
“Tak payah.” kata saya tegas.
Terbayang kehampaan di wajah Mat Prai. Tetapi, kehampaan itu segera digantikan oleh rasa cemas dan terkejut yang amat sangat. Kura-kura ganjil bergerak dan hilang dengan sekelip mata.
“Dia datang.”
Mat Prai arahkan telunjuk kepada kelawar secara mendadak muncul kembali dalam pondok. Kelawar itu terus berlegar-legar dalam pondok..
Kelawar itu terus menerkam ke arah pelita minyak tanah ambil mengembangkan sayapnya lebar-lebar. Bila berada betul-betul di atas muncung api pelita minyak tanah, kelawar itu terus memukulkan kepaknya ke arah sumbu pelita. Api pelita padam dengan serta-merta. Saya bertambah menggelabah, badan terus menggeletar.
“Aduh..tolong..”
Suara Mat Prai meninggi. Saya terus berusaha mencari mancis api. Raba sana, raba sini, Mancis tak juga ditemui. Mat Prai terus mengerang kesakitan.
“Muka aku berdarah, Tamar.”
"Kenapa?”
“Dicakar kelawar, eh kelawar itu cuba gigit batang leher aku. Tolong aku.. ah..” suara Mat Prai terus berhenti, saya terdengar tubuhnya jatuh ke tanah lalu dituruti dengan bunyi pergelutan yang hebat di malam yang gelap.
Saya terus menyeru nama Mat Prai berkali-kali. Sayangnya saya tidak menerima sebarang jawapan. Apa yang saya dengar ialah tarikan nafas Mat Prai tercungap-cungap. Saya tidak boleh berdiam diri, mesti bertindak untuk menyelamatkan Mat Prai. Saya mula meraba-raba ke arah badan Mat Prai. Lain yang saya raba dan saya cari, lain yang saya dapat. Mancis api sudah berada dalam tangan saya.
Anak mancis saya lagakan di badannya. Api pun memancar dan sumbu pelita segera saya bakar. Kawasan sekitar terang benderang. Anak mata saya melilau mencari tubuh Mat Prai.
“Ya Allah.” jerit saya.
Mat Prai terlentang mukanya berdarah bersama dengan calar-calar. Bajunya habis koyak-rabak, saya lihat di batang tengkuknya ada benda hitam sebesar telapak tangan. Saya segera mendekatinya. Tanpa membuang masa saya terus membaca petikan ayat-ayat Al-Quran untuk menghalau syaitan. Selesai membacanya, saya seperti memperoleh sebuah kekuatan yang agak luar biasa. Saya tidak takut dan cemas. Bunyi-bunyi yang menakutkan sekitar pondok terus hilang. Begitu juga dengan kelawar aneh, tidak kelihatan lagi.
PANGKAL
Perlahan-lahan saya pangku kepala Mat Prai. Kemudian saya heret tubuh Mat Prai keluar dari pondok. Saya sandarkan ke pangkal pokok yang tidak saya ketahui jenisnya. Dedaun kering dan reranting yang bersepah sekitar pangkal pokok saya kumpulkan.
“Kuku kelawar cukup bisa, semua kulit muka terasa pedih.” Ratap Mat Prai, saya segera anggukkan kepada. Darah di mukanya saya kesat dengan kain yang saya koyak dari hujung baju. Dengan diterangi oleh sinar lampu minyak tanah, saya dapat melihat betapa dalamnya cakaran dari kuku kelawar aneh di muka Mat Prai.
“Tunggu” Itu yang saya ucapkan padanya.
“Kau nak ke mana, Tamar? Kau nak panggil Datuk kamu?
“Ya” saya anggukkan kepala. Tanpa membuang masa saya terus membakar longgokan dedaun kering dan reranting. Dengan sekelip mata, api terus marak.
Seluruh kawasan di bawah pokok terang benderang, macam siang. Cengkerik dan katak puru yang berlompatan jelas kelihatan. Mat Prai agak terkejut dengan apa yang saya buat. Dia terus berdiri sambil memeluk pangkal pokok.
“Kenapa kau buat semuanya ini, Tamar? Kau nak bunuh aku atau kamu kerasukan syaitan?”
“Bukankah kita memerlukan Datuk? Inilah cara memanggilnya”
“Hiss, kamu, kenapa tidak kau laungkan saja dari sini?”
“Ada pesan Datuk untuk saya”
“Pesan?” Mat Prai bertambah terkejut. Dia merasakan yang saya mahu mempermainkan dirinya.
“Apa pesan Datuk kamu, budak syaitan?” jerit Mat Prai. Kemarahannya sudah tidak dapat di kawal lagi. Dari gerak-gerinya meyakinkan hati saya yang Mat Prai mahu melakukan sesuatu terhadap saya. Dia yakin saya sudah kemasukan syaitan.
“Eh, budak syaitan apa pesan Datuk kamu?” dalam keadaan terhuyung-hayang kerana menahan kesakitan. Mat Prai segera mendekati saya.
“Kata Datuk, jangan laungkan namanya waktu dinihari, lebih-lebih lagi dalam masa kecemasan, nanti syaitan tumpang menyahut” jelas saya dengan tenang. Mat Prai tidak jadi melangkah untuk mendekati saya.
Perlahan-lahan Mat Prai undur lalu bersandar di perdu pokok dengan sepasang matanya tertumpu ke arah dedaun dan reranting kering yang dimamah api.
Nampaknya Mat Prai mula yakin yang diri saya tidak dirasuk syaitan. Dengan keadaan terhuyung-hayang Mat Prai terus mengutip dedaun kering dan reranting lalu dicampakkannya ke dalam api yang sedang marak.
“Eh! Kenapa Tamar?”
Darah saya tersirap. Bahu kanan saya dipaut dari arah belakang. Reranting kayu dalam genggaman saya segera terlepas. Jatuh berserakan di hujung kaki.
Angin malam terus bertiup, bersama bunyi cengkerik dan jeritan burung hantu yang memanjang. Lolongan anjing yang sayu dan memanjang menegakkan bulu tengkuk.
“Eh, kenapa Tamar?”
Ulang Datuk untuk kedua kalinya sambil menatap wajah saya yang berada dalam keadaan terkejut. Tidak dapat saya pastikan dari arah mana Datuk muncul.
Walau bagaimanapun, kedatangannya amat menggembirakan hati saya dan Mat Prai. Segera saya mendekati Datuk untuk menerangkan keadaan sebenar. Belum pun sempat saya melakukan sesuatu, Mat Prai terus memeluk Datuk.
“Kenapa dengan muka kamu?” tanya Datuk lalu memimpin Mat Prai ke kawasan yang agak samar-samar. Datuk terus dudukkan Mat Prai di situ. Datuk kesat kesan darah di muka Mat Prai dengan sehelai daun lebar yang dipetik dari sebatang pokok di sebelah kanan tempat Datuk duduk bertinggung.
“Muka saya dicakar kelawar besar, Ayah Alang” nada suara Mat Prai yang keras dan meninggi itu membayangkan dirinya memiliki semangat baru, akibat kehadiran Datuk di sisinya. Datuk terus menatap dengan teliti cakar-cakar di muka Mat Prai.
“Kukunya tak berapa dalam terbenam dalam daging muka kamu. Bisanya juga tak seberapa” tutur Datuk lagi sambil menekankan hujung jari kelengkeng ke pipi Mat Prai.
Setiap kali hujung jari Datuk ditekan, kedua belah kelopak mata Mat Prai kelihatan mengecil menahan rasa sakit. Anehnya! Mat Prai tidak memperlihatkan sebarang tindak balas terhadap perbuatan Datuk itu, meskipun, perbuatan Datuk itu mendatangkan rasa sakit pada dirinya.
Agaknya, kelawar yang menyerang saya itu, kelawar jadian yang sudah dipuja” sambil menarah rasa sakit, Mat Prai bersuara tersangkut-sangkut. Datuk tidak memberikan sebarang jawapan. Jari telunjuk Datuk terus berlari atas permukaan kulit muka Mat Prai.
“Kita hanya berusaha dan berdoa, untuk menyembuhkannya adalah milik Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang” kata Datuk tenang. Dia berhenti menyentuh kulit pipi Mat Prai dengan hujung jari telunjuknya.
TIUP
Angin malam terus bertiup, lolongan anjing liar di kali bukit bersama nyanyian burung hantu, bertalu-talu memukul gegendang telinga. Di celah-celah suara anjing dan burung hantu itu masih saya dapat dengar suara Pak Imam membaca surah Yasin.
"Taruhkan lagi daun dan ranting kering dalam api tu” Datuk mengeluarkan arahan. Cakapnya segera dipatuhi. Api terus marak, kawasan sekitar terus terang benderang.
Dengan pertolongan cahaya api, Datuk terus memilih pepucuk daun yang hijau. Jumlahnya lebih kurang dua puluh helai. Pepucuk itu dijadikan empat longgok dan setiap longgok mengandungi lima helai. Longgokan itu diletakkan sederet di depannya sambil duduk bertinggung Datuk terus menepuk kedua belah tapak tangannya tiga kali berturut-turut. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak semacam membaca sesuatu. Mat Prai seperti menerima arahan tertentu terus duduk berdepan dengan Datuk.
“Di depan kamu ada lima longgok pucuk daun yang baru aku petik. Sekarang, kamu pejamkan kedua belah mata. Kemudian kamu pegang salah satu longgok daun tu dan serahkan kepada aku, faham tak apa yang aku cakapkan?” tutur Datuk kepada Mat Prai.
“Faham” sahut Mat Prai sambil merenung ke arah saya yang telah mencampakkan dedaun dan reranting kering ke dalam api yang kian membesar.
Muka saya mula terasa panas akibat terkena bahang dari api yang saya nyalakan. Di malam yang dingin itu badan saya mula diruapi peluh-peluh halus, tetapi, tangan tidak berhenti melontarkan ranting kering ke dalam api. Bara api yang terkena ranting terus mengeluarkan percikan bunga api, naik ke udara.
“Mulakan sekarang” kata Datuk.
“Sekarang?” Mat Prai seperti terkejut. Dia memang tidak menduga secepat itu Datuk menyuruh dia melakukan tugas tersebut.
Bila melihat Mat Prai agak keberatan dan ragu-ragu untuk mematuhi perintahnya, Datuk terus bersuara dengan lantang dan garang.
“Pejamkan mata, buat apa yang aku suruh!”
“Baiklah Ayah Alang. Tapi saya takut ada sesuatu yang buruk terjadi”
“Tak apa, buatlah apa yang aku suruh,” nada suara Datuk cukup lembut. Matanya penuh simpati merenung ke arah muka Mat Prai. Mungkin untuk memberikan semangat (pemulih) Datuk terus meraba cuping telinga Mat Prai tiga kali berturut-turut. Hasilnya, Mat Prai kelihatan lebih agresif dan berani. Mukanya nampak merah.
“Saya mulakan sekarang Ayah Alang”
“Silakan Mat Prai”
Mat Prai terus duduk bersila. Kedua belah kelopak matanya dicantumkannya. Sepasang bibir bergerak mengucapkan Bismillah.. Tangan kanannya bergerak dan akhirnya menyentuh longgokkan pepucuk daun yang terletak dilonggokkan ketiga di sebelah kiri.
Diserahkannya pada Datuk. Datuk hanya mengambil sehelai sahaja untuk diletakkan atas kepala lutut kanan. Selebihnya Datuk letak di bawah paha kiri.
“Saya boleh buka mata sekarang Ayah Alang?”
“Tak boleh kecuali bila aku suruh”
“Saya tak sanggup Ayah Alang,” kata Mat Prai tersekat-sekat.
“Macam-macam yang saya lihat dalam mat ni, semuanya menakutkan,” sambung Mat Prai. Kedua belah tangannya merewang ke kiri dan ke kanan. Dahinya terus berkedut, kedua belah bulu keningnya hampir bertemu, membayangkan rasa takut dan cemas melihat sesuatu yang amat menakutkan.
“Sekarang di depan kamu ada empat longgok lagi. Aku mahu kamu ambil satu persatu dan serahkan pada aku, macam kamu buat tadi,” Datuk mengingatkan Mat Prai.
“Baik Ayah Alang.”
Mat Prai terus mencakup longgokan itu satu persatu. Diserahkan kepada Datuk. Macam tadi juga, Datuk hanya mengambil sehelai saja. Manakala bakinya Datuk letakkan di bawah paha.
Bila sudah cukup lima helai pucuk daun hutan berada di atas kepala lutut Datuk, dia segera membongkokkan badannya untuk mengambil pucuk dedaun hutan itu dengan mulut.
SABAR
Dengan sabar Mat Prai menanti arahan dari Datuk untuk membuka kelopak matanya,dan saya lihat tidak ambil kisah dengan Mat Prai yang tertonggok di depannya.
Dia seolah-olah menganggap Mat Prai bagaikan tidak wujud di depannya. Pucuk daun berubah tempat, dari atas kepala lutut ke telapak tangan Datuk. Pucuk-pucuk daun itu Datuk ramas hingga mengeluarkan air kental yang berwarna kehijau-hijauan dan berlendir. Air disapukan oleh Datuk ke muka Mat Prai.
Hampas dari pepucuk yang diramas itu ditampalkan ke kulit muka Mat Prai. Tidak memadai dengan itu, Datuk terus melekapkan daun yang disimpan di bawah paha kiri ke muka Mat Prai.
“Sekarang buka mata kamu.”
Mat Prai membuka matanya. Saya ketawa kecil melihat wajah Mat Prai yang melucukan dibalut oleh dedaun hutan. Cuma biji matanya saja yang bergerak. Tidak keterlaluan kalau saya katakan yang muka Mat Prai tidak ubah macam muka orang pada zaman primitif.
“Kamu jangan gerakkan kulit muka, duduk diam di situ selama sepuluh minit. Mata kamu renung ke langit,” kata Datuk sambil bangun. Mat Prai resah sendirian dan saya tidak pernah lupa dengan tugas mencampakkan reranting kering ke dalam api. Datuk mundar-mandir, di depan api dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh.
“Macam mana kalau kelawar tu datang menyerang saya. Ayah Alang tak benarkan saya bergerak,” Mat Prai memprotes.
Datuk segera memalingkan muka ke arah Mat Prai. Dia seperti terkejut dengan pertanyaan yang dikemukakan oleh Mat Prai itu. Kata-kata itu seolah-olah membayangkan keraguan Mat Prai terhadap keupayaan Datuk mengatasi masalah yang dihadapi.
“Tak apa Mat Prai, aku ada di sini,” balas Datuk.
“Saya yakin kalu kelawar tu datang Ayah Alang tak boleh buat apa-apa, kelawar tu kelawar jadi-jadian,” sanggah Mat Prai. Datuk menarik nafas panjang. Bersama sebuah senyuman dia menjatuhkan sepasang tangannya lurus ke bawah.
“Oooppp...”
Datuk melompat sambil membuka buah silat dengan kedua belah tulang sikunya menghala ke arah sepasang biji mata sebesar buah pinang dara. Pokok-pokok renek di depannya bergerak seperti dirempuh sesuatu.
“Harimau,” kata saya cemas.
Seekor harimau sebesar lembu jantan yang cukup dewasa berada di depan Datuk. Harimau itu tidak mengaum tetapi, membuka mulutnya perlahan memperlihatkan dua batang siung yang putih dan besar. Bahagian dagu harimau bergerak-gerak.
Harimau yang tidak di undang itu merendahkan badannya dengan sepasang kakinya dilunjurkan ke depan sementara kedudukan kaki belakangnya tidak berubah. Saya kira harimau itu mahu melakukan satu lompatan yang kencang untuk menerkam ke arah batang tengkuk Datuk. Andainya Datuk tidak dapat mengelakkan terkaman pertama sudah pasti leher Datuk patah. Di saat itu saya memikirkan hal itu, harimau besar terus melakukan satu lompatan.
Datuk mengelak ke kiri, harimau terus menerkam. Elak ke kanan harimau menerpa tanpa tangguh-tangguh. Datuk dan harimau terus bersilat. Tamparan harimau dapat Datuk elakkan dengan berguling di tanah. Datuk menggolekkan tubuhnya ke arah api yang marak. Bagaikan kilat Datuk menyambar ranting yang dimakan api. Datuk segera bangun, harimau terus melompat melepasi kepala Datuk.
Ketika harimau berada di udara dan bahagian perutnya betul-betul berada di atas kepala Datuk, tanpa membuang masa Datuk terus melakukan tindakan mengejut. Dia terus bertinggung sambil meletakkan ranting kayu terbakar atas bumi.
“Uhhh...”
Pekik Datuk lalu mencapai ranting kayu. Secepat kilat ranting terbakar itu dijolokkan ke bahagian perut harimau. Harimau terus mengaum dengan nyaring dan jatuh ke rimbunan pokok-pokok renek dan akhirnya terus hilang. Ghaib entah ke mana.
Datuk terus bangun sambil menepis dedaun kering yang melekat pada bajunya. Dia renung saya dengan senyuman kepuasan.
“Harimau sesat nak cari durian,” katanya dengan tenang melangkah mendekati Mat Prai yang kelihatan kaku. Pada hemat saya, mungkin Mat Prai terkejut melihat kemampuan Datuk bersilat dengan harimau yang tidak di undang. Datuk terus menepuk bahu kanan Mat Prai dua tiga kali. Mat Prai gerakkan tubuhnya lambat-lambat.
“Bangun.”
Dia segera bangun, patuh dengan perintah Datuk. Mat Prai toleh kiri dan kanan. Kebimbangan berkocak dalam dadanya.
“Kau bongkokkan badan macam orang rukuk sembahyang,” datang lagi arahan dari Datuk. Macam tadi, Mat Prai tetap mematuhi apa saja cakap Datuk.
Kepala ke Langit
Datuk berdiri di sebelah kanan Mat Prai memastikan kedudukan rukuk Mat Prai betul seperti yang dihajati, Datuk terus menggenggam penumbuk kanan.
"Bersedia Mat Prai."
"Ya, saya bersedia Ayah Alang."
"Kalau sakit jangan mengeluh, jangan mengaduh. Kau mesti tahan semuanya."
"Baik Ayah Alang."
"Sediaaaaaa..." Datuk melepaskan penumbuk sulung ke pangkal belikat Mat Prai. Saya lihat Mat Prai rebah perlahan-lahan serentak dengan itu juga saya lihat hampas dan serbuk dari pucuk hutan yang ditampalkan ke muka Mat Prai terus jatuh berderai. Bertaburan di tanah.
"Kamu ni lembik sangat, kena sikit pengsan," Datuk seperti merungut di depan tubuh Mat Prai yang terbaring di bumi. Datuk segera memulihkannya hingga sedar. Mat Prai terus duduk bersila di depan Datuk dan saya. Cahaya api yang marak mengizinkan saya menatap Mat Prai. Kesan darah dan cakaran yang dalam sudah tidak kelihatan lagi, kecuali garis-garis halus yang tidak berapa dalam.
"Aku tengok pangkal tengkuk kamu lebam, rapat dengan aku, biar aku periksa," tanpa banyak cakap Mat Prai hulurkan tengkuknya pada Datuk. Dengan teliti Datuk membelek-belek kesan lebam itu. Dua tiga kali Datuk tekan ibu jari kanannya ke tempat yang lebam itu. Akhirnya kesan lebam itu hilang.
"Kelawar tu cuba nak hisap darah kamu, Mat Prai," Datuk terus memberi komen sambil menolak tengkuk Mat Prai, suruh beredar dari sisinya.
"Agaknya kelawar jadi-jadian," Mat Prai membuat ramalan. Datuk gelengkan kepala.
"Mana ada kelawar makan darah manusia," sanggah Mat Prai membantah gelengan kepala Datuk. Saya hanya diam saja tetapi, tidak melupakan tugas untuk membaling reranting kering ke dalam api yang marak.
"Siapa kata tak ada kelawar makan darah," kata-kata Datuk itu membuat saya cemas dan takut. Bulu roma terasa tegak berdiri. Saya mula dongakkan kepala ke langit mengawasi kalau ada kelawar berterbangan di udara. Saya dan Mat Prai berpandangan.
"Dalam satu kumpulan kelawar yang terbang malam, salah seekor darinya terdapat yang menghisap darah manusia dan binatang, bentuknya besar, kukunya berbentuk macam kuku harimau, taringnya tajam yang di bahagian hujung nampak kehitam-hitaman, kelawar jenis ini memang merbahaya dan jahat. Dia terbang malam antara pukul dua belas malam hingga tiga pagi, masa dia terbang tu, kalau jumpa binatang ternakan atau manusia dia terus menyerang," Datuk memberi penerangan.
PENERANGAN
Selesai saja memberikan penerangan, dua ekor kelawar terus menerkam ke arah batang leher Datuk. Kedua belah tangan Datuk bergerak pantas menghalang hajat kelawar itu.
"Uhhh...," jerit Datuk. Dia terus melompat sambil menyambar ranting di bumi. Dengan ranting itu Datuk memukul ke arah kedua ekor kelawar serentak. Pukulan Datuk tepat pada sasarannya. Dan kedua kelawar terus jatuh ke dalam api yang marak.
"Kamu berdua ikut aku," Datuk renung muka saya dan Mat Prai. Kemudian kami mengaturkan telapak kaki mengikut langkah Datuk. Memang itu yang kami harapkan. Makin hampir ke pondok, makin jelas dan lantang kedengaran suara Pak Imam membaca ayat-ayat suci di malam yang hening, memburu ke fajar menyingsing. Saya sudah membuat keputusan untuk membentang pada Datuk tentang peristiwa aneh yang dialami. Sebaik-baiknya perkara itu, diceritakan bila sudah berada di pondok di depan Pak Imam. Bercerita sambil berjalan tidak sesuai.
"Kamu berdua jumpa ular dan kura-kura?"
Saya terkejut dan segera memalingkan muka ke arah Mat Prai, ternyata dia tergamam. Masih di jalanan Datuk sudah menyoal, apakah dia yang mengadakan semuanya itu untuk menguji keberanian kami. Timbul pertanyaan dalam diri saya. Datuk berhenti melangkah.
"Cakap, apa yang kamu alami tadi? Kamu jumpa ular dan kura-kura?" Datuk tatap wajah saya dan Mat Prai, sambil menarik nafas saya renung ke arah pondok yang di cerahi oleh lampu minyak tanah. Saya nampak Pak Imam terbongkok-bongkok membaca al-Quran.
"Ya, kami jumpa benda-benda yang Datuk sebutkan itu dalam pondok, kami tak tahu dari mana datangnya," saya memberikan pengakuan pada Datuk. Saya lihat orang tua itu meraba-raba pangkal dagunya yang dirajai janggut. Dia kelihatan cukup tenang.
"Dari mana benda-benda ganjil itu datang tuk?" tanya saya lagi.
"Aku sendiri tak tahu."
"Tapi, macam mana Ayah Alang tahu benda-benda tu datang ke tempat kami," Mat Prai pula mengajukan pertanyaan. Datuk termenung sebentar, barangkali dia merasa sukar untuk memberikan jawapan. Datuk atur langkah kembali. Perjalanan yang terhenti disambung kembali.
"Pada mulanya aku tak tahu, aku datang ke situ kerana aku nampak api," tanpa diduga Datuk bersuara. "Masa aku sampai tadi, aku nampak ada sisik ular dan bekas kaki kura-kura," sambung Datuk. Cukup teliti Datuk mengawasi sesuatu tempat.
"Kerja siapa semuanya tu tuk?" tanya saya lagi.
"Kerja orang yang bertuankan iblis syaitan."
"Jadi kura-kura dan ular tu benda jelmaan," cukup pantas Mat Prai menyoal, dia mempercepatkan langkah hingga berada di depan Datuk. Perbuatannya itu memang tidak wajar dan Datuk memerintahkan Mat Prai supaya berjalan di belakang. Perintah segera dipatuhi.
"Bukan jelmaan Mat Prai."
"Kalau bukan jelmaan, apa dia Ayah Alang?"
"Perbuatan sihir."
Ayah Alang tahu orang yang jadi tukang sihir tu."
"Agak-agaknya, aku tahu, orang jahat tu tak lain tak bukan ialah..." Datuk tidak dapat menamatkan percakapannya. Sepotong kayu yang panjangnya kira-kira dua kaki meluru ke arah depan. Datuk tidak dapat mengelak dan kayu itu tepat mengenai telinga kirinya.
Datuk berpusing-pusing dan bahagian yang terkena kayu itu kelihatan bengkak dengan segera. Datuk hampir mahu jatuh, mujurlah Mat Prai bertindak segera. Badan Datuk terus di pangkunya dan dibaringkan di pangkal pokok. Setelah diberi bantuan tenaga Datuk pulih dengan serta merta. Datuk terus bangun sambil meraba di tempat yang bengkak.
"Syukur pada Allah kerana aku tak luka, kena sikit aje, sampai di pondok boleh diubat," ujar Datuk tenang dan memulakan langkah yang terhenti.
"Memang kamu handal orangnya."
Serentak Datuk, Mat Prai dan saya menoleh ke kanan. Seorang lelaki dengan seluar dan baju hitam berdiri di situ. Kepalanya diikat dengan kain merah. Di tangan kanannya terlekap sebatang lembing yang matanya dibuat dari buluh kuning yang sudah dikeringkan. Orang itu, tidak lain tidak bukan ialah Suhaimi Keraba.
"Saya tidak handal, saya minta perlindungan dari Allah yang menjadikan kita semua. Saya tak suka orang membesar-besarkan saya macam tu," tutur Datuk penuh hormat.
"Ya, tak mengapa, lain waktu, lain masa kita bertemu lagi. Cuma saya nak ingatkan awak jangan seretkan orang lain dalam hal kita ini, jangan babitkan Pak Imam."
"Saya tak babitkan sesiapa, saya cuma minta bantuan dari orang yang berilmu."
"Sudahlah, jangan berdalih, jangan banyak cakap, haaaaa," Suhaimi Keraba menerkam ke arah Datuk, secepat kilat dia menghayunkan batang lembing ke kepala Datuk. Nasib baik Datuk tunduk, batang lembing terkena pokok duku. Batang lembing patah dua, tetapi matanya melayang ke arah saya. Walaupun saya sempat mengelak, tetapi hujung siku saya terkena juga.
Kami bertiga terdengar suara orang ketawa. Suhaimi Keraba tidak kelihatan lagi beberapa batang pokok di sekeliling kami bergegar seperti digoyang orang. Datuk tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku di kawasan sekitar. Dia menggesa kami mempercepatkan langkah agar segera sampai ke pondok.
Bila melihat kami terpacak di halaman pondok, Pak Imam berhenti membaca al-Quran. Dia segera membuka kaca mata putih yang terlekap di muka. Dengan tenang Pak Imam menutup al-Quran. Kaca mata putihnya yang tebal diletakkan di sebelah kanan. Pak Imam merenung tepat ke arah Datuk.
"Dari rupa awan dan kedudukan bintang di langit, memang dah pukul dua lebih," Datuk bersuara tenang.
"Masa kamu tak ada tadi, macam-macam yang datang kacau aku, ada ular berkepala dua, ada lipan bara yang besar dan macam-macam lagi bermain di depan aku," Pak Imam menyampaikan berita.
"Itu hanya ujian," balas Datuk dengan senyum.
"Berdebar juga hati kita dibuatnya," Pak Imam mengakhiri kata-katanya dengan ketawa kecil yang memanjang. Saya dan Mat Prai berpandangan. Datuk terus menuju ke perigi. Datang kembali dengan wajah yang basah.
Datuk terus basuh kaki. Dia naik ke pondok. Giliran saya pula basuh kaki dan naik ke pondok lalu duduk bersila di sisi Datuk.
"Dah ambil air sembahyang, Tamar?"
"Buat apa? Bukan nak sembahyang," saya menjawab.
"Baca Quran, faham," nada suara Datuk cukup keras. Saya mula menggelabah. Saya renung ke arah Mat Prai yang sudah duduk tertenggek di mata tangga. Sesekali terdengar deru angin.
"Pergi ambil air sembahyang," Datuk mendesak.
Saya jadi serba salah, saya memang takut untuk pergi ke perigi. Dalam keadaan yang takut, saya cuba berlagak berani di depan Datuk. Saya bercadang, bila sudah sampai di halaman pondok, saya akan mengajak Mat Prai menemani saya. Saya terus melangkah ke bibir tangga.
"Tamar."
Saya berhenti melangkah. Perlahan-lahan saya toleh ke arah Datuk dan Pak Imam. Mereka sudah pun membuka al-Quran. Dada saya terus berdebar tanpa sebab.
"Kenapa tuk?"
"Kamu pergi ke perigi seorang diri, jangan ajak sesiapa jadi kawan kamu, faham."
"Haaaa..." cuma itu saja yang terkeluar dari kelopak bibir saya. Sepasang kaki terasa lemah untuk melangkah. Ini satu penyeksaan yang amat kejam. Kenapa Datuk bertindak demikian pada saya? Dia mahu menguji saya? Mahu mengajar atau mahu menyeksa? Itu pertanyaan yang berbunga dalam hati, tetapi, tidak berani saya keluarkan untuk didengar oleh Datuk.
"Kau nak kutip buah durian Tamar?"
"Tak." Serentak saya gelengkan kepala.
"Kau nak ke mana?" "Nak ke perigi nak ambil air sembahyang," saya tepis tangan Mat Prai. Ketika itu juga saya terdengar suara Datuk berdehem. Tanpa mempedulikan sama ada Mat Prai tersinggung atau tidak saya terus menuju ke perigi.
Dalam rasa takut dan cemas, saya dapat menyempurnakan mengambil air sembahyang. Sekurang-kurangnya dapat yakinkan Datuk bahawa saya bukanlah seorang yang penakut. Waktu saya mahu melangkah menuju ke pondok semula, tanpa diduga saya terpandang sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih separas bahu. Saya terus membaca surah Al-Ikhlas dalam keadaan yang tidak teratur.
Lembaga yang dibalut dengan kain putih semacam mayat itu, bergerak dalam keadaan terlompat-lompat. Saya renung ke arah kepalanya. Ternyata, wajahnya tidak berapa jelas kerana ditutupi rambut hitam yang lebat.
Tiba-tiba rambut hitam lebat itu terselak bagaikan ditolak sesuatu. Separuh berada di telinga kanan dan separuh lagi di telinga kiri.
Oh! Tuhan mukanya amat menakutkan. Dari bibir atas sebelah kanan dan kiri terjulur gigi (siong) yang besar dan panjang melebihi dagu. Kedua belah telinganya macam telinga monyet terlalu kecil dan hampir tidak kelihatan. Tidak mempunyai hidung dan dahi. Matanya tersembul macam mata udang, merah seperti bara.
"Engkau tentu tak kenal dengan aku."
Saya pasti, suara itu datang dari lembaga aneh yang berbalut kain putih. Tetapi, kelopak bibirnya tidak bergerak. Dari mana suara itu keluar? Timbul pertanyaan dalam diri saya.
"Cakap, kau kenal atau tidak dengan aku?"
Lembaga ganjil mengajukan pertanyaan. Dan kali ini, saya kira suara itu keluar dari telinga sebelah kirinya.
Cara yang paling berkesan untuk memastikan suara itu keluar dari telinga, saya harus mengadakan dialog kecil dengan lembaga ganjil yang tidak di undang.
"Saya kenal," kata saya.
"Kalau kamu kenal, sila ceritakan tentang diriku," sanggah lembaga putih, dalam kesempatan itu saya arahkan sepasang biji mata ke arah telinganya. Apa yang saya ramalkan memang tepat.
Sudah jelas, lembaga itu berkata-kata melalui telinga. Setiap kali kata diucap, daun telinganya bergerak dan dari lubang telinganya terpancar warna kuning yang memanjang. Bila suaranya terhenti, pancaran dari lubang telinga turut mati.
"Kamu syaitan yang dilaknat Allah, suka mendampingi manusia dengan tujuan membawa manusia ke jalan kamu," kata saya memberanikan diri.
"Kamu salah, aku datang kepada kamu untuk memberikan kebaikan."
"Kebaikan?" kata saya terkejut.
"Ya," katanya tegas, "Kau cuma tengok rupa aku yang buruk tapi, kau tidak tahu hati aku baik, sesuatu yang aku berikan pada manusia adalah dengan rela hati," tambahnya.
Saya termenung sejenak, ketika itu saya merasai diri berada di alam lain, bukan di kawasan perigi. Sekitar saya, terdapat pepokok bunga yang beraneka bau yang amat harum.
Ada aliran sungai yang datang dari gunung. Airnya cukup jernih. Tersergam sebuah rumah berbentuk Minangkabau. Ada suara seruling mendayu-dayu dan rama-rama terbang rendah. Cuaca sekitar terang benderang.
"Engkau tentu suka dengan apa yang kau lihat," lembaga aneh bersuara. Keadaannya kini sudah berubah, wajahnya tidak menakutkan. Dia kelihatan seperti manusia biasa. Badannya dibalut dengan pakaian cara orang Arab. Kepalanya dibalut dengan serban yang bersambung dengan jubah yang dipakai.
Semua kain yang dipakainya berwarna hijau. Di tangan kanannya ada tongkat dari rotan semambu. Buah tasbih sebesar buah pinang disangkutkan di bahu kanan.
"Kamu mahu memperdayakan aku," saya membantah.
"Kamu silap," sahutnya dengan senyum memperlihatkan wajahnya yang tampan. Berkulit putih dan berhidung mancung. Ada mirip orang Arab.
"Aku mahu memberikan kamu sesuatu yang baik dan bermakna, kekayaan dan perempuan, kau lihat di sana," dia meluruskan telunjuknya ke arah rumah berbentuk Minangkabau.
Di halaman rumah itu, terdapat tujuh gadis yang berwajah cantik. Mereka memakai pakaian yang amat jarang sekali.
RANGSANG
Gerak-geri mereka memberikan rangsangan berahi kepada saya. Sebagai seorang teruna, sudah pasti perasaan saya tergugat dengan kecantikan tubuh dan rupa lawan jenis saya. Dua tiga kali saya mengeluh dan menelan air liur. Ketujuh-tujuh gadis itu sengaja mengangkat kain yang dipakai hingga ke paras pangkal paha. Saya terus urut dada.
Di kaki tangga rumah tersusun berpuluh-puluh tempayan serta peti-peti kayu yang berwarna kemerah-merahan. Tempayan dipenuhi dengan syiling manakala peti-peti kayu penuh dengan wang kertas.
"Bagaimana? Kau tak mahu semuanya ini?"
"Tak mahu, kau cuba menjerat aku."
Orang berpakaian hijau terus ketawa. Tasbih sebesar buah pinang terus digerak-gerakkannya. Saya sudah lupa dengan Pak Imam, Datuk dan Mat Prai. Saya berada dalam satu dunia yang sungguh menakjubkan.
"Kalau mahu kaya, kau jadilah muridku, kalau kau mahu muda seumur hidup, kau hanya perlu tidur dengan gadis-gadis di depan kamu selama tujuh malam berturut-turut, setiap malam kau bawa seorang ke rumah dan begitulah seterusnya. Selain dari itu kau harus mencari tujuh gadis lain dan perdayakan mereka," lanjut lelaki berjubah hijau. Penuh semangat dia memberikan penjelasan.
"Terima kasih, saya tak mahu semuanya itu," ungkap saya tegas.
"Kau tak rasa menyesal?"
"Tidak."
"Apa kau tak mahu jadi macam Suhaimi Keraba yang tidak dimakan tua, tidak dimakan sebarang senjata api atau besi."
"Tidak."
Orang berjubah itu menutup mukanya dengan kain hijau. Dia ketawa gamat. Kemudian perlahan-lahan membuka kain hijau. Keadaannya segera berubah, wajahnya kembali hodoh dan sekujur tubuhnya dibalut dengan kain putih.
"Engkau menolak pemberian Khalifah kami, engkau mesti menerima celakanya, kamu tahu? Suhaimi Keraba adalah anak murid Khalifah kami. Apa yang ditawarkan kepada kamu adalah jalan damai antara kami dengan Datuk kamu," lembaga ganjil terus bersuara.
Saya termenung sejenak. Dua tiga kali buka tutup kelopak mata. Entah berapa kali pula saya gosok mata dengan telapak tangan. Sekarang sudah jelas, saya tidak lagi berada di alam fantasi. Saya dapat melihat sinar pelita di pondok. Suara Pak Imam dan Datuk terus mengalun mengisi ruang malam dengan ayat-ayat suci.
Mat Prai kelihatan masih mundar-mandir di depan pondok. Bunyi buah durian gugur bertalu-talu.
"Apa boleh buat, kamu menolak damai dari kami," cetus lembaga itu. Pada saat itu saya lihat rambutnya yang hitam bertukar menjadi warna kuning tembaga. Di mukanya, di bahagian hidungnya terdapat beribu-ribu ulat, sebesar ulat daun pisang. Ulat-ulat itu bergerak menuju ke lubang mata dan lubang telinga. Beberapa ekor ulat bergerak atau bergantungan pada gigi besarnya yang terjulur.
"Huh...," lembaga itu mendengus dan sekali gus terus menghilangkan diri. Tempatnya segera digantikan oleh batang tubuh Suhaimi Keraba. Mata Suhaimi Keraba merenung tajam ke arah saya.
"Kamu menolak seruan Khalifah aku di muka bumi," ucap Suhaimi Keraba.
"Khalifah gila," kata saya.
"Ertinya, kamu mahu bermusuh dengan kami. Aku susah bertindak kerana kamu membabitkan Pak Imam dari kampung ini. Datuk kamu sial," Suhaimi Keraba terus mengutuk Datuk dengan sewenang-wenangnya. Saya jadi marah.
"Kamu sesat, kamu jadi hamba syaitan, kamu pengisi neraka jahanam," saya terus meledakkan kemarahan.
Tindakan saya itu membuat Suhaimi Keraba marah. Dia terus menarik buluh kuning yang terselit di pinggangnya. Buluh kuning berukuran kira-kira satu hasta itu dilontarkan kepada saya. Kerana sudah tahu langkah dan atur silat yang dipelajari dari Datuk, saya segera memanfaatkannya, saya dapat mengelak.
Buluh kuning yang dilontarkan pada saya terkena pangkal pohon langsat. Api terus marak setinggi berdiri di pangkal pokok langsat. Saya terus menjerit dengan sekuat hati.
LANGKAH
Saya buka langkah lalu lari menuju ke pondok. Suhaimi Keraba terus ghaib serta merta. Saya tidak tahu ke mana dia menghilangkan diri. Tercungap-cungap saya berhenti di kaki tangga, buat beberapa ketika.
Saya terus duduk di anak tangga tanpa mempedulikan Mat Prai yang dua tiga kali mengelilingi saya. Dia berusaha menarik perhatian saya dengan harapan saya akan menegurnya.
Bila saya buat tak kisah, Mat Prai seperti berputus asa dan terus duduk di bumi. Angin malam yang bertiup terus menggugurkan buah durian. Bila rasa penat sudah hilang, saya terus basuh kaki dan naik ke pondok. Datuk berhenti baca Quran.
"Kenapa macam orang kena kejar aje Tamar?"
Pertanyaan yang Datuk kemukakan itu membuat saya berada di dalam serba salah. Apakah perlu saya menjawabnya? Kalau dijawab apakah Datuk percaya dengan apa yang saya ceritakan padanya?
"Kenapa Tamar?" ulang Datuk lagi. Kali ini sepasang matanya tertumpu ke wajah saya. Belum pun sempat saya menjawab Datuk terus bersuara:
"Kamu jumpa benda-benda pelik."
Kitab Kejahatan
Saya tergamam. Memang tidak saya duga Datuk akan mengemukakan pertanyaan-pertanyaan sedemikian. Rasa cemas masih menguasai rongga dada saya.
"Kamu jumpa benda-benda pelik?"
Datuk terus sergah, bila melihat saya dalam keadaan tidak tentu arah. Saya segera menoleh ke kiri dan ke kanan.
"Cakap Tamar!" Gertak Datuk.
"Ya tuk, ya saya lihat," bertalu-talu saya anggukkan kepala macam burung belatuk tebuk lubang.
"Tak mengapa," nada suara Datuk merendah. Hati saya terasa damai, "perkara semacam tu memang tidak boleh dielakkan," sambung Datuk. Saya merenung ke arah Pak Imam yang sudah pun menutup Al-Quran.
Pak Imam segera alihkan pandangan ke arah Datuk. Bunyi buah durian luruh terus mengasak lubang telinga saya. Angin yang bertiup terasa cukup dingin sekali bila menyentuh kulit muka.
"Sudah, lupakan semua tu," Datuk tatap wajah saya.
"Ya, lupakan," sahut Pak Imam sambil menghulurkan Al-Quran kepada saya.
"Kau ambil dan kau baca," Datuk keluarkan arahan setelah melihat saya agak ragu-ragu mahu mengambil Quran yang dihulurkan oleh Pak Imam. Saya tidak boleh mengelak lagi. Sila pun saya kemaskan. Naskhah Al-Quran sudah pun berada di tangan. Dan papan rehal segera Datuk letakkan di hujung lutut saya.
"Kau bacalah Tamar, saya nak tidur sekejap," ujar Pak Imam. Segera saya renung ke arah Datuk. Dia anggukkan kepala.
“Orang yang membaca Al-Quran dijauhi syaitan,” tutur Datuk lembut bersama senyuman. Bila Datuk berkata demikian, ertinya dia menyuruh saya mematuhi permintaan Pak Imam.
“Mulakan, tunggu apa lagi,” terdengar suara Mat Prai dari halaman. Entah berapa kali dia berlegar-legar di halaman pondok macam kucing jantan ketagih kucing betina. Serentak Datuk dan Pak Imam merenung ke arah Mat Prai.
“Cuba kau duduk diam,” Datuk luahkan kata-kata untuk Mat Prai.
“Kalau duduk diam, badan terasa sejuk. Bila berjalan macam ni terasa panas,” dalih Mat Prai. Pak Imam menarik nafas panjang dan Datuk senyum sinis.
Bila saya memulakan bacaan Al-Quran (sebenarnya menyambung pembacaan Pak Imam), saya lihat Pak Imam segera rebahkan badan ke lantai. Datuk terus berdiri untuk memulakan sembahyang sunat malam.
Selesai saja Datuk menyempurnakan sembahyang sunat malam, dia terus sandarkan belakang ke tiang pondok. Saya sudah faham, bila Datuk berbuat demikian menandakan yang dirinya amat mengantuk. Beberapa saat kemudian, Datuk terus berdengkur. Saya terus membaca Quran dengan tenang. Buah durian yang cukup masak terus jatuh ke bumi.
Mat Prai tidak mahu naik ke pondok. Masih berlegar-legar di halaman pondok. Setiap kali dia terdengar bunyi buah durian gugur, keadaannya menjadi tidak tenang dan tenteram.
“Hummmmm…”
Saya terkejut hingga Quran di depan tertepis ke kiri. Mat Prai melompat empat anak tangga dan terus duduk bersila di depan saya. Dengan rasa cemas dan hairan saya ambil Quran yang tertangkup di atas lantai.
“Kenapa?” Tanya saya.
Mat Prai tidak menjawab, malah bergerak menuju ke arah Datuk. Bahu kanan Datuk digoyangkan beberapa kali. Datuk membuka kelopak mata.
“Kamu minta kebenaran dari aku supaya Tamar menemani kamu mengutip buah durian,” itu yang Datuk luahkan dari mulutnya. Pak Imam yang tidurnya terganggu terus menggosok-gosok mata. Renung kiri, renung kanan. Akhirnya menatap muka Mat Prai.
“Ya, memang itulah niat hati saya Ayah Alang”.
“Tak boleh kutip durian yang gugur,” tiba-tiba Pak Imam bersuara. Saya terkejut. Apa hak Pak Imam melarang Mat Prai mengutip buah durian kepunyaannya. Barangkali Pak Imam juga tidak jujur. Mungkin dia ada maksud tertentu.
“Kenapa tak boleh Pak Imam?” Soal saya.
“Yang jatuh tu bukan buah durian tapi …” Pak Imam tidak meneruskan kata-katanya. Dia merenung ke arah Datuk. Saya lihat Datuk anggukkan kepala. Bagaikan faham dengan renungan Pak Imam.
Mat Prai terdiam. Saya pula menanti komentar yang bakal diluahkan oleh Datuk. Bila sudah demikian, suasana dalam pondok terasa sepi tetapi deru angin malam tetap kedengaran menyentuh dedaun dari pepokok yang tumbuh subur sekeliling pondok. Bunyi buah durian yang gugur kian galak, bertalu-talu bagaikan pohonnya digoncang orang.
“Betul kata Pak Imam tu,” Datuk bersuara, “ dia ada pengalaman dalam hal ini,” Datuk menguatkan hujahnya sambil merenung ke arah Mat Prai yang di dakap kehampaan. Pak Imam alihkan pandangan ke luar, melihat kegelapan malam yang pekat. Dia segera menarik nafas panjang.
“Pak Imam ni, dari kecil hingga tua berkubang dalam dusun durian. Dia dah masak dengan pokok durian. Begitu juga dengan buah dan kulitnya, dari bau durian dia dah dapat meneka sama ada buah durian itu baik atau sebaliknya,” sambung Datuk lagi.
“Jangan begitu memuji kita kawan,” Pak Imam menangkis dan Datuk terus ketawa kecil.
“Tapi, makin dekat waktu subuh, makin kerap buah durian yang gugur, bukan begitu Pak Imam,” setelah ketawa berakhir, Datuk segera menghujani Pak Imam dengan pertanyaan. Pak Imam tidak menjawab, seiring senyum dia anggukkan kepala.
RESAH
Saya lihat Mat Prai terus resah. Mungkin dalam kepalanya dia menghitung betapa ruginya kalau buah-buah durian yang gugur itu tidak dikumpulkan. Mungkin juga dia bimbang buah duriannya dicuri orang.
“Hisss…,” Mat Prai terus bangun. Semua biji mata tertumpu ke arahnya.
“Kalau kita dengar tu bukan durian, agaknya buah hantu yang jatuh,” tokok Mat Prai meluahkan gelodak hatinya. Datuk senyum dan Pak Imam urut pangkal dagunya dua tiga kali. Mat Prai duduk kembali.
Bunyi buah durian gugur tetap berterusan. Muka Mat Prai terus berkerut.
“Dalam hidup ini, kalau tamak selalu rugi dan mudah dipermainkan oleh nafsu sendiri. Jadi kamu tak usahlah tamak, Pak Imam tatap wajah Mat Prai setelah meluahkan sebuah sindiran.
“Saya Cuma nak tahu buah apa yang jatuh tu, Pak Imam,” Mat Prai berdalih menutup kelemahan diri sendiri. Pak Imam tunduk merenung lantai pondok.
Deru angin malam terus mengasak lubang telinga. Kedinginan bagai tidak puas-puas menggigit kulit tubuh. Penuh debar saya menantikan kata-kata yang bakal diucapkan oleh Pak Imam untuk Mat Prai. Saat yang saya nantikan itu pun tiba.
“Kalau kamu nak tahu, buah durian tidak jatuh berturut-turut,” Pak Imam terus tatap batang hidung Mat Prai. “Ada jarak atau perbezaan masanya terutama buah yang sederhana. Nak tahu masa jaraknya tu, kau kena belajar dari orang yang berpengalaman dalam hal ini,” sambung Pak Imam lagi.
“Betul ke begitu Pak Imam?” Tanya Datuk lagi.
“Ya,” Pak Imam mengangguk.
“Dari mana Pak Imam belajar?” Soal Datuk lagi.
Saya lihat Pak Imam termenung sejenak. Matanya merenung ke luar. Macam ada sesuatu yang dicarinya di kedinginan malam yang mengejar siang.
“Belajar dari pengalaman sendiri. Kita dengar bunyi buah durian gugur lebih dari seratus biji. Padahal buah durian yang betul-betul jatuh tak sebanyak itu. Kalau tak percaya pergi tengok sendiri,” tutur Pak Imam bagaikan mencabar Mat Prai.
“Betul ke ni, Pak Imam?” Datuk memohon kepastian.
“Dari pengalaman lalu saya, begitulah,” penuh keyakinan Pak Imam memberikan kata putus.
Mat Prai yang sejak tadi membisu, segera meluruskan kaki kanannya. Saya telan air liur sambil menarik nafas dalam-dalam.
“Kalau macam tu..” Mat Prai tidak meneruskan kata-katanya. Matanya menjadi liar, renung ke kiri dan ke kanan. Macam orang ketakutan. Dia benar-benar berada dalam rasa cemas.
“Yang kita dengar tu, tak ada apa-apa. Semuanya mainan makhluk halus untuk memperdaya kita, bukan begitu Pak Imam?” Secara mendadak Datuk bersuara. Ternyata kata-kata itu dipersetujui oleh Pak Imam. Buktinya, Imam tua itu terus anggukkan kepala.
“Ahhh..seram”.
Suara Mat Prai meninggi, dan semua yang berada di dalam pondok terkejut besar. Mat Prai meluru ke arah Datuk macam dikejar sesuatu.
“Saya mahu duduk dekat Ayah Alang,” Mat Prai mendekatkan tubuhnya dengan tubuh Datuk.
“Kenapa kamu ni, Mat?”
“Saya terasa seram sejuk, bulu roma saya tegak macam ada sesuatu yang duduk dekat saya”.
“Hissss itu perasaan kamu aje, Mat”.
“Ya, saya tak bohong Ayah Alang.”
“Duduk diam-dian di sini, jangan fikirkan buah durian,” kata Datuk lalu disambut dengan senyum memanjang oleh Pak Imam. Saya tidak memberikan sebarang komentar. Sesungguhnya, saya amat simpati dengan Mat Prai.
AYAM
Malam kian ke hujung, kokokan ayam mula mengendur. Dan pintu sudah pun terkuak. Di dada langit sebelah timur ada biasan cahaya cerah kemerahan. Sayup-sayup terdengar azan subuh dilaungkan, terpegun mengikuti irama dan alunan azan yang penuh syahdu.
Saya terasa diri ini amat kecil dan kagum dengan kebesaran Allah yang menciptakan langit dan bumi, menjadikan siang dan malam serta mencipta penghuni alam ini. Saya tersedu dalam kebesaran Allah itu.
“Kau menangis Tamar?”
Pak Imam terus menepuk bahu kanan saya. Dada terasa sebak mahu menjawab pertanyaannya itu. Saya berusaha dengan sedaya upaya mengawal emosi hingga perasaan saya jadi tenang.
“Saya terasa diri ini terlalu kecil, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan pada saya tetapi, ada kalanya saya terlupa dengan nikmat itu,” tutur saya dengan nada suara tertahan-tahan.
“Syukurlah kamu sudah menyedarinya, sesungguhnya apa yang ada pada kita ini Tamar adalah hak Allah. Bila sampai masanya nanti hak itu akan diambil-NYa. Jika hak yang diberikan tidak digunakan untuk kebaikan bagi mencari bekal untuk hari akhirat, alangkah ruginya hidup ini, Tamar,” saya telan kata-kata yang dituturkan oleh Pak Imam dengan penuh kesedaran.
“Bangun, bangun, tadi takut semacam, bila dah tidur semuanya hilang. Kamu ni mengarut betul Mat,” saya segera toleh ke arah Datuk yang menggoncang-goncang tubuh Mat Prai.
“Kita nak ke mana, Ayah Alang?” Mat Prai segera gosok kelopak mata dan menguap.
“Tak ke mana-mana. Pergi ambil air sembahyang, kita nak sembahyang jemaah di sini,” lanjut Datuk dengan tenang. Mat Prai renung ke arah saya.
“Kau tak ambil air sembahyang Tamar?” Itu yang diucapkan oleh Mat Prai bila biji matanya bertemu dengan biji mata saya.
“Air sembahyang aku tak batal lagi,” balas saya.
“Saya takut nak pergi ke telaga seorang diri.”
“Ikut saya,” Pak Imam tawarkan diri.
“Saya juga nak ke telaga,” celah Datuk lalu bangun.
“Jadi, saya tinggal seorang di pondok ni,” saya luahkan rasa bimbang, bagaikan ada kuasa tertentu memaksa saya berdiri.
“Tak usah banyak cerita, kau tunggu aja di sini. Tak ada apa yang nak ganggu kamu,” Datuk memberikan isyarat tangan menyuruh saya duduk. Tanpa banyak cakap, saya terus duduk.
Mat Prai, Pak Imam dan Datuk melangkah selari menuju ke perigi. Saya hanya memandang saja. Tidak berani membuat bantahan atau rayuan. Oleh kerana Mat Prai menjadi kepala jalan, lampu minyak tanah berada padanya. Cahaya lampu minyak tanah itu dapat saya lihat. Sekejap cahayanya terang, sekejap malap. Quran sudah lama saya letakkan di dalam beg Datuk. Sementara menantikan kepulangan mereka dari perigi, saya terus membaca beberapa ayat-ayat pilihan Quran.
“Kamu seorang sahaja?”
Suhaimi Keraba muncul dari sebelah kanan saya. Dia membawa buku tebal. Kali ini pakaian yang menutup tubuhnya amat berbeza sekali. Dia memakai baju labuh macam pakaian orang Arab. Ada serban terletak atas kepala dan ada kain selendang membalut sebahagian dari dadanya. Saya kira dia berbuat demikian untuk menghindari rasa sejuk di dadanya.
“Kamu seorang aje?”
Suhaimi Keraba ulangi pertanyaan yang tidak saya jawab. Kelopak mata kirinya nampak bergerak sekali dua. Saya kira dia tahu yang saya terkejut atas kedatangannya di subuh yang dingin. Dia merasa hujung serbannya jatuh atas bahu.
“Ya, saya seorang saja,” balas saya tenang.
“Dah sembahyang Subuh?”
“Belum lagi.”
“Katakan beriman dan taat pada agama, kenapa dah masuk waktu sembahyang tak sembahyang lagi,” dalam wajah yang manis, Suhaimi Keraba menyindir saya.
KOKOK
Sesekali terdengar kokok ayam. Kabus subuh mula bangkit dan menguasai ruang udara dusun durian. Saya terus menggeletar bila sepasang mata Suhaimi Keraba bertemu dengan mata saya. Pondok terasa bergegar dan saya seperti terdengar dentuman yang kuat, membawa seluruh fikiran dan ingatan saya berada di dunia lain. Dalam samar-samar itu saya terpandangkan Suhaimi Keraba menghulurkan kitab yang dibawanya kepada saya. Saya tidak mahu menjamah kitab yang dihulurkannya. Saya bagaikan terlihat api di permukaan kulit kitab tersebut.
“Ambillah, kitab ini akan membawa kamu kepada kesejahteraan dan kesempurnaan hidup,” tuturnya.
“Tidak, tidak.”
“Jangan begitu, ambillah,” Suhaimi Keraba mendesak.
Dia sengaja mendekatkan kulit kitab itu ke telapak tangan saya. Dengan sedaya upaya, saya terus berusaha agar tidak tersentuh. Dalam saat-saat cemas itu, saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran. Di samping itu saya berusaha membuka bunga silat dengan harapan salah satu dari buah silat yang saya lepaskan akan terkena pergelangan tangan Suhaimi Keraba.
“Aduh,” jerit Suhaimi Keraba.
Usaha saya tidak menjadi sia-sia. Buah kelima dari silat harimau tepat pada sasarannya. Kitab di tangan Suhaimi Keraba terdampar atas lantai. Anehnya Suhaimi Keraba tidak memperlihatkan kemarahan. Dia masih mahu menghulurkan persahabatan. Suhaimi Keraba merenung ke arah perigi.
“Mereka dah datang, biarlah aku balik dulu,” dalam senyum Suhaimi Keraba meluahkan kata-kata. Hati remaja saya terus di gelodak kemarahan. Suhaimi Keraba mempermainkan saya.
“Kamu tahu, aku tak sendirian di sini?”
“Ya.”
“Kalau begitu, kenapa kau bertanya?”
“Bukankah kepuraan itu memang amalan hidup aku,” lanjut Suhaimi Keraba. Dia anggukkan kepala lalu melangkah meninggalkan saya sendirian.
Atas permintaan Pak Imam, Datuk diminta menjadi imam solat Subuh. Tidak menjadi keberatan untuk Datuk melaksanakannya. Setelah selesai bersolat dan berwirid, Datuk terus mandi embun serta melakukan silat untuk menegangkan urat sendi. Pak Imam hanya melakukan senaman tradisional. Mat Prai terus memikul raga besar untuk mengutip buah durian.
“Ke mari kejap kawan.”
Pak Imam bersuara lantang dari atas pondok. Datuk tidak meneruskan silatnya. Dan saya berhenti dari melihat buah-buahan di hujung dahan.
“Ikut aku Tamar.”
“Baik, tuk.”
Tidak sampai beberapa detik, saya dan Datuk sudah pun berada di dalam pondok. Berdiri dekat Pak Imam. Mata kami tertumpu ke arah buku tebal atas lantai. Saya tahu itulah buku atau kitab yang Suhaimi Keraba mahu berikan kepada saya. Anehnya buku atau kitab itu tidak kelihatan tadi. Kenapa baru sekarang kitab itu menjelma?
“Siapa punya? Agaknya kawan yang punya,” Pak Imam renung ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk gelengkan kepala.
“Agaknya cucu kawan saya punya.”
“Saya tahu, cucu saya tak baca buku macam tu. Tulisannya bercampur-campur, sekali pandang macam tulisan Siam dan Urdu. Jika tengok lama-lama tak ubah macam tulisan sastera Hindu kuno, bahasa Sanskrit,” jelas Datuk. Biji matanya tidak berkedip merenung kulit buku tersebut.
Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya berperang dengan perasaan saya sendiri. Wajarkah saya ceritakan apa yang terjadi kepada Datuk dan Pak Imam? Apa baik dan buruknya kalau perkara itu saya rahsiakan daripada mereka. Dalam saat saya tidak tahu membuat keputusan itu, bagaikan pancaran kilat sekujur tubuh Suhaimi Keraba dalam ruang mata saya.
“Kau anak yang baik, kalau kau dengar cakap aku, kau bahagia dan senang di dunia,” tutur Suhaimi Keraba.
“Aku tidak percaya dengan kamu,” suara batin saya menolak tetapi Suhaimi Keraba memberikan jawapan.
“Dengarlah sayang, kitab itu untuk kamu. Jika kamu ceritakan pada orang lain, apa yang kamu alami padahnya kamu tanggung sendiri,” dalam senyum Suhaimi Keraba memujuk di samping menyelitkan sebuah ugutan.
“Tidak,” terkeluar suara dari rongga dada saya. Pak Imam dan Datuk berpandangan. Mereka hairan, bagaimana saya termenung boleh berkata begitu. Pak Imam terus tepuk belakang saya. Saya tersentak, bagaikan terkejut dari tidur.
Dari telinga sebelah kanan, saya terdengar Datuk membaca surah Al-Fatihah sebanyak dua puluh kali, kemudian Datuk selawat nabi sebanyak tiga kali berturut-turut. Datuk hembuskan muka saya dengan nafasnya melalui lubang hidung. Buat beberapa saat, saya terasa fikiran saya melayang-layang tidak menentu. Dalam keadaan yang samar-samar itu saya lihat kitab di atas lantai. Kulitnya mula terbakar dan menjadi bara.
“Buku tu terbakar,” kata saya.
“Bertenang, cuba baca Qulya sampai habis, Tamar.” Bisik Datuk. Nada suaranya cukup lembut sekali. Kepala saya digosoknya penuh mesra. Saya pun membaca Qulya sampai lima kali berturut-turut.
“Cuba kau renung buku tu, Tamar.”
Saya segera dengar cakap Datuk. Saya tumpukan perhatian pada buku atas lantai.
“Cuba kau lihat betul-betul, Tamar, buku tu terbakar lagi?”
“Tak terbakar tapi berasap.”
“Cuba tengok dengan teliti, masa tengok tu ingatkan Allah, sebut nama-Nya sebanyak mana yang kau mampu,” bagaikan seorang guru, Datuk memberikan penerangan untuk saya. Lagi sekali, seluruh perhatian ditumpukan pada buku ganjil di atas lantai. Terdengar suara Pak Imam membaca sesuatu. Suara keluhan dari Datuk terus menyumbat telinga saya.
“Masih berasap lagi, Tamar?”
“Tidak,” tutur saya gugup.
“Dah pulih nampaknya. Kuat sungguh iblis di sini,” Pak Imam merungut. Datuk memperkemaskan silanya. Sinar matahari pagi mula melemparkan cahayanya ke dalam pondok. Kicau burung kedengaran di mana-mana. Mat Prai masih belum pulang dari memungut buah durian.
Datuk mempertemukan kedua belah telapak tangannya. Digodokkan berkali-kali sambil menahan nafas. Muka Datuk nampak merah semacam. Bila nafasnya dilepaskan, kedua belah telapak tangannya menampar lantai pondok. Datuk menerpa ke arah buku ganjil itu untuk disentuh.
“Jangan, kawan.”
Pak Imam menepis tangan kanan Datuk. Tentu saja perbuatan itu tidak disenangi oleh Datuk. Sebelum bersarang sebarang keraguan dalam kepala Datuk, Pak Imam segera menjelaskan.
“Maafkan kawan kerana bersikap kasar. Kitab tua tu tak boleh disentuh begitu saja, ada syarat tertentu.”
“Datuk terus sandarkan badan ke dinding. Dia hulurkan tangan pada Pak Imam. Mereka bersalaman sambil berpelukan. Tindak-tanduk mereka itu menggambarkan yang mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Menghormati ilmu yang ada dalam dada masing-masing.
“Kita tu, kitab Jawa kuno yang menyelitkan ilmu kebatinan dan keduniaan. Sepatutnya kitab tu mesti ada dua. Satu mengajarkan kebaikan dan menghancurkan kejahatan. Tapi yang di depan kita ni kitab yang mengajar kejahatan,” Pak Imam sedikit demi sedikit membuka rahsia dirinya yang kaya dengan keilmuan, mungkin dia lebih pandai dari Datuk. Apa yang pasti, orang tua yang kelihatan bersahaja itu bukan sebarang orang.
“Kitab siapa ni?” Datuk ajukan pada Pak Imam.
Perlahan-lahan Pak Imam angkat kepala merenung ke arah saya dengan senyum yang amat menyenangkan.
“Tanyalah si Tamar tu.”
Datuk segera renung ke arah saya. Belum pun sempat Datuk membuka “Suhaimi Keraba.”
“Memang tak salah dugaan saya. selama ini dia mengamalkan ilmu dari kitab salah ini, saat celakanya dah tiba,” Pak Imam gelengkan kepalanya.
UCAP
Tanpa mengucapkan sesuatu, Pak Imam menerpa ke halaman pondok. Dia jemur muka dan tubuh untuk beberapa saat. Dia bergerak di halaman pondok macam orang menari Kuda Kepang. Tanpa tangguh-tangguh lagi, dia tepuk bumi dengan tangan kiri dan terus bertinggung macam gerakan monyet dalam taridra Sang Hanuman dan Sita Dewi. Lebih dari lima minit Pak Imam membuat gerakan demikian, hingga badannya berpeluh. Pak Imam terus naik ke pondok. Datuk duduk di depan buku. Pak Imam bercakap dalam bahasa yang tidak saya mengerti.
“Tadi saya membaca mantera dalam bahasa Jawa kuno, menolak perkara yang tidak baik supaya tidak terkena badi syaitan,” terang Pak Imam.
Saya dan Datuk anggukkan kepala. Pak Imam terus jamah buku. Lembaran buku lama dibukanya sehelai demi sehelai. Sampai pada lembaran yang bertanda dakwat merah, Pak Imam terpegun. Dia terus membacanya dalam bahasa Sanskrit.
“Antara amalan yang telah dibuatnya ialah memperkosa anak sendiri, bertapa dalam gua dan memelihara Si Tunjing,” Pak Imam memberi penerangan.
“Si Tunjing, tu apa?” Tanya saya.
“Makhluk halus yang jadi suruhannya, apa yang kita dengar malam tadi, itu adalah perbuatan Si Tunjing,” Pak Imam berikan penjelasan.
“Saya tahu membaca tulisan ini kerana saya belajar dari arwah nenek saya yang berasal dari Bali,” lanjut Pak Imam lagi.
Mat Prai muncul di halaman pondok. Dia kelihatan hampa sekali. Tidak sebanyak mana buah durian yang dapat dikutipnya. “Sebahagian dari buah durian saya hancur, jadi macam kapur,” rungut Mat Prai. Dia seperti mahu menangis.
“Sabarlah, Mat,” pujuk Datuk.
“Mungkin esok perkara macam ni tak akan terjadi lagi. Engkau lain kali, kalau dapat rezeki lebih buatlah kenduri, sedekah fakir miskin dan berzakat. Kalau tanah ni kepunyaan bersama, jangan bolot sendiri,” Pak Imam memberitahu Mat Prai. Saya lihat Mat Prai anggukkan kepala.
Dalam sinaran matahari pagi yang beransur terik itu, Pak Imam sentuh kitab lama. Dicampakkan ke halaman pondok. Dalam beberapa saat saja kitab lama itu terbakar menjadi debu. Pak Imam tenung ke arah Datuk.
“Bila dia sudah tinggalkan kitab ini, ertinya dia tidak selamat lagi. Kalau mengikut petua, dia sudah berada di saat kematian. Mari ikut saya ke kampung Terang, ke rumah sahabat karibnya,” beritahu Pak Imam pada Datuk. “Buat apa ke sana? Nak tolong selamatkan dia?” soal Datuk lagi.
“Untuk memastikan benarkah dia dimakan sumpah ilmu salahnya,” jawab Pak Imam.
Akhirnya, Datuk dan saya bersetuju mematuhi cakap Pak imam kecuali Mat Prai yang mahu pulang ke rumahnya.
Hitam Separuh Badan
Mat Prai hilang dari pandangan mata dicelah-celah liku jalan. Saya jadi resah dan terus menyalahkan diri sendiri, kerana terburu-buru mematuhi cakap Pak Imam. Kalau ikut Mat Prai bukankah bagus. Boleh duduk rehat di rumahnya, boleh dengar radio.
"Eh, apa yang kau menungkan lagi."
Datuk tepuk bahu kanan saya. Cepat-cepat saya bangun dari duduk bertenggek di anak tangga pondok durian. Pak Imam sudah pun menyarungkan capal ke kaki dan melangkah beberapa tapak ke depan lalu berhenti di pohon langsat yang condong.
"Saya malas nak pergi tuk."
"Kenapa pula."
"Belum mandi, belum gosok gigi dah nak merayau ke rumah orang," saya melahirkan protes dalam keadaan yang cemas.
Datuk menatap wajah saya sejenak. Dia pamerkan air muka kurang senang terhadap saya. Datuk jegilkan biji mata, cepat-cepat saya buat muka kesian.
"Kalau macam tu, kenapa kamu tak ikut Mat tadi? Budak macam ragam! Usah nak banyak karenah, ikut saja ke mana aku pergi," aduh! nada suara Datuk cukup keras. Telinga Pak Imam dapat menangkap dengan apa yang diluahkannya.
Ketika itu juga saya terasa dahi diraupi oleh peluh-peluh halus.
"Mandi di rumah saya," Pak Imam menyelesaikan masalah.
"Budak ni, kadang-kadang mengada-ngada sikit, kita nak berikan dia pengalaman," Datuk terus merungut. Pak Imam anggukkan kepala. Saya tidak dapat berkata apa-apa.
"Mari," kata Pak Imam.
Saya dan Datuk pun mengekori langkah Pak Imam. Matahari pagi yang memancar memanah ke arah air embun di hujung dedaun. Nampak berkilau-kilau. Nyanyian unggas di hujung ranting amat rancak sekali. Dan rindu saya pada kampung laman terus membara. Saya terkenangkan nenek yang kasih sayangnya melimpah ruah. Saya jadi hiba dan hampir mahu menangis kerana rindu.
Saya menarik nafas dalam-dalam sambil menyingkirkan rasa hiba di hati. Saya teringat cakap nenek. Katanya, saya harus menjadi lelaki remaja yang keras hati, tabah dan sanggup menghadapi apa saja rintangan. Keras semangat dan kedekut dengan air mata.
"Ya, aku mahu jadi orang gagah."
Saya menjerit sambil menendang rumput lalang dan pokok-pokok renik di kiri kanan denai. Datuk dan Pak Imam berhenti melangkah. Mereka terkejut dengan tindak tanduk saya.
"Aduhhhhhhhhhh!"
Saya menjerit dan terus duduk atas bumi sambil mengangkat kaki kanan. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Datuk dan Pak Imam terus mengelilingi saya.
"Kenapa Tamar," soal Datuk.
"Saya tersepak tunggul buruk, tuk."
Datuk menghela nafas panjang-panjang sambil gelengkan kepala. Sepatu getah saya, jenis Fong Keong terus dibukanya. Dua tiga kali Datuk urut bahagian hujung jari kaki yang nampak kemerah-merahan.
Rasa sengal dan sakit terasa kurang dan akhirnya tidak terasa apa-apa. Saya sarungkan kembali sepatu getah warna kuning di kaki. Saya dongakkan kepala ke langit, melihat awan yang menipis dalam sinaran matahari pagi yang garang.
Bila saya berdiri, Datuk dan Pak Imam ketawakan saya. Mereka melihat tunggul tembusu yang saya sepak. Bahagian yang reput jatuh atas rerumput selaput alam.
"Kenapa kamu ni Tamar? Dah gilakah?" Datuk rening muka saya, "Menjerit macam oranghilang akal, kemudian sepak tunggul," tambah Datuk lagi.
"Kenapa Tamar, kau tak suka ikut kami?" tanya Pak Imam dengan nada suara yang lembut. Terlalu berat rasanya mahu menjawab pertanyaan tersebut.
Saya kira, tidak ada manusia yang mahu mengakui ketololannya secara terbuka. Jadi, memang wajar saya merahsiakan apa yang ada dalam hati. Tetapi, bersikap terus terang dan mengakui kebodohan sendiri, adalah sifat orang yang berjiwa mulia. Saya menggigit bibir dan membuat keputusan untuk jadi manusia yang berhemat tinggi, berjiwa mulia dan besar.
"Saya teringatkan cakap nenek yang mahukan saya jadi lelaki gagah dan berani," kata saya membuka rahsia hati.
"Jadi kamu pun menjerit dan tendang tunggul," pintas Pak Imam.
"Saya tak tendang tunggul, saya tendang lalang dan pokok-pokok kecil, entah macam mana saya tersepak tunggul," saya pertahankan pendirian.
"Kamu ni betullah, budak bangang," kata Datuk yang diakhiri dengan ketawa.
Dan ketawa yang berhenti itu dilanjutkan oleh Pak Imam untuk beberapa saat. Saya malu sendiri. Kulit muka terasa tebal.
"Nak jadi orang gagah dan berani, dada dan otak mesti diisi dengan ilmu dan pengalaman. Sudahlah, jalanlah cepat-cepat," Datuk mengeluarkan perintah.
Perjalanan yang terbantut disambung kembali. Celah ketiak dan celah kangkang saya terasa bergetah. Melangkah pun terasa tidak selesa. Beberapa orang kampung yang berselisih dengan Pak Imam di lorong sempit itu terus anggukkan kepala sambil mengucapkan salam.
RANTING
Akhirnya, kami sampai ke rumah Pak Imam. Datuk terus menuju ke arah rimbunan pepokok di bahagian belakang rumah. Datuk patahkan salah satu ranting dari rimbunan pokok itu.
"Untuk kamu Tamar."
Datuk campakkan ranting yang sudah dipatahkan kepada saya. Dengan tenang saya menyambarnya. Panjangnya lebih kurang enam inci.
"Sugikan gigi kamu," tutur Datuk lagi.
Tanpa membuang masa, hujung ranting yang keras itu saya gosokkan ke gigi. Apa yang saya lakukan itu, dilakukan juga oleh Pak Imam dan Datuk.
"Saya menyebutnya pokok sugi," Pak Imam memulakan cerita tentang pokok yang merimbun itu, "Seorang kawan yang pulang dari tanah suci memberi saya akar pokok itu, saya campakkan di situ. Entah macam mana terus tumbuh dan hidup subur," lanjut Pak Imam dengan rasa bangga.
"Boleh saya ambil akarnya sikit nak buat benih, saya nak tanam di belakang rumah," Datuk buat wajah selamba.
"Boleh, apa salahnya."
"Khasiatnya cukup banyak, gigi tahan lama dan nampak putih. Tak mudah diserang sakit dan bengkak gusi," bagaikan penjual ubat di kaki lima Datuk memberikan penerangan pada Pak Imam.
"Tak tahu pula saya pokok tu ada khasiatnya. Nampaknya mulai hari ini, saya terpaksa gosok gigi dengan dahan pokok tu," Pak Imam tersenyum ke arah Datuk.
Pak Imam mempersilakan saya dan Datuk duduk di anjung rumahnya. Kata Datuk, bentuk rumah orang Melayu di sekitar Balik Pulau, mirip dengan bentuk rumah orang Melayu di Jambi Sumatera. Pak Imam tidak merasa terkejut dengan pendapat Datuk itu. Alasannya, sebahagian dari penduduk Balik Pulau ada yang berasal dari Acheh, Tanjung Balai, Asahan dan daerah Deli-Medan. Pak Imam mendakwa yang dirinya berasal dari Priaman-Sumatera Barat.
"Kita makan dulu, lepas tu baru pergi ke rumah sahabat Suhaimi Keraba," Pak Imam renung muka saya.
"Kalau begitu, biarlah cucu saya mandi dulu."
"Silakan, kain basahan ada di perigi."
Saya terus menuju ke perigi yang dindingnya dibuat dari atap rumbia. Airnya terasa cukup sejuk sekali. Kerana perigi itu dibuat tidak jauh dari pokok manggis, saya berkesempatan melihat beberapa ekor tupai berlari di dahan manggis.
Waktu keluar dari perigi, saya terlihat kelibat gadis berselubung kain batik. Dalam kesempatan yang terhad itu, tumit kakinya yang putih kemerahan menjadi sasaran biji mata jalang saya. Penuh yakin saya mengatakan gadis itu berkulit putih merah. Bentuk tubuhnya yang tinggi lampai membuat saya kepingin melihat wajahnya.
Otak jahat saya mengarahkan sepasang kaki supaya pergi ke arah belakang perigi. Kemudian melangkah secepat yang boleh menuju ke arah pokok amra (kedondong) dari situ memintas ke depan gadis yang berselubung kain batik itu.
Apa yang terpeta dalam otak saya laksanakan. Mata juga mesti cekap mengawasi kalau-kalau ada orang lain mengintip pergerakan. Saya bergerak macam kucing memburu burung. Saya pintas depan gadis berselubung kain batik.
"Ohhh ooppp..."
Si gadis terkejut, kain selubung atas kepala segera jatuh atas bahu. Saya tatap gadis yang wajahnya mirip seniwati Sarimah. Bibirnya merah, macam sirap. Tetapi, jelingannya cukup tajam. Aduh! sungguh mempesonakan.
"Kamu siapa?" tanyanya garang dan kelihatan seperti bersedia membuka buah silat.
Saya tergamam.
"Dari rumah Pak Imam," tutur saya tidak tentu arah tetapi, masih menjual senyum tak malu. Si gadis berkulit putih tatap batang tubuh saya, dari atas ke bawah dari bawah ke atas. Memang dasar tak malu, saya terus tersengih.
"Agaknya, kita ni adik-beradik," saya mula jual ubat temberang, macam lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan Saadiah dalam filem Musang Berjanggut.
"Dari mana?" risiknya lagi.
"Dari Perak."
"Kami tak ada saudara-mara di Perak, saudara-mara kami banyak di Johor, Melaka dan Kuala Pilah," si gadis juihkan bibirnya. Saya jadi serba salah, temberang saya salah letak.
CANTIK
Buat beberapa saat kami tidak bercakap. Saling berpandangan dan sesungguhnya saya terpukau dengan sepasang anak mata si gadis yang lembut dan bening bercahaya. Engkau terlalu cantik, timbul komentar di sudut hati saya.
"Siapa nama?" tanya saya.
"Cakap dulu, siapa nama awak."
"Awaklah cakap dulu," desaknya lagi.
"Tak boleh, awak cakap dulu," balas saya.
Si gadis geleng kepala dan bersedia mahu melangkah meninggalkan saya. Tidak ada jalan lain untuk saya melainkan mengaku kalah secara terhormat di depan gadis yang berjaya menguasai hati dan perasaan saya.
"Nama saya Tamar," kata saya bangga, penuh yakin.
"Macam nama buah dari negeri Arab yang selalu dimakan di bulan puasa," hati saya jadi panas menerima sindiran nakal. Malu rasanya, saya tarik batang hidung yang mancung kemerahan itu.
"Pranggggggg."
Terdengar bunyi piring jatuh dari arah dapur rumah Pak Imam. Bagaikan kilat saya melompat dan lari menuju ke arah perigi. Dari situ, saya terus menuju ke anjung rumah. Saya jadi terlupa tentang gadis di depan saya.
Apa yang saya fikirkan ialah menyorokkan diri agar rahsia peribadi saya tidak diketahui oleh orang lain. Kalau rahsia terbongkar, Datuk turut sama merasa malu.
"Lama benar kau mandi, aku naik jemu menanti," Datuk menyambut kedatangan saya di kepala tangga. Wajahnya masam sekali.
Saya tidak bersuara hanya melihat ke arah Pak Imam yang berdiri di pintu anjung. Tanpa mengucapkan sesuatu, Datuk melangkah menuju ke perigi. Saya terus naik ke anjung rumah. Duduk berdepan dengan Pak Imam.
Setiap kali mata saya bertembung dengan wajah Pak Imam hati saya berdebar. Saya merasakan yang Pak Imam mengetahui apa yang telah saya lakukan. Bagi menghilangkan rasa serba salah dan tidak selesa itu, saya mengambil keputusan merenung ke halaman rumah. Melihat pepohon pisang memagari sempadan halaman.
Secara diam-diam saya menyesali ketelanjuran yang telah saya lakukan. Perasaan yang resah itu akhirnya bertukar dengan keriangan, dari jauh saya lihat Mat Prai terbongkok-bongkok mengayuh basikal.
"Assalamualaikum..." jerit Mat Prai sambil terjun dari basikal. Salamnya segera dijawab oleh Pak Imam. Mat Prai sandarkan basikal dekat pangkal pokok pinang dara. Dengan membimbit beg rotan, dia menuju ke kaki tangga.
"Naiklah Mat, beg siapa yang kamu bawa tu?" tanya Pak Imam.
"Beg Ayah Alang, saya fikir tentu dia nak tukar baju," Mat Prai letakkan beg rotan empat segi atas lantai, "Tuk kamu ke mana Tamar?" sambung Mat Prai, matanya menatap wajah saya.
"Mandi di perigi."
"Tak apa aku tunggu dia," Mat Prai sandarkan belakang pada jenang pintu. Pak Imam masuk ke ruang tengah dan terus menuju ke dapur. Pada hemat saya, dia melihat air kopi dan kuih-muih yang bakal dihidangkan pada saya dan Datuk.
Saya amat gembira atas kedatangan Mat Prai. Saya boleh tukar baju dan seluar. Tetapi, saya meluat mahu merenung wajahnya, Saya tidak ghairah mahu melayani percakapannya. Telinga dan otak saya tumpukan pada bunyi di dapur Pak Imam. Saya masih mengharapkan, dapat mendengar suara gadis yang wajahnya mirip Sarimah.
"Ha, dah lama kamu datang? Apa halnya?"
Itu yang diajukan oleh Datuk dari kaki tangga, sebaik saja terlihat batang hidung Mat Prai. Saya tersentak dari khayalan yang tidak bertepi. Saya menerpa ke muka pintu dan pada saat yang sama Pak Imam menatang air kopi dan kuih.
"Saya bawakan beg pakaian Ayah Alang, saya fikir tentu nak tukar pakaian."
"Ha, itu dah cukup baik," Datuk terus panjat tangga. Membuka beg rotan. Baju dan seluar saya dikeluarkan. Saya menghadapi masalah baru, di mana saya mahu menukarkan pakaian.
"Kamu masuk ke bilik sembahyang, tukar pakaian," Pak Imam mengarahkan jari telunjuknya ke arah bilik yang terletak di rusuk kiri rumah, berdepan dengan pintu menghala ke dapur. Ini peluang baik, gunakan kesempatan masa masuk ke bilik, jeling ke arah dapur. Fikir saya dalam hati.
Saya meluru ke bilik, saya jeling ke dapur. Apa yang saya lihat ialah isteri Pak Imam mendermakan senyuman lesu untuk saya. Senyuman itu tidak saya balas. Dengan rasa kesal yang amat sangat saya pun menukarkan pakaian. Lepas saya, Datuk pula masuk tukar pakaian. Bila semuanya selesai, kami pun menghadapi makanan, saya lihat jam di dinding sudah hampir pukul sepuluh pagi.
"Saya bawa balik beg pakaian Ayah Alang ke rumah saya," Mat Prai terus memasukkan pakaian saya dan Datuk yang sudah digunakan ke dalam beg rotan. Datuk anggukkan kepala, setuju dengan cadangan Mat Prai itu.
"Kamu tak mahu pergi ke Kampung Terang," Pak Imam tatap batang hidung Mat Prai yang sudah pun mengheret beg pakaian Datuk ke bendul. Kemudian terus turun dan meletakkan beg pakaian atas lantai pelantar basikal tua.
"Minta maaflah, saya tak dapat serta. Saya nak pulangkan basikal jiran yang saya pinjam," tutur Mat Prai. Dia mula tolak basikal tua ke arah jalan besar. Datuk dan Pak Imam tidak berkata apa-apa. Mereka seolah-olah merestui dengan apa yang diluahkan oleh Mat Prai. Selamat jalan Mat Prai, bisik batin saya.
RUMAH
Ketika Datuk dan saya menanti Pak Imam turun dari rumah hati saya tertanya-tanya, bagaimana mahu pergi ke rumah sahabat Suhaimi Keraba? Kalau berjalan kaki, saya sudah tidak sanggup. Barangkali dengan bas, saya mendamaikan perasaan saya sendiri. Dalam saat-saat saya berfikir itu, tanpa disedari, Pak Imam sudah pun berada di halaman rumah.
"Kita pergi dengan basikal," katanya.
Saya lihat hanya ada sebuah basikal saja di bawah rumah. Mana mungkin sebuah basikal dinaiki oleh tiga orang. Saya terasa lucu dan mahu ketawa sendirian. Tetapi, saya tidak berani mahu ketawa, takut ditengking oleh Datuk.
"Satu basikal nak naik tiga orang," secara tidak sengaja terpancut kata-kata dari mulut saya.
"Ada basikal lain, kau ikut aku ke rumah adik aku, kita pinjam basikalnya," Pak Imam menyelesaikan masalah yang menghuni otak saya.
Tanpa banyak cakap, saya ikut langkahnya menuju ke rumah papan berbumbung lima yang letaknya tidak berapa jauh dari rumahnya.
Sampai di rumah tersebut, Pak Imam terus memanggil adiknya.
"Ayah dah pergi ke Tanjung," terdengar suara perempuan. Hati saya menggelabah.
"Ada apa Tuk Ngah," datang lagi suara dari dalam rumah. Kali ini lebih mersik dan manja. Serentak dengan itu terdengar bunyi telapak kaki memijak papan lantai.
"Aku nak pinjam basikal ayah kamu kejap."
"Ambillah Tuk Ngah."
Suara itu datang dari tingkap sebelah kanan. Biji mata saya tertumpu ke situ. Oh! Tuhan, inilah gadis yang saya temui tadi. Wajahnya lebih mempesonakan tanpa kain kelubung. Saya terpaku tanpa berkata apa-apa.
Pak Imam masuk ke bawah rumah tarik basikal Raliegh keluar. Semuanya itu tidak menarik perhatian saya. Seluruh hati dan pancaindera yang satu ini, tidak berkedip merenung gadis yang berdiri di bibir tingkap. Sudah tidak memakai kain kelubung lagi. Rambutnya disikat rapi, dibelah tengah dan bahagian hujung diikat ala ekor kuda. Senyuman bertali-tali di bibir.
"Eh, kenapa tercegat di situ?"
Suara Pak Imam meninggi, saya tersentak dalam malu. Dia sudah berdiri di kanan saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu saya bersuara:
"Ukiran di kerawang tingkap rumah ni cantik."
Pak Imam renung ke arah tingkap, si gadis berkulit putih merah sudah pun menghilangkan diri. Saya urut dada syukur kerana apa yang saya lakukan tidak dapat dikesan oleh Pak Imam.
"Tukang rumah Melayu yang buatnya, tentulah ada seninya," Pak Imam menjawab jujur. Dia menyerahkan basikal kepada saya.
"Kamu naik dengan Datuk kamu."
Saya memeriksa brek basikal, tayar dan pemegang (handle) semuanya berada dalam keadaan yang baik. Tanpa banyak cakap saya sorong basikal ke arah rumah Pak Imam.
"Bagi tahu ayah kamu Masitah, Tuk Ngah pinjam basikalnya, petang Tuk Ngah hantar."
Saya terhenti dari menyorong basikal. Nama Masitah saya sebut beribu-ribu kali, saya sematkan dalam kalbu. Sudah tentu nama itu akan saya kenang sampai mati.
"Baiklah Tuk Ngah."
Sungguh mempesonakan suara dari Masitah. Tunggulah, petang nanti saya hantarkan basikal ayahmu, Masitah. Batin saya terus menyanyi.
PERJALANAN
Perjalanan ke rumah sahabat Suhaimi Keraba di Kampung Terang pun dimulakan. Pak Imam naik basikal tuanya. Saya dan Datuk naik basikal ayah Masitah. Berbasikal di jalan raya yang di kiri kanannya terdapat pohon-pohon kelapa dan buah-buahan memang tidak terasa panas. Sambil kayuh basikal Datuk dan Pak Imam terus berborak. Saya yang bertenggek di belakang hanya pasang telinga saja.
Bila ada kenderaan lalu, tidak kira sama ada besar atau kecil, Datuk dan Pak Imam terpaksa ke tepi, kadang-kadang terbabas dan melanggar lopak dan batu. Punggung saya terasa sengal dan sakit, tetapi tidak berani protes. Saya akui yang Pak Imam amat popular di Balik Pulau. Buktinya, sepanjang perjalanan dia sering saja menerima salam dari orang yang berbasikal atau bermotosikal.
Setelah meninggalkan kawasan Pekan Genting (juga disebut Simpang Empat) badan saya mula berpeluh. Sebaik saja melintasi sebuah masjid, dalam jarak lima enam rantai kami berbelok ke kiri melalui jalan berpasir dalam kampung.
Kebanyakan rumah di situ, pintu dan tingkapnya tertutup rapat. Barangkali para penghuninya mencari rezeki. Selesai saja menempuh jalan kampung, kami terpaksa berbasikal di atas batas sawah.
Dan kami pun sampai di sebuah rumah papan yang tiangnya dibuat dari kayu bulat. Dindingnya dari papan tidak berketam. Pintunya sebelah papan dan sebelah lagi anyaman buluh. Rumah itu terletak di pinggir sawah. Di sebelah kanan rumah ada pokok macang (bacang) besar di bahagian belakang rumah ada pokok jejawi yang besarnya lebih dari sepemeluk. Akar-akar berjuntaian dari dahannya.
Sebaik saja basikal disandarkan pada pokok kelapa gading, saya tercium bau kemenyan. Langsir tingkap yang dibuat dari kain hitam nipis, nampak bergerak-gerak ditiup angin. Tidak jauh dari pangkal pokok kelapa gading terdapat seekor kucing hitam dengan sepasang mata yang agak kemerah-merahan merenung tajam ke arah kami. Kucing hitam itu menguap, memperlihatkan lidahnya yang merah bersama susunan giginya yang tajam.
Tiba-tiba saya terasa seram bila melihat beberapa ekor gagak berlompatan di dahan mempelam sambil berbunyi. Keadaan di bawah rumah tidak tersusun, penuh dengan sawang dan sarang labah. Suasana sekitar rumah mengundang rasa takut. Walaupun matahari bersinar tetapi saya merasakan keadaan di pinggir sawah itu terasa lembap dan muram.
Datuk dan Pak Imam menuju ke kaki tangga, saya mengekori dari belakang. Dengan suara yang lantang Pak Imam memberi salam.
"Waalaikumussalam."
Terdengar jawapan dari dalam rumah. serentak dengan itu sebelah pintu yang dibuat dari anyaman buluh terbuka. Manakala sebelah lagi yang dibuat dari papan tetap tidak bergerak.
"Naiklah."
Saya segera dongak ke pintu. Seorang lelaki bertubuh tegap, berkain sarung dengan baju Melayu teluk belanga berdiri di situ. Lelaki yang berkulit cerah itu menyimpan janggut dan jambang. Tetapi, misainya sudah putih benar. Dalam sekelip mata lelaki itu menghilangkan diri.
Pak Imam orang pertama naik ke rumah diikuti oleh Datuk. Saya orang yang terakhir. Waktu saya mahu melangkah bendul, saya toleh ke pangkal tangga. Di situ saya lihat ada lingkaran ular hitam dengan kepalanya terhulur keluar. Anehnya, masa saya berdiri di situ sebentar tadi, ular hitam itu tidak kelihatan. Pemilik rumah mendekati Pak Imam.
"Nak tengok kawan saya yang salah langkah?" tanyanya.
"Ya," angguk Pak Imam bersama senyum.
"Yang berdua ni siapa? Kawan atau keluarga?" tambah pemilik rumah sambil merenung ke arah Datuk dan saya.
"Kawan saya," balas Pak Imam.
Pemilik rumah memusingkan badannya ke kanan. Wajahnya dengan wajah Datuk berdepan. Dia hulur tangan dan Datuk terus sambut.
"Saya Haji Taslim Singasari," katanya sambil mendekatkan mulutnya ke telinga Datuk.
Saya yakin ada sesuatu yang dibisikkannya ke telinga Datuk. Pasti dia membawa khabar gembira, kerana Datuk tersenyum dan menganggukkan kepala. Apakah rahsia mereka berdua? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
"Mari masuk ke bilik, kawan yang malang tu ada di sini."
Kami pun mengekori langkah Haji Taslim Singasari masuk ke bilik yang keadaannya saya kira agak ganjil kerana dalam rumah papan terdapat bilik yang dibuat dari buluh. Malah lantai bilik juga dilapisi dengan buluh.
"Duduk," ujar Haji Taslim Singasari. Tanpa banyak cerita kami pun duduk, "Sudah puas saya nasihat tapi dia tak mahu dengar, inilah akibatnya," sambung Haji Taslim Singasari. Kami hanya anggukkan kepala saja.
Di depan kami ada peti yang dibuat dari papan, panjangnya kira-kira enam kaki dan tingginya hampir dua kaki. Setiap penyambung atau sendi peti itu ditaruh engsel. Di bahagian atasnya dibuat selak yang boleh dikunci, dan peti itu ditutup dengan kain dua warna iaitu kuning hitam.
Dari dalam peti saya terdengar seperti suara orang mengerang dan sesekali macam bunyi suara kucing dan anjing menyalak.
Tiap sudut bilik ada dupa yang mengeluarkan asap kemenyan. Saya juga terlihat senaskhah Quran di atas bantal di samping senaskhah surah Yasin.
"Sepanjang malam saya membaca Quran dan pagi tadi saya mula baca Yasin, semoga dirinya biarlah selamat. Tetapi, saya selalu diganggu oleh pelbagai jenis binatang seperti harimau, ular dan macam-macam lagi," jelas Haji Taslim Singasari. "Kalau tidak memikirkan yang dirinya sahabat karib, semuanya ni tidak saya buat," sambung Haji Taslim Singasari seperti menyesali diri sendiri.
"Cuba buka saya nak tengok keadaannya," pinta Datuk. Haji Taslim Singasari tidak membantah. Dia rapat ke peti yang sudah dicat warna putih.
Kain penutup dua warna pun dibuka. Saya mula terhidu bau masam dan lapuk tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah peti. Begitu juga dengan mata Datuk dan Pak Imam. Haji Taslim Singasari membuka selak peti. Dinding peti di sebelah kiri dan kanan jatuh atas lantai.
Sekujur tubuh manusia yang ditutup dengan kain kuning terlentang di depan kami. Pak Imam menerpa ke depan dan bersedia mahu menyingkap kain yang menutup tubuh tersebut. Haji Taslim Singasari segera memegang tangan Pak Imam.
"Jangan, nanti awak terkejut. Duduklah, biar saya buat."
Pak Imam patuh dengan permintaan Haji Taslim Singasari. Kemudian dengan hati-hati Haji Taslim Singasari membuka kain penutup tubuh di depan kami hingga ke hujung kaki.
"Ya Allah," kata saya.
"Subhanallah," sambut Datuk.
"Allah huakhbar," tingkah Pak Imam, buat seketika mulut kami ternganga.
Di depan kami, terlentang tubuh Suhaimi Keraba tercungap-cungap macam ikan kekurangan air. Separuh tubuhnya dari pusat hingga ke muka hitam legam macam arang, sukar untuk menentukan di mana letak mata, hidung dan telinganya.
Dari pusat ke kaki keadaannya elok sempurna. Saya juga melihat beberapa ekor belalang hitam terbang bebas dan hinggap di bahagian tubuh yang hitam.
"Kita mohon pada Allah supaya rohnya segera dikeluarkan dari tubuhnya, dia terlalu seksa," Pak Imam bersuara.
"Saya setuju," balas Datuk.
"Kita baca Yasin," ujar Haji Taslim Singasari.
Sebaik saja selesai bercakap, seekor harimau kumbang muncul dari arah bahagian kepala Suhaimi Keraba. Di bahagian kakinya pula muncul kucing hitam.
Pulang Dari Kubur
Semua yang terjadi di depan mata mengundang kecemasan dan ketakutan. Saya tidak berani bergerak dan berkata-kata.
Aneh sungguh, Haji Taslim Singasari tidak gentar dan cemas atas kehadiran kucing hitam dan harimau kumbang. Baginya, seolah-olah perkara itu tidak wujud di depan matanya.
Haji Taslim Singasari mengambil beberapa naskhah Yasin dari atas rak di luar bilik. Masa Haji Taslim berada di luar bilik, saya seakan-akan terpandangkan Suhaimi Keraba mengangkat kepalanya perlahan-lahan.
Dan kini, saya dapat memastikan yang lapik kepalanya bukanlah bantal. Tetapi, batang pisang yang dibentuk seperti sebiji bantal.
"Eh, kepala..."
Belum pun sempat saya menamatkan kata, telapak tangan Datuk terus menekup mulut saya. Kerana dicengkam begitu kuat, kedua belah rahang saya terasa sakit.
"Jangan tegur, baca saja Surah An-Nas seberapa banyak yang boleh," Pak Imam membisikkan ke telinga saya.
Bila saya anggukkan kepala barulah Datuk berhenti mencekup mulut saya. Saya patuh dengan nasihat Pak Imam. Sambil membaca Surah An-Nas, mata saya terus tertumpu ke bahagian kepala Suhaimi Keraba yang bertukar bentuk menjadi macam kepala monyet.
Proses pertukaran itu berlaku secara sedikit demi sedikit yang dimulai dari dagu, telinga dan akhir sekali di bahagian kening.
"Huuaaahhhh."
Terdengar suara dari Suhaimi Keraba, macam mawas (kingkong) jantan. Menderam panjang. Dalam sekelip mata, kepala monyet bertukar menjadi kepala harimau belang. Terus mengaum, menggegarkan rumah. Datuk dan Pak Imam bagaikan tidak peduli dengan apa yang terjadi di depan mereka.
"Mari kita baca bersama, setakat mana yang dapat," Haji Taslim Singasari berdiri di kiri saya.
Dia hulurkan Surah Yasin pada saya, pada Datuk dan Pak Imam. Haji Taslim Singasari terus duduk di sebelah saya. Pada saat itu juga saya terdengar jeritan binatang liar dalam bilik kecil. Saya yakin, suara jeritan itu hanya saya seorang saja yang mendengarnya.
"Pak Imam kita jadi ketua, kita mengikutnya," Haji Taslim Singasari memberikan pendapat.
Datuk anggukkan kepala. Saya tidak memberikan sebarang komen. Bersedia mengikut langkah dan rentak yang bakal mereka lakukan.
"Boleh kita mulakan sekarang," Pak Imam menyatakan kesediaannya beberapa saat kemudian, kamar kecil itu mula dikuasai oleh suara orang membaca Surah Yasin.
Dalam masa saya hendak membaca Surah Yasin, saya tidak dapat melihat perkembangan atas perubahan selanjutnya terhadap diri Suhaimi Keraba. Saya tidak tahu apakah kepalanya masih dalam bentuk kepala harimau.
Pembacaan Surah Yasin sering terganggu oleh beberapa ekor ular sebesar batang kelapa. Warnanya hitam, bergerak depan kami, lidahnya yang bercabang bagaikan mahu menyentuh tubuh Suhaimi Keraba.
Kerana Datuk, Pak Imam dan Haji Taslim Singasari buat tidak kisah, saya jadi berani dan terus bersikap macam mereka. Selain dari ular besar, binatang berbisa yang lain juga turut menjelma seperti kala jengking, lipan, lebah dan tebuan.
Pembacaan Yasin yang pertama selesai. Waktu mahu melakukan pembacaan yang kedua, Suhaimi Keraba terus menjerit, menendang ke kiri dan ke kanan. Semuanya itu tidak menghalang pembacaan kami. Bila pembacaan Surah Yasin untuk kali yang ketujuh berakhir. Semua binatang buas yang berkeliaran hilang. Suhaimi Keraba tercungap-cungap.
Buah halkumnya nampak bergerak lemah dan dadanya yang hitam kelihatan berombak-ombak.
"Ajarlah dia mengucap, Taslim," Pak Imam menganjurkan pada Haji Taslim Singasari. Dan orang tua yang berbadan tegap itu segera merapati Suhaimi Keraba.
Dia mendekatkan bibirnya ke cuping telinga Suhaimi Keraba yang hitam. Datuk gelengkan kepala, bila Suhaimi Keraba berusaha dengan sedaya upaya memalingkan mukanya yang hitam (tidak tentu bentuknya) itu ke arah lain. Dia seolah-olah tidak mahu mendengar dengan apa yang dibisikkan oleh Haji Taslim Singasari kepadanya.
"Cubalah," kata Datuk menguatkan semangat Haji Taslim Singasari yang mula kecewa.
"Ya cubalah, kita usaha," tokok Pak Imam pula dan Haji Taslim Singasari anggukkan kepala.
"Haaaaa..."
Bagaikan ada kekuatan luar biasa hadir dalam diri Suhaimi Keraba. Dia terus duduk dan tangan kanannya menolak tubuh Haji Taslim Singasari, orang tua berbadan tegap itu jatuh tertinggung. Seluruh muka Suhaimi Keraba terarah ke wajah Datuk.
Secara mendadak, Suhaimi Keraba rebahkan badannya dengan kasar. Dia luruskan tangan dua kali sambil menghela nafas tersekat-sekat, urat di leher nampak tegang.
"Huaaaahhh..." sepasang kaki Suhaimi Keraba bergerak-gerak. Semua biji mata tertumpu ke arahnya. Dadanya sudah tidak berombak, nafasnya terhenti. Suhaimi Keraba terkulai atas bantal bantang pisang. Dia sudah tidak bernyawa lagi.
"Semuanya dah habis," Haji Taslim Singasari bangun sambil menutup mayat Suhaimi Keraba dengan kain hitam.
HAMPIR
Haji Taslim Singasari menghampiri kami. Dan kami serahkan naskhah Yasin kepadanya untuk disimpan. Saya pandang wajah Datuk, ada sesuatu yang saya agak aneh dan ganjil.
Belum pernah saya mendengar salakan anjing mendayu-dayu seolah-olah menangis di waktu tengah hari rembang.
Suara gagak rancak berbunyi. Kokok ayam jantan bertalu-talu dan ketuk ayam betina bagaikan gendang perang. Saya jadi seram dan berdebar.
Sumpah saya tidak tahu, apakah Pak Imam dan Datuk mengalami perkara ganjil seperti apa yang saya alami? Pada mata kasarnya, saya lihat Haji Taslim Singasari seperti orang keresahan.
"Ganjil!"
Terkeluar ungkapan dari bibir Pak Imam.
"Apa yang ganjil tu?" pintas Datuk.
"Cuba dengar baik-baik, kawan," mata Pak Imam merauti seluruh wajah Haji Taslim Singasari. Akhirnya sepasang biji mata Pak Imam tumpah ke paras saya dan Datuk.
"Saya dah dapat dengar dengan jelas. Bunyi reriang rimba bukan main galaknya," sahut Datuk.
"Saya juga mendengarnya, binatang-binatang tu menegur syaitan yang keluar dari rumah ni menuju ke arah hutan di Gunung Jerai, di Kedah," Haji Taslim Singasari bersuara.
Saya menelan air liur, rasa takut masih menguasai tangkai dan jantung hati saya. Datuk memberanikan diri lalu membuka kain penutup mayat Suhaimi Keraba. Datuk tatap wajahnya yang hitam sambil membaca sesuatu.
Kerana Pak Imam dan Haji Taslim Singasari bergerak ke ruang tengah, saya segera mengekori jejak mereka. Tinggallah Datuk seorang diri di bilik kecil.
Kami (saya, Pak Imam dan Haji Taslim Singasari) duduk bersimpuh di anjung. Lolongan anjing, jeritan gagak, kokok dan ketuk ayam beransur kurang. Ada ketenangan tergambar di wajah Haji Taslim Singasari. Saya merasa selesa disentuh angin dari bibir sawah. Datuk masih berada dalam bilik, entah apa yang dibuatnya, saya tidak tahu.
"Apa yang Pak Imam tengok tu..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan kata-katanya. Dia tunduk merenung lantai sambil memperkemaskan silanya.
"Perkara semacam itu, sudah jadi perkara biasa pada saya, masa dia mula-mula terbaring dulu, macam-macam binatang ganggu saya," sambung Haji Taslim Singasari. Cukup tenang dia mengungkap pengalaman yang dilaluinya.
Dari jendela yang terdedah, saya melihat ke arah langit. Di mana-mana kelihatan awan putih bersih bergerak lemah mengikut hembusan angin. Cuaca amat baik sekali. Tidak ada tanda-tanda mahu hujan atau ribut petir akan berlaku.
"Awak kasihankan dia, Haji?" tanya Pak Imam.
"Ya." Haji Taslim anggukkan kepala.
"Itulah sebabnya, awak kena bahananya," Pak Imam telan air liur.
"Dia sahabat saya, kami berkawan bukan setahun dua, saya simpati dan kasihankan dirinya, saya nak bawa dia ke jalan yang benar. Tapi, sudah terlambat," Haji Taslim Singasari mempamerkan kedukaan dan kehampaan di wajahnya. Dia menarik nafas dalam-dalam yang diakhiri dengan sebuah keluhan.
Kata Haji Taslim Singasari, dia bertemu dengan Suhaimi Keraba di Pulau Kampoi. Kemudian mereka pergi ke Pulau Niar yang terletak di hujung Pulau Sumatera. Mereka menuntut ilmu dunia. Kerana merasakan ilmu yang diperolehi masih kurang, mereka terus mengembara ke pelosok Pulau Jawa. Berguru dan mencari ilmu dunia. Masa di Pulau Jawa mereka sering berulang alik ke Bali.
Dengan takdir Allah, mereka bertemu dengan seorang tua yang mereka panggil sebagai 'Kiai Sabdo' di tempat yang bernama Singasari. (Haji Taslim yang tertarik dengan nama tempat tersebut mengabadikan pada hujung namanya) Kiai Sabdo menasihati mereka supaya jangan meneruskan kegiatan yang tidak bermanfaat itu. Nasihat Kiai Sabdo segera dipatuhi oleh Haji Taslim (yang ketika itu belum bergelar Haji). Tetapi, Suhaimi Keraba tidak memperendahkan nasihat tersebut.
Haji Taslim Singasari terus menuntut ilmu akhirat dari Kiai Sabdo dan Suhaimi Keraba dengan kegiatan ilmu kebatinannya. Dia memperoleh sebuah kitab dari seorang gurunya yang namanya tidak pernah diceritakan pada Haji Taslim Singasari.
USIR
Kerana kitab itu jugalah Kiai Sabdo mengusir Suhaimi Keraba keluar dari rumahnya. Suhaimi Keraba terus pergi ke Wilayah Balidono, Putworejo, Jawa Timur bersemadi di sebuah gunung.
Dan Suhaimi Keraba telah memelihara persahabatannya dengan Haji Taslim Singasari. Tanpa pengetahuan Kiai Sabdo. Dia mengunjungi tempat pertapaan Suhaimi Keraba.
Atas nasihat Kiai Sabdo, Haji Taslim Singasari meninggalkan Tanah Jawa pulang ke Semenanjung Tanah Melayu. Buat beberapa lama dia menetap di kampung halamannya di Tanah Kebun, Parit Buntar. Kemudian dia pergi ke Perlis dan akhirnya bermastautin di Pattani, Selatan Siam mendalami ilmu akhirat.
Setelah mendapat berita yang Suhaimi Keraba berada di Balik Pulau, Haji Taslim Singasari pun berhijrah ke tempat tersebut lalu membeli sekeping tanah sawah.
Persahabatan yang terputus disambung kembali. Suhaimi Keraba sering mengunjunginya.
"Cita-cita saya mahu memberi kesedaran. Biar dia balik ke pangkal jalan. Tapi, dia cukup liat. Kadang-kadang saya diduganya dengan pelbagai cara. Ilmu hitamnya cukup tinggi," cetus Haji Taslim Singasari.
"Sudahlah, dia sudah memilih cara tu, Haji. Apalah yang boleh kita buat," Pak Imam meraba pangkal lehernya.
"Sebagai sahabat, saya tetap berdoa setiap kali solat, minta Allah ampunkan dosanya dan rohnya ditempatkan di tempat yang baik-baik," demikian erti setia kawan buat Haji Taslim Singasari.
"Seram saya."
Kami segera menoleh ke arah Datuk yang keluar dari bilik secara mengejut. Mukanya dibasahi peluh bersama bayangan kecemasan.
"Kenapa?" soal Haji Taslim Singasari.
"Mayatnya bangun mahu menerkam ke arah saya, binatang-binatang bisa berkeliaran atas mayatnya," jelas Datuk lalu duduk di sisi pak Imam.
"Dengan nama Allah dapat saya atasi dengan sebaik-baiknya," sambung Datuk lagi. Dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangan.
"Tunjangnya cukup hebat," celah Pak Imam. Saya lihat Haji Taslim anggukkan kepala. Kesedihan atas kematian sahabat rapat yang tidak sejalan itu meninggalkan kesan hiba yang amat sangat terhadap dirinya.
Pak Imam, Datuk dan Haji Taslim Singasari mengadakan perbincangan kecil dan singkat. Hasilnya, Pak Imam diserahkan tugas pergi ke masjid memberitahu orang ramai tentang kematian Suhaimi Keraba. Urusan mandi mayat dan kafan terletak atas bahu Datuk dan Haji Taslim Singasari. Saya cuma jadi pembantu mereka saja.
Sebaik saja selesai sembahyang Zohor, sembahyang jenazah dilakukan di masjid kampung tersebut. Mungkin kerana nama Suhaimi Keraba dianggap nama yang tidak membawa keuntungan pada penduduk setempat, menyebabkan orang yang datang menziarahi dan menyembahyangkan jenazahnya tidak seberapa.
Apa yang membanggakan saya ialah sikap Haji Taslim Singasari, selepas pengebumian sahabat karibnya, Suhaimi Keraba. Dia seperti menyembunyikan keburukan dan kejahatan sahabatnya dari orang ramai.
Dia mengelakkan diri, bila ada orang kampung bertanyakan kegiatan buruk Suhaimi Keraba semasa hayatnya. Tetapi, dia tidak pula keberatan untuk menceritakan tentang kebaikan sahabatnya walaupun kebaikan yang ada amat kecil jika dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukan.
"Kenapa ditanyakan tentang kejahatan orang yang sudah tiada, bukankah perbuatan itu dilarang oleh agama kita," tutur Haji Taslim Singasari pada seorang anak muda yang menahannya, sebaik saja keluar dari tanah perkuburan.
"Sebabnya mudah saja, dia selalu mengganggu orang kampung dengan ilmu jahatnya," jawab pemuda itu.
"Hai orang muda. Dia sudah tak ada dan tak ada gunanya awak marah atau menaruh dendam, memaki hamunnya. Perbuatan macam tu, tambahkan dosa kita, sedangkan dia sudah pun menghadap Allah," Haji Taslim Singasari menetap wajah pemuda yang berambut panjang. Ternyata pemuda yang masih menaruh dendam itu, tidak dapat menerima nasihat Haji Taslim Singasari.
"Awak jadi pelindungnya, awak jadi taukenya," satu tuduhan yang pedih dilemparkan oleh pemuda kepada Haji Taslim Singasari.
"Apa salahnya awak melupakan perbuatan kawan saya itu, sedekahkan Fatihah dan Qulwallah pada rohnya dan minta ampunkan dosanya. Awak dapat pahala dan secara tak langsung awak dapat melatih diri awak untuk menjadi seorang Islam yang baik dan berniat ikhlas," Haji Taslim Singasari terus mengajak saya dan Datuk beredar dari situ.
PANAS
Rupanya, pemuda yang panas baran itu tidak puas hati dengan sikap Haji Taslim Singasari. Dia menghalang kami meneruskan perjalanan dengan merentangkan sebatang kayu di depan kami.
"Hei! Ketua ilmu sesat, ketua ajaran salah, jangan cuba pertahankan orang kamu," pemuda panas baran terus menuding jari telunjuknya ke muka Haji Taslim Singasari.
Datuk nampaknya kurang senang dengan sikap pemuda yang biadab itu. Tetapi dia tidak mahu bertindak. Maklumlah tempat orang, tidak ada gunanya jadi ayam sabung.
"Bangsat, datang ke hujung kampung orang nak jadi kepala iblis," sambung pemuda itu lagi.
Haji Taslim Singasari tunduk senyum sambil memberi isyarat pada Datuk dan saya supaya meneruskan perjalanan tanpa melangkah kayu penghalang di depan.
"Heiii...," sergah pemuda itu ke arah saya dan Datuk.
Dan dalam masa yang sama, Pak Imam keluar dari kawasan tanah perkuburan lalu melulur ke arah pemuda panas baran.
"Kamu balik, jangan nak sedap-sedap saja tuduh orang amal ilmu sesat, ilmu salah. Selidiki dulu sebelum bercakap," Pak Imam paut bahu kanan pemuda panas baran dengan tangan kirinya.
"Kenapa Pak Imam masuk campur, Pak Imam dah ikut dia?"
"Itu soal aku, kamu mesti tahu, aku imam, aku tahu apa yang aku buat. Jadilah pemuda Islam yang berhemah tinggi, menyiasat dan mengkaji sebelum buat tuduhan. Pergi balik, dengar cakap aku," herdik Pak Imam, tanpa berkata sepatah apa pun, pemuda panas baran terus meninggalkan kami.
Kami pulang ke rumah Haji Taslim Singasari. Di rumah itu juga Pak Imam membuka rahsia diri dia yang sudah lama mengenali Haji Taslim Singasari. Bila waktu terluang mereka saling bertukar-tukar fikiran dan pendapat. Tetapi Pak Imam mengakui yang dia tidak tahu hubungan Haji Taslim Singasari dengan Suhaimi Keraba begitu akrab.
Haji Taslim Singasari mengakui yang dia merahsiakan hubungannya itu daripada pengetahuan Pak Imam. Sebabnya, dia mahu berusaha dahulu untuk membawa Suhaimi Keraba ke jalan yang benar. Bila gagal, barulah dia memerlukan pertolongan dari Pak Imam dan orang lain.
"Sayangnya, cita-cita saya tak sampai. Dia pergi dulu tinggalkan saya. Kalau ikut umur, dia lebih muda dari saya. Pada hukum adatnya, saya yang mati dulu. Tetapi kuasa Allah siapalah tahu," antara jelas dengan tidak, Haji Taslim Singasari menuturkan kata. Kehibaan masih terpancar di wajahnya.
"Allah sayangkan dia," meletup suara dari Datuk. Apa alasan Datuk, orang jahat disayangi oleh Allah? timbul pertanyaan dalam rongga dada saya.
"Bila dia dipanggil Allah, ertinya segala kegiatan jahatnya terhenti di situ saja. Itu tanda Allah sayangkan dia. Kalau umurnya panjang penuh dengan kejahatan, tentulah hidupnya tidak bermakna," sambung Datuk lagi. Saya dapat menerima alasan itu.
Saya lihat jam tua yang tersangkut di dinding sudah pukul empat lebih. Sinar matahari kian redup tetapi, angin dari sawah menghantarkan kesegaran ke tubuh kami.
"Saya juga bercadang mahu mengajak si mati kembali ke pangkal jalan, saya pernah bertentang mata dengannya, pernah berdebat. Kita perlu sabar dan tabah untuk menyedarkannya. Ah! semuanya sudah berlalu," secara mengejut Pak Imam bersuara. Datuk anggukkan kepala, begitu juga dengan Haji Taslim Singasari.
Kerana jemu melihat lantai, dinding rumah serta jam tua, saya alihkan pandangan ke luar. Dedaun kelapa di pinggir kampung melentuk liuk disentuh bayu petang. Beburung liar terbang rendah lalu hinggap di reranting pokok yang memagari bibir Kampung Tenang. Awan juga berarak lembut ke arah pekan Balik Pulau.
"Si mati jadi marah dan meradang dengan kedatangan seseorang ke kawasan Balik Pulau. Menurut si mati orang itu menghalang kegiatannya dengan kasar, tidak mahu berunding," Haji Taslim Singasari bersuara.
Pak Imam renung ke arah Datuk. Saya segera membuat ramalan. Orang yang dimaksudkan oleh si mati itu tidak lain dan tidak bukan adalah Datuk saya.
"Apa kata si mati terhadap orang itu?" saya bertanya, Datuk segera mencubit paha saya. Aduh! sakitnya bukan kepalang. Tetapi saya tetap bersikap tenang, seolah-olah tidak ada apa yang terjadi.
BATUK
Melihat sikap saya yang bersahaja itu, Datuk tidak puas hati. Dia berpura-pura batuk, sebagai tanda ingatan agar saya jangan mengemukakan sebarang pertanyaan lagi.
"Orang yang datang ni, bukan calang-calang orang. Ada ilmu dunia dan akhirat. Sebelum dia tunduk pada orang yang datang itu, dia mahu mengujinya terlebih dahulu. Tapi...," Haji Taslim Singasari terbatuk. Setelah selesai batuk, dia tidak mahu meneruskan kata-kata.
Sikapnya itu, membuat kami bertiga resah. Saya terus menganggap Haji Taslim Singasari mahu menyembunyikan sesuatu dari kami. Dalam erti kata lain, masih meragui kejujuran kami.
"Kenapa tak teruskan cerita," desak Pak Imam.
"Dia kesalkan awak," biji mata Haji Taslim Singasari menampar wajah Pak Imam yang nampak terkejut.
"Kesalkan saya? Kenapa?"
"Sebabnya, awak menolong orang yang datang tu. Dia menghormati awak," lanjut Haji Taslim Singasari.
Datuk nampak resah. Dia sedar dirinya turut dikaitkan dalam masalah ini. Sesungguhnya kedatangan Datuk ke Balik Pulau bukan untuk mencari musuh. Dia sekadar mahu menunaikan permintaan Mat Prai. Hidup bagi Datuk ialah mencari sahabat sebanyak yang boleh. Musuh jangan dicari, walaupun seorang.
"Agaknya, sayalah orang yang dimaksudkan oleh si mati," Datuk tegakkan leher.
Pak Imam renung ke arah saya dan Haji Taslim Singasari pula renung Pak Imam. Keadaan bertambah gawat, semoga tidak ada tercetus sebarang pergaduhan di sini. Doa saya dalam hati.
"Memang awaklah," sahut Pak Imam.
"Awak dendam dengannya lagi," Haji Taslim Singasari renung muka Datuk. Perlahan-lahan Datuk gelengkan kepala.
"Saya tahu niat awak macam saya juga, nak membetulkan kesilapannya, bukan begitu?" tokok Haji Taslim Singasari lagi. Macam tadi Datuk anggukkan kepala.
Tiba-tiba kami diganggu oleh suara batuk dan bunyi orang berjalan di bilik si mati. Kami berpandangan sama sendiri. Bunyi telapak kaki orang yang melangkah itu semakin lama semakin dekat. Tanpa disangka-sangka pintu bilik yang bercantum itu ditolak dengan kasar. Semua biji mata tertumpu ke arah pintu bilik.
"Ahhh..."
Serentak kami bersuara dengan rasa terkejut yang amat sangat. Punggung saya terasa tidak bertemu lantai. Empat wajah manusia dipeluk kecemasan melihat Suhaimi Keraba yang sudah dikuburkan berdiri di ambang pintu bilik.
Bentuk tubuhnya kelihatan cukup elok dan sempurna. Mukanya tidak pula hitam, tetapi sepasang anak matanya tidak bercahaya, tersembul macam batu cincin. Walaupun demikian, pandangannya tetap menyorot ke arah Datuk.
"Huuuuhhhh."
Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba telah bersuara. Tangan kanannya menghentak sebelah pintu bilik hingga tercabut. Kami bertambah cemas. Lembaga itu terus melangkah ke arah Datuk.
"Kembarnya," pekik Haji Taslim Singasari.
"Kami menyebutnya Tunjing, benda ni mesti dimusnahkan. Benda ni jadi jahat dan mula mengganas bila tuannya dah tak ada," sahut Pak Imam sambil bangun dan melangkah ke arah tangga.
"Semuanya ni syaitan, iblis," Datuk terus meluru ke arah Pak Imam yang berada di kepala tangga.
Dua kaki saya bagaikan ditarik oleh kuasa ghaib bergerak menuju ke arah Datuk. Ketika itu juga terdengar raungan gajah, ngauman harimau dan jerit monyet. Semuanya datang dari arah bilik si mati.
Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terus melangkah dalam keadaan yang keras. Seluruh daging tubuhnya nampak berulas. Urat-urat hijau bagaikan mahu menolak kulit tubuhnya. Apa yang menghalangnya habis dirempuh atau ditendang. Haji Taslim Singasari tidak bergerak dari tempat asal. Dia bangun dan berdiri di situ. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Pada saat itu juga, saya lihat lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba bertukar rupa. Tubuhnya berbulu hitam dan bahagian kepalanya bertukar menjadi kepala beruang.
"Suhaimi."
Pekik Haji Taslim Singasari. Lembaga itu berhenti melangkah dan bertukar kembali menyerupai diri Suhaimi Keraba yang sebenar. Pak Imam dan Datuk terus berbisik sesuatu. Apakah perkara yang mereka bisikkan saya sendiri pun tidak tahu.
"Jaga dan hati-hati, Haji," Pak Imam bersuara.
"Dengan izin Allah saya boleh mengatasinya," sahut Haji Taslim Singasari sambil membetulkan kedudukan kaki kanannya. Lembaga itu terus merewang tangannya ke kiri dan ke kanan.
"Aduh!"
Serentak dengan itu Haji Taslim Singasari tersungkur ditolak oleh lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba. Lembaga itu menerkam ke arah Datuk. Haji Taslim Singasari berjaya bangun dan menerkam ke arah Datuk.
"Suhaimi Keraba."
Mendengar namanya disebut lembaga itu terhenti dari menyerang Datuk. Dia memusingkan kepalanya perlahan-lahan ke arah orang yang memanggilnya.
"Kita harus ke tanah, saya tahu pantang larangnya," perintah Haji Taslim Singasari.
Kami segera terjun ke halaman rumah. Dan lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terus ghaib entah ke mana. Haji Taslim Singasari memerintahkan kami bertiga mendekatinya. Perintahnya segera kami patuhi.
"Biar saya hadapi cara ilmu dunia, kalau saya gagal saya minta tolong pada awak berdua," kata Haji Taslim Singasari pada Datuk dan Pak Imam. Nampaknya Datuk akur dengan permintaan Haji Taslim Singasari.
Bila saja Haji Taslim Singasari memusingkan badannya ke kiri, lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba muncul di depannya dengan kedua belah tangannya menghala ke batang leher Haji Taslim Singasari.
"Kau marah aku," tutur Haji Taslim Singasari ke arah lembaga tersebut.
Dengan serta merta lembaga itu anggukkan kepala dan haji Taslim Singasari tumbang atas tanah. Lembaga itu bersedia untuk memijaknya. Haji Taslim Singasari mengepal tanah. Tetapi, tidak berjaya. Tanah di telapak tangannya bertaburan.
"Bantu saya," rayu Haji Taslim Singasari.
Pak Imam menerpa ke arah lembaga itu. Mereka berdepan. Saya lihat Pak Imam membaca sesuatu, pasti dia membaca ayat-ayat pilihan dari Al-Quran untuk menentang iblis.
Ternyata lembaga itu tidak mudah ditundukkan tetapi, Pak Imam terus berjuang dengan sedaya upaya. Akhirnya lembaga itu menjerit sekuat hati bersama dentuman petir yang amat kuat.
