Budak Ganjil Tanpa Pakaian
Dentuman petir membuat telinga saya seperti pekak. Tanah yang dipijak seperti bergegar. Saya pun rebah ke dada bumi. Antara sedar dan tidak, terasa tubuh diangkat serta diusung oleh Datuk dan Haji Taslim Singasari ke perdu macang (bacang). Saya disandarkan di situ, Datuk segera memulihkan semangat saya yang hilang.
Bila terasa diri semakin pulih, saya celikkan mata. Apa yang saya lihat sungguh mengejutkan. Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terbakar hangus dipanah petir. Hancur menjadi debu lalu diterbangkan oleh angin ke mana-mana.
Penduduk kampung berdekatan menjadi gempar. Mereka merasa sungguh takjub kerana dalam cuaca petang yang terang, boleh terjadi ledakan petir yang sungguh hebat.
“Kita sudah melihat kekuasaan Allah, sesungguhnya Allah berhak melakukan sesuatu yang tidak terjangkau oleh akal fikiran kita,” Pak imam yang tadi membisu mula bersuara. Matanya menatap wajah Datuk dan Haji Taslim Singasari.
“Itu pilihan sahabat saya, Pak Imam.” Nada suara Haji Taslim Singasari mengundang kehampaan.
“Itu takdir dirinya,” celah Datuk.
“Apa boleh buat Haji, saya harap perkara yang terjadi di depan mata kita ni, jangan dihebohkan dengan sesiapa. Nanti boleh timbul macam-macam cerita pula,” Pak Imam menatap permukaan bumi sambil menarik nafas panjang.
Pak Imam angkat kepala lalu memandang ke arah kami dengan senyuman penuh keyakinan. Dia percaya yang kami akan mematuhi permintaannya. Pak Imam melangkah ke kaki tangga untuk naik ke rumah. Perbuatannya itu segera dituruti oleh saya, Haji Taslim Singasari dan Datuk.
Bila berada dalam rumah, bilik si mati segera kami serbu. Saya jadi bingung. Semua barang miliknya menjadi abu, bersepah-sepah seluruh bilik. Malah ada yang melekat pada dinding akibat ditolak angin.
“Jangan disentuh,” Haji Taslim Singasari mengingatkan kami. Kami terus membuka tingkap. Dua keping papan dinding yang menghala ke arah sawah dikopaknya dengan jari telunjuk.
“Kenapa rosakkan dinding rumah?” Tanya Datuk.
“Biar angin masuk dan terbangkan debu-debu yang ada dalam rumah ni. Debu-debu ini tak boleh disentuh, kalau kena tubuh kita, kulit boleh terbakar dan daging badan jadi busuk,” jelas Haji Taslim Singasari.
Saya segera meninggalkan bilik si mati. Beberapa minit kemudian Pak Imam, Haji Taslim Singasari dan Datuk turut keluar dari bilik si mati. Kerana waktu Asar hampir tiba, kami terus ke masjid untuk menunaikan solat. Atas persetujuan para jemaah yang ada, maka Haji Taslim Singasari pun disuruh menjadi imam.
Selesai sembahyang dan berdoa, para jemaah mula bercerita tentang bunyi petir yang mereka dengar. Ada bermacam-macam andaiannya dan ramalan yang mereka buat. Kebanyakannya, dihubungkaitkan dengan kematian Suhaimi Keraba.
Ada yang mendakwa, sebelum petir meledak mereka melihat Suhaimi Keraba menari-nari di jalan raya. Ada pula yang melihat Suhaimi Keraba minum kopi dan makan laksa di warung Simpang Empat.
Cerita-cerita yang sampai ke telinga membuat saya tersenyum panjang. Betapa mudahnya, orang mengadakan cerita yang bukan-bukan, mereka pandai menggunakan kesempatan dari kematian Suhaimi Keraba yang semasa hidupnya tidak melakukan kebaikan.
Beberapa orang jemaah yang berani terus mendekati Haji Taslim Singasari dan Pak Imam. Mereka terus mengajukan pelbagai pertanyaan tanpa mempedulikan kehadiran kami. Mungkin kerana kami orang luar.
“Minta maaf, kami tak tahu pula bunyi petir itu ada hubungan dengan si mati,” itu jawapan Pak Imam pada pertanyaan mereka. Ternyata jawapan itu tidak memuaskan hal orang yang bertanya.
“Mustahil awak tak tahu?” Tanya lelaki berkulit hitam manis dengan misai lebatnya menutupi bibir atas.
Pertanyaan ditujukan khas untuk Haji Taslim Singasari mencari jawapannya di samping berusaha menjauhkan diri dari lelaki berkulit hitam yang usianya sekitar lima puluhan.
“Petir berbunyi waktu cuaca terang benderang, perkara biasa,” sahut Pak Imam. Ternyata lelaki berkulit hitam tidak puas hati kerana jawapan itu bukannya datang dari Haji Taslim Singasari.
Matahari petang yang memancar membuat dahi saya dan Datuk berpeluh. Pak Imam merenung ke arah kolah masjid.
“Bagi saya, itu bukan perkara biasa,” lelaki berkulit hitam manis bersuara. Dia menatap wajah Pak Imam dan Haji Taslim Singasari.
“Kenapa awak kata macam tu?” Datuk ajukan pertanyaan pada lelaki berkulit hitam manis.
Dia tidak berminat mahu bercakap dengan Datuk. Mungkin kerana Datuk orang luar. Datuk dan Pak Imam berpandangan. Akhirnya mereka tersenyum .
“Bagi saya,” ulang lelaki berkulit hitam, “perkara itu ada kaitannya dengan sahabat Pak Haji yang mati. Dia tu manusia jahat, isi neraka,” begitu senang lelaki berkulit hitam manis bercakap.
“Mulut awak celopar. Tak baik menuduh begitu. Saya tak suka cara awak, kita tak boleh menentukan seseorang itu isi neraka atau syurga kerana ia adalah kuasa Allah,” nada suara Haji Taslim Singasari mula meninggi. Mukanya nampak merah.
“Maafkan saya, Pak Haji.”
“Awak tahu, Allah boleh melakukan sesuatu apa yang diingini-Nya, apa lagi petir waktu hari bercuaca panas,” Haji Taslim Singasari berhenti bercakap. Dia menarik nafas dengan perlahan-lahan. Matanya menoleh ke arah saya dan Datuk.
“Kenapa dalam setiap kejadian kita tidak mahu memikirkan tentang kebesaran Allah? Kenapa mesti dikaitkan dengan manusia yang kita cap atau kita kira sebagai manusia jahat. Ini ertinya kita bercakap dan berfikir menurut perasaan bukannya menggunakan otak,” lanjut Haji Taslim. Dia tentang biji mata lelaki berkulit hitam manis. Bahu lelaki itu ditepuk dengan mesra.
“Ini kesilapan saya, suka mendengar cakap-cakap orang,” terpamer kekesalan di wajah si hitam manis.
“Lain kali, jangan cepat sangat percaya dengan cakap-cakap orang, selidik dulu sebelum membuat tuduhan, barulah hidup selamat,” Pak Imam mengurut si hitam manis.
“Maafkan saya.”
“Sudahlah, lain kali berhati-hati. Kami tak ada apa-apa dengan awak,” tutur Pak Imam mengakhiri kata dengan senyum. Si hitam manis tergesa-gesa meninggalkan kami.
Sebenarnya kami bertiga (Pak Imam, Datuk dan saya) tidak perlu pergi ke rumah Haji Taslim Singasari. Pak Imam boleh pulang terus ke rumahnya. Sementara saya dan Datuk boleh balik ke rumah Mat Prai. Oleh kerana basikal kami masih berada di rumah Haji Taslim Singasari perkara tersebut tidak dapat dilakukan. Terpaksa pergi ke rumahnya dulu.
Bila sampai di rumah, Haji Taslim Singasari menahan kami agar minum petang. Dia sendiri yang membuat air kopi dan menggoreng pisang nangka. Minum petang sambil berborak memang menyeronokkan, ketika sedang berborak tanpa disengajakan Haji Taslim Singasari telah menceritakan serba sedikit kebolehan yang ada pada dirinya. Rupanya, perkara yang tidak disengajakan itu telah berbekas dalam diri Datuk. Timbul minat dalam hatinya untuk mengetahui beberapa perkara tertentu dari Haji Taslim Singasari.
Bagaimanakah Datuk mahu menyatakan hasrat hatinya itu? Dan amat mengejutkan saya, bila Datuk mahu menerima pelawaan dari Haji Taslim Singasari agar bermalam di rumahnya untuk sama-sama membaca Yasin.
“Macam mana dengan basikal yang saya pinjam, saya tak boleh bawa dua basikal sekali,” Pak Imam menyatakan keresahannya sambil meletakkan cawan di tangan ke dada piring.
“Ya juga!” Datuk terkejut dan menyedari yang perbuatannya itu menyusahkan orang lain.
“Itu mudah saja, suruh cucu awak bawa basikal saya, awak naik basikal yang dipinjam. Bila datang ke sini semula, awak naiklah basikal saya bersama cucu awak,” Haji Taslim Singasari menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Bijak juga awak cari jalan selesai,” Pak Imam terus menatap wajah Haji Taslim Singasari .
“Kalau tak ada apa-apa hal, lepas sembahyang Isyak saya datang ke sini. Saya juga nak baca Yasin,” sambung Pak Imam bersama senyum.
“Kalau awak datang saya gembira, kalau tak datang saya tak marah,” tingkah Haji Taslim Singasari lalu disambut dengan ketawa. Haji Taslim Singasari mengumpulkan cawan dan piring kosong lalu dibawa ke ruang dapur.
Kami turun dari rumah. Haji Taslim Singasari keluarkan basikal tua dari bawah rumah. Diserahkan pada saya. Basikal tua itu masih berhabuk tetapi, brek dan tayar masih elok.
“Saya jarang menggunakannya,” tutur Haji Taslim Singasari sambil menepuk tempat duduk basikal dua tiga kali.
“Jangan bawa laju-laju,” Datuk mengingatkan saya.
“Kalau bawa laju nanti tercabut tayar,” Pak Imam berjenaka. Saya tersenyum panjang.
Kami keluar dari kawasan rumah Haji Taslim Singasari. Pak Imam berada di depan, Datuk di tengah dan saya berada di tempat terakhir, semuanya membongkok kayuh basikal.
Matahari petang yang kian condong mencipta bebayang diri kami memanjang di dada jalan. Angin yang bertiup memberikan keseronokan dan kesegaran pada diri saya. Sambil kayuh basikal saya bersiul-siul kecil membawakan lagu Terkenang Semasa Dulu.
Lagu tersebut cukup popular ketika itu. Kecil besar tua muda kenal dengan suara penyanyi R. Azmi yang setiap hari berkumandang di radio Malaysia (ketika itu disebut Radio Malaya). Akhirnya kami sampai di rumah Pak Imam. Tidak dapat saya gambarkan kegembiraan yang melonjak dalam dada, bila Pak Imam menyuruh saya menghantar basikal yang dipinjam ke rumah adiknya.
Inilah peluang terbaik bagi saya untuk melihat wajah Masitah, si putih kuning penggoda jiwa. Doa saya, semoga emak dan ayah Masitah tak ada di rumah. Kali ini, saya mahu bercakap panjang dengannya. Mahu Tanya kegemarannya. Lagu apa yang diminatinya, pandai dia membaca Quran dan berqasidah? Bolehkah dia masak gulai tempoyak, yang jadi kegemaran saya dengan nenek. Kalau boleh dialah bakal isteri saya. Engkau cantik, engkau menawan Masitah.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikum salam,” terdengar suara halus nyaring. Engkaukah itu Masitah? Saya tersengih sendirian dengan sepasang biji mata tertumpu ke arah pintu yang terdedah.
“Siapa tu?” Orang di dalam bersuara lunak.
“Saya Tamar, nak pulangkan basikal yang saya pin..," saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Jantung saya berdebar.
Oh! Tuhan apakah saya bermimpi? Dua tiga kali saya mengucap panjang. Benarkah yang berdiri di muka pintu itu Masitah? Bisik batin saya. Sudah jelas yang berkemban di muka pintu adalah Masitah.
Mata jantan saya tertumpu ke arah bahagian dada yang tidak bertutup. Kulitnya putih melepak dan lembut. Basikal yang dipegang terlepas dari tangan. Jatuh terdampar atas bumi. Masitah yang berdiri di muka pintu menghilangkan diri. Basikal yang rebah saya tegakkan lalu disandarkan pada tiang seri di bawah rumah.
“Basikal bawah rumah, saya nak balik,” kata saya sambil keluar dari bawah rumah.
Hati kecil saya tetap kesal kerana Masitah cukup cepat menghilangkan diri. Waktu saya mahu melintas di depan tangga, saya lihat Masitah berdiri di situ. Dia tidak berkemban lagi. Pakaiannya cukup kemas dengan baju kurung berkain batik. Dia tidak memakai kain kelubung. Rambutnya disikat rapi.
“Nama awak, Masitah!” Saya memberanikan diri sambil berjenaka. Tiada jawapan yang saya terima dari Masitah kecuali sebuah jelingan tajam penuh makna dan mendebarkan.
“Basikal yang dipinjam tadi, ada di bawah rumah,” saya menambah.
Masitah tiada juga bersuara, tetapi ada senyum di kelopak bibirnya. Saya tidak mahu senyumnya. Saya mahu mendengar suaranya.
“Sampaikan salam saya pada emak dan ayah awak,” kata saya tanpa melihat ke arahnya. Saya terus melangkah dengan wajah yang serius.
MENGENA
Ternyata, taktik yang saya lakukan itu mengena. Saya kira, kalau saya jual murah, Masitah jual mahal. Bila saya jual mahal, Masitah jadi serba salah lalu menegur saya. Ini sebuah pengalaman yang amat berharga.
“Macam merajuk aje nampaknya, pagi tadi bukan main berani,” Masitah mengusik dan menyindir.
Bagaikan ada kuasa tertentu, langkah saya terhenti dan wajah saya bagaikan diarahkan kuasa ghaib memandang ke arah wajah Masitah. Kami tersenyum.
“Pergi ke mana bawa basikal ayah saya?”
“Ke Kampung Terang.”
“Ada apa di sana?”
Saya rasa agak sukar mahu menjawab pertanyaan dari Masitah. Kalau saya katakan yang benar, mungkin dia tidak percaya dan menuduh saya berbohong.
“Saya tak boleh cakap, kalau nak tahu tanyalah ayah saudara awak,” kata saya.
“Kenapa tak boleh cakap?”
“Itu rahsia.”
“Alahaiii menyampah,” Masitah juihkan bibir bawah ke depan bersama kerdipan dan jelingan.
Tidak memadai dengan itu, dia tunjukkan penumbuk ke arah saya. Sungguh melucukan tetapi amat menghiburkan diri saya.
“Tamarrr.”
Suara Datuk meninggi dan memanjang dalam nada marah. Kegembiraan yang melonjak dalam dada terus hilang. Saya terus berlari dengan sekuat hati menuju ke rumah Pak Imam. Sebelum sampai ke rumah Pak Imam dua kali saya terjatuh tersepak akar. Rasa sakit sudah tak terasa lagi, akibat dikuasai rasa takut pada Datuk.
“Heiii, kamu ni.” Datuk beliakkan mata, saya tidak angkat muka.
Cuma renung permukaan bumi saja. Rasa gementar terus bersarang di dada. Saya berdoa agar kemarahan Datuk berakhir di situ saja.
“Apa yang kamu buat di situ? Hantar basikal sampai berjam-jam. Apa yang kamu cari di rumah orang, ha?” Sambung Datuk. Suaranya makin meninggi.
“Sudahlah tu,” Pak Imam memujuk.
“Kalau tak ditegur inilah jadinya,” ada perubahan pada tekanan suara Datuk. Nadanya merendah. Dada saya terasa lapang bila dia berbalas senyum dengan Pak Imam.
“Saya pergi dulu,” Datuk hulur tangan pada Pak Imam. Mereka bersalaman.
“Dengar cakap Datuk kamu, jadilah cucu yang baik,” kata Pak Imam bila saya bersalaman dengannya.
“Terima kasih,” saya tatap wajah Pak Imam yang tersenyum.
Segera saya sorong basikal tua ke arah jalan besar. Datuk mengekori dari belakang. Bila sampai dekat pokok kelapa condong Datuk berpatah balik menemui Pak Imam.
“Awak datang malam ni ke rumah Haji?”
“Insya-Allah lepas isyak saya sampai,” itu janji Pak Imam pada Datuk. Dan Datuk meneruskan perjalanan tanpa mahu menoleh ke belakang lagi.
Sampai di tepi jalan raya, Datuk ambil basikal dari saya. Tanpa berkata apa-apa dia terus kayuh basikal. Saya terpinga-pinga kerana Datuk terus meluru ke depan tanpa menyuruh saya naik basikal.
“Tuk,” jerit saya.
Datuk tidak peduli dia terus kayuh basikal. Saya jadi cemas dia semakin jauh dari saya.
“Tuk,” jerit saya.
Datuk tidak juga menoleh ke belakang. Terus membongkok kayuh basikal. Ini tidak boleh jadi, Datuk dah buat perangai gila-gilanya. Saya buka langkah dan terus memburunya. Bila langkah saya bersaing dengan basikal yang Datuk kayuh, tanpa membuang masa saya terus melompat ke atas pelantar basikal. Saya tercungap-cungap, tetapi Datuk buat endah tak endah dengan kehadiran saya tu.
“Tuk,”
“Hum, ada kamu. Aku ingatkan tadi kamu tak tahu berusaha, nak hidup,” kata-kata itu amat menyakitkan hati saya.
“Agaknya Datuk terlupa nak ajak saya naik basikal.”
“Aku tak terlupa, aku sengaja tinggalkan kamu. Nak tengok kamu tu cerdik ke bodoh?”
“Hum,” saya mengeluh dalam hati. Sikap Datuk itu amat mengecewakan. Saya ambil keputusan tidak mahu bercakap dengannya.
Basikal yang dikayuh oleh Datuk agak laju, habis rambut saya menggerbang. Angin terasa begitu kuat memukul kulit pipi dan mata mula berair. Tenaga Datuk bagaikan tenaga orang muda.
“Duduk diam-diam,” Datuk mengingatkan saya, bila Datuk mendapati saya bergerak ke kiri dan ke kanan atas pelantar basikal. Saya berbuat demikian kerana saya terasa cukup lenguh.
“Baik tuk,” kata saya.
Dari jalan raya Datuk belok basikal ke kanan, masuk ke lorong kecil menuju ke rumah Haji Taslim Singasari. Cuaca tidak secerah tadi, matahari sudah mengisut ke kaki langit. Sebentar lagi cuaca samar akan menguasai seluruh kampung yang menandakan malam mula mengusir siang.
Cukup cekap Datuk mengendalikan basikal yang dikayuhnya. Dia bijak mengelakkan tayar basikal dari melanggar tunggul dan akar kayu yang berselirat di dada lorong.
Bila tayar basikal terlanggar lopak kecil atau akar kayu secara tidak sengaja, tubuh Datuk bergerak ke kiri dan ke kanan untuk mengimbangi badan dan basikal dari masuk parit. Secara tidak langsung, saya juga turut bergerak. Akibat terlalu kerap bergerak, badan saya berpeluh.
“Cepat datang.”
Sambut Haji Taslim Singasari di kaki tangga Saya terus melompat turun dari pelantar basikal. Kerana saya melompat tanpa memberitahunya, Datuk tidak dapat mengawal basikal dengan baik hingga dia terbabas ke arah perdu pisang. Basikal dan Datuk jatuh di situ. Haji Taslim Singasari segera menerkam ke arah Datuk.
“Kamu tak mahu fikir tentang orang lain, bila mahu berbuat sesuatu. Tengok apa dah jadi,” biji mata Datuk tertumpu ke wajah saya. Kali ini saya tidak merasa takut, kerana nada suara Datuk tidak meninggi.
“Lain kali jangan buat macam tu lagi,” sambung Datuk bersama senyum.
Entah mengapa Datuk tidak naik darah kali ini. Mungkin dia segan dengan Haji Taslim Singasari. Datuk tolak basikal ke bawah rumah. Disandarkan pada tiang kayu bulat. Kemudian Haji Taslim Singasari terus memeriksa tangan kanan Datuk. Pada hematnya, tangan kanan itu mesti bengkak atau luka. Semasa Datuk jatuh tadi tangan kanan itu terkandas atas kayu bulat.
“Tak ada apa-apa, saya sempat mengelak. Dari jauh memang nampak yang tangan saya ni kena kayu bulat,” jelas Datuk.
“Cekap juga awak.”
“Semuanya dengan izin Allah,” balas Datuk.
“Mari naik,” pelawa Haji Taslim Singasari.
BEKU
Sementara menanti masuk waktu maghrib, saya duduk di anak tangga bongsu melihat ke kawasan hujung sawah. Damai melihat pepucuk pisang yang meliuk-liuk di terpa angin, begitu juga dedaun pinang dan kelapa.
Datuk dan Haji Taslim Singasari terus berborak panjang di anjung. Mereka bertukar pendapat, berbincang tentang hal-hal agama.
“Islam itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang membuat Islam tu jadi beku,” tutur Haji Taslim Singasari.
“Maksud awak?” Sanggah Datuk.
“Mudah saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun dulu. Sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Quran. Sayangnya orang Islam sendiri tak mahu mencarinya.” Jelas Haji Taslim Singasari.
“Kalau hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat,” tingkah Datuk.
“Ya,” Haji Taslim Singasari anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat Datuk.
Hari beransur gelap. Pepohon di hujung sawah sudah tidak jelas lagi. Beburung tidak lagi terbang untuk pulang ke sarang. Cahaya merah dan biru di kaki langit sudah pun menghilang . Beduk di sudut masjid pun dipalu orang lalu disusuli dengan suara azan mendayu hiba. Menyeru penduduk kampung supaya menunaikan kewajipan.
Kami pun menunaikan solat Maghrib, imamnya Haji Taslim Singasari . Kami membaca surah Yasin hingga masuk waktu Isyak. Bila
solat Isyak mahu dimulakan, saya terasa lain macam saja. Macam ada sesuatu yang tidak dapat dilihat bergerak bebas dalam rumah.Bulu tengkuk saya sentiasa saja berdiri.
“Itu perasaan kamu saja, Tamar,” kata Datuk bila rasa gelisah itu saya sampaikan padanya.
“Bukan perasaan, perkara tu memang ada,” Haji Taslim Singasari renung muka Datuk, “pedulikan, kita sembahyang dulu,” sambung Haji Taslim lagi sambil mengarahkan saya dan Datuk mengambil tempat masing-masing. Dia pun memulakan tugasnya sebagai imam.
Bila saya memberi salam yang kedua, bahu saya seperti dipegang oleh seseorang. Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa seperti ada orang yang menjabat tangan saya. Digenggam erat sambil digoncang beberapa kali.
“Manusia ke syaitan?” Bentak batin saya.
Serentak dengan itu, genggaman yang mencangkum telapak tangan saya terlepas. Ada hembusan nafas yang keras menyentuh kulit pipi. Bahu saya disinggung dengan kuat hingga saya terdorong ke kanan, berlaga dengan badan Datuk.
“Kau mengantuk, Tamar?”
Saya segera gelengkan kepala sambil tumpukan seluruh perhatian ke arah pembacaan doa yang dilakukan oleh Haji Taslim Singasari. Sesekali saya lihat Datuk berada dalam keadaan yang resah. Dia mengisut ke arah saya seperti ada orang yang menghimpitnya. Pembacaan doa pun berakhir. Saya terus bersalam dengan Haji Taslim Singasari.
“Kamu kurang senang kerana diganggu,” Haji Taslim Singasari tenung muka saya. Belum pun sempat saya menjawab, dia ubah pandangan pada Datuk. Mereka bersalaman.
“Assalamualaikum.”
Biji mata kami tertumpu ke arah pintu yang tertutup rapat. Lama kami menunggu pintu yang tidak berkunci itu ditolak orang dari luar. Apa yang kami harap tidak juga terjadi.
“Pedulikan.” Kata Haji Taslim Singasari dengan tenang. “Mari kita baca surah Al-Kahfi,” sambungnya lagi.
Saya dan Datuk anggukkan kepala. Haji Taslim Singasari terus bangun, ambil Quran atas rak lalu diserahkan pada saya dan Datuk.
“Assalamualaikum,”
Kami bertiga terhenti untuk memulakan pembacaan. Semua biji mata tertumpu ke arah pintu. Seorang budak lelaki dalam usia lapan tahun, tanpa pakaian kecuali kain cawat yang menutupi kemaluannya. Rambutnya dicukur bersih, bahagian belakang kepalanya terdapat setompok rambut dalam bentuk jambul. Panjang rambut tersebut hingga bertemu dengan bahagian punggungnya.
Sekilas pandang memang wajahnya menyerupai kanak-kanak. Bila ditenung lama-lama ternyata wajah itu cukup dewasa dalam usia empat puluhan. Urat-urat di dahi dan di pipi kelihatan menonjol bagaikan akar rotan di permukaan bumi. Bentuk telinganya macam telinga arnab dan mengeluarkan asap nipis.
Saya gerun melihat bentuk matanya yang dalam, tidak ada kelopak, tidak ada bulu mata dan kening. Ada cahaya memancar lembut macam mata kucing waktu malam bila terkena sinaran lampu picit. Apa yang pelik dan menakjubkan dari mana dia datang? Mustahil dia masuk ikut pintu, kerana daun pintu tidak bergerak, masih tertutup rapat.
“Pedulikan,” Suara Haji Taslim Singasari meninggi.
Budak kecil di depan pintu terus ketawa dan menggilai panjang. Cukup seram dan menakutkan, bulu roma saya tegak berdiri. Dia jelirkan lidahnya yang panjang lalu menjilat-jilat tubuhnya macam kucing menjilat bulunya.
“Mari kita baca,” sambung Haji Taslim Singasari.
Kami terus mematuhi cakapnya. Dalam beberapa saat rumah di pinggir kampung itu terus bergema dengan pembacaan dari surah Al-Kahfi. Makin lantang suara kami membaca, makin kuat hilai ketawa sungguh ganjil. Dia menari-nari dan melompat di depan kami. Sesekali dia menukarkan taktik dari ketawa kepada menjerit dan akhir menangis tersedu-sedu macam budak kecil lapar susu.
Ilmu Telapak Pasir Merah
Saya kira setelah selesai membaca surah Al-Kahfi, tetamu ganjil yang tidak di undang itu akan pergi. Ternyata perkiraan saya tidak tepat. Tetamu ganjil masih berada di depan pintu, cuma dia tidak ketawa menggilai atau menangis.
Kali ini dia duduk dengan membongkokkan badannya. Menyembunyikan wajahnya di celah kangkang agar tidak dapat kami lihat. Bunyi nafasnya cukup kuat.
"Biarkan dia di situ," bisik Haji Taslim Singasari pada saya dan Datuk, "Masa arwah hidup, dia selalu datang tidak tentu masa," penjelasan Haji Taslim Singasari yang membuat saya dan Datuk terkejut besar.
"Begitu," kata Datuk.
"Biar saya uruskan semuanya," itu jaminan Haji Taslim Singasari.
Saya makin lemas dengan keadaan yang saya hadapi. Menyesal rasanya, saya ikut Datuk. Kalau saya tahu begini jadinya, lebih baik saya tidur di rumah Mat Prai.
"Kita makan," Haji Taslim Singasari letakkan hidangan malam di depan saya dan Datuk. Hebat juga masakkannya, ikan keli masak rempah, ada ikan gelama kering yang digoreng bersama cabai kering dan bawang besar. Ada sambal kelapa dengan ulam pegaga.
Melihat hidangan itu, saya jadi kagum. Masa bila Haji Taslim Singasari menyediakan semuanya ini? Sungguh cekap dia bekerja. Fikir saya dalam hati.
"Ya," angguk Haji Taslim Singasari sambil menaruh nasi ke dalam pinggan saya dan Datuk, "Masa menanti awak datang, saya siapkan semuanya ini. Masak sendiri dah jadi perkara biasa bagi saya," Haji Taslim Singasari menyelesaikan persoalan yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.
Ketika kami menjamu selera, tetamu ganjil tidak mengganggu. Tidak bergerak dari tempat duduknya. Bunyi hembusan nafasnya beransur lemah. Meskipun dia tidak mengacau tetapi, rasa cemas tetap berada di hati saya.
"Sin..."
Secepat kilat saya menoleh ke arah tetamu ganjil. Saya yakin, suara yang menyeramkan itu datangnya dari tetamu ganjil. Bunyinya macam bunyi belalang pelesit. Kerana Datuk dan Haji Taslim Singasari ada di sisi saya, rasa takut terus hilang.
Selesai makan, kami terus berehat di ruang tengah rumah. Saya sandarkan badan ke dinding. Ternyata Datuk tidak senang, kalau masa yang terluang dibiarkan berlalu begitu saja. Setiap saat yang hadir harus diisi dengan mengingati Allah.
"Macam mana kalau kita membaca Quran, Datuk meluahkan usul. Rupanya, usul itu disambut oleh Haji Taslim Singasari dengan aman.
"Memang elok tu, saya juga berfikir macam tu. Tapi, mesti sekejap lagi kita mulakan, biar nasi dalam perut hancur," Haji Taslim Singasari renung ke arah jam tua yang tersangkut di dinding.
"Baru pukul sebelas," tambah Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya. Senyum Datuk berlari di kelopak bibir.
Suasana jam sebelas malam di pinggir kampung memang terasa amat sepi. Desiran angin yang menolak cucur atap rumah jelas kedengaran. Suara pungguk merayu bulan terus mendayu-dayu begitu juga dengan bunyi cengkerik dan katak.
Mungkin kerana saya makan terlalu kenyang menyebabkan saya terasa amat mengantuk sekali. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk. Pada saat itu, saya sudah terlupa dengan makhluk ganjil.
"Makan tak jemput orang pun."
Saya segera jegilkan mata. Saya pasti, itu suara dari tetamu ganjil. Saya segera merenung ke wajah Datuk. Dari kedutan keningnya, saya dapat membayangkan yang Datuk berada dalam keresahan.
"Usah bimbang," Haji Taslim Singasari bersuara. Matanya tertampar ke wajah saya dan Datuk.
"Dia tu kembar si mati, inilah kali kedua dia datang. Kali pertama waktu arwah sakit. Dia datang merawatnya. Ini semuanya iblis," sambung Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya.
"Hal begini, tak boleh dibiarkan," cetus Datuk seraya menjeling tajam ke arah tetamu ganjil. Gegendang telinga saya terdengar bunyi suara orang mengeluh dengan sayu sekali.
"Sahabat apa namanya, kalau tak boleh menolong sahabat sendiri," datang lagi kata-kata dari tetamu ganjil. Saya jadi resah tidak menentu.
Tiba-tiba pelita yang menyala terpadam seperti dihembus sesuatu. Bagaikan kilat saya terus meluru ke arah Datuk. Terus duduk di hujung lututnya. Haji Taslim Singasari terus meraba-raba mencari mancis api.
"Rumah ni bergegar, macam di goncang orang," kata Datuk sambil memegang pergelangan tangan kanan saya erat-erat. Dia berbuat demikian agar saya tidak terpisah dengannya. Apa yang Datuk kata memang benar. Saya sendiri mengalaminya, terasa punggung saya seperti bergerak sendiri atas papan lantai.
"Jangan disentuh barang yang jatuh, walaupun ada di hujung tangan kamu," Haji Taslim Singasari mengingatkan. Dia menyalakan mancis lalu membakar sumbu pelita.
"Alhamdulillah," Datuk bersuara setelah cahaya pelita menerangi ruang. Haji Taslim Singasari membuka baju Melayu potongan teluk belanga lalu disangkut ke dinding.
Baju singlet yang masih lekat di tubuhnya kelihatan berwarna agak kekuningan. Beberapa bahagian ada yang koyak sebesar telapak tangan orang dewasa. Tanpa berkata apa-apa Haji Taslim Singasari terus menuju ke dapur.
KEMBALI
Dia kembali mendekati saya dan Datuk, muka dan kedua belah tangannya terdapat kesan air. Dia membiarkan air di hujung jarinya menitik atas lantai.
"Ambil air sembahyang?" Datuk bertanya.
Haji Taslim Singasari anggukkan kepala. Dengan hati-hati dia mengangkat barang-barang yang berserakan di lantai lalu diletakkan ke tempatnya.
"Jangan, biar saya uruskan sendiri," tegah Haji Taslim Singasari. Saya tidak jadi membantunya mengangkat kitab tua bertulis jawi ke atas rak.
Datuk masih lagi bersandar di dinding. Matanya merenung sayu ke arah Haji Taslim Singasari. Semua gerak-geri Haji Taslim Singasari ada dalam bola mata Datuk. Datuk bagaikan mentafsir segala gerak langkah Haji Taslim Singasari yang mempunyai makna dan maksud tertentu. Semua barang-barang yang bertaburan dikembalikan ke tempat asalnya. Haji Taslim Singasari kembali duduk di sisi Datuk.
Tiba-tiba daun tingkap yang dikunci terbuka dengan sendiri. Angin malam menembus masuk, mengusap wajah dan tubuh kami bertiga. Saya melihat ke arah tingkap yang terdedah. Cuaca di luar amat gelap.
"Kamu pergi rapatkan tingkap."
Perintah Datuk segera saya patuhi dengan rasa hati yang amat berat sekali. Ketakutan menguasai diri saya.
Bila saya hadapkan muka keluar, apa yang dilihat ialah kegelapan malam yang memanjang. Saya terasa seram dan bulu roma saya terus berdiri.
Bila daun tingkap saya tarik untuk rapatkan, secara tidak sengaja mata saya terpandang kain putih melayang-layang di udara diterbangkan oleh angin ke atas ke bawah. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya terus terpaku di situ.
Kain putih yang dimainkan angin bergerak ke arah saya. Hati kecil berdetik mengatakan kain putih yang saya nampak itu adalah kain kafan Suhaimi Keraba, saya tercium bau kapur barus, sintuk dan bau-bauan lain yang sering digunakan untuk memandikan mayat.
"Tamar, kenapa lama sangat kamu di situ?"
Suara Haji Taslim Singasari cukup lantang. Saya mempersetankan teguran itu. Haji Taslim Singasari berbuat demikian kerana melihat saya berdiri di situ agak lama. Daun tingkap tidak juga dirapatkan, masih terdedah.
"Tamar, apa yang kamu tengok dalam gelap tu?" suara Datuk menyusul. Saya terus membisu dengan sepasang mata tertumpu ke arah kain putih yang melayang-layang di udara.
Angin kian bertiup, dedahan yang berlaga sama sendiri mengeluarkan bunyi yang berbagai-bagai. Sesekali terdengar macam bunyi orang mengeluh, orang menangis dan bernyanyi yang tidak berapa jelas senikatanya.
Gegendang telinga terus disumbat dengan suara lolongan anjing yang sayup-sayup dari arah kaki bukit. Suara burung hantu terus tingkah meningkah dengan suara burung jampuk.
Makin gamat suara lolongan anjing dan suara burung hantu, kian rancak kain putih melayang-layang di udara macam orang menari. Kalau pada awalnya saya dapat mengagak panjang kain putih itu kira-kira enam kaki tapi kali ini panjangnya kian bertambah hampir mencecah awan.
"Tamar."
Bahu kanan saya di tepuk dengan kuat. Saya menoleh ke kiri. Saya lihat Datuk berdiri di sisi saya dengan wajah yang cemas. Saya toleh ke kanan, saya lihat Haji Taslim Singasari berdiri si situ. Saya cuba mahu menuturkan sesuatu tetapi, suara saya tidak keluar.
"Budak ni kena pukau iblis," tutur Haji Taslim Singasari.
Dia menentang wajah saya sambil mulutnya berkumat-kamit. Saya tidak tahu apa yang dibacanya. Seluruh kulit muka saya terasa panas seperti terkena api.
Haji Taslim Singasari meletakkan telapak tangan kanannya atas dahi saya. Dari dahi, telapak tangan itu bergerak perlahan-lahan menyapu wajah saya hingga ke hujung dagu. Haji Taslim Singasari mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali berturut-turut.
"Aiicccuuuummmmmmmmmmmmmmmmmmmm..."
Saya bersin hingga terasa hingus keluar dari hidung. Seluruh badan terasa seram sejuk. Saya rebah di lantai.
Ketika itulah saya terpandangkan tetamu ganjil seolah-olah berdiri di depan saya. Kali ini wajahnya amat menakutkan. Dia menjelirkan lidah hingga ke perut. Telinganya yang sebesar telinga gajah jatuh atas bahunya. Kelopak matanya merah seperti bara dan dari lubang telinganya keluar asap yang nipis. Dia bagaikan ketawa melihat saya terkapar di lantai. Haji Taslim Singasari terus merawat saya.
Bila Haji Taslim Singasari berada di bahagian kepala saya, tetamu ganjil itu segera berubah ke hujung kaki. Kehadiran tetamu ganjil itu memang tidak dapat dilihat oleh Haji Taslim Singasari. Dia bergerak bagaikan bayang-bayang. Saya menelan air liur dan cuba menuturkan beberapa patah perkataan. Ternyata saya sudah boleh bersuara.
"Di hujung kaki saya," tutur saya meninggi.
"Apa dia Tamar?" soal Haji Taslim Singasari kehairanan. Dia renung ke kiri dan ke kanan. Dia gelengkan kepala sambil berkata: "Tak ada apa-apa pun yang aku nampak."
Mendengar ungkapan dari Haji Taslim Singasari itu, tetamu ganjil menyeringaikan giginya tanda suka.
"Saya nampak apa yang cucu saya katakan," Datuk bersuara dengan sepasang matanya tertumpu ke arah hujung kaki saya. Gerak-geri si tetamu ganjil dalam biji mata Datuk.
"Saya," sahut tetamu ganjil lalu mempamerkan tubuhnya ke alam nyata. Datuk dan Haji Taslim Singasari berpandangan.
"Kita mesti bertindak," kata Datuk.
"Caranya?" soal Haji Taslim Singasari.
"Begini, kau ambil surah Yasin dan baca di situ," Datuk segera menuding jari telunjuknya ke arah sudut ruang.
"Kalau itu, memang ada rancangan dalam kepala saya," sahut Haji Taslim Singasari mematuhi cakap Datuk.
Datuk terus berdepan dengan tetamu ganjil itu. Kedua-dua kelopak bibir Datuk bergerak. Pasti Datuk membaca ayat-ayat suci penghalau iblis. Datuk seperti menghadapi kesulitan kerana bibir tetamu ganjil itu ikut bergerak mengikut gerakan bibir Datuk, dia dapat menyebutnya dengan fasih, malah membetulkan pembacaan Datuk yang tersilap.
SUARA
Datuk buat tidak kisah dengan telatah tetamu ganjil itu. Dia terus membaca ayat-ayat suci penghalau iblis dengan tenang. Haji Taslim Singasari yang mendengar suara tetamu ganjil mengajuk cakap Datuk, terus membaca surah Yasin dengan lantang.
"Sampai di sini saja kita berkawan Haji, kamu memang selama-lamanya bermusuh dengan sahabat kami," tiba-tiba saja tetamu ganjil meloncat ke arah Haji Taslim Singasari. Dia jadi marah kerana Haji Taslim Singasari tidak menjawab kata-katanya. Dia menjerit dengan sekuatnya.
Dan bersama gema jeritan yang memekakkan anak telinga itu, seluruh tubuh tetamu ganjil bercahaya macam manik-manik kaca disinari matahari. Pada mulanya membesar, kemudian mengecil dan hilang macam debu-debu dibawa angin. Tidak ada apa yang dapat kami lihat.
Suasana terasa amat sepi tetapi, bau kemenyan dan kapur barus bagaikan memenuhi ruang rumah. Saya rasa seluruh badan berpeluh dan bertenaga. Saya segera bangun duduk.
"Saya fikir semuanya dah selesai," kata Datuk.
"Saya harap pun begitulah, tapi iblis ni pandai menipu kita," sahut Haji Taslim Singasari agak ragu-ragu. Dia renung kiri kanan.
Dia bangun dan memeriksa seluruh ruang. Akhirnya daun tingkap yang terdedah dirapatkannya. Lolongan anjing masih sayup-sayup terdengar. Haji Taslim Singasari dan Datuk tidak memberi sebarang komen tentang lolongan anjing itu.
"Bagaimana? awak yakin dia tak dapat datang lagi?" tanya Datuk sambil menatap wajah Haji Taslim Singasari.
Saya lihat Haji Taslim Singasari seperti tergamam. Dia segera mengedutkan dahi dan keningnya.
"Saya rasa semuanya dah selesai."
"Awak yakin, dia tak datang lagi?" Datuk minta kepastian.
Haji Taslim Singasari anggukkan kepala.
"Jadi sekarang, apa yang patut kita buat, Haji."
Pertanyaan Datuk tidak mendapat jawapan. Haji Taslim Singasari menelan air liur.
"Apa yang patut kita buat, Haji?" ulang Datuk lagi. Haji Taslim Singasari senyum sinis. Dia terus meluru ke ruang dapur.
Buat beberapa saat, saya dan Datuk saling berpandangan. Malam yang kian tua membuat suasana terasa hening. Kedinginan terasa menggigit seluruh tubuh. Sesekali terdengar kokok ayam dari hujung kampung. Datuk ambil senaskhah Quran dari atas rak. Badannya disandarkan ke dinding. Dengan wajah yang tenang, Datuk membuka Quran dan bersedia untuk memulakan pembacaan.
"Nanti dulu, ini yang patut kita buat," biji mata saya dan Datuk tertumbuk ke arah Haji Taslim Singasari yang berdiri di ambang pintu. Dia menatang talam bulat yang berisikan teko dan cawan kosong, "Tadi awak tanya saya apa yang patut kita buat. Jawapannya inilah dia," sambung Haji Taslim Singasari lalu duduk. Talam yang berisikan teko dan cawan diletakkannya atas lantai.
"Apa benda ni," tanya Datuk sambil menutup Quran. Datuk bangun dan terus meletakkan Quran atas rak.
"Kita minum dulu, lepas tu baru kita buat yang lain," Haji Taslim Singasari pun menuangkan air kopi ke dalam cawan.
Saya terus memerhatikan asap nipis yang bangkit di permukaan cawan. Haji Taslim Singasari menjeling ke arah saya tetapi, tangannya terus meletakkan cawan yang berisi kopi di depan saya dan Datuk.
"Minum, biar panas badan, bila kena kopi O keras macam ni, barulah seronok. Sampai ke siang kita boleh berjaga," tutur Haji Taslim Singasari. Dia ketawa kecil, mempamerkan giginya yang kelihatan putih dan tersusun rapi. Tidak ada satu pun giginya yang patah atau rosak.
Nanti, bila ada masa lapang, saya nak himpit orang tua ni. Saya nak minta petua dan amalan yang dipakainya untuk gigi tahan lama, bisik batin saya.
Wajahnya saya tatap dan Haji Taslim Singasari bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya. Dia senyum sambil anggukkan kepala lalu meneguk air kopi O panas. Dia bangun dan terus menuju ke ruang dapur untuk kali kedua.
Saya dan Datuk merasa agak ganjil dengan sikap yang ditunjukkan oleh Haji Taslim Singasari. Jangan-jangan dia lebih hebat dari Suhaimi Keraba dalam bersubahat dengan iblis, timbul semacam perasaan dalam diri saya.
Datuk terus memeluk tubuh erat-erat. Kemudian dia meluruskan tangan dan jari-jemarinya. Kedua belah cuping telinganya diraba tiga kali berturut-turut. Datuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk tarik nafas dalam-dalam. Dilepaskannya perlahan-lahan. Tangan yang diluruskan segera dijatuhkannya. Jari-jemarinya digenggam kemas-kemas. Wajah Datuk nampak aman sekali.
"Tak ada apa-apa Tamar, dia jujur," tutur Datuk.
"Saya tahu, tetamu saya ni meragui kejujuran saya," kata Haji Taslim Singasari, kami segera menoleh ke kanan. Memang saya dan Datuk tidak sedar bila Haji Taslim Singasari berada di situ. Datuk merasa malu kerana rahsianya dapat dikesan oleh orang lain. Haji Taslim Singasari terus duduk di sisi saya.
"Bukankah beringat-ingat dan berhati-hati tu, memang disuruh oleh agama kita," itu dalih Datuk.
"Ya, perkara semacam tu memang harus ada pada setiap manusia, kita tidak disuruh menyerah pada takdir. Bukankah agama kita mengajar kita supaya berfikir," begitu bersahaja Haji Taslim Singasari bersuara. Dia terus meneguk air kopi O panas.
"Kalau kita ikhlas dan jujur sesama manusia, apa yang menjadi kesangsian pada orang lain mudah dikesan, buktinya, awak dapat mengesan kejujuran saya. Antara kita berdua saling ingat mengingati," Datuk melanjutkan kata-kata.
MELAWAN
Haji Taslim Singasari bangun lagi terus menuju ke ruang dapur untuk kali ketiga. Beberapa detik berikutnya, Haji Taslim Singasari datang kembali menatang pinggan. Dia duduk meletakkan pinggan atas lantai.
"Saya ke dapur tadi memasakkan ini," jelasnya.
"Kalau tak silap saya, ini pulut kuning," mata Datuk merenung ke arah pulut kuning yang ada dalam pinggan.
"Ya, memang betul cakap awak tu."
"Bila Haji memasaknya?"
"Tadi, biasanya bila saya berjaya melawan hantu syaitan, saya mesti makan pulut kuning. Memang sejak kematian sahabat saya, saya yakin kembarnya mesti datang, jadi saya bersedia terlebih dahulu.
"Ini ajaran guru awakkah Haji?" Datuk menyoal lagi. Haji Taslim Singasari tidak menjawab. Dia terus mengepalkan pulut kuning dan diberikan kepada kami.
"Ini bukan ajaran atau amalan, ini petua guru saya. Tidak ada kena mengena dengan agama, sudah penat berlawan kita mesti berehat dan makan barang yang boleh beri kita tenaga, itu saja maksudnya," dengan wajah yang tenang Haji Taslim Singasari menjelaskan. Dia menghirup kopi O panas dan mengunyah pulut kuning.
"Makan, lepas ni kita membaca Quran atau melakukan sembahyang tahajud, kalau kamu tidak mahu kamu boleh tidur," Haji Taslim Singasari renung wajah saya. Datuk ketawa.
"Budak ni, kalau disuruh tidur memang jadi, dia ni kaki tidur," kata Datuk. Hati saya jadi panas dengan usikan Datuk itu. Kalaulah Datuk itu kawan sepermainan, sudah tentu saya maki. Menjatuhkan nama baik saya di depan orang.
"Tak apa, kalau kamu nak tidur, tidurlah, tapi orang yang pandai selalu memilih berjaga dari tidur. Berjaga banyak mendatangkan manfaat, kalau digunakan untuk menambah ilmu," Haji Taslim Singasari terus menepuk belakang saya dengan mesra sekali.
"Kalau waktu berjaga digunakan berborak kosong, membaca buku yang tidak berfaedah, berangan-angan, tentulah merugikan diri sendiri," sambung Haji Taslim Singasari, bagaikan berfalsafah di depan saya.
"Cakap awak tu, Haji memang betul," sampuk Datuk dengan senyum yang memanjang.
Entah macam mana di malam yang dingin itu, Datuk berjaya memujuk Haji Taslim Singasari supaya menceritakan pengalaman petualangnya di Tanah jawa mengisi ilmu akhirat dan dunia di dalam dadanya.
"Saya tak banyak mengambil ilmu dunia. Awak tahu, ilmu dunia kadang-kadang bercanggah dengan agama Islam. Tetapi..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan kata-katanya. Dia renung kiri, renung kanan. Macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.
"Tetapi saya ada juga belajar untuk tahu saja," sambung Haji Taslim Singasari yang secara tidak langsung membuka rahsia dirinya.
"Saya pernah ikut arwah ke tempat perguruan di hutan. Saya melihat arwah sahabat saya bersemadi di bawah batu besar. Makan sebiji beras sehari dan minum dua hari sekali. Air minuman dari embun di hujung daun," Haji Taslim Singasari memperkemaskan silanya.
"Itu untuk ilmu apa, Haji?" soal Datuk.
"Untuk melihat muka orang halus, bertutur dan berkampung sama-sama mereka," jelas Haji Taslim Singasari. Haji Taslim Singasari juga menyatakan arwah (Suhaimi Keraba) diiktiraf murid yang terbaik oleh gurunya. Arwah dikurniakan kain ikat kepala warna merah.
Arwah Suhaimi Keraba (ASK) juga menuntut ilmu 'Telapak Pasir Merah'. Khasiat dari ilmu ini, bila ASK menghentam atau menumbuk seseorang pasti orang yang kena hentam itu akan muntah darah segar.
Ketika mangsanya menggeletek kesakitan ASK menghilangkan diri dan berada di tempat lain. ASK juga menuntut ilmu 'Cakra Dewa', khasiatnya boleh membunuh orang dari jauh, juga boleh digunakan sebagai ilmu guna-guna.
Selain dari ilmu-ilmu yang disebutkan itu, ASK juga menuntut ilmu 'Cakar Dewa'. Orang yang mengamalkan ilmu ini, bila dia mengerakkan jemarinya ke wajah seseorang, maka rosaklah wajah orang yang tersebut ketika itu juga.
"Ini ilmu dunia yang tidak pernah saya amalkan. Tetapi saya tahu kehebatannya. Saya juga merasa pelik macam mana arwah boleh kalah dengan awak?" sepasang biji mata Haji Taslim Singasari meraut wajah Datuk yang sudah mula berkedut itu.
"Entahlah, setiap kali saya berdepan dengannya, saya mohon pada Allah supaya usaha-usaha saya diberkati. Tujuan saya ialah mahu mengajak sahabat awak ke jalan yang benar." Datuk memberikan pengakuan.
JAKARTA
Dalam bulan Februari 1980, saya berkunjung ke Jakarta kerana urusan peribadi. Sebaik saja sampai di sana, semua akhbar dan majalah memuatkan berita tentang seorang penjenayah yang handal bernama Kunsi Kandut. Kunsi Kandut dihukum mati kerana kesalahan merompak, membunuh dan sebagainya.
Kunsi Kandut terkenal sakti dan berilmu, sehingga ramai yang mengatakan tubuhnya tidak boleh ditembusi peluru. Kematiannya disangsikan. Maka dalam penjara dia diberikan beberapa keistimewaan, disediakan peti tv dan sebagainya. Tetapi Kunsi Kandut berjaya menghilangkan diri dari tembok batu. Setiap kali dia bolos, pihak berkuasa berjaya memberkasnya.
Hasil dari penyelidikan sendiri, ternyata ilmu yang dimanfaatkan oleh Kunsi Kandut, sama dengan ilmu yang diamalkan oleh ASK. Saya terfikir, mungkinkah dua insan ini seperguruan, sayangnya mereka sudah tiada lagi. Kalau salah seorang daripada mereka masih ada mungkin saya boleh bertanya.
"Saya tahu, arwah pernah menyatakan pada saya yang dia mahu mengajar ilmunya pada orang-orang yang berminat, caranya dia mahu mendirikan gelanggang silat dulu," Haji Taslim Singasari terus bangun. Berjalan dari sudut ke sudut di ruang tengah.
"Ada anak muridnya?" tanya Datuk.
Haji Taslim Singasari telan air liur. Dia tidak dapat memberikan jawapan dengan segera. Haji Taslim Singasari duduk kembali.
"Ada." Jawab Haji Taslim Singasari selamba.
"Di mana, Haji?"
"Saya tidak tahu dengan tepat, boleh jadi ada di Perak, Kedah, Selangor. Maklumlah dia tu boleh pergi ke mana-mana dengan sekelip mata.
"Hum..." Datuk mengeluh kehampaan.
Buat beberapa saat, suasana dalam rumah dicengkam kesepian. Tiga kepala cuba berusaha memecahkan persoalan yang ditinggalkan oleh Suhaimi Keraba.
Saya segera terfikir, banyak kejadian ganjil di dunia yang dapat diterima oleh akal. Ada pula yang tidak logik! Ah semuanya ini menjadi misteri yang membingungkan orang. Apa yang jelas kematian Suhaimi Keraba mendatangkan masalah pada Datuk dan Haji Taslim Singasari.
"Kalaulah benar, dia ada anak muridnya, kita harus berusaha mencegahnya supaya ajaran ini tidak merebak ke mana-mana," Datuk memberikan cadangan.
"Ya, kita mesti menyedarkan mereka yang perbuatan itu memang bertentangan dengan agama," sahut Haji Taslim Singasari.
"Kita berjanji," kata Datuk.
"Ya, saya berjanji," sahut Haji Taslim Singasari ambil berjabat tangan dengan Datuk. Mereka bergoncang tangan, memperkuatkan tekad.
"Awak mesti ikut saya ke kampung laman saya minggu depan, saya memerlukan bantuan awak, sebelum ke tempat saya kita ke tempat lain dulu," tiba-tiba Haji Taslim Singasari bersuara sambil menarik telapak tangannya yang bercantum dengan telapak tangan Datuk.
Kena Serbuk Tulang
Saya tergamam, bila melihat Datuk agak terkejut. Datuk terus mengerutkan dahinya, saya kira Datuk seperti keberatan untuk memenuhi permintaan Haji Taslim Singasari.
“Bila haji nak pergi?”
“Tiga empat hari lagi.”
Datuk menyentuh ujung kening kirinya dengan jari telunjuk kanan. Haji Taslim Singasari menggaru-garu pangkal telinganya yang tidak gatal. Ekor matanya masih tertumpu ke arah saya.
“Begini haji.”
Haji Taslim Singasari segera memalingkan wajahnya ke arah Datuk. Mereka bertukar senyuman untuk seketika.
“Apa dia?” Soal Haji Taslim Singasari .
“Kalau begitu, biar saya balik ke kampung dulu. Dah lama sangat saya tinggalkan orang rumah”
“Dah tua-tua begini rindu lagi ke?” Usik Haji Taslim Singasari seiring dengan ketawa sinis.
“Bukan apa-apa, adat bersuami bertanggungjawab pada makan minum isteri, kesihatannya juga perlu diperhatikan. Hidup jangan mementingkan diri sendiri, tak mahu memikirkan kebajikan isteri, itu bukan suami yang baik,” tutur Datuk. Saya lihat Haji Taslim Singasari menganggukkan kepala.
“Cakap awak tu betul, kita harus menjadi suami yang baik mengikut hukum hakam Islam,” Haji Taslim Singasari memberikan semangat.
“Hajat tu memang begitu” celah Datuk.
“Saya tak menghalang, terpulanglah kepada awak. Saya sedia menanti awak” itulah kata-kata yang Datuk nantikan dari Haji Taslim Singasari.
“Awak ikhlas ke Haji?”
“Saya ikhlas”
“Ke mana kita nak pergi sebenarnya Haji, boleh tak awak beritahu tujuan sebenarnya Haji nak mengajak saya ke situ, bila orang kampung bertanya, senang saya nak menjawabnya,” tutur Datuk dengan tenang.
Lagi sekali saya lihat Haji Taslim Singasari tersenyum sinis.
“Awak ni selalu menggunakan nama orang rumah, katakan saja awak yang nak tahu,” dalam senyum Haji Taslim Singasari menyindir Datuk.
“Dua-dua boleh pakai” sahut Datuk.
“Begini,” Haji Taslim mengemaskan silanya, “ saya ajak ke kampung saya supaya awak boleh berkenalan dengan orang tempat saya”
“Itu saja,” wajah Datuk Nampak kesal. Haji Taslim dapat membaca apa yang tersirat dalam hati Datuk dan dia terus bersuara lagi.
“Kita pergi sebuah kampung yang aneh, saya nak ajak awak tangkap hantu hidup-hidup”
“Awak ni cakap betul atau nak bergurau dengan saya” Datuk minta kepastian. Saya juga terkejut mendengar cakap Haji Taslim itu.
“Saya tak bergurau, saya tak berbohong,” Haji Taslim memperlihatkan kesungguhannya. Saya dan Datuk saling berpandangan.
“Hantu apa yang nak ditangkap?” Datuk tatap wajah Haji Taslim. Begitu juga dengan saya.
“Nak tangkap hantu susu”
Saya jegilkan mata bila mendengar Haji Taslim. Entah mengapa secara mendadak saja bulu roma saya terus berdiri.
“Hei, macam cerita budak-budak je” kali ini giliran Datuk tersenyum sinis ke arah Haji Taslim. Ternyata Haji Taslim kurang senang dengan kata-kata yang diluahkan Datuk.
“Benar kawan, sudah dua tiga orang dah menyampaikan cerita tu pada saya. Khabarnya cerita tu dah tersebar luas seluruh pulau ini. Saya sendiri belum dapat menentukan sejauh mana benarnya cerita tersebut,” Haji Taslim merenung muka Datuk. Saya lihat Datuk masih lagi tersenyum sinis, mungkin Datuk berfikir, mana ada hantu susu dalam dunia yang serba moden ini.
Beberapa saat yang panjang, tiada ungkapan kata yang lahir dari kelopak bibir kami. Suasana terasa amat sepi sekali. Bunyi deru angin di luar tidak seganas tadi.
Suara lolongan anjing kadang-kadang tenggelam. Begitu juga dengan suara burung hantu. Tubuh, saya peluk erat-erat dan dagu saya menggeletar menahan kedinginan malam yang kian tua.
“Agaknya perkara yang sebutkan ini ada kaitan dengan sahabat awak yang mati tu?” Datuk ajukan pertanyaan kepada Haji Taslim.
Saya lihat Haji Taslim menegakkan badannya. Dia terus menggelengkan kepala. Tidak mahu menjawab pertanyaan Datuk.
“Kalau bukan dirinya, boleh jadi anak muridnya” Datuk terus memancing jawapan dari Haji Taslim.
Dia menarik nafas dalam-dalam. Melihat dari gerak geri air mukanya, Haji Taslim seperti bersetuju dengan apa yang Datuk tuturkan. Jerat Datuk mengena, fikir saya dalam hati.
“Setahu saya, semasa dia menuntut dulu, tak pernah dia bercerita yang dia menuntut ilmu yang semacam itu.” Tanpa saya duga Haji Taslim mahu membuka mulut.
Dia bangun lalu melangkah ke jendela. Daun jendela dibukanya luas-luas. Saya menjadi cemas, takut perkara buruk berulang lagi. Haji Taslim menatap kegelapan malam seketika.
Daun jendela dirapatkan kembali. Dengan tenang Haji Taslim melangkah ke arah saya dan duduk bersila di atas lantai.
“Agaknya dia memang menuntut, tapi tak beritahu awak. Kalau diberitahu awak, nanti awak melarang dia,” kata Datuk.
“Boleh jadi cakap awak betul.” Balas Haji Taslim dengan tenang, “Boleh jadi ada orang lain yang mengamalkan ilmu itu” tambahnya.
Kata-kata yang diluahkan oleh Haji Taslim membuat keraguan bersarang dalam dada saya. Dia masih melindungi dan mempertahankan arwah sahabatnya. Saya menelan air liur dan membuat rumusan yang Haji Taslim perlu diawasi dengan cermat. Mana tahu, dalam diam-diam dia akan menjadi pemusnah pada diri saya dan Datuk.
“Orang yang sudah tiada, usah dikaitkan dengan kejahatan di kulit dunia,” tutur Haji Taslim lagi, memperkuatkan keraguan dalam hati saya.
“Saya tidak berniat buruk terhadap arwah, saya cuma meluahkan pendapat dan pandangan aje,” Datuk bertindak membersihkan dirinya dengan sopan. Semoga tidak ada tanggapan buruk haji Taslim terhadap dirinya.
“Saya faham, awak bercakap sekadar ingat-mengingati,” Haji Taslim terus menepuk bahu kanan Datuk.
“Cakap awak tu memang ada manfaatnya. Kena fikir bersama, barangkali ada kebenarannya.” Haji Taslim menggeliat dan akhirnya memicit ibu jari kaki kanannya.
“Pada hemat saya, setiap perkara buruk mesti ditentang, terutama yang menyesatkan iman,” cetus Datuk dengan cara mendadak saja.
“Betul, memang betul,” Haji Taslim menjegilkan matanya ke ara h Datuk.
“Tapi kerja macam tu tak mudah, banyak cabarannya, Haji,” tingkah Datuk sambil meraba hujung dagunya. Saya terdengar sesuatu di tingkap. Mata pun saya arahkan ke situ.
Tak ada apa-apa, Cuma angin saja, kamu cepat sangat takut”, Haji Taslim menujukan kata-kata kepada saya, rupa-rupanya dia dapat membaca apa yang tersirat dalam dada saya.
“Apa yang awak katakan tadi, cuba ulang sekali lagi,” Haji Taslim mengarahkan jari telunjuknya ke arah Datuk.
“Banyak cabarannya, bukan kerja mudah”, ulang Datuk lagi.
“Ya, sebab itulah kita memerlukan kawan yang berilmu. Dua ilmu dari dua kawan, kita satukan untuk menentang kejahatan, saya memang memerlukan awak dalam hal ni,” wajah Haji Taslim Nampak riang sekali.
“Saya tak sehebat mana, Haji. Kalau Allah mengizinkan, jadilah ia. Kalau tidak, hampa melayang,” Datuk tetap macam selalu, suka merendah diri.
“Sudah lah tu, hidup kalau terlalu merendah diri, tidak juga baik. Sekarang saya dah terangkan tujuan sebenar. Senanglah awak bercakap dengan orang rumah.”
“Nampaknya begitulah Haji,” sanggah Datuk. Mereka berbalas ketawa, dan ketawa mereka berhenti secara mengejut.
Biji mata mereka tertumpu ke arah tingkap yang terbuka sendiri.
BESAR
Ada lengan sebesar batang kelapa terjulur di tingkap. Jumlah jari cuma empat sahaja. Ibu jarinya bengkok macam ibu kunyit. Semua jejari itu berbulu dan dilekati tanah warna kekuningan.
Di lengan itu penuh dengan bulu berwarna hitam, tidak ubah seperti lengan mawas (king kong), terdengar bunyi orang menarik dan melepaskan nafas dalam keadaan yang amat penat. Rumah yang kami duduki terasa bergegar. Seluruh tubuh saya menggeletar.
“Syaitan apa tu Haji?”
“Sudah lama dia tak datang, kenapa malam ni dia datang” Haji Taslim seperti merungut.
Datuk merenung ke arah anak mata saya, dari renungannya, bagai ada sesuatu yang mahu disampaikan kepada saya.
“Makhluk peliharaan awak, Haji?”
“Rasanya iman saya belum tergugat lagi.”
“Jadi, dia datang ni untuk siapa?” tingkah Datuk
Haji Taslim mempamerkan kemarahan di wajah. Hatinya kurang senang dengan pertanyaan yang bertalu-talu.
“Saya tak mahu menjawab pertanyaan awak, cari sendiri jawapannya” nada suara Haji Taslim mula meninggi.
Dia genggam penumbuk. Matanya tertumpu ke arah lengan yang sedang bergerak ke sana ke mari atas bendul tingkap. Jejarinya sekejap terbuka sekejap tertutup.
“Peliharaan arwah, Haji?”
Haji Taslim menganggukkan kepala.
“Masa arwah ada, kerap dia datang”
Haji Taslim menganggukkan kepala.
“Minta makanan,” soal Datuk lagi.
Tiada jawapan dari Haji Taslim kecuali anggukan kepala.
Mungkin bosan dengan Haji Taslim yang main angguk-angguk kepala saja, Datuk terus berhenti bertanya. Matanya ditumpukan kepada lengan di bendul tingkap. Saya ikut apa yang Datuk lakukan. Dari hujung jari jemari itu, darah keluar lalu menitik ke atas lantai.
Anehnya apabila saya merenung ke tempat darah itu menitik, tidak ada kesan darah. Entah ke mana darah itu menghilang. Mustahil meresap ke dalam papan lantai. Kelopak mata Haji taslim tidak berkelip merenung ke arah tangan berbulu yang bergerak bebas di atas bendul tingkap. Bunyi hembusan nafas bertambah kuat dan hebat.
Saya menjadi resah. Tetapi rasa takut agak berkurangan kerana Datuk ada di sisi saya. Lolongan anjing yang tadi jarang kedengaran, kini sudah bertalu-talu, begitu juga dengan suara burung hantu yang bersorak, deruan angin mula kedengaran.
“Masa arwah hidup dulu, dia beri makan darah binatang?” soal Datuk pada Haji Taslim. Jawapan yang diperoleh ialah anggukan.
“Darah ayam”
Haji Taslim mengangguk.
“Darah manusia,”
Angguk juga yang diperolehi.
“Pernah beri darahnya sendiri yang dikeluarkan dari salah satu urat di bawah ketiak,” sambung Datuk. Macam tadi juga, tidak sepatah kata keluar dari mulut Haji Taslim. Dia terus main angguk kepala, macam belatuk patuk batang buruk.
Rumah bergegar lagi seperti digoncang sesuatu. Suara orang ketawa dan menggilai mulai kedengaran. Haji Taslim ubah tumpuan ke arah Datuk.
“Ambilkan bilah buluh yang saya selitkan di dinding belakang awak,” itu arahan yang dikeluarkan pada Datuk. Tanpa membuang masa Datuk bangun dan mencabut salah satu bilah buluh yang terselit di dinding. Datuk segera serahkan pada Haji Taslim.
“Rasanya, waktu subuh dah dekat,” nada suara Haji Taslim kini bagai mengandungi harapan yang besar.
“Saya rasa pun begitu, dah dekat benar waktunya,” balas Datuk penuh keyakinan.
Haji Taslim terus melurut bilah buluh kering dua tiga kali. Kedua bilah buluh itu memang sudah ditajamkan. Saya lihat Haji Taslim mengukur seluruh bilah dengan kuku jari kirinya.
“Nak buat apa?” mendadak Datuk menyoal. Tiada jawapan dari Haji Taslim. Sesekali, saya bagaikan terlihat kemunculan wajah yang mengerikan di tingkap.
Wajah itu mengeluarkan cahaya kekuningan, kulitnya berkedut dengan rambut berwarna kemerah-merahan menutup wajahnya. Dari celah-celah rambut itu terdapat sepasang mata yang memancar cahaya hijau. Bulat sebesar telur burung puyuh. Sorotan cahayanya cukup jauh, macam sorotan cahaya lampu picit.
BERSILA
Haji Taslim kali ini mengubah kedudukannya. Kali ini dia duduk bersila. Bilah buluh diletakkan di antara kedua tempurung lututnya. Sepasang tangannya terus memeluk tubuh. Kelopak bibirnya mula bergerak.
“Kita mulakan sekarang,” perlahan-lahan Haji Taslim memusingkan lehernya ke kanan, iaitu ke arah Datuk. Mata mereka bertembung.
“Maksud Haji?”
“Menghancurkan apa jua peninggalan arwah. Menjahanamkan semua sahabat-sahabatnya,” nada suara yang mengutus kemarahan dari dalam sanubari Haji Taslim.
“Mahu bantuan dari saya, Haji,”
“Niat memang begitu, tapi ikhlaskah awak menolong saya. Jangan disalahkan saya kalau ada hal-hal yang buruk datang kemudian.” Haji Taslim bersuara tanpa melihat wajah Datuk.
Matanya terus tertumpu pada lengan di atas bendul. Saya mula terdengar bermacam-macam bunyi. Ada suara beruang, kucing dan tempikan gajah. Dan saya yakin suara-suara aneh itu hanya datang kepada saya. Kalau Haji Taslim mendengarnya, pasti dia memberi komen. Begitu juga Datuk.
“Bersedia”
Cukup lantang suara Haji Taslim. Pergerakan tubuhnya sungguh pantas. Tahu-tahu dia sudah berdiri dengan bilah buluh di tangan. Bersedia untuk melunturkan buluh yang tajam kerah lengan berbulu yang tersidai di atas bendul tingkap.
“Apa mesti saya buat, Haji?”
“Melafazkan kalimah Allah Huakbar, bila bilah buluh itu melekat pada daging syaitan itu. Tetapi kalau terdengar suara azan Subuh masa buluh ini menikam lengan ganjil tu, tak payah ucap Allah Huakbar.”
“Baiklah, Haji”
Haji Taslim menarik dan menahan nafas. Bila nafasnya dilepaskan bilah buluh pun dilunturkan ke arah lengan berbulu. Lunturan tepat pada sasarannya. Bilah buluh lekat di situ, jejari empat saya lihat relai dari tangan. Semua melayang dan meluru ke arah Haji Taslim. Saya terdengar suara orang mengerang kesakitan yang amat sangat. Rumah kembali bergegar.
Datuk saya lihat seperti orang kena pukau. Dia tidak dapat berkata sepatah pun. Matanya, tidak bergerak melihat jari-jari bagaikan terbang menerkam Haji Taslim bersama cahaya kemilau macam cahaya kelip-kelip.
Haji Taslim terpaksa menggerakkan bilah buluh ke kiri dan ke kanan. Hanya itu sahaja yang dapat dilakukan mengelakkan diri dari diserang oleh jejari yang empat.
Dalam suasana yang kacau bilau itu, terdengar suara azan berkumandang di udara. Rumah yang bergegar terus berhenti. Datuk yang terpukau terus tersedak. Suara binatang yang memekakkan telinga saya terus hilang.
Empat jejari yang mahu menujah muka Haji Taslim terus lesap entah ke mana. Keadaan kembali normal.
“Masih ada bahaya yang lebih besar lagi,” ucap Haji Taslim. Dia terus mendekati. Gema azan sudah pun berakhir. Haji Taslim menarik tangan Datuk ke arah jendela.
“Tanah, darah dan kain putih,” kata saya dengan rasa terkejut yang amat sangat bila melihat kesan tanah kubur, darah dan kain putih yang terlekat pada bendul jendela. Saya merenung wajah Haji Taslim. Saya mohon penjelasan daripadanya.
“Kain putih yang melekat pada bendul tu, kain kafan,” jelas Haji Taslim darah saya tersirap
“Tanah tu, agaknya tanah dari kubur,” celah Datuk
“Memang tanah kubur,” jawab Haji Taslim.
“Darah tu, darah apa, Pak Haji,” tanya saya.
“Itu saya tak tahu. Boleh jadi darah ayam atau darah binatang lain,” Haji Taslim terus menggosok pangkal hidungnya beberapa kali.
“Sudahlah, bila hari cerah, kita periksa,” tiba-tiba sahaja Datuk memberikan pendapat, ternyata pendapatnya diterima oleh Haji Taslim. Kami segera ke perigi dan mandi. Setelah itu kami menunaikan sembahyang Subuh dan imamnya ialah Haji Taslim. Selesai sembahyang Subuh, kami terus berwirid panjang hingga matahari muncul di kaki langit.
SARAPAN
Dan pagi itu, setelah menemani Datuk bermandi embun, saya terus pulang ke rumah Haji Taslim.
“Datuk kamu ke mana, Tamar?”
Itu yang Haji Taslim ajukan, bila melihat wajah saya terjengul di pintu.
“Di belakang,” jawab saya.
“Sarapan dah siap,” sambung Haji Taslim lagi. Saya anggukkan kepala. Lalu ke ruang dapur mencuci tangan. Kemudian saya duduk bersila menghadapi hidangan pagi.
Hati kecil saya mengagumi kecekapan Haji Taslim. Walaupun sudah tua. Tetapi masih mampu menyediakan sarapan dengan segera.
Dia buat air kopi panas, pisang goreng malah ada tiga pinggan nasi lemak. Semuanya dibuat sendiri tanpa bantuan saya dan Datuk.
“Berat sangat untuk makan pagi,” tegur Datuk yang muncul secara mendadak. Haji Taslim tersenyum.
“Awak nak berjalan jauh, perut mesti diisi dengan kejap, baru seronok berjalan,” sahut Haji Taslim.
“Memang sudah menjadi kebiasaan, berjalan atau tidak, makan pagi sekadar mengalas perut.”
“Kalau begitu, banyak sangat saya masak ni,” Haji Taslim tuang kopi di dalam cawan.
“Kira-kira begitulah, Haji.”
“Tak apa, boleh buat bekal awak berdua,” Haji Taslim sudah menemui jalan bagi mengatasi masalah tersebut. Datuk terus anggukkan kepala.
Ternyata sarapan pagi itu amat menyelerakan, satu pinggan nasi lemak habis masuk perut saya. Bila saya mahu menyentuh pisang goreng, telapak tangan Datuk segera jatuh ke atas pergelangan tangan saya. Cepat-cepat saya toleh ke wajah Datuk.
“Kamu sudah cukup kenyang, jangan ikutkan nafsu. Makan sekadar untuk kenyang, jangan berlebih-lebihan.”
“Biarlah si Tamar tu merasa goreng pisang saya,” Haji Taslim minta laluan. Hati saya riang kerana ada manusia yang mahu mempertahankan saya.
“Tak apa, dia boleh rasa goreng pisang yang awak bekalkan tu, dalam perjalanan nanti,” ternyata Datuk tetap mahu mempertahankan konsep makan sekadar untuk kenyang yang sudah menjadi darah daging dalam dirinya. Dan konsep itu mahu diserapkan ke dalam diri saya pula.
“Mahu mengajar supaya cucu awak patuh kepada awak?”
“Ya, kalau tak dibentuk dari sekarang, bila lagi?” jawab Datuk dan terus menghirup air kopi terakhir. Dia basuh tangan dan minta bantuan Haji Taslim membungkus nasi lemak dengan daun pisang yang dibalut dengan upih.
Alasan Datuk, kenapa dia meminta Haji Taslim berbuat demikian ialah, supaya nasi lemak itu terus panas dan bau wanginya tidak mudah hilang. Rupanya, dalam hal ini, pendapat Datuk dan Haji Taslim tidak bercanggah.
Selain dari perkara yang disebutkan tadi, ada khasiat lain yang tersembunyi. Menurut Haji Taslim nasi yang dibalut dengan daun pisang atau upih, bila dimakan dapat mengurangkan lemak dalam perut serta mengeluarkan angin dan dapat menghilangkan lenguh-lenguh badan. Sejauh mana kebenaran kata-kata Haji Taslim tidak dapat saya pasti. Dan Datuk pula tidak menafikan.
“Selamat jalan.”
Suara Haji Taslim parau. Dia terus berpeluk-pelukan dengan Datuk di kaki tangga. Saya yang nakal terus menuju ke arah jendela tempat lengan aneh tersadai malam tadi.
Saya periksa tanah di kawasan tingkap. Apa yang saya temui ialah kesan darah dan tulang temulang. Saya segera berlari ke kaki tangga mendapatkan Haji Taslim dan Datuk. Kedua-duanya saya ajak datang ke kawasan bawah tingkap. Saya tunjukkan apa yang saya temui di situ.
“Memang begitu, setiap kali benda ganjil ni datang, dia mesti membawa tulang. Tulang-tulang mesti hancur jadi macam kapur bila terkena matahari,” Haji Taslim terus mencangkung. Matanya menatap tulang-tulang berserakan.
“Kalau tak silap saya, tulang-tulang ni, tulang binatang besar,” Datuk memberikan pendapat.
“Memang benar apa yang awak cakap tu,” pintas Haji Taslim, “dulu saya pernah terjumpa tulang kaki manusia,” tambah Haji Taslim. Mata saya dan Datuk terbeliak mendengar penjelasan Haji Taslim. Saya jadi seram.
“Serbuk tulang ni, kalau terkena kaki atau mana-mana bahagian tubuh, boleh bawa penyakit,” Haji Taslim buka rahsia, “kulit boleh jadi gatal, bila digaru lama-lama akan keluar air dan seluruh badan luka-luka,” lanjut Haji Taslim.
“Macam mana awak tahu Haji?” tanya Datuk.
“Arwah yang beritahu, dia pernah mengenakan serbuk tulang itu pada kucing, bulu kucing terbakar dan kulitnya mengelupas. Tak sampai dua jam kucing tu mati. Ini sebenarnya racun, digunakan oleh mahaguru ilmu hitam untuk menewaskan musuhnya.” Haji Taslim berhenti bercakap. Dia terus bangun dan menatap wajah Datuk.
“Arwah mahu menggunakan serbuk tulang ni untuk menjahanamkan awak, tetapi, belum sempat saya menahannya, dia sendiri keberatan menggunakannya. Itulah kehebatan awak,” Haji Taslim menepuk bahu kanan Datuk dua tiga kali.
Kemudian dia mengajak Datuk menuju ke kaki tangga. Kerana bimbang saya akan menyentuh tulang-tulang yang ada di situ, saya disuruh Datuk berjalan dahulu. Cakap Datuk segera saya patuhi.
“Macam mana awak nak menghilangkan tulang yang jadi serbuk bila kena matahari,” Datuk terus merisik rahsia dari Haji Taslim.
“Arwah ada memberi saya cara dan petuanya,”
“Macam mana?”
“Kenapa, awak nak tahu ke? Saya ingat awak tak usahlah tau.”
“Begini Haji, tahu tu lebih baik daripada tak tahu,” tutur Datuk dengan tenang.
Haji Taslim berhenti melangkah dan mendongakkan muka ke langit melihat matahari pagi yang mula melepasi pucuk pokok kelapa dara.
“Bila sinar matahari ini sampai ke tanah di bawah tingkap. Semua tulang-tulang yang kita tengok tadi hancur jadi serbuk,” Haji Taslim kedutkan dahi dan dia berhenti menatap matahari yang kian keras melemparkan cahayanya di setiap sudut kampung. Langkah yang terhenti diteruskan sehingga sampai ke kaki tangga.
“Petua tadi macam mana?” Datuk mendesak.
“Petua apa?” Haji Taslim terkejut, sepasang matanya merenung ke arah tepi sawah sambilkan kedutkan kening dan dahi. Dia seperti mengingati sesuatu.
“Oh! Ya,” Haji Taslim seperti bertempik, “saya terlupa, saya terlupa, saya terlupa,” ucapnya berkali-kali seperti menyesali dirinya.
Datuk turut tersenyum. Memang Datuk tidak menduga secepat itu, Haji Taslim terlupakan perkara yang diperkatakan. Barangkali Pak Haji yang satu ini terlalu menumpukan selurah daya fikirnya pada perkara tulang di bawah rumahnya, barangkali, dia mencari jalan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi, bila dia berada di rumah itu seorang diri. Fikir saya di dalam hati.
“Petua dia, begini,” Haji Taslim merapati Datuk. Ditariknya tangan Datuk agar duduk di bangku yang berada tidak jauh di kaki tangga.
Sinar matahari mula menyentuh tulang bumbung rumah. Suara beburung pagi berkicau garang.
“Petuanya, mudah je, curahkan minyak kelapa masak ke atas serbuk tulang,” kata Haji taslim.
“Itu saja, saya fikir ada perkara lain,” ujar Datuk sambil senyum. Dan kali ini Haji Taslim arahkan sepasang matanya ke arah muka Datuk. Tiba-tiba dia anggukan kepala seraya berkata.
“Memang betul, bukan itu saja,”
Datuk menarik nafas panjang. Dari wajahnya tergambar kepuasan dan keinginan amat sangat untuk mengetahui rahsia selanjutnya. Datuk tumpukan perhatian pada kelopak bibir Haji Taslim.
“Minyak kelapa tu, mestilah dari kelapa gading yang kita buat sendiri. Minyak kelapa itu diisikan dalam botol sesudah dibacakan Yasin selama tujuh malam Jumaat,” Haji Taslim terus membuka rahsia. Datuk anggukkan kepala.
Bayang Hitam Datang Lagi
Haji Taslim Singasari terus bangun. Tetapi, Datuk masih bertahan di bangku. Keberatan untuk bangun dan bermenung panjang, macam ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dua tiga kali Datuk dongakkan kepala ke langit sambil mengedutkan dahinya.
"Pelik, macam tak masuk di akal Haji," itu yang terpancut dari kelopak bibir Datuk. Haji Taslim Singasari jegilkan biji mata ke arah Datuk.
"Apa dia yang pelik tu?"
"Mengapa si arwah tu, mahu menceritakan kelemahan dirinya pada awak. Saya kira arwah tu tersilap."
"Hmm..." Haji Taslim Singasari mengeluh kecil. Dia melangkah ke arah tangga dan duduk di anak tangga kedua.
Sinar matahari menjamah wajahnya, sebahagian dari sinar matahari itu menghala ke tanah di bawah tingkap yang terdapat serakan tulang. Datuk terus mengawasi gerak-geri Haji Taslim Singasari. Demikian juga dengan saya.
Haji Taslim Singasari bangun. Dia melangkah ke arah Datuk dan lalu berdiri di depan Datuk sambil memeluk tubuh.
"Bukan apa-apa," Haji Taslim Singasari memulakan bicara dengan wajah yang serius, "kalau dia tak beritahu, akhirnya saya tahu juga," tambahnya lagi.
"Siapa yang beritahu awak?" potong Datuk.
"Guru saya boleh beritahu."
"Patutlah arwah buka rahsia, kerana dia tahu ada orang lebih handal darinya."
"Bukan pasal tu," sanggah Haji Taslim Singasari sambil merenung tanah di kaki. Sinar matahari kian terik.
"Kalau bukan pasal tu, pasal apa." desak Datuk dengan nada suara yang agak keras. Saya segera mendekati mereka. Duduk di sebelah Datuk. Saya ingin mengikuti cerita selanjutnya dengan terperinci.
"Arwah mahu menunjukkan yang dirinya jujur dalam bersahabat. Dia beritahu dulu, sebelum orang lain beritahu," jelas Haji Taslim Singasari. Datuk menggigit bibir.
"Apa pendapat Haji tentang sikapnya tu?" soal Datuk lagi. Saya terus memasang telinga dalam sinar matahari yang kian keras itu.
"Dia memang jahat, tetapi kejujurannya dalam persahabatan tak ada orang yang boleh menandinginya. Setianya pada sahabat sampai mati, terpamer rasa bangga di wajah Haji Taslim Singasari. Kedua belah tangannya yang memeluk tubuh segera dijatuhkan.
"Saya tetap mohon pada Allah setiap kali lepas sembahyang, minta dosa arwah diampunkan dan rohnya tidak diseksa," ungkap Haji Taslim Singasari lagi. Wajahnya nampak sedih sekali.
Tanpa tangguh-tangguh lagi, Datuk terus berdiri. Tubuh Haji Taslim Singasari terus dipeluknya dengan erat sekali. Perbuatan Datuk itu amat mengejutkan Haji Taslim Singasari.
"Saya bersama Haji, sebagai orang Islam kita harus mendoakan kesejahteraan orang yang seagama dengan kita, tidak kira yang hidup atau yang mati," ucap Datuk dalam nada suara yang tersekat-sekat. Mereka terus berdakapan dalam jangka waktu yang agak panjang. Bila mereka berhenti bercakap barulah hati saya terasa lapang.
"Aduhhh!!!"
Seketul batu sebesar penumbuk mengenai rusuk sebelah kiri saya. Tidak tahu dari arah mana batu itu dibaling kepada saya. Apa yang pasti, sakitnya bukan kepalang. Haji Taslim Singasari dan Datuk segera menghampiri saya. Baju saya segera dibukakan.
"Lebam sebesar penumbuk," kata Datuk.
"Mana batunya?" tanya Haji Taslim Singasari. Saya segera menuju ke arah batu di tanah.
Haji Taslim Singasari segera menyentuh batu itu, tetapi segera dilepaskannya ke bumi. Wajahnya nampak berkerut menahan kesakitan.
"Kenapa Haji?" tanya Datuk.
"Batunya panas, macam bara api," jawab Haji Taslim Singasari. Dia terus membongkok mengambil dan menggenggam tanah. Setelah membaca sesuatu, genggaman tanah itu segera dilemparkan ke arah batu. Saya lihat batu itu berasap dan terus mengecil sebesar telur ayam jantan.
Datuk terus mengambil sehelai daun paku rawan. Datuk ramas hingga hancur dan mengeluarkan air. Datuk membaca beberapa ayat dari Al-Quran, kemudian air atau lendir dari daun itu disapukan ke bahagian tubuh saya yang lebam. Terasa sejuk macam ketul ais yang ditekankan di situ.
Bila Datuk lekapkan telapak tangannya, bahagian kulit yang lebam itu terasa amat panas sekali. Saya tidak menahan air mata dari mengalir di pipi.
"Hei, tak malu orang jantan menangis," sindir Datuk dan dia berhenti menekapkan telapak tangannya ke bahagian tubuh yang lebam itu.
"Apa rasanya sekarang," tanya Datuk lagi.
"Tak ada apa-apa," sahut saya lalu merenung ke arah tubuh yang kena batu itu. Daging yang lebam membiru sudah tiada lagi. Sudah pulih seperti sediakala.
Baju segera saya sarungkan ke tubuh. Tetapi, Haji Taslim Singasari masih membelek-belek batu hitam sebesar telur ayam jantan itu dari beberapa sudut. Haji Taslim Singasari masih tidak berani menyentuhnya.
"Apa yang ditengok, buang saja Haji."
"Ini bukan sebarang batu."
"Habis, batu dari langit?" Datuk berjenaka bersama ketawa tetapi Haji Taslim Singasari tidak memperlihatkan reaksi geli hati dengan telatah Datuk. Dia kelihatan serius sekali. Matanya tidak berkedip melihat batu kecil yang dipanah matahari.
"Cuba renung batu tu lama-lama," kata Haji Taslim Singasari dalam nada suara yang keras. Mata saya dan Datuk segera tertumpu ke arah batu kecil. Bila direnung agak lama ternyata batu itu bukan berwarna hitam, tetapi berwarna kemerah-merahan macam bara api dan mengeluarkan percikan cahaya yang berwarna kebiru-biruan.
"Batu apa ni, Haji?"
"Inilah batu petir yang sudah dijadikan batu tuju-tuju untuk menjahanamkan manusia, batu ini sudah dipuja," jelas Haji Taslim Singasari.
"Apa yang mesti kita buat Haji."
"Terpaksa dihancurkan menjadi pasir," suara Haji Taslim Singasari merendah. Dia menarik nafas panjang dua tiga kali.
BUMBUNG
Haji Taslim Singasari dongakkan kepala melihat matahari dan awan gemawan di langit. Beberapa ekor burung gagak yang entah dari mana datangnya berlegar-legar di bumbung rumah Haji Taslim Singasari sambil berbunyi dengan nyaringnya. Haji Taslim Singasari ubah pandangan, merenung di kakinya sejenak. Saya dan Datuk berpandangan.
"Ahemmmmm..."
Haji Taslim Singasari berdehem lalu merenung tajam ke arah saya dan Datuk. Dia angkat tangan kanannya separas bahu, memberi isyarat supaya kami beredar dari sisi batu hitam yang aneh itu. Kami diarahkan supaya duduk di atas batang buruk di hujung halaman rumahnya.
Apa yang diarahkan oleh Haji Taslim Singasari segera saya patuhi tanpa ada rasa takut atau curiga. Sebabnya bukan apa-apa, semuanya berlaku di waktu siang dan cuaca pula terang benderang. Kalau waktu malam, memang wajarlah saya merasa takut atau curiga. Waktu siang syaitan dan hantu tidak wujud. Semuanya sedang tidur nyenyak. Demikianlah pada anggapan saya.
Saya dan Datuk terkejut, bila melihat Haji Taslim Singasari berlari dengan kencangnya ke arah saya dan Datuk. Bagaikan kilat kami bangun.
"Ikut saya," tutur Haji Taslim Singasari.
"Ke mana?" soal Datuk.
"Ikut apa yang saya buat."
"Baiklah Haji."
Haji Taslim Singasari segera berlari sambil membongkokkan tubuh. Saya dan Datuk juga ikut berlari seperti itu menuju ke arah batu hitam kecil. Kami kelilingi batu hitam dalam keadaan membongkok.
"Cukup, berhenti di situ," suara Haji Taslim Singasari nyaring sekali. Saya dan Datuk akur dengan perintahnya itu. Berdiri dalam keadaan membongkok memang menyeksakan. Sinar matahari yang kian menyengat membuat dahi dan badan saya berpeluh. Tetapi saya lihat Datuk masih dalam keadaan yang tenang dan stabil.
"Tegakkan badan, lepas itu melangkah tujuh tapak ke belakang dan berdiri di situ," datang lagi arahan dari Haji Taslim Singasari. Apa yang diperintahnya segera dipatuhi. Saya dan Datuk menanti perintah selanjutnya dari Haji Taslim Singasari.
Lima minit masa berlalu, tidak ada sebarang arahan dikeluarkan. Haji Taslim mendekati Datuk membisikkan sesuatu ke telinga Datuk. Kemudian dia mendekati saya pula.
"Sekarang kami sudah berdiri membelakangi batu hitam, tumpukan perhatian zahir batin pada Allah yang Maha Besar. Kita semua minta tolong pada-Nya," itu yang dibisikkan oleh Haji Taslim Singasari pada saya. Dan saya yakin, kata-kata yang sama juga diungkapkannya pada Datuk.
Haji Taslim Singasari kembali berdiri di tempat asalnya. Kerana saya membelakanginya, saya tidak tahu apa yang dilakukannya. Saya terdengar bunyi telapak tangan menampar pipi seseorang. Saya segera menoleh ke arah Haji Taslim Singasari, dia sedang berdepan dengan sesuatu yang aneh. Sukar untuk saya mentakrifkan benda tersebut, sama ada manusia atau binatang. Rupa dan bentuknya sukar sekali untuk ditentukan.
Apa yang pasti, bentuknya hitam dan besar. Tingginya melebihi paras kelapa dara. Besar tubuhnya lebih kurang tiga empat pemeluk pangkal balak. Kakinya, sebesar batang kelapa. Semuanya muncul dalam bentuk yang samar-samar menghala ke arah Haji Taslim Singasari.
Apa yang menakjubkan saya, Haji Taslim Singasari bersilat sendirian di tengah panas. Menepis kiri, menepis kanan. Sesekali Haji Taslim Singasari melompat tinggi dan kalanya berguling di bumi.
Setelah melihat gerak-geri Haji Taslim Singasari yang serba pantas dan cekap itu, ternyata dia mencampuradukkan Silat Bangau Putih dengan Silat Harimau Betina Mati Anak. Setiap buah silat yang dilepaskan oleh Haji Taslim Singasari terkena sasaran yang dituruti dengan suara orang mengeluh dan mengaduh.
Saya menggigit bibir, saya cuma mendengar suara orang tetapi batang tubuhnya tidak kelihatan langsung. Dan bebayang hitam terus wujud di depan Haji Taslim Singasari dalam keadaan yang tidak jelas. Dalam keadaan saya terpegun kehairanan itu, Haji Taslim Singasari terus menggulingkan tubuhnya di tanah menuju ke arah saya. Sebaik saja sampai di kaki saya, dia terus bangun.
"Jangan renung saya, tumpukan perhatian ke depan. Jangan tengok saya. Mohon perlindungan dari Allah," itu yang dituturkan oleh Haji Taslim Singasari. Saya segera memalingkan wajah ke depan. Pada saat itu juga muncul di depan saya seorang lelaki tua yang sudah bongkok. Rambutnya yang putih terdampar atas dua sayap bahu. Janggut putihnya yang panjang menyentuh bumi.
Bila saya menggerakkan kedua belah bibir untuk mengucapkan salam, orang tua di depan saya terus menghayunkan tongkatnya ke arah kaki saya. Cepat-cepat saya melompat lalu melepaskan satu tumbukan ke bahunya. Tetapi tidak kena sasaran kerana orang tua itu mengelak dengan cepatnya lalu hilang dari pandangan saya.
"Bantu saya."
Saya dan Datuk memalingkan muka ke arah suara tersebut. Haji Taslim Singasari sedang bekerja keras menghalang orang tua bongkok dari mencapai batu hitam.
"Bantu saya."
Ulang Haji Taslim Singasari. Bebayang hitam yang menakutkan itu sudah tidak kelihatan lagi. Saya segera meluru ke arah Haji Taslim Singasari, tiba-tiba Datuk menerpa ke arah saya lalu menghalang perjalanan saya dengan menjatuhkan saya ke bumi.
Tuhan saja yang mengetahui sakitnya jatuh ke tanah. Saya cuba bangun tetapi tidak terdaya. Datuk menekan bahu kanan saya dengan jari kelingkingnya.
"Kenapa tuk?"
"Kamu tak layak campur tangan dalam urusan ini, kamu mesti belajar lagi."
"Pak Haji tu mesti ditolong tuk."
"Biar aku yang menguruskannya," kata Datuk lalu memisahkan hujung jari dari kulit bahu kanan saya. Barulah tubuh saya bertenaga dan boleh digerakkan. Masa hujung jarinya menjamah bahu, seluruh badan terasa kebas dan seakan-akan lumpuh. Tidak berfungsi langsung.
HUJUNG
Mana ada logiknya sentuhan hujung jari kelingking boleh memberhentikan pergerakan tubuh. Jadi, sudah pasti sentuhan yang dilakukan oleh Datuk bukan sentuhan sembarangan. Bukan sekadar sentuh tetapi tenaga lain yang mengiringi sentuhan itu.
"Kamu duduk diam-diam di sini, Tamar," Datuk mengingatkan saya dalam panas terik. Seluruh badan saya sudah dibasahi peluh. Saya tidak ada pilihan lain, melainkan anggukkan kepala tanda patuh pada perintahnya.
Dengan tenang Datuk melangkah menuju ke arah Haji Taslim Singasari lalu berdiri dalam jarak dua tiga kaki dari arah belakang Haji Taslim Singasari.
"Apa boleh saya tolong Haji?"
"Awak bacalah surah yang boleh menjahanamkan syaitan."
"Saya cuba setakat yang saya boleh," jawab Datuk lalu memeluk tubuh dengan sepasang mata merenung tajam ke arah orang tua bongkok bersama janggut yang menyentuh bumi. Orang tua itu menujah-nujahkan tongkatnya ke arah Haji Taslim Singasari dengan sekali-sekala merebahkan badannya untuk mencapai batu hitam kecil tersebut.
Setiap kali orang tua bongkok itu berusaha mengambil batu hitam, Haji Taslim Singasari pasti melangkah setapak ke depan dengan mulut yang berkumat-kamit. Entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu. Rupanya, setiap kali Haji Taslim Singasari melangkah, Datuk juga melangkah dalam arah yang berlawanan.
Dan akhirnya orang tua bongkok yang tidak berubah tempat berada di tengah-tengah antara Datuk dan Haji Taslim Singasari. Bila menyedari dirinya berada dalam keadaan terdesak, orang tua itu terus menghilangkan diri.
Datuk dan Haji Taslim Singasari saling berpandangan. Apa yang jelas, di wajah Haji Taslim Singasari tergambar kepuasan yang amat sangat. Datuk renung ke arah batu hitam yang kecil itu sejenak. Dia menggigit bibir.
"Pernah awak jumpa dengan orang tua itu sebelum ini, Haji," sambil menyapu peluh di dahi, Datuk ajukan pertanyaan.
"Pernah. Ada dua kali, masa arwah hidup. Orang tua tu datang jumpa arwah waktu Maghrib. Saya beri salam, dia tak jawab, bila terdengar suara azan Maghrib orang tua tu hilangkan diri," itu penjelasan Haji Taslim Singasari. Datuk anggukkan kepala.
Haji Taslim Singasari mengedutkan dahi luasnya sambil menggosok hujung jari beberapa kali. Saya segera berlari ke bawah pohon mempelam telur. Saya tidak sanggup berjemur lama-lama di tengah panas yang terik.
"Dia datang ke rumah awak buat apa, Haji?" terdengar suara Datuk agak keras.
"Jumpa tuannya."
"Maksud Haji, si mati tu."
"Yalah, siapa lagi."
"Pernah dia berlawan dengan awak, Haji."
"Tak pernah, cuma hari ni dia buat perangai. Saya tahu benda tu nak cari perlindungan dan mahu menjadikan saya tuan barunya," cukup tenang Haji Taslim Singasari menuturkan kata-kata tersebut. Kemudian dia menyuruh Datuk duduk mencangkung menghadapi batu kecil. Haji Taslim Singasari mengamati saya.
"Kamu juga duduk mencangkung menghadap batu tu," kata Haji Taslim Singasari sebaik sahaja saya mendekatinya. Cakapnya itu segera dipatuhi. Dan Haji Taslim Singasari sendiri turut duduk mencangkung menghadap batu hitam kecil.
"Batu ni, kalau tak dimusnahkan, banyak orang yang binasa. Terutama awak," Haji Taslim Singasari menghalakan jari telunjuknya ke arah Datuk. Serta merta saya lihat wajah Datuk berubah.
"Kenapa pula, Haji?"
"Arwah pernah mahu menggunakan batu ini untuk ditujukan pada awak, kalau kena kulit awak seluruh badan jadi hitam."
"Kenapa dia nak buat perkara tu pada saya," Datuk minta kepastian. Haji Taslim Singasari tidak memberikan penjelasan yang konkrit.
"Saya sendiri pun tak tahu, kenapa perkara itu tak jadi dibuatnya pada awak. Ada juga dia beritahu saya, yang dia mahu menyuruh orang suruhannya yang taat pada perintah ketua, walaupun ketuanya sudah mati," Haji Taslim Singasari memberikan penjelasan untuk kali kedua. Satu keterangan yang dapat meyakinkan hati saya dan Datuk.
Perlahan-lahan Haji Taslim Singasari mengangkat tangan kanannya. Dengan jari-jemari yang terkembang, telapak tangannya terus jatuh atas bahu Datuk. Dan jari-jemari itu mencengkam erat kulit bahu Datuk.
"Sekarang," Haji Taslim Singasari segera memisahkan telapak tangannya dengan bahu Datuk, "sekarang kita mulakan tugas, batu hitam ini mesti dihancurkan," sambung Haji Taslim Singasari lagi dengan wajah yang serius.
"Bagaimana caranya?" mendadak Datuk menyoal.
"Sabar dulu sahabat, apa yang kita lihat tadi, semuanya bayang-bayang. Kita bertiga saja yang nampak. Orang lain tak nampak."
"Kenapa orang lain tak nampak?" secara spontan saya mengajukan pertanyaan. Buat beberapa detik Haji Taslim Singasari buat tidak kisah dengan apa yang saya tuturkan. Dia terus menepuk dada bumi sebanyak tujuh kali berturut-turut.
"Ha! Begini," cukup lantang suara Haji Taslim Singasari. Matanya merenung bumi, "sebabnya cukup mudah, aku ni sahabat karib arwah, kamu dan Datuk kamu, musuh ketatnya. Dia datang kerana mahu menjadikan aku tuan barunya. Dia juga mahu membinasakan kamu dan Datuk kamu," lanjut Haji Taslim Singasari. Dia juga menyuruh saya dan Datuk mengepal tanah. Semua yang disuruhnya kami patuhi.
"Bangun."
Saya dan Datuk segera bangun.
"Ikut saya, bila saya campakkan tanah ke batu hitam, awak berdua ikut sama. Kena campak sampai tujuh kali berturut-turut. Ingat, kita mesti ambil tanah serentak dan membalingnya serentak, sebelum dibaling ke batu baca Qul' aa'uzubirobbinnas..." selesai saja haji Taslim Singasari memberi penerangan Datuk kenyitkan mata ke arah saya.
TAKUT
Kenyitan mata itu bermaksud supaya saya jangan merasa takut atau gentar. Hadapi saja apa yang datang, kecuali bila sudah terdesak barulah meminta pertolongan darinya.
"Bersedia."
Haji Taslim Singasari menjeling tajam ke arah Datuk dan saya.
"Lontarkan."
Haji Taslim Singasari terus memulakan, lalu diikuti oleh saya dan Datuk. Baru enam kali dilontarkan tanah ke batu hitam yang kecil itu, terdengar satu letupan yang tidak berapa kuat tetapi mengganggu kerja-kerja yang kami lakukan.
"Teruskan."
Datang ingatan dari Haji Taslim Singasari. Lontaran tanah berjalan terus. Genap tujuh kali dilontar terdengar lagi letupan yang tidak menyenangkan. Batu hitam kecil bertukar warna menjadi kekuning-kuningan. Dikelilingi api yang entah dari mana datangnya. Saya juga melihat asap nipis berada di permukaan batu itu.
Tanpa memberitahu apa-apa pada kami, Haji Taslim Singasari terus membongkok mengambil segenggam tanah (untuk kali yang kelapan). Saya dan Datuk berpandangan kerana menyedari yang Haji Taslim Singasari sudah melanggar syarat.
"Kamu berdua ragu dengan aku," Haji Taslim Singasari renung muka Datuk dan saya. Cepat-cepat saya dan Datuk gelengkan kepala. Mata Haji Taslim Singasari terpaku ke wajah kami sejenak, seolah-olah membaca apa yang tersirat dalam kalbu saya dan Datuk. Haji Taslim Singasari segera berdiri dan anggukkan kepalanya perlahan-lahan.
"Yang kelapan ini, biar aku uruskan. Dalam keadaan sekarang tidak semuanya boleh aku beritahu, bila dah selesai baru aku cakap," keterangan itu memang melegakan hati saya dan Datuk. Haji Taslim Singasari terus mengepal-ngepal tanah dalam telapak tangannya. Dia terus membuka silat, kira-kira dua tiga minit lamanya. Haji Taslim Singasari berhenti dari bersilat. Berdiri lurus sambil memeluk tubuhnya erat-erat.
"Jangan tegur apa yang aku buat."
Datang lagi ingatan dari Haji Taslim Singasari. Dia buka ketayap putih di kepala dan mengeluarkan blangkon (songkok orang Jawa yang dibuat dari kain batik yang bahagian belakangnya terdapat benjol) dari saku baju butang lima. Blangkon diletakkan atas kepala dan baju yang dipakai terus dibuka, dihamparkan atas tanah. Haji Taslim Singasari terus bersila di situ.
Dalam panahan matahari yang keras itu, saya lihat badan Haji Taslim Singasari berpeluh. Perutnya yang agak buncit kelihatan seperti terlekap pada pahanya.
"Bantu saya, kalau saya rebah."
Kata Haji Taslim Singasari itu terus terpahat dalam sanubari saya. Datuk saya lihat terus anggukkan kepala. Tetapi, kerdipan matanya dapat dilihat oleh Haji Taslim Singasari.
"Caranya mudah untuk menolong saya. Bila saya rebah, ambil apa juga ranting yang berdaun, pukulkan ke tubuh saya tujuh kali berturut-turut bersama dengan selawat," Haji Taslim Singasari bersuara lagi. Macam tadi juga, Datuk tetap anggukkan kepala.
"Dengan izin Allah, kamu terus labur."
Tanpa membuang masa, Haji Taslim Singasari terus melontarkan tanah yang dalam genggamannya ke batu hitam yang berasap. Sebaik saja tanah dari lontaran ke lapan itu terkena batu hitam, warna kekuningan di batu bertukar menjadi putih. Api yang mengelilinginya terus hilang dan asap nipis juga turut hilang.
"Ah..."
Saya terkejut. Dalam keadaan cuaca yang panas terik itu, saya terlihat samar-samar sesusuk tubuh lelaki yang tingginya lebih dari tujuh kaki, berbadan besar.
Berdiri membelakangi saya tetapi menghadapi Haji Taslim Singasari. Batu hitam yang penuh misteri itu berada betul-betul di hujung kaki kanan lelaki berbadan besar itu.
"Allah juga yang Berkuasa, syaitan, jin dan manusia adalah ciptaannya. Tertakluk pada-Nya. Pada Allah juga aku memohon perlindungan," sambil bercakap Haji Taslim Singasari bangun perlahan-lahan. Dalam keadaan separuh berdiri, dia terus menepuk tangannya. Kemudian dia duduk bersila kembali.
"Prappp..."
Tujuh kali Haji Taslim Singasari menepuk tangannya. Selesai bertepuk tangan terdengar bunyi letupan yang beruntun. Batu hitam di hujung kaki kanan lelaki berbadan besar mula bergerak, berpusing sambil mengeluarkan cahaya api. Dan letupan yang beruntun itu datangnya dari batu kecil itu, bunyinya macam mercun. Perkara itu terjadi lebih kurang lima minit.
Kawasan tempat kami berdiri dipenuhi dengan asap tebal berwarna hitam. Bau kemenyan terus menusuk lubang hidung, saya terbatuk dua tiga kali. Asap tebal yang hitam itu berubah warna menjadi kelabu dan kian menipis. Dan akhirnya terus hilang. Bayang lelaki berbadan besar tidak kelihatan lagi. Begitu juga dengan batu hitam, tempatnya sudah digantikan dengan timbunan debu-debu halus yang menyerupai tepung gandum.
"Hal ini sudah selesai," tutur Haji Taslim Singasari pada Datuk. Dua tiga kali bahu Datuk ditepuknya. Debu di tempat batu hitam itu segera ditutup oleh Haji Taslim Singasari, dia menyarungkan baju butang lima ke tubuh. Menyimpan blangkon ke dalam saku dan mengenakan ketayap putih ke kepalanya.
"Kalau begitu biarlah kami beransur dulu," beritahu Datuk pada Haji Taslim Singasari. Waktu Datuk mahu memulakan langkah ada bayangan hitam legam seakan-akan melintasi depan Datuk. Langkah Datuk terhenti.
"Haji nampak apa yang saya nampak."
"Nampak, laknat tu mahu menghancurkan saya, bila dia gagal menjadikan saya tuannya."
"Perlukan bantuan saya Haji...?"
"Tak..." Haji Taslim Singasari tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia diganggu oleh kemunculan seekor monyet besar berwarna hitam. Tidak ada siapa yang tahu dari arah mana monyet itu muncul.
