Bercakap Dengan Jin jilid 9

               Si Tua Misteri Dari Solok

Dari ambang pintu, saya perhatikan langkah nenek yang teratur .Sinar matahari tidak dapat menyentuh rambut dan tempurung kepalanya yang dibalut dengan selendang kuning. Wajahnya yang kemerahan dan berpeluh masih mampu mengukir senyum untuk saya.

“Nek dari mana?” Tanya saya kehairanan, sebaik saja nenek melintas di depan saya untuk masuk ke rumah.

“Dari surau, aku hantar kuah ayam seperiuk.”

“Kenapa tak nanti saya nek?”

“Kamu mandi lama sangat di perigi, jadi aku hantar dulu mana yang senang,” tutur nenek lalu duduk bersimpuh di lantai. Dengan hujung selendang dia mengesat peluh di wajah.

Saya segera menggigit bibir bawah. Sepasang anak mata menyorot wajah nenek dan hati saya segera berkata :Memang, kau nenek yang baik. Tidak mahu membebankan cucumu dengan kerja-kerja yang sukar. Terima kasih nenek. Suara hati saya terus beralun dan berombak dalam rongga dada.

“Kenapa Tamar? Kamu suka tengok kulit muka nenek yang dah berkedut ni,” kata nenek bersahaja. Senyumannya masih terukir di bibir. Saya menarik nafas dalam-dalam.

“Bukan fasal tu nek.”

“Habis fasal apa Tamar,”

“Nenek terlalu baik.”

“Sudah , jangan merepek, pergi bawa barang-barang ke surau. Tak lama lagi waktu Asar tiba,” wajah nenek nampak serius. Dan saya segera mematuhi arahannya.

Dalam perjalanan ke surau, sambil menatang talam besar yang berisikan pulut. Fikiran saya masih tertumpu kepada mimpi yang saya alami tadi. Kerana itu, saya tidak ambil peduli tentang nenek yang mengekori saya sambil memikul setandan pisang emas masak.

Memang saya berhasrat, mahu menceritakan apa yang saya alami dalam mimpi itu pada Datuk. Biar dia membuat tafsiran yang boleh menyenangkan hati saya. Mungkin bukan sekarang. Tidak mengapa, kalau tak boleh hari ini, esok lusa pasti saya ajukan kepadanya. Saya mahu mendengar pendapat atau komen Datuk sendiri.

Sampai di surau, pulut kuning satu talam saya serahkan pada Mat Upeh, (siak surau yang berasal dari Pengkalan Baru, dekat Pantai Remis). Nenek meletakkan setandan pisang emas atas pelantar .Urusan selanjutnya terletak atas bahu Mat Upeh.

“Air kopinya macam mana?” Tanya Mat Upeh.

“Datuk si Tamar tak cakap apa-apa dengan awak?” Sahut nenek. Mat Upeh gelengkan kepala. Saya dan nenek berpandangan.

“Aku minta pertolongan kamu menyediakannya. Gula dan kopi aku sediakan,” saya dan nenek segera merenung ke arah Datuk yang secara mendadak muncul dari sebelah kiri pelantar surau.

Kerana memikirkan tugasnya sudah selesai, nenek tidak mahu membabitkan dirinya dalam dialog antara Datuk dengan Mat Upeh. Nenek angkat kaki dan terus pulang.

“Macam mana Encik Mat, boleh ke tolong saya,” Datuk minta kepastian.

“Bagi saya tak ada apa-apa masalah.” jawapan dari Mat Upeh amat menyenangkan Datuk.

Saya lihat Datuk menyeluk saku baju. Dia mengeluarkan sesuatu dan saya kurang pasti, apakah barang yang dikeluarkan oleh Datuk itu. Datuk hulurkan barang itu kepada Mat Upeh seraya berkata:

“Nah duit ni, belilah kopi dan gula. Kamu agak sendiri berapa banyak yang mesti dibeli, jemaah dianggarkan kira-kira dua puluh orang .Wang lebihnya ambil untuk kamu.”

Dengan senang Mat Upeh menerima tugas tersebut, kalau tidak salah penglihatan saya wang yang dihulurkan oleh Datuk kepada Mat Upeh berjumlah sepuluh ringgit.

“Saya terima amanah awak,” tutur Mat Upeh sambil menepuk bahu kanan Datuk dengan mesra.

ARAHAN

Waktu Asar sudah masuk, Datuk menyuruh saya memukul beduk. Saya juga diarahkan supaya melaungkan azan. Semua arahan Datuk saya patuhi.

Sebaik saja saya menamatkan laungan azan, para jemaah datang berduyun ke surau kecil yang terletak berhampiran dengan kolam. Di hujung kolam, sebelah barat terbentang sawah padi yang sedang tumbuh menghijau.

Kerana saya berdiri di muka pintu surau, semua jemaah yang masuk menghulurkan tangan untuk bersalam dengan saya. Dengan penuh hormat dan bangga saya menyambutnya.

Datuk yang berdiri di tengah surau merenung ke arah saya dengan senyum. Mungkin Datuk berasa puas dan bangga kerana saya pandai melayan para jemaah, pandai melaungkan azan dan sebentar lagi saya akan melakukan qamat.

Tiba-tiba hati dan perasaan saya tersentak, apabila telapak tangan seorang lelaki tua yang tidak saya kenali. Secara mendadak saya terbayangkan wajah Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang datang dalam mimpi saya.

Setelah saya amati wajahnya ternyata lelaki tua yang sedang saya genggam telapak tangannya itu bukan Sheikh Abu Bakar Al-Petani.

Di saat fikiran dan perasaan saya berperang memikirkan siapakah lelaki tua misteri? Datuk segera mendekati saya.

“Ini cucu saya tuan haji,” beritahu Datuk pada lelaki tua itu. Dia menarik telapak tangannya yang saya genggam dan terus memeluk tubuh saya.

“Kamu yang azan tadi?” Soalnya sambil melepaskan tubuh saya yang dipeluknya.

“Iya,” sahut saya sambil cuba menjauhkan diri dari lelaki tua itu.

“Tuk, siapa dia ni tuk, sebelum ni tak pernah saya tengok wajahnya,” terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya.

Tidak saya duga sama sekali bahawa Datuk kurang senang dengan cara saya mengemukakan pertanyaan terhadapnya. Akibatnya, Datuk jegilkan biji mata serta membayangkan kemarahan di wajahnya. Tetapi, api kemarahannya segera berakhir apabila sepasang biji mata orang tua itu tertumbuk ke wajahnya.

“Jangan bengis dengan cucu sendiri,” saya terdengar orang tua itu melafazkan kata-kata. Datuk tersengih dan cuba tersenyum.

“Tamar.”

Saya yang bersedia mahu melangkah ke tengah surau untuk melakukan qamat, terpaksa membatalkan niat tersebut. Sebaliknya saya terus melangkah setapak ke arah Datuk. Saya renung wajah Datuk.

“Kenapa tuk?”

“Kau nak tahu Tamar, inilah Tuan Haji Yatimi. Dia ni baru datang dari Solok,” beritahu Datuk kepada saya.

“Solok tu di mana tuk?”

“Di Sumatera Barat, letaknya kira-kira 24 km dari Kota Padang. Dia ni ulama besar, Datuk banyak belajar darinya,” sambung Datuk lagi, cukup bersemangat Datuk menjelaskan tentang biodata orang tua itu di depan saya.

“Usah dikisahkan tentang aku padanya, suruh sesiapa qamat segera,” orang tua itu memotong cakap Datuk.

“Cucu saya qamat,” sahut Datuk.

“Bagus, pergi segera,” orang tua itu terus tepuk bahu kanan saya. Dan saya pun melangkah ke tengah surau.

Beberapa saat kemudian kalimat-kalimat qamat pun bergema dalam surau. Para jemaah pun segera mengambil tempat masing-masing. Saya kira Datuk yang akan menjadi imam, rupa-rupanya tetamu baru yang mengambil alih tugas Datuk.

PUJI

Semua orang memuji Haji Yatimi, kata mereka pembacaan doa yang dilakukannya cukup baik. Kalimat-kalimat yang disebut cukup jelas dan terang, pembacaannya cukup fasih.

Dia melayan para jemaah dengan ramah, tidak kira muda atau tua. Malah, dia melahirkan rasa bangga kerana Datuk menyuruh dia menjadi imam dan membaca doa kesyukuran kerana penyakit yang dideritai oleh Khoja Lisut sudah sembuh.

“Enaknya,” kata Haji Yatimi sebaik saja dia menikmati hidangan yang disediakan oleh Mat Upeh untuk para jemaah. Datuk senyum panjang.

“Lepas makan ni, orang yang saya ikhtiarkan itu mahu berikrar di depan para jemaah. Dia mahu bertaubat dan tidak mahu melakukan sebarang kejahatan,” bisik Datuk kepada Haji Yatimi.

“Apa dia sudah bertaubat betul-betul atau main-main,” semacam ada keraguan dalam diri Haji Yatimi.

Datuk tersentak mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Dua tiga kali saya lihat Datuk kerutkan kening , ekor matanya mengerling tajam ke arah Khoja Lisut yang duduk di sudut surau. Seolah-olah mahu mengasingkan diri dengan para jemaah yang sudah kenyang makan pulut kuning berlaukkan ayam.

Mat Upeh terus mengumpulkan pinggan, piring dan cawan kosong. Kulit pisang emas ditaruh dalam baldi plastik warna merah.

“Kalau dia benar-benar mahu bertaubat memang bagus. Kalau sekadar mahu main-main, nanti akibatnya memakan diri,” tutur Haji Yatimi tenang.

“Orang-orang yang berubat dengan saya itu memang benar-benar mahu bertaubat,” penuh yakin Datuk bersuara. Tetapi tidak semudah itu Haji Yatimi mahu menerima kata-kata dari Datuk.

“Sudahkah orang itu buat sembahyang taubat?” Sepasang biji mata Haji Yatimi terpaku ke wajah Datuk.

“Sudah tuan haji.”

“Bagus, mana orangnya? Doa kesyukuran sudah dibaca tetapi orangnya tak mahu diperkenalkan pada aku. Sebelum dia baca ikrar, aku nak berkenalan dengannya,” Haji Yatimi mengajukan permintaan kepada Datuk.

Saya kira tanpa disedari, Datuk sudah melakukan kesilapan besar kerana tidak memperkenalkan Khoja Lisut kepada tetamunya.

“Oh, maafkan saya tuan haji, saya terlupa.”

“Tak mengapa, kita ni manusia tidak lepas dari kesilapan dan lupa. Bukankah manusia itu memang tidak sempurna, manusia itu hamba Allah yang daif,” sambil berkata-kata, Haji Yatimi merenung setiap muka para jemaah. Semua yang hadir anggukkan kepala. Setuju dengan perkara yang dikatakan oleh Haji Yatimi.

“Khoja, ke mari kamu,” suara Datuk meninggi.

Khoja Lisut segera bangun, berjalan dengan tunduk dari sudut surau menuju ke arah Datuk dan Haji Yatimi. Semua biji mata para jemaah tertumpu ke arah Khoja Lisut. Ada di antara para jemaah itu berbisik sama sendiri. Khoja Lisut duduk bersila di depan Haji Yatimi dan Datuk.

“Aku perkenalkan Haji Yatimi dari Solok,” suara Datuk lantang. Semua yang berada dalam perut surau mendengarnya. Haji Yatimi lebih awal menghulurkan tangan kepada Khoja Lisut. Mereka bersalam erat, mata Haji Yatimi menyorot tajam ke bola mata Khoja Lisut.

Dengan sedaya upayanya Khoja Lisut cuba mengelakkan biji matanya dari bertembung dengan biji mata Haji Yatimi. Dia berasakan sinar mata orang tua itu amat tajam menusuk ke jantung kalbunya. Dadanya berdebar tanpa sebab.

“Kenapa tangan kamu menggeletar?” Tegur Datuk setelah melihat lengan kanan Khoja Lisut menggeletar. Semua biji mata dalam surau tertumpu ke arah Khoja Lisut. Cepat-cepat Haji Yatimi melepaskan telapak tangan Khoja Lisut yang dirangkumnya. Wajah Khoja Lisut kelihatan pucat sekali.

“Kamu sakit Khoja?”

Pertanyaan Datuk dijawab oleh Khoja Lisut dengan menggelengkan kepala.

TANGAN

Dalam masa yang sama Khoja Lisut memberi isyarat tangan kepada Datuk menyatakan yang dia mahu kembali duduk di tempat asalnya, di sudut surau. Apa yang dilakukan oleh Khoja Lisut dapat dikesan oleh Haji Yatimi.

“Duduklah dulu, di depan saya.”

“Kurang manis rasanya duduk di sini, terkeluar dari barisan jemaah yang lain,” tingkah Khoja Lisut sambil merenung ke arah Datuk untuk meminta sokongan agar permintaannya direstui oleh Datuk.

“Duduklah di situ Khoja, agaknya ada hal mustahak yang nak dicakapkan Haji Yatimi kepada kamu,” kata-kata yang diucapkan oleh Datuk itu amat mengecewakan diri Khoja Lisut. Dia tidak ada pilihan lain dan terpaksa duduk di depan Haji Yatimi.

“Boleh aku tanya kamu?” Haji Yatimi tatap wajah Khoja Lisut.

“Silakan,” sahut Khoja Lisut.

“Bagus, aku nak tahu, kamu benar-benar nak bertaubat atau sengaja suka-suka nak bertaubat. Cakap jujur dengan aku, perkara agama tak boleh dibuat main-main begitu juga dengan perkara taubat ni, jangan di olok-olok nanti taubat makan diri,” nada suara Haji Yatimi sekejap meninggi dan sekejap merendah. Semua yang ada dalam surau terus pasang telinga.

Kata-kata itu membuat Khoja Lisut bertambah cemas. Para jemaah penuh debar menanti jawapan dari Khoja Lisut. Beberapa jemaah yang tidak mahu mengikuti perkembangan selanjutnya segera beredar. Bagi mereka itu tidak penting, apa yang penting ialah sembahyang berjemaah, menikmati pulut kuning bersama lauk ayam, pisang sudah memadai. Cuma itu yang disebutkan oleh Datuk kepada mereka. Dan permintaan Datuk itu sudah mereka laksanakan.

“Saya sudah insaf, saya tak mahu ulang perkara yang sudah saya buat,” begitu tegas suara Khoja Lisut tetapi ,dia masih belum mahu menatap wajah Haji Yatimi. Tiba-tiba para jemaah bertepuk memberi sokongan atas keazaman yang diluahkan oleh Khoja Lisut.

“Khoja....” mulut Datuk terlopong, tidak dapat meneruskan kata-kata. Datuk terkejut melihat tindakan Khoja Lisut yang terus membuka bunga silat dan berdiri betul-betul di tengah surau. Beberapa orang jemaah bangun lalu menuju ke pintu.

“Dengan nama Allah yang maha besar, saya berjanji mahu menjadi manusia yang baik, taat pada hukum Allah, tidak akan menganiaya sesama manusia. Jika saya melanggar sumpah ini, saudara atau sesiapa saja boleh menghukum saya..”

“Nanti,” jerit Haji Yatimi.

Khoja Lisut tergamam dan terus duduk. Datuk menggigit bibir dan saya lihat jemaah yang masih ada dalam surau, lebih kurang lima orang saja.

“Kenapa tuan haji?” Tanya Khoja Lisut.

“Jangan minta orang lain menghukum diri kamu. Bila kamu berbuat macam itu, ertinya kamu tidak jujur pada diri sendiri, kamu tak payah minta orang lain menghukum kamu, sesungguhnya perbuatan kamu ini sudah menampakkan riak,” Haji Yatimi berhenti bercakap, dia menarik nafas dalam-dalam.

Datuk tidak berkata apa-apa. Lima orang jemaah yang berada di situ nampak resah. Khoja Lisut tunduk merenung lantai surau.

“Dengar sini, bila kamu sudah bertaubat, ubahlah sikap. Tak payah nak beritahu pada orang lain , kamu bertaubat dengan Allah bukannya dengan manusia, apa perlunya bila bertaubat beritahu orang lain,” Haji Yatimi seperti memberi ceramah.

Semasa Haji Yatimi mengungkapkan kata-kata itu, saya lihat Datuk sentiasa berada dalam resah gelisah. Macam ada sesuatu yang tidak kena.

“Dari mana kamu belajar semuanya ni?” Haji Yatimi terus menyoal Datuk. Dengan serta-merta Khoja Lisut merenung ke arah Datuk. Renungan itu dapat ditafsirkan oleh Haji Yatimi lalu dia tersenyum.

“Kalau itu yang kamu beritahu dia, kamu sudah membuat kesilapan besar,” Haji Yatimi tujukan kata-kata itu untuk Datuk.

“Inilah kesilapan saya,” Datuk mengakui kesilapannya kerana memberi penerangan yang kurang tepat untuk Khoja Lisut.

“Lain kali jangan buat lagi, aku tahu ada benda yang belum selesai dalam diri orang ini, dia tidak ikhlas dengan dirinya sendiri,” terbeliak biji mata Datuk mendengar ungkapan dari Haji Yatimi dan Datuk menggigit bibir.

Rasa geram dan marah terhadap Khoja Lisut terpamer di wajah Datuk. Datuk genggam penumbuk, dia merasakan dirinya telah diperdayakan oleh Khoja Lisut dengan cara terhormat.

MUNCUL

Lima orang jemaah yang masih berada dalam surau mula naik bosan dengan gelagat Khoja Lisut.

Mereka pun segera angkat punggung, meninggalkan ruang surau. Sebaik saja lima jemaah itu pergi, muncul pula Mat Upeh lalu duduk tidak jauh dari saya.

“Aku cuma nak tengok saja,” bisiknya ke telinga saya. Saya pun anggukkan kepala.

“Kamu benar-benar mahu bertaubat?” Datang lagi pertanyaan dari Haji Yatimi untuk Khoja Lisut.

“Berapa kali saya mahu terangkan,” Khoja Lisut mula naik darah.

“Sudah kamu buang apa amalan yang tak baik dalam diri kamu?”

Kali ini Khoja Lisut renung kiri kanan, bagi memastikan apakah kata-kata itu memang ditujukan untuknya. Sepasang kelopak bibirnya seperti menggeletar.

“Tuan haji ni tanya kamu,” jari telunjuk Datuk menuding ke arah muka Khoja Lisut.

“Saya,” suara Khoja Lisut agak cemas.

“Iya,” angguk Haji Yatimi.

Di saat Khoja Lisut berada dalam keadaan serba salah, tanpa memberitahu Datuk dan Mat Upeh, Haji Yatimi terus memegang pergelangan tangan kiri Khoja Lisut lalu menarik ke muka pintu surau.

“Mahu dibawa ke mana,” tanya Khoja Lisut kepada Haji Yatimi.

“Turun ke tanah kita berbincang di halaman surau, ada sesuatu yang mesti kita selesaikan di situ.”

“Maksud tuan haji?” Tingkah Datuk sambil bangun.

“Banyak perkara di sembunyi dari kamu, ada ilmu jahat yang tidak dikeluarkannya,” balas Haji Yatimi. Tidak ada bantahan atau bangkangan dari Khoja Lisut. Ikut saja kata Haji Yatimi.

Sebaik saja berada di halaman surau, Haji Yatimi segera mengarahkan Datuk berdiri di sebelah kanan Khoja Lisut, sementara Mat Upeh pula diarah berdiri di kiri. Saya disuruh duduk di kaki tangga surau.

Haji Yatimi berdiri betul-betul di depan Khoja Lisut, bayangnya memanjang di tanah. Kerana matahari sudah beransur redup, Datuk, Mat Upeh dan Khoja Lisut tidak merasai kepanasan. Angin petang yang bertiup lembut memberikan kesegaran kepada mereka.

“Kamu yang berdiri di sebelah kanan dan kiri mesti bertindak cepat. Lakukan apa saja, jika orang yang berada di tengah mahu melarikan diri, jatuhkan dia,” Haji Yatimi mengeluarkan perintah kepada Mat Upeh dan Datuk. Saya lihat Khoja Lisut tetap berada dalam keadaan tenang.

“Kamu mahu bertaubat?” Haji Yatimi renung Khoja Lisut.

“Iya,”

“Kamu harus membuang segala ilmu pelindung, pendinding diri yang sudah sebati dengan darah daging kamu. Jika ilmu ini tidak ditawarkan, kamu yang susah nanti, di saat ajal kamu sudah sampai, nyawa kamu susah berpisah dengan badan. Walaupun tubuh kamu hampir binasa tetapi, kamu masih bernyawa.” muka Haji Yatimi kelihatan merah padam. Khoja Lisut yang tadi tenang, tiba-tiba berubah sikap, mukanya jadi bengis, matanya liar. Dia terus mendengus tidak tentu arah. Badannya nampak menggigil.

“Sebenarnya yang bernyawa tu bukannya kamu. Kamu sudah mati, roh kamu sudah tiada, apa yang dilihat oleh orang lain itu adalah ilmu syaitan yang cuba menipu orang-orang yang hidup, mahu meyakinkan orang-orang yang hidup bahawa ilmu syaitan itu lebih tinggi,” sambung Haji Yatimi.

Saya lihat Khoja Lisut bertambah resah. Dua tiga kali dia menghentakkan pangkal sikunya ke bahagian perut Datuk dan Mat Upeh.

Datuk tidak menghadapi apa-apa masalah dengan tindak-tanduk Khoja Lisut itu tetapi, Mat Upeh mengalami rasa sakit dan senak di perut setiap kali Khoja Lisut menghentakkan siku ke perutnya.

“Sekarang kamu bersedia menggugurkan ilmu yang ada itu?” Haji Yatimi minta kepastian.

“Saya setuju, ilmu itu tidak saya tuntut tetapi datang sendiri waktu saya menuntut ilmu kebatinan, guru saya meresapkan kepada saya,” terang Khoja Lisut.

“Aku faham, guru kamu mahu membuang ilmu itu dan dia menggunakan kamu sebagai warisnya. Dan kamu mahu membuang ilmu itu dan sekarang berusaha untuk melepaskan pada orang lain. Betul atau tidak?”

“Iya, saya mengaku,”

Terbeliak biji mata Datuk mendengar pengakuan Khoja Lisut. Mat Upeh gelengkan kepala dan saya tidak menduga sama sekali yang Khoja Lisut masih mahu menyembunyikan sesuatu dari Datuk.

Setelah menerima pengakuan dari Khoja Lisut, Haji Yatimi termenung sejenak. Tumit kaki kirinya ditekan ke bumi sambil mengangkat tangan kanannya ke arah Datuk dan Mat Upeh agar jangan berada terlalu dekat dengan Khoja Lisut. Angin petang yang bertiup terus menggerakkan dedaun pokok.

“Di sinilah kamu tidak ikhlas, kamu mahu menurunkan ilmu itu kepada budak ini,” Haji Yatimi segera meluruskan telunjuknya ke arah saya.

“Kamu mahu memasukkan ilmu itu ke dalam dirinya secara pertukaran nafas waktu tidur, tapi kamu masih belum berpeluang.” sambung Haji Yatimi.

“Hei!!!,” pekik Khoja Lisut sekuat hati, dia terus melompat setinggi pohon kelapa dara. Kedua belah kakinya lurus ke arah dada Haji Yatimi dan tangan kanannya bersedia untuk melepaskan pukulan ke arah leher Haji Yatimi.

Melihat keadaan yang agak gawat itu, Datuk segera bertindak. Dia berlari ke arah Haji Yatimi dan berdiri di depan lelaki tua itu. Datuk pun membuka silat untuk melindungi Haji Yatimi, tetamu terhormat yang tidak di undangnya. Datuk pun membuka silat.

Datuk luruskan kedua belah lengannya. Dan sepasang telapak tangannya dikembangkan ke arah sepasang telapak kaki Khoja Lisut yang laju menuju ke dada Datuk, saya lihat tubuh Khoja Lisut berputar-putar di udara lalu berpatah balik ke arah tempat dia berdiri.

Khoja Lisut jatuh tersembam di sisi Mat Upeh. Datuk segera melangkah mahu menerkam ke arah Khoja Lisut. Tetapi, Haji Yatimi bertindak dengan pantas memegang lengan kanan Datuk lalu dipulas ke belakang.

“Kenapa tuan haji,”

“Jangan dilayan, dia tak sedar apa yang dibuatnya. Dia dikuasai oleh ilmu sesatnya,” kata Haji Yatimi lalu melangkah ke arah Khoja Lisut yang tersungkur di bumi.

“Hatinya mahu bertaubat tetapi, pendindingnya menjadi batu penghalang,” bisik Haji Yatimi ke telinga Datuk. Haji Yatimi terus bertinggung di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh berdiri tidak jauh dari Datuk.

Saya terdengar suara Khoja Lisut mengaum macam harimau, tubuhnya mula membongkok dan kedua belah tangannya mencakar-cakar tanah, perbuatannya itu tidak ubah macam kelakuan harimau liar. Dia terus mengaum dan cuba beberapa kali mahu mencakar muka Datuk tetapi, Datuk dapat mengelak dengan cepatnya. Saya mula melihat kuku di jarinya bertukar menjadi macam kuku harimau.

           Menggeletek Macam Cicak
Saya mengucap panjang, bila melihat kaki kiri Khoja Lisut menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya, sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular.

“Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya. Tetapi, bila dia sakit ternyata ilmunya tidak dapat menyembuhkan penyakitnya kerana itulah dia datang jumpa kamu. Dalam kehebatannya, masih ada kekurangannya, memang begitu adatnya yang menimpa manusia. Tidak ada orang yang gagah, tidak ada orang yang amat pintar, setiap yang lebih pasti ada kekurangannya,” Haji Yatimi terus memberikan ceramah kecil untuk saya, Mat Upeh dan Datuk.

“Apa yang mesti dibuat sekarang?” Mat Upeh bertanya.

“Inilah kesempatan yang baik, pendindingnya sudah lemah, kita mesti mengeluarkan pendinding yang sudah sebati dengan darahnya.” jelas Haji Yatimi lalu mengarah saya berdiri di hujung kepala Khoja Lisut, Mat Upeh di sebelah kanan, Datuk di sebelah kiri. Manakala Haji Yatimi di bahagian kaki.

“Dia mahu bertaubat, mahu jadi baik. Sayangnya, syaitan yang jadi pendinding menguasai dirinya sepenuh, inilah masanya kita menghalaunya.” tambah Haji Yatimi sambil memberitahu saya dan Mat Upeh supaya melihat apa saja yang dilakukannya.

Haji Yatimi memberi arahan kepada Datuk supaya mengepal tanah dan melemparkan ke arah mana-mana tubuh Khoja Lisut, bila dia menjerit. Menurut Haji Yatimi manusia berasal dari tanah dan kekuatan manusia tetap bersama tanah dan kekuatan iblis tetap bergantung pada cahaya dan akan binasa dengan api.

Setelah mengeluarkan arahan itu, Haji Yatimi pun menjamah kaki kiri Khoja Lisut yang menggeletek macam cicak. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak, bibir Datuk juga bergerak. Saya kira mereka sedang membaca sesuatu.

“Ya Allah, apa sudah jadi,” bisik batin saya bila melihat kaki kanan Khoja Lisut berubah menjadi macam ular lalu membelit tubuh Haji Yatimi, Mat Upeh kelihatan cemas sekali.

Dengan tenang Haji Yatimi menepisnya dan serentak dengan itu terdengar jeritan Khoja Lisut. Datuk segera melemparkan tanah ke muka Khoja Lisut, kaki kanannya yang berbentuk macam ular kembali pulih macam biasa, begitu juga dengan kaki kiri yang menggeletek macam ekor cicak. Tidak bergerak lagi.

Khoja Lisut tidak lagi mengaum macam harimau. Dengan tenang Haji Yatimi memegang pergelangan kaki kiri Khoja Lisut. Dengan hati-hati Haji Yatimi menekan ibu jari kirinya ke bahagian tengah telapak kaki Khoja Lisut.

Seluruh perhatian saya dan Mat Upeh tertumpu kepada gerak-geri dan tindak-tanduk Haji Yatimi. Sesekali saya lihat, Khoja Lisut menggeliat dan tubuhnya seakan-akan bergulung macam tubuh tenggiling membelit sebatang kayu.

JARI

Semua yang terjadi itu tidak dihiraukan oleh Haji Yatimi, dia asyik dengan tugasnya menekan ibu jari ke telapak kaki Khoja Lisut.

“Ha! Tengok tu,” Mat Upeh mencuit bahu saya.

Saya segera jegilkan biji mata ke arah sekujur tubuh Khoja Lisut yang terlentang ke bumi. Wajahnya menadah langit. Haji Yatimi masih dengan tugasnya dan Datuk tetap mengepal tanah.

“Apa dia Pak Mat?” Tanya saya pada Mat Upeh.

“Kau tak nampak apa-apa Tamar,”

“Memang tak nampak apa-apa pun.”

“Cuba kau renung betul-betul ke arah bahagian dada orang itu,” Mat Upeh menasihati saya.

Kerana percaya dengan apa yang di cakapnya, saya arahkan sepasang biji mata ke arah dada Khoja Lisut tanpa berkelip-kelip. Ya, sekarang baru saya tahu Mat Upeh tidak berbohong dengan saya. Dia bercakap benar. Tiba-tiba saja bulu roma saya tegak, badan menggeletar. Saya melihat ada asap nipis keluar dari bahagian dada Khoja Lisut.

Asap nipis itu naik memanjang lalu membentuk lembaga seperti bentuk kanak-kanak dalam kandungan. Lembaga itu nampak macam berada di dalam bentuk kaca yang mengeluarkan cahaya kemilau kekuningan.

Sekujur tubuh lembaga itu berbulu dan bila berpusing ke arah saya, saya lihat wajah lembaga itu amat mengerikan dengan dua batang gigi besar di kiri dan kanan mulutnya. Lembaga itu bergerak ke kiri dan ke kanan, tidak pula melepasi kawasan jantung dan hati Khoja Lisut.

Sinar matahari petang kian runduk tetapi, muka Haji Yatimi terus dibasahi dengan peluh. Walaupun demikian dia tetap tenang cuma saya lihat Datuk saja berada dalam keadaan cemas. Khoja Lisut yang terlentang di bumi tetap tidak bergerak, bagaikan tidak bernyawa lagi.

Asap nipis yang keluar dari bahagian dada tetap berterusan menyelimuti lembaga yang berada di awang-awangan. Lembaga itu semakin membesar dan kelihatan merening dan bentuk kanak-kanak yang ada dalam lingkungan asap nipis juga kian membesar. Wajahnya bertambah menggerunkan ada mirip orang Utan. Seluruh tubuh berbulu, manakala sepasang tangan seperti kaki cicak dan sepasang kaki bersisik macam sisik ular sawa.

“Dummmmmmmmm..”

Satu ledakan menguasai kawasan surau. Saya lihat lembaga yang terapung di udara hancur berkecai. Asap nipis yang melindunginya hilang entah ke mana. Cebisan dari lembaga itu bertaburan di halaman surau dalam bentuk gabus berwarna putih.

Beberapa saat kemudian gabus itu terbakar dan sukar dikesan. Tidak meninggalkan sebarang tanda di tempat gabus itu jatuh.

Haji Yatimi segera bangun. Dia memberi isyarat ke arah Datuk supaya berhenti mengepal tanah. Datuk patuh dengan arahan itu.

Kemudian, saya dan Mat Upeh diarah supaya kembali ke surau. Lebih kurang lima minit kami berada di surau, kami diarah supaya berada di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh (mungkin juga Datuk) terkejut besar melihat darah keluar dari ibu jari kaki kiri Khoja Lisut. Darah itu melimpah di tanah dan jika dikumpulkan jumlah melebihi dua botol.

Saya lihat Khoja Lisut pucat lesi, dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Melihat batang hidung Haji Yatimi, mendengar suaranya membaca ayat Qursi. Kemudian Khoja Lisut merapatkan matanya kembali. Dia kelihatan amat lemah sekali.

“Dia memang tidak kenal dengan aku tetapi, aku mengenalinya. Kedatangan aku ke sini memang untuk mencarinya, bukan untuk membalas dendam, aku nak membimbing dia ke jalan benar,” lagi sekali Haji Yatimi membuat kejutan.

“Kenapa Tuan Haji tak berterus terang dengan saya?” Sanggah Datuk. Haji Yatimi tersenyum.

RAGU

Bagi menghilangkan keraguan itu, Haji Yatimi pun menjelaskan, semasa Khoja Lisut membelasah seorang Kiai di Asahan, secara kebetulan dia baru tiba di tempat tersebut dari Solok. Dia datang ke Asahan untuk berjumpa dengan Pak Kiai yang menjadi guru agamanya.

“Dari Pak Kiai saya belajar hukum-hakam agama Islam. Dia ulama besar. Bila saya mendapat tahu Pak Kiai dibelasah guru silat yang angkuh, saya jadi marah dan mahu bertindak. Tetapi, Pak Kiai menahan saya. Katanya, orang Islam yang baik tidak mudah naik darah dan tidak mahu bergaduh sesama Islam,” Haji Yatimi memulakan ceritanya.

Dia juga menceritakan kepada kami, bagaimana Pak Kiai menghembuskan nafas terakhir di depan matanya. Sebelum itu, Pak Kiai berpesan kepadanya supaya mencari guru silat yang membelasahnya, bukan untuk membalas dendam tetapi, mengajak guru silat yang banyak mengamalkan ilmu batin yang bertentangan dengan ajaran Islam kembali ke jalan yang benar.

Jika tidak dibetulkan mungkin guru silat itu akan mengajar ilmu songsang kepada anak muridnya. Malah akan menyebarkan ajaran sesat yang akan merugikan orang-orang Melayu, menimbulkan perpecahan sesama sebangsa.

“Kerana itu aku cari dia, aku gembira aku gembira bila mendapat tahu kamu berikhtiar mengubati penyakitnya. Allah memperkenankan permintaan kamu, tetapi dia tidak ikhlas,” sambung Haji Yatimi lagi.

“Sekarang macam mana?” Tanya Mat Upeh.

“Dengan izin Allah, nampaknya aku berjaya mengeluarkan amalannya. Darah yang kamu tengok tu, adalah darah kotor bersendikan syaitan yang mengalir dalam tubuhnya,” Haji Yatimi segera menggosok kedua belah telapak tangannya.

Dia mengambil sebatang ranting yang berada dekatnya, ranting itu dilemparkan ke arah darah yang keluar dari ibu kaki Khoja Lisut. Sebaik saja ranting jatuh di situ, maka keluarlah api lalu membakar darah tersebut hingga hilang tanpa kesan.

Memang di luar dugaan kami, tiba-tiba saja Khoja Lisut bangun. Kalau tadi, wajahnya nampak gerun dan menyeramkan dengan sinar mata yang tajam, kulit tubuhnya kelihatan tegang. Kini, semuanya itu bagaikan tiada pada dirinya. Khoja Lisut kelihatan lesu, wajahnya nampak tua dan kulitnya berkedut.

“Kamu sekarang berada dalam keadaan yang sebenar. Kamu tak boleh selama-lamanya menipu sesama manusia,” turut Haji Yatimi lalu bangun. Berdiri bertentang wajah dengan Khoja Lisut.

“Kamu.”

Haji Yatimi segera meletakkan telapak tangan kiri ke bahu kanan Khoja Lisut. Lima jari Haji Yatimi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut dengan keras sekali.

Berkerut muka Khoja Lisut menahan rasa sakit dan dia hampir mahu rebah ke bumi tetapi, Khoja Lisut tetap berusaha agar dirinya berdiri terus.

Rebah ke bumi bererti kalah dan Khoja Lisut tidak mahu kalah lagi. Tidak rela masa lampaunya yang hitam diperkatakan oleh Haji Yatimi dengan sewenang-wenangnya di depan Mat Upeh, di depan saya dan Datuk. Makin kuat Khoja Lisut mempertahankan diri dari rebah ke bumi, sekuat itu juga Haji Yatimi memaut tulang selangka Khoja Lisut.

Sebenarnya, antara Haji Yatimi dengan Khoja Lisut sedang berlangsung sebuah pertarungan yang tidak rasmi. Saya tidak tahu kenapa Khoja Lisut harus memperlihatkan kemampuannya yang tidak seberapa itu kepada Haji Yatimi, sedangkan dia sudah bertaubat untuk jadi orang baik-baik.

Barangkali dia terpaksa bertindak demikian setelah mengetahui yang Haji Yatimi adalah kenalan Kiai yang dibelasahnya di Asahan dulu. Mungkin dia memikirkan kedatangan Haji Yatimi untuk membalas dendam. Khoja Lisut merasakan Haji Yatimi mahu memperdayakan dirinya? Semua persoalan itu berlegar dalam tempurung kepala saya.

Khoja Lisut tidak dapat bertahan, sedikit demi sedikit dia merendahkan tubuhnya. Demi menjaga maruah diri, Khoja Lisut terpaksa membengkokkan kakinya dan menggunakan kekuatan sepasang lutut bagi menahan diri dari rebah ke bumi. Cengkaman Haji Yatimi tetap berterusan. Berpeluh Khoja Lisut menahan rasa sakit.

Mungkin kerana terlalu sakit, Khoja Lisut tidak ada pilihan lain. Dia terus meraung dengan sekuat hatinya, bagaikan raungan gajah yang naik minyak.

“Ya Allah, apa sudah jadi Tamar?” Keluh Mat Upeh

Semua biji mata tertumpu ke arah Khoja Lisut. Datuk urut dada dan saya menarik nafas dalam-dalam bersama rasa cemas dan takut.

“Apakah aku bermimpi Tamar?” Mat Upeh bersuara sambil menggosok-gosok kelopak matanya beberapa kali.

“Kamu tak bermimpi Mat,” kata-kata yang dituturkan oleh Datuk memaksa Mat Upeh mengerutkan dahinya.

Raungan Khoja Lisut terus bergema. Haji Yatimi tidak ambil kisah, dia tetap tenang. Sambil jejarinya mencengkam tulang selangka Khoja Lisut, mulutnya terus berkumat-kamit. Entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu. Dari lubang hidung Khoja Lisut keluar darah yang sudah agak membeku. Dari kedua belah cuping telinganya berguguran butir-butir pasir menyerupai intan, berkilau-kilau disuluh matahari petang yang kian redup.

Dari celah belah sikunya kelihatan seperti serpihan emas berjatuhan atas bumi lalu hilang entah ke mana. Saya jadi panik melihat keadaan yang berlaku di depan mata saya. Raungan Khoja Lisut berhenti dan jari-jari Haji Yatimi tidak lagi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut.

“Sekarang sudah selesai,” kata Haji Yatimi sambil menatap wajah Datuk dengan serius.

“Apa benda yang keluar dari cuping telinga dan dagunya tu.”

“Tuan Haji?” Tanya Datuk.

“Yang keluar dari lutut tu ialah susuk untuk tenaga, yang kamu nampak jatuh macam keping emas tu, sebenarnya tahi besi yang diserapkan ke dalam setiap sendi tubuhnya,” balas Haji Yatimi.

ARAH

Saya lihat Mat Upeh gelengkan kepala. Kemudian saya alihkan pandangan ke arah Khoja Lisut yang berusaha untuk berdiri, ternyata usahanya itu berhasil.

Khoja Lisut melangkah perlahan-lahan mendekati Haji Yatimi. Gerak-gerinya macam orang yang sudah berusia hampir sembilan puluhan. Khoja Lisut nampak cukup tua.

“Yang keluar dari cuping telinganya tu apa dia?” Mat Upeh ajukan pertanyaan. Datuk terus menggigit ibu jari kiri, ekor matanya terus menjeling ke arah Khoja Lisut. Haji Yatimi seperti tidak mahu menjawab pertanyaan yang diajukan Mat Upeh. Barangkali, dia sedang memikirkan sesuatu yang lebih serius tentang Khoja Lisut.

“Itu susuk emas yang saya pakai, tujuannya biar muka saya nampak muda, tak makan tua. Saya tersilap,” sebuah pengakuan yang amat mengejutkan dari Khoja Lisut untuk kami. Saya dan Mat Upeh saling berpandangan.

Haji Yatimi senyum panjang. Terbayang kepuasan di wajahnya. Tanpa membuang masa dia terus menerkam ke arah Khoja Lisut lalu dipeluk dan diciumnya beberapa kali . Apa yang mengharukan perasaan saya, mungkin juga perasaan Datuk dan Mat Upeh, bila melihat Khoja Lisut merangkum tubuh Haji Yatimi dengan erat sekali. Saya lihat Haji Yatimi menangis tersedu-sedu.

“Aku bahagia bila kamu mengakui kesilapan kamu,” dalam esak tangis itu, Haji Yatimi terus bersuara tersangkut-sangkut.

“Allah membuka pintu hati saya tuan Haji,” balas Khoja Lisut lalu melepaskan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Haji Yatimi. Mereka berpegangan tangan dan serentak menghalakan wajah ke arah saya, ke arah Mat Upeh dan Datuk.

“Seorang Islam sejati akan merasa bahagia dan bersyukur pada Allah bila dapat menyelamatkan saudaranya dari tercebur ke kancah maksiat yang diketahui oleh syaitan. Orang Islam yang baik selalu memikirkan tentang nasib agama Islam dan saudara-saudaranya,” Haji Yatimi bagaikan memberi ceramah kepada kami.

“Saya tahu awak....” Khoja Lisut terus meluruskan jari telunjuknya ke arah Datuk dan “Tuan Haji ini benar-benar ikhlas mahu menolong aku, cuma aku saja ragu-ragu atas kejujuran kamu berdua sekarang sudah terbukti aku yang salah hitung,” sambung Khoja Lisut dengan wajah yang besar.

“Sudahlah, sekarang kamu tidak ada menyimpan ilmu hitam lagi? Kalau ada cakap segera, biar aku selesaikan,” turut Haji Yatimi, Khoja Lisut gelengkan kepala seraya berkata:

“Ilmu hitam yang Tuan Haji keluarkan tadi, itulah ilmu terakhir yang ada pada saya. Memang saya berhajat nak menyimpannya kerana saya percaya dengan kata guru saya; tidak ada orang yang boleh gugurkan 'susuk' yang sudah sebati dengan darah daging saya, tidak ada orang yang tahu yang saya ada ilmu itu.”

“Dan guru kamu memberitahu kamu, jika mahu mengeluarkan susuk dari tubuh, kamu disuruh masuk hutan mencari pokok yang separuh mati dan letaknya terasing dengan pokok-pokok lain. Pokok tu mesti tumbuh di kemuncak bukit,” Haji Yatimi tatap biji mata Khoja Lisut.

“Ya Tuan Haji,”

“Kamu disuruh betapa di pangkal pokok selama tiga hari tiga malam. Kemudian kamu disuruh gantung diri kepala ke bawah kaki diikat dengan tali jerami pada dahan pokok. Betul atau tidak?”

Khoja Lisut termenung sejenak. Dia seperti keberatan mahu menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Masih mahu berahsia.

“Betul atau tidak? Jawab pertanyaan aku,” Haji Yatimi terus melenting. Dia genggam penumbuk. Datuk dan Mat Upeh undur dua tapak ke belakang, menjauhkan diri dari sisi Haji Yatimi. Bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Iya,” angguk Khoja Lisut.

“Dia juga beritahu kamu, genap empat hari empat malam kamu gantung diri kepala ke bawah kaki ke atas, susuk yang ada dalam diri mesti keluar. Sebenarnya, dia membohongi kamu. Dia menipu kamu.”

“Bohong?” Khoja Lisut terkejut.

“Iya, bila kamu tergantung begitu empat hari empat malam, kamu boleh mati, setidak-tidaknya jadi habuan binatang ganas. Di mana logiknya cakap guru kamu?”

Mendengar kata-kata Haji Yatimi itu, Khoja Lisut bagaikan tergamam. Dia termenung panjang sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dahinya, segera dikerutkannya. Beberapa kali Khoja Lisut gelengkan kepalanya. Dia seperti menyesali apa yang terjadi atas dirinya.

“Saya terkena dalam baik,” terpancut sebuah keluhan dari mulut Khoja Lisut.

Mat Upeh terus telan air liur dan saya terus menggigit lidah. Rasa simpati terhadap Khoja Lisut terus berbunga dalam hati.

“Sepatutnya, kamu hati-hati bila mahu menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ilmu silat, banyak cabang, banyak simpang yang tidak sihat,” sanggah Datuk.

“Salahnya kamu sendiri tak gunakan fikiran untuk buat keputusan, kamu tunduk dengan kemahuan nafsu. Inilah akibatnya yang kamu terima,” Haji Yatimi memberikan komentar tanpa memandang wajah Khoja Lisut.

GOSOK

Buat beberapa saat, semua yang ada di situ tidak bersuara. Datuk menggosok-gosok batang hidung beberapa kali. Mat Upeh menekan sepasang tumit kakinya ke bumi. Haji Yatimi terus berpeluk tubuh dan sepasang matanya merenung ke arah pepohon yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Dia masih juga membelakangi Khoja Lisut.

“Sekarang kamu dah sedar tentang kesilapan kamu?”

Saya lihat Khoja Lisut terkejut mendengar ungkapan dari Haji Yatimi itu. Dia pasti kata-kata ditujukan kepadanya.

“Ya, sekarang sudah nyata cakapnya tak betul,” Khoja Lisut bersuara. Dengan serta- merta Haji Yatimi memusingkan badannya lalu menatap menentang biji mata Khoja Lisut.

Datuk dan Mat Upeh segera bergerak ke arah surau. Pada anggapan mereka, tugas membantu Haji Yatimi sudah selesai. Tetapi, hati kecil saya keberatan untuk meninggalkan Haji Yatimi sendirian di situ.

“Apalagi ilmu yang kamu simpan? Kalau ada, sila cakapkan pada aku dengan ikhlas dan jujur. Demi kebaikan kamu,” terpamer rasa simpati di wajah Haji Yatimi.

Sinar matanya seolah-olah membayangkan kesungguhan untuk membebaskan diri Khoja Lisut dari belenggu ilmu syaitan.

“Tak ada apa-apa lagi yang saya simpan,” Khoja Lisut telan air liur, bulu keningnya nampak bergerak, “tak tahulah pula, kalau ada ilmu yang diserapkan di luar pengetahuan diri,” sambung Khoja Lisut.

“Kamu sudah diiktiraf sebagai Khalifah?”

“Belum lagi.”

“Buktinya yang kamu belum iktiraf sebagai Khalifah,” Haji Yatimi terus merisik rahsia.

Khoja Lisut dongakkan wajah ke langit. Dia melihat awan dan langit petang. Dengan tenang dia menarik nafas untuk menghirup udara yang berlegar-legar di sekitar kawasan halaman surau. Khoja Lisut ubah pandangan lalu menatap ke arah Mat Upeh dan Datuk yang sedang berdiri dekat tangga surau. Kemudian pandangannya itu dialihkan ke wajah Haji Yatimi.

“Buktinya? Mahu buktinya?” Ulang Khoja Lisut.

“Iya,” angguk Haji Yatimi.

“Saya tidak diberi songkok tinggi baldu merah berlilit kain putih. Kalau sudah diberi songkok macam itu, bolehlah mengeluarkan petua baru tentang sembahyang, puasa, zakat dan ambil haji.”

“Biasanya, hukum-hukum itu berlainan dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan orang Islam, malah memang bertentangan, pengikut Khalifah yang dianggap macam Imam paling agung, mesti disanjung, makan pakai, rumah harus disediakan oleh pengikut. Apa yang Khalifah mahu mesti ditunaikan. Kalau ingkar nanti kena kutuk, mati berdarah, ada yang kena petir, mati lemas atau terbakar. Bukan begitu.”

“Tepat sekali,” Khoja Lisut seperti terpaku. Dia kagum kerana Haji Yatimi dapat menyatakan apa yang menjadi rahsia dirinya secara terperinci.

“Tolong, jangan buat apa-apa dengan saya.”

Khoja Lisut terkam ke arah Haji Yatimi dan terus melutut sambil mengangkat sepuluh jari paras hidung, macam orang suruhan dalam zaman Kerajaan Melayu Melaka menyembah sultan. Perbuatan itu tidak disenangi oleh Haji Yatimi dan dia terus memarahi Khoja Lisut.

“Jangan sembah aku,” bentak Haji Yatimi, “berdiri lurus, cakap apa yang kamu nak cakap,” kali ini nada suara Haji Yatimi lembut, penuh kemesraan bersama senyum persahabatan. Khoja Lisut segera patuh dengan permintaan Haji Yatimi itu.

“Jangan, buat apa pada saya. Memang saya diarah cara halus supaya menentang sesiapa saja yang menentang cita-cita. Maafkan saya. Ampunkan saya jangan mengapa-apakan saya,”

“Aku ke mari bukan nak balas dendam kerana kamu menyeksa guru aku, tapi...” Haji Yatimi berhenti bersuara. Khoja Lisut bertambah resah. Dia berada dalam ketakutan yang amat sangat.

“Tapi, apa tuan haji” Tanyanya lembut.

“Menyempurnakan amanat guruku, dia memaafkan kamu. Tetapi, dia juga menyuruh anak muridnya mencari kamu. Berikhtiar mengajak kamu kembali ke jalan benar.”

“Kamu tidak menipu.”

“Orang Islam tidak pernah menipu, apa yang ada di hati, itu yang dicakapkan. Seseorang Islam berhak dan dituntut supaya mengembalikan saudaranya yang sesat ke jalan yang benar.”

“Buktinya?” Khoja Lisut minta kepastian.

“Buktinya, aku tidak buat tak senonoh pada kamu, sekarang aku bersyukur pada Allah kerana hamba yang sesat kembali ke jalan yang benar.”