Bukan Muntah Darah
Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut.
Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri khoja Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat. Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.
Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.
"Kenapa?" Saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi. Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.
"Semuanya sudah habis, Tamar."
"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu. Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.
"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar."
Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.
Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan Datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja. Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.
"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" Tanya Datuk.
"Kau nampak aku sudah cukup tua?" Dalam tercungap-cungap Khoja Lisut bersuara. Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.
"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun," semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi. “Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya. Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.
Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan Datuk dan Mat Upeh.
Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka. Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.
TURUN
Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.
Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung lengan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.
“Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?" Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.
"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?"
"Tidak," jawab Khoja Lisut.
"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka," Haji Yatimi seperti mendesak. Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.
"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.
Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut. Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan Datuk jangan mendekatinya.
Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya. Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok Sentul. Dia muntah darah di situ.
"Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di situ."
Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut, setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi. Barangkali dia mahu menyeksa Khoja Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati kecil saya.
"Kenapa tak boleh bantu dia?" Ternyata saya tidak dapat menahan gelora batin. Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji Yatimi yang amat dihormati oleh Datuk.
"Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk campur,"
Tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan buat Datuk. Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan lima jarinya. Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari Datuk singgah ke pipi. Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hitungan, saya tidak mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat, pergelangan Datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi. Mat Upeh tersenyum lebar tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah Datuk.
"Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya," Haji Yatimi melepaskan lengan tangan Datuk yang dipegangnya. Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah berkata: 'Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.’ Saya menelan air liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa dari sikap panas baran Datuk itu.
"Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya," itulah penjelasan yang Datuk berikan kepada Haji Yatimi.
"Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir. Bukankah Islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan ajaran yang baik itu?"
"Tapi...," sanggah Datuk.
"Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam dirinya terhadap kamu.
"Saya faham," Datuk seperti mengalah.
Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut yang masih muntah. Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji Yatimi merenung saya kembali.
"Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah darah."
"Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” Saya pintas cakap Haji Yatimi. Saya jeling ke arah Datuk. Dia menggigit lidah. Cukup geram dengan tindak tanduk saya itu.
"Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya."
"Saya faham,” kata saya.
"Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya."
"Terima kasih tuan haji, saya dah faham sekarang," kata saya. Mat Upeh dan Datuk ketawa kecil melihat telatah saya itu. Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.
Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka Khoja Lisut.
"Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam lagi?" Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada Datuk.
"Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke subuh sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah kerana kamu sudah kembali ke jalan yang benar," aneh sekali, bukan Datuk yang menjawab pertanyaan Khoja Lisut tetapi, Haji Yatimi.
"Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan saya bermalam di surau," ada keraguan di wajah Khoja Lisut.
"Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk kebaikan.
”Mungkin ada yang mahu ikut sama,” tingkah Datuk.
"Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan Allah berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat," sampuk Mat Upeh.
"Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan Allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu. Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh iblis," nada suara Haji Yatimi mula meninggi.
"Saya mengikut saja, baik kata orang di sini, baiklah buat saya."
"Syukur pada Allah," jerit Mat Upeh. Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.
PULANG
Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan datang semula ke surau bila sampai waktu maghrib. Waktu saya memusingkan badan ke kanan menuju lorong arah ke rumah, tiba-tiba Datuk memaut bahu kiri saya dari belakang.
"Nak ke mana Tamar?"
"Balik, tuk."
"Bagus, kamu suruh nenek masak nasi dan lauk banyak sikit, suruh dia agak-agak untuk makanan kita berempat, masa kamu datang balik ke sini, bawa makanan tu."
"Baik tuk," kata saya.
Perjalanan yang terhenti saya teruskan kembali. Di saat kegembiraan kerana hasrat saya tidak dihalang oleh Datuk. Secara mendadak gegendang telinga saya menangkap bunyi telapak kaki manusia dari arah belakang. Saya segera menoleh, Datuk sedang berlari anak ke arah saya. Langkah kaki pun saya matikan. Datuk berhenti di depan saya.
"Kenapa tuk?"
"Aku terlupa nak cakap dengan kamu," Datuk berhenti bercakap. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Ada senyum berlari di wajahnya.
"Apa dia perkara yang Datuk terlupa nak cakapkan tu," ulang saya.
"Begini, kamu ambil dua helai kain pelekat, sehelai baju kemeja, sehelai Baju Melayu dan dua helai kain basahan," tutur Datuk dengan tenang.
Saya terkejut mendengar permintaan Datuk itu. Lama juga saya termenung, berfikir kenapa Datuk minta barang-barang tersebut? Mungkin Datuk mahu pergi ke mana-mana.
"Buat apa semuanya tu Datuk?"
"Kain pelekat tu aku nak pakai, sehelai lagi nak bagi Khoja Lisut pakai. Kain yang dipakainya tu dah kotor, tak boleh dibawa sembahyang, begitu juga dengan baju."
"Kain basahan pula?"
"Satu untuk Khoja, yang lagi satu kami nak kongsi pakai, kami tak berani nak kongsi kain basahan dengan Si Khoja."
Saya anggukkan kepala, faham dengan apa yang diucapkan oleh Datuk. Persoalan yang bersarang dalam kepala saya sudah terjawab.
"Barang-barang tu, kamu hantar sekarang."
"Ha.." mulut saya ternganga. Terkejut dengan arahan baru Datuk itu. Tidak diduga begitu cepat Datuk mahukan barang-barang tersebut. Pada awalnya, saya kira Datuk mahukan barang-barang di bawa ke surau, semasa azan dilaungkan.
"Kamu hantar barang tu cepat, aku nak mandi dan tukar kain, lepas kau hantar, kau datang lambat ke surau pun tak apa."
"Macam mana, kalau lepas azan saya datang tuk?"
"Tak boleh. Kamu ni dah pandai membantah cakap aku. Kamu siapa dan aku siapa?" Suara Datuk mula meninggi, dia terus menjegilkan sepasang biji matanya dan wajahnya cukup bengis. Sinar matanya bagaikan mahu membakar seluruh tubuh saya.
"Baik tuk, sekejap lagi saya datang bawa barang-barang yang Datuk mahu tu."
"Hum, cepat datang."
Datuk pun memusingkan badannya menghadap arah surau lalu melangkah. Dan saya dengan rasa kesal meneruskan perjalanan pulang.
Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada Datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi. Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri. Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan Datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.
Seperti yang dijadualkan 'Qiamullail' malam itu berjalan seperti yang ditetapkan. Dalam waktu tertentu, Haji Yatimi memberi perhatian khusus untuk Khoja Lisut. Dari apa yang saya lihat, memanglah Khoja Lisut sudah insaf.
Apa yang menariknya, Khoja Lisut dapat mengikut majlis Qiamullail malam itu dengan baik sekali. Pembacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulutnya cukup terang dan jelas. Rukun sembahyangnya dipelihara dengan baik.
BELAJAR
Menurut kata Haji Yatimi, Khoja Lisut mendapat bimbingan agama sejak kecil lagi. Tetapi, kerana dia memikirkan bahawa dia beragama Islam kerana Datuk neneknya memang beragama Islam. Kemudian belajar atau mendalami agama itu atas paksaan orang tuanya, lalu dia berpendapat agama itu mesti ada dalam dirinya untuk disimpan. Dia tidak menghayati agama itu secara mendalam, tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang Muslim sejati.
Dia mengalami kejutan bila berdepan dengan keadaan masyarakat sekelilingnya. Dia melihat orang yang taat pada agama, hidupnya agak perit tetapi orang yang mengabaikan hukum agama seperti tidak sembahyang, tidak membayar zakat, menipu dan mencuri, hidup mereka senang malah ada yang kaya raya. Dari unsur-unsur tidak baik yang dilihat sekelilingnya, mengurangkan keyakinannya (sememangnya tidak yakin) terhadap apa yang diwarisi dari Datuk neneknya.
Keadaan itu mempengaruhi hidupnya, lalu agama baginya tidak penting. Tidak dijadikan panduan dalam hidupnya. Khoja Lisut menjadikan dirinya seperti layang-layang yang putus tali. Demikian rumusan yang saya buat setelah mendengar pendapat Haji Yatimi terhadap Khoja Lisut.
Qiamullail malam itu berakhir dengan sembahyang dan doa. Makan dan minum pagi itu disediakan oleh Mat Upeh. Wang perbelanjaannya dikeluarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang menjadi kawan rapat Datuk. Dia minta Datuk jangan menghebahkan pada para jemaah tentang pemberiannya.
Matahari bersinar lembut, menjamah rerumput di halaman surau. Embun di hujung daun sudah ada yang kering. Khoja Lisut sudah pun mengenakan pakaian yang rapi. Dia bersedia untuk berangkat ke arah selatan tanah air dan dari situ dia akan berangkat ke Riau.
"Bagaimana, kalau kamu ikut aku balik ke Sumatera, kita boleh ke Binjai, boleh ziarah kubur Kiai yang kau tumbuk dulu," Haji Yatimi mengemukakan cadangan.
"Saya akan datang ke kuburnya sendiri. Saya juga nak ajak anak-anak murid saya kembali ke jalan yang benar."
"Anak-anak murid kamu ramai yang sudah insaf, malah ada yang ke tanah suci untuk mendalami ilmu agama."
"Saya bersyukur dan minta maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan tuan haji, saya nak balik sendirian."
"Aku doakan kamu bahagia," kata Haji Yatimi.
"Aku juga begitu,” celah Datuk sambil menghulurkan sesuatu kepada Khoja Lisut. Saya lihat Khoja Lisut terkejut.
"Apa bendanya ni?" Tanya Khoja Lisut.
"Untuk tambang dan perbelanjaan kamu balik."
"Terima kasih."
"Selamat jalan Khoja, binalah hidup baru, kalau bertemu jodoh eloklah mendirikan rumah tangga. Aku rasa kamu elok kembali kepada isteri yang kamu tinggalkan. Dia sudah tua macam kamu. Nasib baik anak kamu bertanggungjawab pada emaknya."
"Mana tuan haji tahu semuanya ni?'
"Sebelum mencari kamu, aku sudah siasat siapa kamu yang sebenarnya.”
Saya lihat ada genangan air jernih di kelopak mata Khoja Lisut. Dia tunduk tersedu untuk beberapa saat. Bila perasaannya sudah tenang, dia pun bersalam dengan Datuk, saya dan Mat Upeh. Kemudian baru dia memeluk tubuh Haji Yatimi. Pipi mereka bergesel macam orang Arab memeluk tetamu yang tiba.
"Selamat tinggal."
"Selamat jalan," kata kami serentak.
Khoja Lisut pun melangkah dengan tenang meninggalkan kami di halaman surau. Panas makin lama makin terik. Dan akhirnya, Khoja Lisut hilang dari pandangan kami. Agaknya dia sudah di tepi jalan raya menanti bas untuk ke bandar.
LAUT
Setelah dua minggu Khoja Lisut meninggalkan kami, Haji Yatimi pulang menghilang secara mengejut. Kehilangannya itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Sejak saya mengenalinya, sudah terjalin sebuah kemesraan.
Dia saya anggap sebagai Datuk sendiri. Bertimbang rasa dan memahami perasaan dan yang lebih penting dari semuanya itu, dengan adanya Haji Yatimi Datuk tidak boleh marah sebarangan terhadap saya. Panas baran Datuk terus menurun.
Haji Yatimi, dalam masa terluang banyak mencurahkan ilmu dan nasihat untuk saya. Dia menanamkan rasa tanggungjawab, rasa cinta pada Allah, pada Nabi Muhammad dan agama Islam dalam diri saya. Dia menyuruh saya menghayati isi Quran dengan mendalam. Dia mengajar tafsir untuk saya, "Belajarlah Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran, kalau tak mampu, cari tafsirnya dalam Bahasa Melayu atau Indonesia. Memahami isi al-Quran besar faedahnya," itulah kata-kata yang sering diucapkan, bila dia melihat saya membaca Al-Quran di surau menjelang waktu sembahyang.
Dan petang itu menurut kiraan saya, sudah masuk hari yang ke sepuluh Haji Yatimi menghilangkan diri. Dan tidak salah jika saya bertanyakan hal itu kepada Datuk. Tidak mungkin pertanyaan yang bakal saya ajukan itu akan menimbulkan kemarahan Datuk. Lagipun, saya bertanya sesuatu yang baik.
Sebaik sahaja Datuk pulang dari kebun, saya segera mendekatinya. Saya ambil setandan pisang emas yang dijinjingnya. Saya letakkan di atas pelantar. Kerana saya tahu dia akan mandi untuk membersihkan badannya, saya serahkan kain basahan padanya.
"Kamu ini terlalu baik sangat, tentu ada hajat yang kamu nak minta dari aku," kata Datuk sambil menyambut huluran kain basahan dari saya.
"Tak ada apa-apa,” balas saya.
"Hmmm.." suara Datuk mendatar. Tetapi senyum sinis yang terukir di bibirnya membuat saya rasa terpukul. Dia bagaikan mengetahui apa yang tersirat di dalam batin saya. Dan saya tetap bersikap selamba. Datuk pun hayun langkah menuju ke sungai.
"Saya nak tanya Datuk satu perkara."
"Apa dia, Tamar?"
Datuk letak kembali cawan atas talam. Matanya renung ke muka saya. Nenek yang hidangkan minuman petang turut memasang telinga.
"Apa dia Tamar?” Ulang Datuk.
"Cukup Tamar, apa yang kau mahu dari Datuk kamu. Kamu nak suruh dia beli motosikal, basikal, cakap sekarang," nenek bergurau, disambut dengan ketawa memanjang oleh Datuk. Saya sekadar senyum sahaja.
Mungkin kerana saya teragak-agak meneruskan pertanyaan, Datuk angkat cawan kopi lalu menghirupnya dengan tenang. Kemudian dia mengunyah kuih jemput-jemput hasil dari kerja nenek. Datuk makan dengan penuh selera.
"Saya tak mahu motosikal, saya tak mahu basikal."
“Habis apa yang nak kamu cakapkan dengan Datuk kamu ni? Aku tengok kamu takut-takut aje," nenek seolah-olah mahu saya mengemukakan pertanyaan dengan segera.
"Saya nak tanya tentang Pak.."
"Haji Yatimi?" Datuk segera memintas percakapan saya.
"Iya Tuk."
"Dia tak ada cakap apa-apa dengan kamu?"
"Tak ada tuk," jawab saya seraya menggelengkan kepala.
Rahsia Mula Ketara
Datuk termenung sejenak. Kemudian dia basuh tangan dan mengakhiri minuman petangnya. Nenek membawa cawan dan piring kosong ke dapur untuk dibersihkan.
Datuk mengajak saya duduk di ruang anjung rumah. Datuk minta saya membantunya meraut bilah buluh untuk dibuat lokah. Permintaan itu saya tunaikan.
"Pada aku dia tidak cakap apa-apa, tiba-tiba dia mengghaibkan diri," keluh Datuk tanpa merenung ke arah saya, pisau kecil di tangannya terus meraut bilah buluh.
"Pelik juga tuk, apa silapnya kita tuk."
"Tak ada yang silap tapi...," Datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia berhenti meraut bilah buluh, keningnya dikedutkan, macam ada sesuatu yang difikirkannya, "tapi Mat Upeh ada beritahu aku yang Haji Yatimi nak pergi ke sebelah utara dan pantai timur. Dia minta Mat Upeh sampaikan berita pada aku, dia juga kirim salam pada kau," sambung Datuk dengan wajah tenang.
"Buat apa dia ke sana tuk?" soal saya.
"Dia memang selalu macam tu, kalau dah datang ke sini, dia mesti ke Kedah, Perlis ke Kelantan dan Terengganu, ramai kawan-kawannya di situ," jelas Datuk.
"Jangan-jangan dia balik ke kampung halamannya tuk."
"Semuanya tu boleh jadi, usah fikirkan tentang dirinya Tamar. Bila kita ke Sumatera kita cari dia. Dunia ini bukannya luas, panjang umur dan diizinkan Allah bertemu juga."
"Hum...," saya menghela nafas. Cukup mudah Datuk menyelesaikan masalah. Dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan kehilangan Haji Yatimi itu.
Lebih kurang setengah jam lagi mahu sampai waktu Maghrib, saya dan Datuk meninggalkan rumah menuju ke surau.
Seperti selalu bila masuk waktu Maghrib, saya disuruh oleh Datuk melaungkan azan. Selesai sembahyang Maghrib, sementara menanti waktu Isyak, saya dan Datuk bersama penduduk-penduduk kampung mengikut pengajian Tauhid dari seorang guru agama yang datang dari daerah Krian. Guru itu keturunan Banjar yang Datuk neneknya berasal dari Kalimantan.
Di samping mengajar agama di surau dan masjid, guru tersebut menulis buku-buku agama yang jadi bahan rujukan guru-guru pondok di tanah air, di Patani, di Kemboja (Kampuchia) dan di beberapa kepulauan Indonesia. Buku agama itu dicetak di Pulau Pinang dalam tulisan Jawi lama.
Menurut cerita Datuk, guru agama itu dilahirkan di Banjamasin tetapi sejak berusia lapan bulan dibawa oleh kedua orang tuanya ke Teluk Medan, dekat Bagan Serai. Bersekolah Melayu di situ dan masuk pengajian pondok di Kelantan. Menghabiskan masa lebih kurang dua tahun menuntut ilmu agama dan belajar bahasa Arab di Mekah dan Madinah. Khabarnya, semasa di bumi Arab Saudi itu, dia berkawan dengan cendekiawan dari Kuala Lumpur iaitu Mohamad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari.
Bila pulang ke Bagan Serai, dia dilantik menjadi guru agama di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan pernah berkhidmat di bawah pemerintahan tiga sultan. Bila berhenti, ditauliahkan untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Perak secara percuma.
Pengajian Tauhid yang disampaikan secara mudah itu ternyata meninggalkan kesan pada yang hadir malam itu. Semua pertanyaan agama dijawab dengan mudah. Sesuatu yang berkesan di hati saya, bila guru agama itu mengingatkan para jemaah supaya jangan memusuhi orang-orang yang tidak seagama dengan kepercayaan dan kebebasan mereka harus dihormati selagi mereka tidak mengganggu-gugat agama Islam.
Setelah menunaikan sembahyang Isyak, para jemaah menikmati hidangan ringan yang disediakan. Kemudian para jemaah bersalaman dengan guru agama yang mahu pulang ke kampungnya dengan kereta Austin Eight hitam yang dipandu oleh cucunya.
"Bulan depan saya datang lagi," katanya pada Ketua Kampung sebelum masuk ke kereta.
"Kami nanti kedatangan tuan guru."
"Terima kasih, dengan izin Allah apa yang saya katakan tu akan jadi," tuan guru terus masuk ke kereta.
Setelah memastikan semua tingkap dan pintu surau dikunci, saya pun segera mendapatkan Datuk yang menunggu di kaki tangga.
"Sudah kunci semuanya, Tamar."
"Sudah tuk."
Sebelum meninggalkan surau, Datuk menghalakan muncung lampu picitnya ke arah pepohon dan hutan kecil yang berada tidak jauh dari surau.
LAMPU
Cahaya lampu picit itu menangkap sinar mata kucing yang menanti mangsanya di tepi belukar. Saya juga melihat musang melarikan diri dari cahaya lampu picit Datuk. Suara cengkerik dan bunyi suara kucing jantan memanggil kucing betina jelas kedengaran. Dedaun terus bergerak disentuh angin malam.
"Tamar."
Saya menoleh ke kanan, di situ tercegat Haji Yatimi lengkap dengan pakaian hajinya. Datuk segera menghalakan muncung lampu picit ke wajahnya.
"Aku terlambat, aku ingat aku sempat berjemaah Isyak dengan orang-orang kampung," tutur Haji Yatimi.
"Awak dari mana?" tanya Datuk.
"Aku dari Kedah, sampai ke Taiping dah petang. Selepas sembahyang Maghrib di Taiping aku naik teksi ke sini. Entah macam mana, teksi yang aku naik buat hal di Batu 10 Terong, itulah yang menyebabkan aku lambat sampai ke sini."
"Tak apalah, sudah begitu kehendak Allah," balas Datuk.
Mungkin kerana mahu melakukan amalan waktu malam atau tidak mahu mengganggu rumah orang yang ditumpanginya, Haji Yatimi minta kebenaran Datuk untuk bermalam di surau.
"Di rumah kita saja," pelawa Datuk.
"Biarlah di sini saja, itu pun kalau dibenarkan."
"Mesti boleh, surau milik orang yang mahu beribadat," balas Datuk. Ternyata Haji Yatimi berbesar hati atas kerelaan Datuk itu. Saya terpaksa menghidupkan lampu surau, membentangkan tikar dan menyediakan bantal (tikar, bantal dan selimut memang disediakan untuk guru agama yang mahu bermalam di surau) untuk Haji Yatimi.
"Lepas sembahyang Subuh, aku nak balik ke Solok," sepasang anak mata Haji Yatimi tertumpu ke wajah Datuk.
"Cepat sangat nak balik, duduklah empat lima bulan di sini," suara Datuk parau.
"Lain kali aku datang lagi."
"Apa yang boleh saya tolong Subuh esok."
"Macam selalu."
Datuk termenung sejenak, ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk renung bintang-bintang di dada langit. Kemudian Datuk tatap wajah Haji Yatimi bersama senyuman kepuasan. Keinginan Haji Yatimi sudah dapat dikesan oleh Datuk.
"Maksudnya, saya tunggu di pantai Teluk Senangin?"
"Iya, memang tepat," Haji Yatimi anggukkan kepala.
"Kalau kamu datang jemaah, kita sama-sama bertolak dari surau ni. Aku harap kamu tak menghampakan harapan aku."
"Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, saya tetap menanti haji. Usahlah bimbang," Datuk memberikan kata putus. Saya lihat Haji Yatimi tersenyum riang dengan tenang dia menepuk bahu Datuk beberapa kali.
"Pulanglah aku nak ambil wuduk," Haji Yatimi menggenggam jari-jemari Datuk dengan erat sekali.
"Silakan, kalau tak selesa tidur di surau, pintu rumah saya terbuka untuk tuan haji."
"Terima kasih, dengan izin Allah, saya selesa di surau. Selamat jalan. Jangan lupa beramal malam dan jangan lupa dengan janji kita."
"Insya-Allah, Tuhan berserta kita," nada suara Datuk cukup riang. Dan Haji Yatimi pun kami tinggalkan. Semoga amalannya diberkati Allah dan tidurnya lena tidak diganggu mimpi yang menakutkan. Doa hati kecil saya.
Sepanjang jalan menuju ke rumah fikiran saya didatangi dengan berbagai-bagai pertanyaan. Kenapa Haji Yatimi mesti pulang ke Sumatera waktu Subuh? Bukankah waktu Subuh itu menyulitkan dengan keadaan hawa yang sejuk, pandangan agak terhad kerana cuaca masih gelap.
Mungkinkah ini merupakan syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh Haji Yatimi. Kenapa dia harus merahsiakan kepulangannya dari para jemaah yang lain?
"Barangkali ada tetamu datang tuk?"
"Tetamu? Mustahil," Datuk gelengkan kepala. Sepasang anak matanya tetap tertumpu ke arah pintu rumah yang terdedah.
"Ha, lapang dada aku."
Saya agak terperanjat mendengar kata-kata Datuk itu. Tanpa membuang masa saya tatap wajahnya. Mata Datuk tidak berkedip merenung ke arah pintu. Dia memerhatikan gerak-geri nenek yang muncul di muka pintu dari arah sebelah kiri, nenek membawa tepak sirih dan gobek.
Sebelum duduk, nenek terlebih dahulu meletakkan golok perak di atas lantai. Bila nenek duduk bersila, golok perak itu berada betul-betul di hujung kepala lutut kanannya.
"Bijak nenek kamu, dia bawa senjata untuk keselamatan dirinya," dalam tenang Datuk bersuara tetapi, keresahan hatinya masih tergambar di wajah.
"Pelik juga, kenapa dia buka pintu dan menunggu di situ, mesti ada sesuatu yang tidak kena," Datuk menyambung kata yang terputus.
"Agaknya menanti kawan tuk," kata saya.
"Tak mungkin, Tamar."
"Agaknya dia buat begitu, biar cahaya lampu sampai ke halaman rumah. Tujuannya untuk memudahkan kita pulang."
"Pendapat yang tak dapat aku terima, Tamar."
"Entah, kenapa nenek buat macam tu, saya pun tak tahu tuk," saya segera mengangkat kedua belah bahu saya sambil menggigit lidah. Perjalanan yang terhenti kami teruskan.
"Hai! Kenapa didedahkan pintu, ada janji dengan lelaki lain," jerit Datuk sebaik saja berada tidak jauh dari kaki tangga. Saya tahu kata-kata itu merupakan gurauan. Sesungguhnya, begitulah cara Datuk mengusik atau bergurau dengan nenek. Bunyinya agak kasar dan keras. Tetapi, dalam kasar dan keras itu teriring kemesraan yang cukup kental. Tidak boleh dihancurkan oleh rasa cemburu melulu, fitnah atau hasutan. Saya lihat nenek terus menerpa ke ambang pintu, berdiri di situ dengan senyuman.
"Kalau janji dengan orang lain, bukan begini caranya, disuruh masuk ikut pintu belakang cara sembunyi, hati masih belum berubah," kata nenek lalu disambut dengan ketawa oleh Datuk. Saya tersenyum riang.
"Jadi kenapa dibuka pintu?" tanya Datuk.
"Masa saya sembahyang ada benda mengacau saya, pintu rumah diketuk berkali-kali kemudian digoncang dengan kuat, sembahyang saya jadi tak khusyuk," terang nenek bersungguh-sungguh.
Kata-kata yang dituturkan oleh nenek tidak mendatangkan rasa cemas atau terkejut pada Datuk. Dia buat acuh tak acuh saja. Datuk pijak anak tangga dan akhirnya melabuhkan punggung di bendul.
"Kamu tunggu apalagi di situ Tamar? Naiklah," dalam sinar lampu gasolin, sepasang biji mata Datuk tertumbuk ke wajah saya.
Tanpa membuang masa saya terus panjat mata tangga. Melintas di depan Datuk dan nenek berhati-hati. Penuh sopan santun. Saya menuju ke ruang dapur. Tudung saji saya buka. Aduh! Makan malam yang disediakan oleh nenek amat menyelerakan. Saya ambil pinggan dan bersedia untuk mengambil nasi.
"Tamar."
Tangan saya terhenti mahu mengambil nasi.
"Tunggu, kita makan sama-sama, mari ke sini dulu," sambung nenek.
Dengan wajah kesal, pinggan saya letakkan ke tempatnya dan tudung saji terus menutup hidangan. Dengan langkah yang longlai saya segera datang ke bahagian depan rumah. Duduk dekat nenek. Datuk masih lagi bertenggek di bendul. Matanya tetap merenung ke arah halaman rumah.
"Tutup pintu Tamar," Datuk segera berdiri dan dalam beberapa detik saja dia sudah berada di dalam rumah.
Saya segera mematuhi arahannya. Daun pintu saya rapatkan, saya kunci. Kayu palang pintu saya masukkan ke tempatnya. Dari segi teguh, memang sudah teguh, tidak mudah dipecahkan dari luar. Itulah kesimpulan yang saya buat terhadap pintu rumah Datuk. Saya segera melangkah ke ruang dapur mengikut Datuk dan nenek.
Sambil melangkah, saya bayangkan keenakan makan ikan terubuk bakar, cicah air asam. Bawah tudung saji yang saya lihat tadi, memang sudah tersedia ikan terubuk bakar bersama air asam. Malam ini, saya mahu makan sekenyang-kenyangnya, fikir saya sendirian.
"Paaaaannnnnnnngggggggg..."
Saya segera melompat sambil mencipta langkah silat, menghalakan wajah dan dada ke arah pintu rumah. Saya yakin pintu rumah dipukul dengan kayu dari luar.
Datuk menerpa ke arah saya. Tubuh saya dipeluknya.
"Kau tak kena apa-apa, Tamar?"
"Saya tak apa-apa tuk."
"Alhamdulillah, cucuku selamat," Datuk berhenti dari memeluk tubuh saya. Datuk pun melangkah untuk memeriksa daun pintu. Setiap inci papan pintu di telek, diraba dengan teliti. Bila hatinya sudah puas, barulah Datuk mendekati saya semula.
"Aku sangkakan tadi, rumah kita kena tembak dengan senapang," tutur Datuk dengan nada suara yang lemah. Nenek tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku di ruang depan. Dia asyik dengan tugasnya di dapur.
"Saya pun pada mulanya menyangka begitu tuk."
"Rumah kita dibaling orang dari luar, Tamar."
"Kerja siapa tu tuk?"
"Entah."
Datuk gelengkan kepala sambil mengerutkan dahi. Tanpa berkata apa-apa, Datuk terus menuju ke pintu. Kunci dan kayu penyelak pintu dibuka. Amat mengejutkan bila Datuk membuka daun pintu lebar-lebar.
PINGGANG
Datuk berdiri di tengah-tengah pintu, bercekak pinggang. Dia kelihatan bagaikan seorang pendekar merenung ke halaman rumah. Datuk tarik nafas dalam-dalam seolah-olah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Ahhh..."
Serentak dengan pekikan itu, saya lihat Datuk melompat dan menepis sepotong kayu arang yang dilemparkan ke arahnya dari luar. Kayu arang yang ditepis oleh Datuk itu terkena dinding lalu terdampar atas lantai.
Perlahan-lahan Datuk memalingkan mukanya ke kanan melihat kayu arang di lantai. Sinar matanya nampak tajam sekali tetapi, keresahan dan kebimbangannya tidak dapat saya kesan, dibunuh oleh senyuman yang terukir di kelopak bibir Datuk.
"Buangkan kayu arang tu Tamar."
Saya jadi ragu-ragu, sama ada mahu mematuhi arahan Datuk itu atau sebaliknya. Saya bimbang kalau kayu arang itu disentuh akan terjadi sesuatu pada diri saya.
"Tuk saaayyyaaaaaa...," kata-kata tidak dapat saya teruskan, bila sepasang biji mata Datuk menikam wajah saya. Tiba-tiba saja saya jadi resah gelisah tidak menentu.
Bila melihat saya teragak-agak dan serba salah, Datuk terus menjerit dengan sekuat hatinya.
"Jangan banyak dalih lagi, ambil cepat."
Jeritan Datuk membuat saya melompat dan bagaikan kilat tangan saya menjamah kayu arang. Entah kenapa saya merasa gementar dengan tiba-tiba. Bahu kanan saya terasa lemah, macam ada sesuatu menekan sendi lengan hingga terasa sengal-sengal tulang.
Rupa-rupanya jeritan Datuk sebentar tadi menarik perhatian nenek. Dia bergegas melangkah dari ruang dapur ke ruang tengah. Berdiri di tepi dinding melihat gerak-geri saya dan Datuk dengan tenang.
"Bawa ke mari Tamar."
Kayu arang yang panjang lebih kurang satu hasta itu saya serahkan kepada Datuk. Buat beberapa saat Datuk terus menatap kayu arang itu dari pelbagai sudut.
Kerana yakin Datuk tidak akan mengeluarkan sebarang arahan untuk saya, cepat-cepat saya beredar dari sisinya mendekati nenek. Perlahan-lahan Datuk mengalihkan tubuhnya, wajah dan dadanya dihalakan ke halaman rumah yang dikuasai malam pekat
Lembaga di Tepi Laut
"Yang kamu ambil, kayu arang atau buluh?" tanya nenek kepada saya.
"Kayu arang," jawab saya.
"Bukan urusan kamu untuk mengetahui semuanya ini, ini urusan aku," kata Datuk yang secara tiba-tiba memusingkan badannya ke arah saya dan nenek. Dia bagaikan mengetahui dengan apa yang kami perkatakan.
Saya dan nenek berpandangan. Datuk kembali menghadapkan dada dan wajahnya ke halaman rumah. Kayu arang masih di tangannya. Dengan tenang Datuk mengangkat kayu arang melepasi kepalanya.
"Bukan di sini tempat untuk bergurau. Orang lain boleh diajak main-main. Dengan aku jangan dibuat begitu nanti buruk padahnya, aku tak mencari musuh, pengikut kamu datang jumpa aku dengan niat untuk memisahkan diri dari kamu," tutur Datuk dan kayu arang terus dihumbankan keluar. Nenek menarik nafas lemah.
Saya menggigit bibir dan timbul persoalan dalam diri saya sendiri. Dengan siapa Datuk bercakap? Di saat saya memikirkan perkara tersebut, terdengar suara menyebut nama Khoja Lisut sebanyak tiga kali berturut, semuanya itu kedengaran sayup-sayup, dituruti dengan ketukan di dinding rumah berkali-kali.
Datuk masih juga berdiri di ambang pintu, tidak mahu ambil peduli dengan apa yang didengarnya. Sebaik saja bunyi ketukan berhenti, saya terdengar bunyi buah mangga muda berguguran ke bumi akibat pohonnya digoncang bertalu-talu. Pada hemat saya, peristiwa aneh itu terjadi selama lebih kurang lima minit. Setelah itu suasana terasa sepi kembali.
"Iblis tu masih belum puas."
Datuk bergerak dari tempat dia berdiri. Daun pintu dirapatkan. Kunci dan selak dikenakan kembali. Tiga kali Datuk menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Dimulai dari hujung dagu membawa ke atas, hingga ke hujung dahi.
"Benda-benda yang macam itulah yang saya dengar waktu awak belum balik, kalaulah benda itu merupakan manusia atau binatang, saya tetak dengan golok," sambil berkata-kata nenek menggayakannya sekali. Melihat telatah nenek itu, secara spontan saya teringatkan pelakon filem Normadiah yang bertarung dalam filem SEMERAH PADI.
Rupanya, saya tidak keseorangan dalam menghadapi kelucuan dari nenek itu. Buktinya, bila saya menoleh ke arah Datuk, dia tersenyum sinis.
"Sudahlah, memang iblis tidak mahu mengaku kalah, dia selalu mengusik dan menakut-nakutkan kita. Sudahlah," Datuk segera menarik tangan saya mengajak ke ruang dapur. Saya segera patuh dengan kemahuannya.
"Kenapa dia sebut nama Khoja Lisut tuk?"
"Itu menunjukkan yang iblis mahu menguasai Khoja Lisut, mahu memperdayakan Khoja Lisut supaya masuk ke dalam kekuasaannya, walaupun dia tahu Khoja Lisut sudah kembali ke pangkal jalan," demikian Datuk menjelaskan kepada saya. Penjelasan itu dapat saya terima.
HIDANGAN
Semasa menghadapi hidangan makanan nenek mengulangi pertanyaan yang telah saya ajukan kepada Datuk. Jawapannya, sama seperti apa yang Datuk ucapkan kepada saya sebentar tadi.
Nenek pun tidak mengemukakan soalan susulan. Tetapi, dari gerak-geri yang ditunjukkan oleh nenek dia tidak puas hati dengan apa yang Datuk tuturkan kepadanya.
"Tak puas hati dengan jawapan saya?" Datuk menduga.
"Tidak."
"Kenapa pula?"
"Jawapannya macam melepaskan batuk di tangga."
"Habis apalagi yang mahu saya terangkan, syaitan hanya berani pada orang yang takut."
"Hum...," suara nenek terkulum dan dia terus menyuapkan nasi ke mulutnya.
Suasana selanjutnya tidak diganggu oleh sebarang pertanyaan. Kami terus makan dengan tenang hingga selesai. Sebenarnya, hati saya ingin mengetahui misteri yang terjadi secara terperinci. Tetapi, saya takut mengemukakan pertanyaan. Takut kena marah dan kena herdik.
Macam biasa, bila selesai makan masing-masing membawa diri. Nenek dengan tugasnya di dapur, saya berkubang dalam bilik membelek dan membaca novel-novel ringan dan majalah-majalah lama. Datuk tetap dengan kegemarannya membaca kitab yang ada hubung kaitnya dengan hal-hal keagamaan hingga tertidur.
Bila terjaga waktu tengah malam, Datuk terus melakukan sembahyang tahajud dan akhirnya membaca Quran hingga menjelang waktu Subuh. Mungkin kerana kekenyangan atau keletihan saya terus tertidur tanpa memadamkan lampu. Tidur saya yang nyenyak itu berakhir, bila tubuh saya digoncang bertalu-talu. Perlahan-lahan saya bukakan kelopak mata.
"Kenapa tuk."
"Aku dah sembahyang Subuh, terlupa nak kejutkan kamu."
"Iya, saya bangun sekarang."
"Cepat mandi dan ambil wuduk," tutur Datuk bila melihat saya melangkah agak lambat menuju ke perigi. Memang kalau boleh ingin saya meneruskan tidur. Bila sudah dikejutkan oleh Datuk memanglah mustahil untuk saya lanjutkan perbuatan itu.
Selalunya, saya menunggu Datuk sembahyang tetapi, kali ini Datuk terpaksa menunggu saya. Memang terasa lucu bila Datuk menunggu cucu. Kerana menyedari diri dalam perhatian Datuk, terus saja saya berusaha dengan sebaik mungkin membetulkan pembacaan mengikut hukum tajwid.
Bila pembacaan saya tidak betul atau tidak lancar, Datuk segera menegur dengan cara yang paling sopan sekali. Datuk batuk kecil berulang kali, bila perkara begitu terjadi fahamlah saya tujuan sebenar Datuk. Terus terang saya katakan, apa yang Datuk lakukan itu kurang menyenangkan hati saya.
Setelah memberi salam, saya menarik nafas kelegaan. Tidak ada sebarang komen dari Datuk. Saya pun membuat kesimpulan bahawa pembacaan saya betul, rukun sembahyang lengkap, tidak ada yang salah. Saya pun segera bangun.
"Nanti dulu, Tamar."
"Kenapa tuk?"
"Kenapa kamu tidak berdoa, Tamar?"
"Masa dah suntuk tuk, sebelum berdoa mesti berwirid, ini memakan masa tuk, saya tahu tuk nak pergi cepat."
"Satu tanggapan yang silap," kata Datuk dan saya terus kerutkan kening dalam suasana Subuh yang damai.
DETIK
Buat beberapa detik, saya dan Datuk tidak berkata apa-apa. Kami saling berpandangan dan saya tetap mengharapkan Datuk memberi alasan yang kukuh kenapa dia berkata demikian. Dua tiga kali saya lihat Datuk menggaru pangkal dagunya.
"Nabi Muhammad, pernah berkata berdoalah setelah sembahyang, ertinya setelah memberi salam kita boleh terus berdoa meminta berkat dari Allah yang Maha Besar," tutur Datuk dengan tenang.
"Tapi biasanya bila kita sembahyang berjemaah, kita berwirid dulu ikut Pak Imam sebelum berdoa," tanya saya.
"Perbuatan itu tidak salah, kalau tak mahu ikut Pak Imam berdoa pun tak mengapa, kita berdoa sendiri. Bila kita dah berjemaah eloklah ikut Pak Imam."
"Begitu," kata saya lemah.
"Macam kamu ni, kalau ada masa memang eloklah kamu berwirid sebelum berdoa, kerana tak cukup masa, kamu terus saja berdoa. Satu perkara yang mesti Tamar..." Datuk tidak meneruskan percakapannya, dia gosok pangkal hidungnya berkali-kali.
"Apa dia perkara yang tuk nak cakap dengan saya," soal saya tanpa sabar. Hati saya semakin resah, Datuk buat tidak kisah dengan pertanyaan saya itu. Dia terus meraba-raba hujung dagunya pula.
"Apa dia tuk?" susul saya lagi.
"Oh, iya kita cakap fasal apa tadi Tamar?"
"Fasal doa tuk."
"Iya aku ingat sekarang. Begini Tamar, satu perkara yang mesti tu, maksudnya begini, sebaik-baiknya cuba amalkan selepas sembahyang terus berdoa. Itu perbuatan yang baik, tanda kita berterima kasih pada Allah," begitu lembut nada suara Datuk menuturkan kata nasihat.
"Saya cuba buat, apa yang tuk suruh," saya lahirkan sebuah ikrar di depannya. Hasil yang saya perolehi, sebuah senyuman terpamer di kelopak bibir Datuk.
"Bagus Tamar," dengan manja Datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Gelombang ria beralun dalam danau hati saya.
"Engkau tahu Tamar," cetus Datuk lagi. "Terlalu banyak nikmat yang kita terima dari Allah, tetapi terlalu sedikit tanda kesyukuran yang kita berikan kepada-Nya."
Saya anggukkan kepala, setuju dengan apa yang Datuk tuturkan. Dengan ekor mata saya jeling ke wajah Datuk. Ternyata wajah Datuk nampak hiba penuh keinsafan.
Melihat Datuk berkeadaan demikian, saya amat terharu. Buat beberapa ketika suasana terasa amat hening sekali. Perlahan-lahan Datuk bangun lalu melangkah ke jendela. Daun jendela dibuka, Datuk melihat ke dada langit. Kemudian daun jendela dirapatkan kembali.
"Sekarang kita berangkat, Tamar."
Datuk segera masuk ke kamarnya dan keluar dengan pakaian serba hitam. Datuk membalut kepalanya dengan songkok putih.
"Nampaknya tuk mahu berjalan jauh?" tanya saya.
"Kenapa kamu bercakap begitu Tamar?"
"Biasanya, kalau dah pakai serba hitam, mesti ada sesuatu yang mahu tuk buat."
Pertanyaan yang saya ajukan itu membuat Datuk mengerutkan kening. Dia senyum panjang dengan sepasang mata tajamnya menyorot wajah saya.
"Aku tak pergi jauh, aku nak pergi ke Teluk Senangin, menunaikan janji aku dengan Haji Yatimi, memang sudah menjadi kebiasaan aku kalau ke Teluk Senangin mesti berpakaian begini, lebih-lebih lagi bila ada Haji Yatimi," Datuk memberi penjelasan.
Datuk tidak memberi peluang kepada saya untuk mengemukakan sebarang pertanyaan. Dia menggesa saya supaya menukar pakaian dengan segera, sekiranya saya berhasrat mahu menemaninya ke Teluk Senangin. Tergesa-gesa saya sarung seluar kuning ke tubuh. Rambut saya sikat tanpa membuat jambul di dahi.
"Sudah siap Tamar?"
"Sudah tuk."
"Beritahu nenek, kita nak pergi,"
Saya segera mendapatkan nenek. Bila saya mendekati Datuk semula saya lihat pintu sudah dibuka dan Datuk sudah pun berdiri di ambang pintu.
"Mari cepat."
Saya segera berlari ke arahnya lalu turun. Sebaik saja saya berada di halaman, sebelum memulakan langkah saya toleh ke arah pintu rumah. Saya lihat pintu itu tertutup sendiri. Siapa yang menutupnya, barangkali nenek yang melakukannya, saya membuat kesimpulan sendiri.
PERJALANAN
Saya kepenatan, langkah Datuk cukup pantas. Saya harus mengimbangi langkahnya, kalau lambat saya terus ditinggalkan. Akibat langkah yang pantas itu, rasa dingin Subuh bagaikan tidak terasa, seluruh tubuh saya berpeluh dengan cepat. Rasa mengantuk dan lesu terus hilang.
Sepanjang perjalanan itu, Datuk tidak bercakap, kecuali kalau ada sesuatu maklumat yang mahu disampaikan kepada saya. Biasanya maklumat itu Datuk kesan menerusi keadaan alam sekeliling seperti bunyi deru angin, kicau burung dan bunyi geselan dedaun. Andainya bunyi itu agak luar biasa, Datuk segera memperingatkan saya supaya berhati-hati.
Setelah melintasi sebuah bukit kecil dan belukar yang ditumbuhi pepohon renek, saya dan Datuk pun sampai ke kawasan pantai. Deru ombak jelas kedengaran dan angin laut terasa menyentuh kulit muka, agas mula menggigit kulit tubuh yang terdedah.
Saya dan Datuk rapat ke gigi pantai. Serentak kami merenung ke arah sebuah teluk yang berada di bahagian utara pantai.
"Macam ada orang di situ, tuk."
"Iya, aku juga nampak begitu," nada suara Datuk agak lemah. Matanya tidak berkedip melihat ke arah sekujur tubuh manusia yang berpakaian serba putih sambil memeluk tubuh. Wajahnya dihadapkan ke arah laut lepas.
Angin laut yang bertiup agak kencang membuat tubuh saya kedinginan.
"Kita ke situ Tamar."
Saya keberatan untuk memulakan langkah. Saya masih ragu-ragu apakah lembaga putih yang kelihatan samar-samar di hujung teluk itu manusia atau sebaliknya.
"Tuk yakin itu Haji Yatimi."
"Iya, aku yakin tapi...," Datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia agak keberatan untuk memulakan langkah pertama, dahinya nampak berkedut dan dari raut wajahnya, saya yakin Datuk sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Datuk renung muka saya sambil berkata: "Haji Yatimi jarang berpakaian serba putih. Ah! Walau macam mana pun mari kita tengok."
"Tapi tuk."
"Tak usah banyak tapi lagi, mari ikut aku. Kita bukan nak cari musuh. Kalau Haji Yatimi kita bersyukur pada Allah, kalau bukan kita minta maaf saja pada yang terbabit."
Saya masih keberatan, kaki terasa amat berat untuk mengatur langkah. Hati pula menggelabah tidak menentu. Melihat saya tidak memperlihatkan sebarang reaksi, Datuk segera memegang pergelangan tangan kanan saya.
"Mari Tamar."
Saya tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan mengikut saja perintah dengan rela. Bila Datuk sudah yakin yang saya tidak akan ke mana-mana, barulah pergelangan tangan saya dilepaskan.
Saya tidak dapat berjalan dengan pantas atas pasir pantai, sering kali kaki saya terpijak dahan dan ranting kering. Ada kalanya saya tersasul memijak pasir pantai yang berair, akibatnya kaki dan selipar saya terbenam dalam pasir.
Kesukaran yang dihadapi terpaksa ditanggung sendiri. Tidak ada gunanya mengeluh atau mengadu kepada Datuk. Dia bukan simpati dengan apa yang dialami, malah tanpa usul periksa dia terus mengherdik saya. Daripada kena tengking lebih baik tanggung susah.
Lebih kurang dalam jarak dua rantai mahu sampai ke kawasan teluk tersebut, saya dapati manusia yang berpakaian serba putih sudah ghaib entah ke mana.
"Tuk, benda tu dah hilang."
"Tidak, masih ada di situ."
"Saya tak nampak tuk," tutur saya cemas.
"Aku nampak dia masih di situ."
Saya terdiam dan menarik nafas panjang. Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Hasilnya tetap sama, manusia berpakaian serba putih memang tidak ada di situ. Ternyata penglihatan saya dengan Datuk berbeza.
"Tamar, kita tunggu di sini," kata Datuk.
"Baiklah tuk."
Saya terus duduk atas batang kelapa tumbang yang bahagian hujung pucuknya terendam dalam laut. Di kaki langit, saya melihat ada warna kemerah-merahan yang membawa alamat, tidak lama lagi matahari akan muncul. Saya merenung ke tengah laut yang dikuasai kabus nipis.
"Orang tadi ke mana perginya tuk."
"Entah aku tak tahu, lagi pun bukan urusan kita nak mencarinya. Kita tak ada urusan dengannya, kalau dia nak berurusan dengan kita, dia datanglah jumpa kita."
"Hum..." kata saya pendek.
Saya jadi bingung dengan tindak-tanduk Datuk itu. Dia bercakap macam orang bodoh. Sebentar tadi dia mengatakan orang berpakaian putih itu ada di situ. Tetapi, sekarang lain pula cakap, seolah-olah lembaga yang kelihatan berpakaian putih itu adalah makhluk asing. Dengan tiba-tiba saya bulu tengkuk saya meremang. Saya jadi cemas dan takut.
KANAN
"Assalamualaikum..."
Saya segera menoleh ke kanan, ke arah suara itu datang. Apa yang saya lihat ialah sekujur tubuh Haji Yatimi berdiri di bahagian pangkal perdu kelapa yang tumbang. Dia membalut tubuhnya dengan jubah warna hijau, serbannya juga berwarna hijau. Haji Yatimi menghadiahkan senyum kepada saya. Senyuman itu segera saya balas.
Haji Yatimi mengalihkan pandangannya ke arah Datuk. Mereka bertukar senyum, bersalaman dan berpelukan.
"Dah lama sampai?"
"Baru, ada kira-kira lima minit."
"Saya terlambat kali ini, selalunya saya menanti awak tetapi, kali ini terbalik pula, awak menanti saya," Haji Yatimi mengakhiri kata-katanya dengan ketawa kecil. Datuk juga turut ketawa, saya masih lagi merenung ke arah ombak yang memukul pantai, iramanya amat menyenangkan hati saya.
Tiba-tiba saya terfikir, bagaimana Haji Yatimi mahu memijak bumi Pulau Sumatera, bagaimana dia mahu menyeberangi Selat Melaka tanpa kapal atau perahu. Mungkin dia berenang? Itu perbuatan yang mustahil. Haji Yatimi pasti tidak mampu melawan ombak. Barangkali Haji Yatimi mampu berjalan atas ombak? Macam-macam yang timbul dalam kotak fikiran saya.
"Tolong saya tolak perahu," kata Haji Yatimi kepada Datuk.
"Boleh, di mana awak sembunyikan perahu awak," soal Datuk dengan nada suara yang tenang.
"Di sana, mari ikut saya."
Datuk terus mengekori langkah Haji Yatimi menuju ke arah rumpun kecil.
Haji Yatimi dan Datuk segera menguak dedahan dan dedaunan rimbunan pepokok kecil. Mereka menarik perahu atas dada pasir dan akhirnya menolak ke laut. Saya segera berlari mendekati perahu yang terumbang-ambing di main gelombang.
"Dengan perahu ni nak balik ke Solok," tanya saya kepada Haji Yatimi.
"Iya, kenapa Tamar."
Saya teliti perahu itu dari pelbagai sudut. Saya kurang percaya dan yakin dengan perahu sekecil itu, Haji Yatimi boleh menyeberangi Selat Melaka. Lagipun keadaan papan perahu sudah lapuk, bila dipukul ombak kencang boleh pecah. Paling mengejutkan saya ialah pendayung perahu dibuat dari batang nipah.
"Dengan perahu ni nak balik ke Solok?" saya renung muka Haji Yatimi. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya beberapa kali.
"Iya, kenapa Tamar."
"Saya tak yakin."
"Kamu ni, kenapa cepat bercakap macam tu, aku sudah berbelas kali berulang-alik dari Solok ke sini dengan perahu ni. Kalau sudah janji aku dengan Allah, mahu mati karam di laut, aku terima saja. Bukankah kita ni hamba-Nya, kita berusaha dengan sedaya upaya, yakin dengan kebesaran-Nya dan kepada-Nya kita minta tolong," begitu bersemangat Haji Yatimi menuturkan kata-kata kepada saya.
"Kau faham apa yang tuan haji katakan kepada kamu," susul Datuk sambil merenung batang hidung saya dengan tajam. Saya segera anggukkan kepala.
Kayuh Perahu Dengan Tangan
Rupa-rupanya dengan anggukkan kepala yang saya lakukan itu ternyata tidak memuaskan hati Datuk, lalu dia bertanya:
"Kamu faham dengan apa yang tuan haji katakan tu, Tamar?"
"Saya faham tuk," suara saya meninggi sambil menjeling ke arah Haji Yatimi.
Dia tersenyum panjang. Mungkin dia berasa lucu dengan telatah saya itu.
"Kalau begitu, biar aku beredar sekarang," kata Haji Yatimi dengan wajah yang tenang. Datuk agak terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Haji Yatimi itu.
"Sekarang?" Datuk minta kepastian.
"Iya, sebelum matahari terbit aku mesti meninggalkan tempat ini, kalau lambat macam-macam boleh terjadi," jelas Haji Yatimi. Datuk tunduk membisu, tidak ada sebarang pertanyaan yang keluar dari mulutnya.
Saya renung ke dada langit, saya lihat ada kerdipan bintang yang kurang jelas di sebalik awan. Langit tetap biru. Deru ombak terus menyanyi berbuih terapung dan terkandas di gigi pantai. Dalam kedinginan itu saya menarik nafas lalu mengubah pandangan , merenung dada laut yang berkabus.
"Masa datang ke sini tadi, ada kamu nampak apa-apa?" Haji Yatimi tatap seluruh wajah Datuk dengan sinar mata yang lembut. Datuk telan air liur, dia merenung ke gigi pantai macam ada sesuatu yang difikirkannya.
"Ada apa-apa yang kamu nampak?" Ulang Haji Yatimi lagi.
"Macam biasalah, Haji."
"Apa yang kamu buat dengan semuanya tu?"
" Saya buat macam biasa, saya buat tak kisah," jawab Datuk dengan senyum.
Dialog antara Haji Yatimi dengan Datuk membuat hati saya menjadi resah. Macam ada sesuatu yang tidak kena saya rasakan , macam ada rahsia yang mahu mereka sembunyikan dari pengetahuan saya. Dan saya kira perbuatan mereka yang tidak mahu bercakap dengan jujur dan ikhlas itu, adalah perbuatan yang tidak baik. Saya harus memprotes sikap itu, saya harus memaksa mereka dengan cara yang sopan untuk menerangkan keadaan yang sebenar pada saya. Kalau saya tidak berterus-terang, perasaan saya akan tertekan dan saya akan sentiasa curiga dengan Haji Yatimi dan Datuk. Saya harus bertindak demikian dalam masa yang pendek saya membuat keputusan yang amat berani dan mengejutkan.
"Oh, kalau begitu, tuk sudah tahu. Patutlah tuk tak cemas bila saya cakap tentang lembaga putih tadi," saya keluarkan apa yang ada di dalam hati saya. Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.
"Kamu tak usah tahu tentang hal tu," nada Datuk seperti memujuk. Haji Yatimi menggigit bibir, matanya tetap merenung ke arah laut lepas.
"Datuk mahu sembunyi rahsia dengan saya?"
Tidak ada jawapan yang saya terima dari Datuk.
"Ada pantang-larangnya yang membuat tuk mesti berahsia dengan saya. Tuk mesti terangkan, kalau tidak saya tak puas hati," saya mengugut secara terhormat.
Saya lihat Datuk berada dalam keadaan serba salah. Dua tiga kali Haji Yatimi meraba-raba pangkal lehernya. Dia tepuk bahu Datuk, seolah-olah suruh bertenang.
"Biar aku jawab boleh tak ,Tamar?" tanya Haji Yatimi.
"Saya tak kira siapa yang nak jawab,"
"Baiklah Tamar, sebenarnya kami sendiri tak tahu dari mana lembaga tu datang. Setiap kali aku dengan Datuk kamu ke sini, lembaga tu tetap datang, naik pening kami memikirkannya. Akhirnya kami buat tak kisah," Haji Yatimi cuba membunuh keraguan yang bergayut di jantung hati saya.
"Walau macam mana pun, lembaga putih tu tak pernah mengganggu kami," sahut Datuk.
"Kami pun tak pernah mengusiknya, dia dan kita sama-sama menumpang di bumi Allah. Dia dengan jalannya dan kita dengan cara kita, pokoknya dia juga hamba Allah macam kita, masih ada batas, ada sempadan untuk dipelihara," Haji Yatimi memberi ceramah pendek yang tidak membosankan.
Datuk hanya melihat tanpa berkata apa-apa, bila melihat Haji Yatimi menukarkan serban hijau dengan serban putih. Haji Yatimi berdiri tegak sambil memeluk tubuh, mukanya dihadapkan ke dada laut. Sepasang anak matanya merenung tajam ke arah ombak yang bergulung menuju pantai. Renungan Haji Yatimi bagaikan sampai ke dasar laut.
"Dengan izin Allah tidak ada bahaya menanti," perlahan-lahan Haji Yatimi alihkan pandangan ke wajah Datuk.
Saya lihat Datuk mengangguk. Haji Yatimi menadah kedua belah telapak tangannya ke langit. Dia berdoa memohon restu dari Allah. Saya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada pergerakan Haji Yatimi, saya lebih senang melihat cahaya merah di kaki langit.
OMBAK
Cahaya merah bagaikan memukul permukaan ombak yang bergerak selari menuju pantai sambil membiaskan warna keemasan berkilau-kilauan di dada laut, keindahannya tidak dapat digambarkan.
Kalau saya seorang penyair mungkin keindahan itu dapat saya terapkan dalam bait-bait sajak. Tetapi, apakan daya, saya bukan seorang seniman. Daya kreatif dan khayalan saya tidak sekuat mana.
"Bismillah..."
Bagaikan kilat saya melihat ke arah Haji Yatimi . Dia membuka langkah sulung menuju ke perahu. Dengan tenang dia meranduk air laut hingga hujung jubahnya diresapi air.
"Doakan perjalanan saya selamat."
Haji Yatimi terus duduk di tengah perahu. Datuk hulurkan batang nipah kepadanya.
"Terima kasih."
Dengan tenang Haji Yatimi menyambutnya. Dua tiga kali dia menguji dayung ke air.
"Rasanya kali ini dayung tak berguna untuk sepanjang perjalanan, saya nak gunakan sekejap saja," tutur Haji Yatimi sambil meletakkan kembali dayung atas perahu.
Mendengar cakap Haji Yatimi itu, Datuk terus anggukkan kepala. Tetapi, saya menarik nafas panjang kerana kata-kata yang dihamburkan oleh Haji Yatimi tidak logik.
Menurut Haji Yatimi dia akan menggunakan dayung tersebut untuk tempoh yang sekejap saja, selepas itu dia menggunakan apa untuk menggerakkan perahunya? Ingin saya tanyakan hal itu kepadanya tetapi, hati terasa berat, mulut bagaikan terasa bisu.
"Saya nak gunakan dayung ni, bila dah dekat dengan pantai Sumatera. Masa di tengah laut dayung ni memang tidak ada manfaatnya," Haji Yatimi merenung dayung batang nipah, kemudian merenung ke arah Datuk.
"Jadi, tuan haji gunakan apa?" Tanya Datuk.
"Saya gunakan ini," Haji Yatimi mengembangkan telapak tangannya ke arah Datuk. Dada saya berdebar dan cemas, barangkali rakan karib Datuk ini mahu bergurau, fikir saya.
Kalau menggunakan telapak tangan sebagai dayung, alamat kawan karib Datuk mati kering di tengah Selat Melaka. Dalam diam-diam hati kecil saya membuat andaian, lalu saya bayangkan sebuah perahu membawa mayat manusia terumbang-ambing di tengah laut. Lama-kelamaan mayat itu terus kering dan reput dalam perahu.
"Kalau janji aku dengan Allah belum tiba waktunya, aku tak akan mati di tengah laut."
Saya terkejut dengan kata-kata yang Haji Yatimi ungkapkan itu. Dia bagaikan mengetahui apa yang bergolak di dalam dada saya. Lebih mendebarkan hati saya bila sepasang matanya di arahkan ke wajah saya.
"Minta tolong tolakkan perahu aku ke tengah sikit, hai orang muda," dengan senyum Haji Yatimi meminta bantuan saya. Dan saya tidak keberatan melakukannya. Dengan segala daya saya dorong perahu. Tetapi, perahu tidak juga berganjak walaupun seinci. Tiga kali saya dorong, tiga kali saya mengalami kegagalan.
Hati saya jadi sakit, bila saya lihat Haji Yatimi mengetawakan saya dan Datuk tersenyum panjang. Haji Yatimi terus berdiri.
"Kamu tidak mulakan pekerjaan dengan bismillah, kamu tidak meminta pertolongan dari-NYA," tutur Haji Yatimi sambil membetulkan hujung serbannya yang terdampar atas sayap bahunya. Datuk terus anggukkan kepala.
"Mari kita sama-sama menolaknya," kata Datuk.
Kepalang gembira hati saya mendengar pengakuan Datuk itu. Serentak saya dan Datuk membaca Bismillah....dan terus menolak perahu.
Hasilnya perahu bergerak ke kawasan air yang dalam. Haji Yatimi tetap berdiri di tengah perahu sambil mengimbangi badannya agar tidak jatuh. Dia angkat tangan kanan separas bahu dihalakan ke haluan perahu.
Bila tangan kanannya itu digerakkan ke kanan, haluan perahu pun bergerak perlahan-lahan ke kanan lalu menghala ke tengah laut(ke Sumatera) angin yang bertiup menggerakkan serban dan jubahnya, sekali pandangan macam kain kapal layar.
"Doakan perjalananku selamat."
"Allah bersama Haji Yatimi, perjalanan haji semoga selamat. Sampaikan salam saya kepada sahabat dan keluarga haji di Solok," kata Datuk.
"Insya-Allah, selamat tinggal," suara Haji Yatimi lantang. Saya lihat Haji Yatimi duduk di tengah perahu. Kedua belah telapak tangannya dijadikan dayung menguak ombak.
BUNYI
Pada saat itu juga saya terdengar bunyi desiran angin dari arah daratan menghala ke laut. Haji Yatimi menguak air laut dengan kedua belah telapak tangannya ,tiba-tiba saya lihat perahu meluncur dengan lajunya ke tengah laut lepas dan Haji Yatimi tidak lagi menguak air laut.
Dalam sekelip mata saja, Haji Yatimi dan perahu lesap dari penglihatan. Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya hadapi, dua tiga kali, kelopak mata saya gosok.
"Jangan terkejut dengan semuanya ni, semuanya terjadi dengan izin Allah, permintaannya diperkenankan Allah," Datuk terus menepuk bahu saya.
"Menakjubkan tuk."
"Itu perkara biasa, aku selalu melihatnya, itulah sebabnya aku ajak kamu ke sini, biar kamu lihat dengan mata kepala kamu, betapa hebatnya amalan yang dibuat oleh Haji Yatimi. Semuanya berpunca dari keikhlasan. Dia beramal dengan ikhlas dia mohon sesuatu pada Allah dengan ikhlas untuk kebaikan bukannya untuk kejahatan," lanjut Datuk lagi. Dan saya tidak kuasa untuk memberi sebarang komen dengan apa yang Datuk ucapkan.
Datuk dan saya meninggalkan kawasan Teluk Senangin. Matahari mula menyebarkan sinarnya yang lembut kepada air lembut di hujung dedaun, sentuhan sinar matahari membangkitkan cahaya kemilau di hujung dedaun.
Beburung mula berterbangan sambil berkicau riang, bunyi suara ungka dan monyet kian perlahan. Langkah Datuk kian rancak. Saya dongak ke langit melihat awan langit yang putih bersih.
"Tuk tak mandi embun?"
" Nanti sampai rumah, aku tukar pakaian lain,"
" Pakaian yang tuk pakai ni tak boleh mandi embun,"
"Ah, kamu ni banyak cakaplah Tamar."
Saya menelan air liur. Dan saya berazam tidak mahu bertanya apa-apa dengan Datuk sehingga sampai ke rumah. Bagi menghilangkan rasa bosan, saya memperlahankan langkah hingga jarak saya dengan Datuk berada jauh. Saya bersiul-siul kecil membawakan lagu yang cukup 'top' pada saat itu, lagu HITAM MANIS dendangan biduan R. Azmi.
Sayup-sayup saya terdengar bunyi suara orang bercakap dalam jumlah antara tiga hingga lima orang. Datuk angkat tangan kanan memberi isyarat kepada saya supaya berhati-hati. Dari arah yang bertentangan muncul beberapa orang kampung yang dikepalai oleh Mat Upeh.
"Mahu ke mana kamu semua?" Tanya Datuk.
"Kami nak ke Teluk Senangin," jawab Mat Upeh.
"Nak buat apa?"
"Nak menghantar Haji Yatimi ke Sumatera, kami bawa pisang, keladi dan beras huma untuk dibawa ke sana," jawab Shamsuddin Silong, keturunan dari Kampar, Sumatera yang sudah lama bermastautin di kampung saya. Datuk senyum dan ketawa panjang.
Perbuatan Datuk itu, tentu saja mengejutkan kawan-kawan Mat Upeh.
"Kenapa ketawakan kami," tanya mereka serentak.
"Haji Yatimi bukan datang dengan tongkang, kalau dia datang dengan tongkang barangkali semua barang-barang yang hendak kamu berikan kepadanya boleh dibawa."
"Habis datang dengan siapa?" Tanya mereka lagi.
"Dia datang dengan perahu kolek,"
Mendengar kata-kata Datuk itu, kawan-kawan Mat Upeh berpandangan sama sendiri. Rasa kecewa terbayang di wajah mereka.
"Dia tahu kamu semua ni, nak bagi barang-barang kepadanya," risik Datuk lagi.
"Tidak, kalau kami berterus-terang nak bagi kepadanya, tentu dia menolak, bila kami dapat tahu dia nak bertolak ke Sumatera dari Teluk Senangin, kami pun buat rancangan mengejut ni," terang Shamsuddin.
"Sudahlah, lupakan semuanya. Bawalah barang-barang ni balik," tutur Datuk lalu meneruskan perjalanan.
Mat Upeh dan kawan-kawannya berpisah dengan saya dan Datuk. Masing-masing dengan haluan sendiri. Dan matahari kian meninggi, badan mula terasa panas dan berpeluh.
Sebaik saja kami sampai di rumah nenek sudah menanti dengan sarapan pagi. Tetapi Datuk tidak menjamah makanan dan minum air kopi. Dia melakukan senaman dan mandi air embun . Bila semuanya itu selesai barulah dia bersarapan pagi.
AMANAH
Sudah sebulan lebih Haji Yatimi pulang ke Solok. Tidak ada khabar berita yang Datuk peroleh darinya. Hubungan kami dengannya bagaikan terputus. Tetapi, apa yang saya lihat dan alami tetap menjadi rahsia diri. Tidak saya ceritakan kepada sesiapa pun. Demi menjaga amanah Datuk.
Masa terus berlalu, ingatan saya terhadap Haji Yatimi kian tumpul. Begitu juga apa yang diperlihatkan oleh Haji Yatimi di Pantai Teluk Senangin, makin kurang bermain di kotak fikiran saya. Ada kalanya lupa terus. Mungkin semuanya ini, berpunca dari Datuk yang selalu mengingatkan saya supaya jangan taasub(fanatik) terhadap Haji Yatimi.
Kata Datuk, bila kita terlalu taasub pada seseorang, mungkin membawa kecelakaan pada diri sendiri. Boleh menumpulkan mata hati dan fikiran, kerana kita terlalu memuja tokoh yang dikagumi. Apa yang dibuatnya semua baik belaka. Sesungguhnya, Islam melarang perbuatan memuja seseorang.
"Perbuatan begitu termasuk dalam syirik kecil. Aku harap kamu tidak terjumlah dalam golongan tersebut," kata-kata yang diungkapkan oleh Datuk itu selalu bermain dalam tempurung kepala saya.
Jika ada kawan-kawan yang mula memperlihatkan unsur-unsur fanatik terhadap seseorang pemimpin atau tokoh masyarakat, kata-kata Datuk itu segera saya sampaikan kepada mereka.
Tidak semua kawan-kawan menelan begitu saja dengan apa yang saya tuturkan itu. Mereka berdebat dan berbahas. Bagi mempertahankan kata-kata Datuk itu, saya terpaksa berhujah dengan mereka.
Saya terpaksa membuat rujukan dengan membaca kitab, bertanya pada orang yang lebih pandai dalam selok-belok agama. Kalau perlu, saya terpaksa mencari hadis sahih serta mencari tafsiran al-Quran.
Tanpa disedari, perbuatan saya bersama kawan-kawan yang suka berdebat dan berbahas untuk mencari kebenaran itu, menimbulkan minat yang sungguh tinggi dalam diri kami untuk mencari ilmu. Biasanya, perdebatan kami lakukan di dalam masjid atau surau.
Kami mula jadi ulat buku terutama buku-buku agama dan falsafah Islam yang menyangkut bidang ekonomi, undang-undang dan sebagainya. Kedai buku yang sering kami kunjungi ialah AL-ZAINIAH di bandar Taiping.
Pada masa itu, buku pengetahuan tentang Islam yang ditulis dalam bahasa Malaysia agak berkurangan. Malah boleh dikatakan tidak ada langsung.
Saya dan kawan-kawan terpaksa mencari buku terjemahan dalam bahasa Indonesia dan Inggeris. Selalunya, bahasa Indonesia yang lebih kami utamakan, secara kebetulan di kalangan kami hanya beberapa orang saja yang dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Mereka itu terdiri dari para pelajar yang bakal menjadi mahasiswa Universiti Malaya (yang pada masa itu bertempat di Singapura) sebahagian dari kawan-kawan saya itu kini, ada yang menjadi orang politik, tokoh agama malah ada yang masih belajar di luar negara.
Hasil dari suka berdebat untuk mencari kebenaran dan rajin membaca buku pengetahuan, saya rasa minda saya makin luas dan matang.
Tidak suka bercakap sembarangan dan mendengar sembang atau borak kosong. Saya semakin menjauhkan diri dari majalah yang bercorak hiburan. Saya lebih suka menghabiskan masa berjam-jam dalam bilik membaca buku agama dan pengetahuan.
Saya beruntung kali ini, nenek tidak begitu kisah sangat tentang diri saya. Nenek tidak peduli sama ada saya turun ke sungai melihat atau menahan lokah. Nenek tidak ambil tahu sama ada saya pergi ke kaki gunung atau bukit melihat jerat pelanduk. Nenek tidak menegur saya, kalau saya pergi ke kebun pisang pada sebelah petang saja.
"Kamu sekarang jadi raja, bebas dan merdeka. Bila Datuk kamu balik, barulah kamu tahu untung nasib kamu," usik nenek di suatu petang, semasa dia melihat saya terbaring di katil sambil membaca buku.
SAMBUT
Usikan nenek itu saya sambut dengan senyum sinis yang panjang. Saya segera bangun dan terus letak buku atas tilam. Tanpa dipelawa nenek terus duduk di sisi. Dengan cara bersahaja dia menatap wajah saya.
"Buku apa kau baca Tamar?"
"Buku tentang kejayaan dan kejatuhan para khalifah Islam."
"Tulisan orang putih?" Biji mata nenek terbeliak merenung tulisan rumi di bahagian kulit belakang buku.
Saya menggigit bibir, sebuah penjelasan yang jitu harus dikhabarkan kepada nenek yang buta huruf.
Lelaki Serba Hitam
Dalam hidupnya, nenek hanya mengenal huruf-huruf Arab dan tulisan jawi. Dia mengenal Alif, Ba, Ta, sampai habis. Dia tidak boleh mengeja huruf-huruf tetapi dia boleh membaca muqaddam dan Quran.
“Ganjil, macam mana kisah orang-orang Islam, orang putih yang tulis,” sambung nenek lagi seperti merungut. Di wajahnya terpamer rasa takjub yang amat sangat.
“Bukan tulisan orang putih nek, tulisan rumi dalam bahasa Indonesia, terjemahan dari bahasa Arab.” jelas saya.
“Hum! begitu, “ nenek angguk kepala. Wajahnya nampak aman. Buat beberapa saat saya dan nenek tidak berkata apa-apa.
Kami merelakan suara kicau burung murni memukul gegendang telinga kami. Serentak saya dan nenek merenung ke arah pepohon yang kaku di halaman rumah. Matahari petang terus bersinar lembut.
“Datuk ke mana nek? Dalam diam-diam dia menghilangkan diri,” saya mengajukan pertanyaan. Nenek terus membisu, matanya masih tertumpu di halaman rumah menerusi jendela yang terdedah. Saya jadi resah, bila nenek bersikap demikian. Saya jadi serba salah.
“Datuk ke mana nek ?” Ulang saya lagi.
“Hai! Dia tak bagi tahu kamu, ke mana dia nak pergi?” saya gelengkan perlahan-lahan.
“Orang tua itu memang pelik, makin tua makin berahsia dengan bini dan cucu,” nenek seperti merungut. Geli hati saya melihat telatah nenek. Di depan Datuk tidak berani protes, di belakang Datuk bukan main lagi. Kepalang berani.
“Dia ke mana nek?” Saya merayu.
“Ke mana lagi, kalau tidak berjumpa kaum kerabat dan handai taulannya, maklumlah dia nak balik ke tanah nenek moyangnya, bukan apa tu, nak bawa pesan,” nenek menjuihkan bibir bawahnya. Dia mencemik Datuk. Saya segera menutup bibir mulut dengan kedua belah tapak tangan, agar senyum saya tidak dapat dikesan oleh nenek.
Dari kata-kata yang nenek luahkan itu, saya dapat mengesan ke mana datu pergi. Sudah pasti Datuk pergi ke Tronoh, Seputih, ke Chemor, ke Kampung Kerinci, ke Kampung Abdullah Hukum yang terletak di kawasan Kuala Lumpur.
Dari situ Datuk berangkat ke Kajang, ke Temerloh dan beberapa tempat lain yang ramai didiami oleh orang-orang dari Negeri Jambi yang terdiri dari daerah Kerinci, Panai, Bilah, Rawa, Salok, Mendailing dan sebagainya.
Datuk pernah menyatakan kepada saya dia menganggap orang-orang dari tanah Jambi sebagai saudara sekeluarga, seagama, serumpun bangsa, seadat budaya. Orang Jambi dan orang Melayu, Semenanjung tidak ada bezanya, masih serumpun dan seagama. Cuma orang Belanda dan Inggeris yang membuatkan yang membuatkan bangsa serumpun terpisah. Konsep Datuk itu selari dengan semangat Melayu Raya yang jadi teras perjuangan tokoh-tokoh politik Melayu ketika itu.
“Dah dekat dua bulan Datuk kamu tinggalkan kita,” cetus nenek lalu membunuh angan-angan yang merewang dalam kepala saya.
“Iya, selalunya bila ke mana-mana dia ajak saya, kali ini dia tak ajak pula.”
“Iya juga cakap kamu Tamar, entah aku tak tahu,” nenek kerutkan dahinya, “aku yakin esok lusa dia baliklah tu, dia bagi tahu aku dia nak ke Jambi hujung bulan ni, dia suruh aku buat bekal daging ayam,” tambah nenek lagi, kali ini wajahnya agak bercahaya. Matanya tadi kelihatan redup, kini nampak bersinar.
“Kalau dia balik hari ini, lagi baik nek,” ungkap saya keriangan. Nenek terus ukir senyum. Leher saya tegakkan, pura-pura merenung ke jalan kecil yang menuju ke rumah, menerusi jendela. Nenek gelengkan kepala.
“Kamu rindukan Datuk kamu.”
“Sudah tentu, nenek macam mana?”
“Nenek pun begitu.”
Kami pun berbalas senyum. Kemesraan terasa cukup erat dalam hati sanubari saya.
Dengan mendadak nenek terus bangun, tanpa berkata apa-apa dia terus meninggalkan saya sendirian di kamar. Nenek terus ke dapur dan saya menyambung pembacaan yang tergendala. Baru tiga empat para dibaca, saya mula menguap dan kelopak mata mula terasa memberat. Bagi menghilang rasa mengantuk itu, saya terus bangun menuju ke dapur.
Aduh! Saya gembira sekali, waktu memasuki ruang dapur, saya sudah terhidu bau bubur merah dan kopi O yang amat menyelerakan. Saya berdiri di antara ruang pemisah bahagian dapur dengan bahagian tengah.
“Kenapa tercegat di situ ? Kalau teringin sila masuk,” pelawa nenek bersama senyum.
“ Ha! Memang itu yang dinantikan,” sahut saya sambil mempercepatkan langkah, lalu duduk bersila menghadapi mangkuk bubur merah dan cawan kopi O yang permukaannya berasap nipis.
Tanpa menanti perintah, saya terus menghirup kopi panas. Ahai! Panasnya terasa menjalar dalam tali perut. Sesak nafas juga saya dibuatnya. Kelakuan tidak senonoh saya jadi bahan ketawa nenek.
“Kamu gelojoh sangat, kenapa tak nanti sejuk. Bersabarlah sikit, hidangan dah depan mata.”
“Saya tersilap nek.”
“Manusia ni, kalau selalu melakukan kesilapan dan tidak pula mahu berusaha membetulkan kesilapan, alamat hidupnya tak sempurna. Selalu salah langkah.”
“Kalau begitu, saya mesti berusaha membetulkan kesilapan,” sebuah janji saya berikan. Kemudian dengan rakus saya menikmati bubur pulut hitam.
BERJEMAAH
Sejak Datuk meninggalkan kami( saya dan nenek), saya jarang sembahyang jemaah di surau. Biasanya, selepas menunaikan sembahyang Isyak di rumah, nenek tidak menegah atau melarang saya pergi bertandang ke rumah kawan-kawan untuk belajar berzanji.
Malam itu saya tidak ke mana-mana, cara kebetulan pula pada malam tersebut, beberapa orang kawan saya pergi ke Taiping, Ipoh dan ke Pulau Pinang kerana urusan keluarga.
“Hai, kenapa kamu di rumah malam ni?” Tanya nenek. Dan saya terpaksa menjelaskan perkara yang sebenar kepada nenek.
“Daripada kamu duduk termenung tak tentu sebab tu, ada baiknya kamu membaca Quran, dapat juga pahala.
“Hum….,” saya mengeluh kecil.
“Kamu malas.”
“Saya tak malas.”
Kerana waktu Isyak sudah masuk, saya terus mendirikan solat. Sebaik selesai solat dan berdoa, cadangan nenek saya penuhi. Di saat khusyuk membaca halaman empat surah al-Baqarah, gegendang telinga saya menangkap bunyi suara orang berbisik dan melangkah di bahagian luar rumah. Saya segera berhentikan membaca surah al-Baqarah.
“Kenapa berhenti Tamar?”
“Ada suara orang berbisik dan berjalan di luar,” kata saya pada nenek. Kami berpandangan sama sendiri. Pada masa itu juga terdengar geselan dedaun akibat dirempuh angin malam. Suara burung hantu bertingkah dengan suara burung jampuk.
“Tutup Quran, kita mesti berjaga-jaga.”
“Betul kata nenek tu.”
Quran saya letakkan kembali ke tempatnya. Saya periksa selak pintu dan tingkap. Semuanya terkunci dalam keadaan cukup selamat.
“Aku ke dapur cari senjata,” itu yang nenek bisikkan ke telinga saya. Belum pun sempat saya mengangguk, nenek sudah melangkah ke ruang dapur.
Nenek datang semula ke sisi saya dengan dua bilah parang panjang di tangan. Saya merasa takjub tingkah laku nenek saya itu.
“Ambil untuk kamu sebilah Tamar.”
Nenek hulur sebilah parang panjang kepada saya. Dalam keadaan terpinga-pinga saya segera menyambutnya.
“Untuk apa nek ?”
“Bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja yang datang,” nada suara nenek keras. Dia terus menyingsing lengan baju. Saya menarik nafas panjang dan cuba mengerakkan parang panjang ke kanan dan ke kiri.
“Tekapkan telinga kamu ke dinding, dengar ke mana bunyi langkah itu,” tutur nenek separuh berbisik. Saya patuhi perintahnya untuk mengawasi bunyi telapak kaki di luar rumah. Ke arah manakah manusia misteri itu melangkah?
“Aku ke sana,” beritahu nenek lagi. Saya anggukkan kepala. Nenek pun melangkah ke pintu dapur. Berdiri di situ dengan parang di tangan.
Nenek bersedia memarang atau membunuh sesiapa saja yang memecahkan pintu dapur untuk masuk ke rumah. Dalam keadaan berjaga-jaga dan berhati-hati itu, saya dikejutkan oleh suara kucing yang cukup kuat.
Berdasarkan nada suara kucing itu, saya pasti ekor kucing dipijak oleh manusia secara tidak sengaja. Bagi menyelamatkan diri, kucing itu lari ke arah perigi.
Beberapa saat kemudian, terdengar bunyi telapak kaki orang melangkah dengan berhati-hati. Bunyi telapak kaki itu hilang entah ke mana. Tidak lama selepas itu terdengar suara anjing menyalak sesuatu di pinggir kawasan rumah. Saya segera mendekati nenek.
“Tak da apa-apa pun nek,”
“Mana boleh tak ada apa-apa. Kamu dengar anjing menyalak dan suara kucing.”
“Itu perkara biasa nek.”
“Biasa kata kamu, memanglah kamu tak boleh diharap, ada otak dan fikiran tak boleh dipakai.”
“Percayalah cakap saya nek, kalau saya kata tak ada apa-apa, mesti tak ada apa-apa.”
“Kalau ia tak ada apa-apa , kita mesti berjaga-jaga,” sepasang biji mata nenek jegilkan ke arah saya.
Parang panjang diangkatnya agak tinggi hingga melepasi paras dahi saya. Rasa bimbang dan cemas segera menghantui diri. Bagaimana kalau parang itu terlucut dari tangannya, lalu parang menghempap batang hidung saya.
Aduh! Saya tidak rela kehilangan hidung. Demi keselamatan hidung yang satu ini, cepat-cepat saya sambar pergelangan tangan nenek sambil memberitahunya supaya jangan mengangkat parang panjang di depan saya. Nenek tersenyum.
“Kamu takut Tamar?”
“Bukan takut, saya cemas.”
“Pandai kamu bercakap, “ nenek terus ketawa pendek. Belum pun ketawanya berakhir, saya segera meninggalkan nenek.
Sebaik saja saya sampai ke ruang tempat saya sembahyang tadi, saya terdengar seperti orang menahan batuk, Salakan anjing kian hebat, begitu juga dengan bunyi burung hantu. Angin terus berdesir.
ANGKAT
Saya segera angkat tangan ke arah nenek, memberitahunya supaya berhati-hati. Nenek membalas dengan anggukkan. Dalam keadaan yang tidak aman itu, pintu dapur diketuk orang dua kali berturut-turut.
“Siapa?” Tanya nenek.
Tidak ada jawapan dari luar.
“Siapa, cakap siapa kamu,” ulang nenek. Hasilnya tetap sama. Nenek nampak resah. Mata parang tetap dihalakan ke arah pintu.
“Tiga kali aku seru, tiga kali tiada jawapan. Ertinya kamu musuh. Jangan cari fasal dengan kami. Siapa yang silap di antara kita, celaka padahnya,” nenek begitu nekad mengeluarkan amaran.
Suasana terasa sepi sekali. Salakan anjing sudah berhenti, begitu juga dengan bunyi burung hantu tetapi desiran angin masih dapat saya dengar dengan jelas .
Secara mendadak, saya dengar dentuman yang kuat. Pintu dapur terkopak dan nenek terlentang atas lantai, parang panjang di tangan terpelanting agak jauh dari nenek.
Tanpa membuang masa, saya menerpa ke arah nenek. Sebaik saja nenek saya dudukkan, seorang lelaki meluru masuk ke ruang dapur menerusi pintu yang terdedah. Lelaki itu memakai serba hitam, separuh wajahnya dari bahagian bawah dagu hingga ke dagu dibalut dengan kain hitam, macam samurai.
Saya tidak angkat muka untuk menatap sekujur tubuh lelaki berpakaian serba hitam. Saya jadi cemas tetapi, nenek tidak berdiam diri, dia bertindak dengan pantas mengambil parang dan mengolekkan tubuhnya hingga ke tepi dinding lalu bangun sambil mengatur langkah silat.
Bila sudah melihat nenek mengatur langkah untuk bertindak, saya jadi berani. Barulah saya renung ke arah tubuhnya, rasanya lelaki yang sedang berdepan dengan nenek itu, amat saya kenali.
Belum pun sempat saya sebut namanya, nenek terus meluru ke arah lelaki itu sambil menghayun parang panjang ke batang leher lelaki yang berpakaian serba hitam.
Saya terpegun melihat kehebatan lelaki berpakaian serba hitam itu. Dia tidak memperlihatkan kecemasan atau ketakutan, tetap tenang dan tabah menghadapi saat-saat yang dianggap cukup genting. Dia menanti mata parang panjang nenek jatuh ke lehernya.
Sebaik saja nenek menjatuhkan parang panjang ke arah batang lehernya, saya lihat lelaki itu merendahkan badanya dan bergerak Cuma dua tapak ke kiri. Secepat kilat lelaki menyambar dan merampas parang panjang dari tangan nenek. Saya lihat nenek seperti kena pukau, tidak bergerak dan terus kaku di situ macam patung.
Setelah mencampakkan parang panjang milik nenek ke tengah ruang dapur, lelaki itu terus menepuk kedua belah tangannya tiga kali berturut-turut. Nenek jadi lembik dan terus rebah atas lantai.
“kamu bunuh dia,” jerit saya sekuat hati dan terus menerpa ke arah lelaki berpakaian serba hitam. Tanpa fikir panjang, saya angkat parang untuk dihayunkan di bahagian pinggang lelaki itu.
“Nanti,” sergah lelaki itu sambil mengangkat tangan kanannya separas bahu. Saya terkejut dan tergamam. Langkah saya terus kaku. Parang segera saya jatuhkan dan hujungnya saya tekankan ke lantai.
SUARA
Jauh di sudut hati, timbul persoalan baru. Rasanya suara itu amat saya kenali, macam suara Datuk. Ah! Mana mungkin Datuk mahu melakukan perkara demikian. Dan saya memang mengharapkan lelaki itu bersuara lagi bagi memecahkan kebuntuan persoalan dalam diri saya. Harapan saya tidak menjadi kenyataan.
“Ah…,” saya mengeluh pendek.
Lelaki membuka kain hitam yang menutup separuh wajahnya. Hati saya jadi cemas. Mungkin ini hanya satu helah untuk memerangkap diri saya. Dan ulu parang panjang saya pegang dengan kemas.
“Kamu tak kenal aku ?”
Lelaki itu menjatuhkan kain hitam atas lantai. Saya menarik nafas dan seluruh badan terasa lemah. Parang panjang di tangan saya jatuh sendiri. Saya bagaikan tidak bermaya mahu melangkah dan bersuara. Saya bagaikan tidak yakin bahawa lelaki yang berdiri di depan saya, berpakaian serba hitam itu adalah Datuk.
“Bangunkan nenek kamu.”
Saya segera mendekati nenek yang terpinga-pinga. Kelopak matanya pejam celik berkali-kali. Dia juga seperti saya, tidak percaya apa yang ujud di depan matanya.
“Awak kunci sendi saya, macam mana saya nak bergerak,” tutur nenek. Saya lihat Datuk senyum panjang. Tanpa membuang masa, Datuk terus menepuk tangan tiga kali berturut. Nenek pun dapat mengerakkan sepasang kaki dan tangannya. Dia terus meluru ke arah Datuk.
“Kenapa awak buat kerja macam ni?”
“Maafkanlah aku, sebenarnya aku nak menguji diri kamu, aku nak uji keberanian dan kecekapan kamu,” tutur Datuk dengan tenang. Dia mengajak saya dan nenek duduk bersila di ruang dapur.
“Bila aku dah tahu kemampuan dan keberanian kamu mempertahankan diri, senanglah aku, tak bimbang meninggalkan kamu,” tutur Datuk sambil menatap wajah nenek. Desiran angin yang merempuh dedaun di luar rumah jelas kedengaran.
“Habis selama ini awak tinggalkan, tak pernah diuji dan tak pernah dicuba. Saya tak mengalami apa-apa,” sanggah nenek dengan menjuihkan bibir bawah ke depan.
“Kali ini lama, boleh jadi lebih dari enam bulan, boleh jadi setahun dua.
“Hai! “ Nenek jegilkan biji mata ke arah Datuk.
“Nanti aku ambil barang di luar, aku terlupa nak bawak masuk ke rumah,” dengan cepat Datuk bangun. Rasa terkejut dan kehairanan masih terpamer di muka nenek.
Datuk masuk semula dengan beg rotan empat segi. Beg itu dibukanya lalu dikeluarkan beberapa helai kain batik. Manakala beg kecil kulit tidak dibukanya.
“Ha! Untuk awak,” empat helai kain batik diserahkan kepada nenek. Saya lihat wajah nenek berseri-seri. Marah dan rasa terkejutnya hilang serta merta.
“Awak beli di mana?”
“Saya sempat ke Johol Bahru, jumpa kawan-kawan lama dan cara kebetulan mereka baru balik dari Pulau Jawa, empat keluarga yang baru balik tu, berikan kain batik. Memang rezeki awak.” Jelas Datuk dengan tenang.
“Dua lagi saya nak sedekahkan pada orang susah.”
“Terpulang pada awak kain tu hak awak,” nada suara Datuk merendah.
Datuk membuka beg kecilnya, dia mengeluarkan sehelai kertas yang bertulis jawi.
“Surat apa tuk?” Tanya saya.
“Alamat dan pesan orang-orang yang aku jumpa untuk orang di Tanah Jambi,” Datuk menutup kembali beg kulitnya. Kemudian dia mengeluarkan beberapa bila keris pendek yang menurutnya pemberian kawan-kawan. Akhir sekali, Datuk memberi saya sehelai kain songket tenun Terengganu yang dibeli khas untuk saya.
“Ini saja yang dapat aku belikan untuk kamu, Tamar,” tutur Datuk. Saya segera mengenakan kain songket ke tubuh. Nenek masih lagi membelek-belek kain batik.
“Itu upah dari aku sengaja menakut-nakutkan kamu, bukan apa sekadar untuk cuba menguji,” sambung Datuk lalu disambut dengan ketawa oleh nenek dan saya.
Suasana cemas dan takut yang saya alami bersama nenek bertukar menjadi suasana riang. Kami gembira atas kepulangan Datuk, kami tidak marah dengan tindakan yang bertujuan untuk menguji kami.
“Awak memang nakal, kalaulah parang saya kena kepala awak, bukankah susah jadinya,” nenek bagaikan merungut, dia terus ke dapur dan kembali dengan menatang secawan kopi panas bersama sepiring kuih untuk Datuk.
“Sebelum membuatnya, saya sudah perhitungan buruk baiknya, sudah saya sediakan petua mengunci gerak langkah awak berdua, kalau tidak bersedia, memang tidak saya lakukan. Saya tahu awak bukan sebarang perempuan,” Datuk memberikan komen. Dia terus menghirup kopi, sementara menanti makan malam disediakan oleh nenek.
MAKAN
Setelah selesaikan makan malam, kami bertiga berubah tempat duduk di anjung, Datuk pun bercerita tentang kisah perjalanannya menemui kawan-kawan, kaum keluarga bertaburan di daratan Semenanjung, sesekali Datuk berjenaka, saya dan nenek turut ketawa. Dan kemesraan antara kami bertiga terasa kian erat.
Rasanya malam itu adalah malam yang penuh makna bagi diri saya. Belum pernah datu bercerita begitu panjang disulam dengan senyum dan ketawa. Inilah kali pertama saya lihat Datuk tidak begitu serius.
“Aku letih, eloklah kita tidur, sebelum tidur aku nak baca Quran dulu,” Datuk mengeliat. Tanpa berkata apa-apa nenek terus bangun.
“Dua hari lagi kita tinggalkan rumah ini, Tamar.”
Kata-kata yang diucapkan oleh Datuk dapat ditangkap oleh gegendang telinga nenek. Dia segera berpatah balik lalu berdiri di depan Datuk.
“Cuba ulang lagi sekali, apa yang awak katakan,” dalam senyum sinis nenek bersuara.
“Telinga awal cukup nipis.”
“Dengar tu memang saya dengar tapi, tak jelas biji butirnya.”
Datuk terus garu cuping telinga berkali-kali. Dia tarik nafas dalam-dalam dan yakin apa yang diucapkan oleh nenek. Buat beberapa ketika Datuk mengerutkan dahinya ada sesuatu yang mengganggu jalur fikirannya.
“Lagi dua hari aku bertolak ke Jambi,” suara Datuk memecahkan suasana kebekuan yang menguasai ruang anjung .
“Dengan siapa awak nak pergi?”
“Siapa lagi? Dengan Si Tamar. ”
“Awak nak tinggalkan saya seorang diri. Fasal itu awak uji saya,” nada suara nenek meninggi. Saya lihat Datuk ukir senyum.
“Memang begitu niat aku, kamu boleh selamat di sini, Aku yakin dengan kemampuan awak,” Datuk memuji nenek. Ketegangan di wajah nenek nampak reda. Tanpa disuruh nenek duduk bersila di depan saya dan Datuk.
Di Belit Ular Ghaib
Saya kira bila nenek sudah mula duduk bersila begitu, pasti dia mahu mengajukan beberapa pertanyaan untuk Datuk. Dan pertanyaan yang dikemukakan itu bergantung pada rasa hatinya, kalau hati sedang marah, pasti pertanyaan yang keluar menyakitkan hati. Kalau hati sudah sejuk, pertanyaan yang terhambur pasti menggembirakan hati Datuk.
Masa terus berlalu, nenek masih membisu. Perbuatan itu menimbulkan keresahan dalam diri saya. Walaupun demikian, saya masih dapat mendengar deru angin di luar yang beransur perlahan.
Tetapi suara salakan anjing terus mendayu-dayu. Burung tukang, tidak sekerap tadi berbunyi. Cuma yang rancak berbunyi ialah suara cengkerik.
“Dari mana awak nak bertolak?” Nada pertanyaan nenek lembut . Wajah Datuk nampak aman dan saya tersenyum.
“Dari Pulau Pinang?” Sambung nenek lagi.
Datuk gelengkan kepala.
“Dari Lumut?”
Datuk gelengkan kepala.
“Dari Melaka?”
Macam tadi juga Datuk tetap gelengkan kepala.
“Habis dari mana awak nak bertolak?” Suara nenek meninggi, dia mula naik darah.
“Dari Teluk Senangin,” jawab Datuk.
“Haa..,” nenek terkejut, mulutnya terlopong, “awak buat kerja gila, awak naik perahu menyeberang ke Sumatera. Awak nak tempah maut di Selat Melaka,” sambung nenek lagi matanya tidak berganjak menatap batang hidung Datuk.
“Begini,” ujar Datuk dalam usahanya meredakan rasa bimbang di hati nenek, “ aku hanya naik perahu ke tengah laut saja, dari situ aku naik tongkang yang bawa barang-barang dari Lumut ke Belawan, dari situ menyusur pantai menuju ke Jambi, kemudian masuk Kuala Sungai Batang Hari,” jelas Datuk kepada nenek yang nampak resah semacam saja.
Dari gerak-geri dan air mukanya, saya dapat menduga bahawa nenek kurang puas hati dengan penjelasan Datuk. Macam ada sesuatu yang ingin diketahuinya, tetapi nenek takut mengajukan pertanyaan kepada Datuk.
“Hum, awak kurang puas hati?” Datuk merenung hidung nenek. Tidak ada jawapan yang Datuk terima dari nenek. Sebagai suami yang sudah berpuluh tahun mendampingi isteri, Datuk dapat membaca perasaan hati nenek melalui gerak-gerinya.
“Tak usah bimbang, aku dah aturkan perjalanan dengan sebaik mungkin,” saya lihat Datuk bersuara penuh ketenangan. Memang Datuk bersuara mahu menyingkirkan rasa sangsi yang bermain di hati nenek. Tidak ada sepatah kata yang nenek luahkan, dia terus membisu. Nampaknya nenek lebih senang mendengar dari meluahkan pendapat atau pertanyaan.
“Tongkang yang aku naik tu, tongkang pedagang Acheh. Aku kenal dengan nakhodanya. Sudah lama perkara ini aku aturkan lebih dari setahun,” tambah Datuk. Nenek anggukkan kepala tanpa memberi sebarang komen.
“Sampan nak membawa ke tengah laut tu, milik anak saudara nakhoda itu, dia tahu di mana tongkang ayah saudaranya boleh berlabuh, semuanya sudah aku susun. Kamu tak usahlah bimbang,” Datuk bersuara lagi. Nenek menarik nafas lemah. Mata Datuk ditatapnya.
“Kalau sudah begitu, eloklah. Saya bukan apa-apa, saya cuma bimbangkan keselamatan diri awak,” nenek meluahkan perasaannya.
“Sayang juga awak kepada saya,” Datuk bergurau. Nenek menghadiahkan senyum sinis kepada Datuk. Saya lihat Datuk terus tersengih panjang.
“Selain dari menengok kampung halaman, bertemu dengan sahabat handai, ke mana lagi awak nak pergi?” Barulah nenek memperlihatkan keriangan di wajahnya. Datuk membetulkan duduk dan silanya supaya kemas dan selesa.
“Aku nak ke Kampar, Indragiri, Langkat, Serdang, Acheh dan ……." Datuk berhenti bercakap dan terus kerutkan kening, macam ada sesuatu yang diingatinya. Apakah yang diingat dan difikirkan oleh Datuk untuk diluahkan kepada saya dan nenek?
“Aku ada beberapa tempat lain lagi,” Datuk menyambung kata yang terhenti,“semua tempat dan daerah yang budaya adatnya serta percakapannya serupa dengan kita di sini, ke situlah aku nak pergi.”
“Itulah sebabnya awak kata, awak nak pergi lama,” tingkah nenek bersahaja. Datuk tidak berkata apa-apa, dia hanya sekadar menggoyangkan kepala saja.
BUKA
Nenek bangun dan melangkah ke jendela. Daun jendela dibuka, dia merenung malam yang hitam. Deru angin masih terdengar agak lemah. Nenek rapatkan daun jendela kembali. Dia memusing badannya lalu merenung ke arah Datuk.
“Pintu dapur yang terkopak bila nak betulkan?”
“Siang esok saja”
“Jadi sepanjang malam ni, pintu tu terdedah. Nanti masuk pencuri susah kita, ada kain sehelai dua habis kena kebas.”
“Usah bimbanglah, tahu lah aku membuatnya,” jawapan Datuk itu membuat nenek angkat kaki lalu menuju ke bilik tidur. Barangkali nenek yang sudah lanjut usia sudah mengantuk dan kepenatan.
“Ikut aku Tamar.”
Datuk bangun lalu melangkah ke ruang dapur. Tanpa banyak soal saya ikut saja langkahnya hingga sampai ke depan pintu dapur yang terkopak. Datuk ambil daun pintu yang terpisah dengan jenang.
“Tuk nak penukul dan paku, nanti saya cari tuk”
“Tak payah, kamu angkat papan pintu, seginya kamu rapatkan ke jenang.”
Saya patuh dengan perintahnya, sambil mengangkat papan pintu, saya mula berfikir, besar kemungkinan Datuk menyuruh saya memegang papan pintu hingga terbit matahari itulah sebabnya, dia tidak mahu mencari paku dan penukul. Tidak habis-habis Datuk mahu mendera saya.
Bucu papan pintu saya lekatkan ke jenang. Hampir sepuluh minit saya memegangnya, Datuk tidak pula menyuruh bergerak dari situ, dia sekadar merenung ke arah saya dengan renungan yang tajam sekali.
“Tuk suruh saya buat macam ini sampai pagi.”
“Eh, aku tak cakap apa-apa, kenapa kamu pandai-pandai buat andaian yang bukan-bukan. Apa kamu tak boleh dengar cakap aku, herdik Datuk.
“Maafkan saya,” kata saya terketar-ketar.
Memang tidak saya duga sama sekali bahawa pertanyaan itu boleh menimbulkan kemarahan pada diri Datuk. Saya jadi serba salah, perbuatan yang saya lakukan sebentar tadi membuat Datuk jadi perengus dan suka marah-marah.
Datuk melangkah ke arah saya dengan teratur. Kedua belah tangannya memeluk tubuh. Bila dia sudah hampir dengan saya, kedua belah tangannya diluruskan ke bawah.
“Tentukan kedudukan pintu dengan betul .”
Saya segera melihat bucu pintu, sama ada selari dengan jenang pintu yang dibuat dari kayu cengal merah.
“Dah betul kedudukannya, Tamar?”
“Sudah tuk.”
“Pegang kuat-kuat, hitung sampai sepuluh, kemudian tahan nafas. Apa yang aku buat jangan kamu tegur. Kalau kamu ternampak apa yang ganjil jangan bersuara. Faham Tamar?”
“Faham tuk.”
Selesai saja saya memberi kata putus, saya lihat Datuk menarik nafas sedalam-dalamnya, kemudian dia mengepal penumbuk lalu bergerak perlahan dua tapak ke depan dan berhenti. Dia melepas nafas dengan lemah. Kemudian Datuk tarik nafas lagi, bergerak setapak ke depan hingga jaraknya dengan papan pintu yang saya pegang, tidak sampai se kaki.
Datuk merenung tajam ke arah papan pintu. Pada saat itu saya terdengar bunyi deru angin yang amat kuat macam ribut, papan pintu yang saya pegang bergerak-gerak dengan kuatnya macam ditolak sesuatu dari luar. Tubuh saya terasa seperti diangkat.
Dalam saat-saat seperti itu, saya berhasrat mahu memberitahu Datuk tentang masalah yang saya hadapi. Tetapi, saya seperti kehilangan suara dan tenaga. Papan pintu yang saya pegang terasa amat berat macam batu besar yang mahu menghempap tubuh saya.
“Pegang dan tahan pintu kuat-kuat,” pekik Datuk dengan sekelip mata dia sudah terpacak di sisi saya. Tubuh saya ditolaknya dengan sekuat tenaga hingga saya tersungkur di lantai. Papan pintu yang saya pegang pun terlepas.
Datuk pun mengganti tempat saya. Apa yang menakjubkan dan menghairankan saya, bila melihat Datuk menahan papan pintu yang selebar lebih dari tiga kaki dengan jari kelingking kiri.
Dengan jari kelingking tersebut dia menggerakkan dan merapatkan papan pintu ke jenang. Datu angkat tangan kanan yang sudah di genggam kejamnya lalu menumbuk bahagian tengah papan pintu.
“Sudah selesai, aku buat semuanya ni untuk menyenangkan hati nenek kamu,” kata Datuk dan saya lihat pintu dapur kembali dalam keadaan sediakala. Boleh dibuka dan dikunci. Saya merasa takjub bagaimana engsel di bucu pintu boleh melekat ke jenang pintu tanpa paku dan skru.
“Sudah selesai tuk,” saya minta kepastian.
“Dah selesai pun.”
“Tak pakai paku dan penukul?”
“Iya, kamu tengok sendiri.”
Saya segera memeriksa engsel pintu, ternyata engsel tersebut sudah dipasang dengan skru. Lagi sekali saya merasa takjub.
“Jangan tanya apa-apa,” tutur Datuk bila melihat saya mahu mengajukan pertanyaan. Saya segera angguk kepala. Datuk memimpin tangan saya menuju ke ruang tengah.
“Pergi tidur, ingat lusa kita nak berjalan, itu pun kalau diizinkan Allah, kita ada masa dua hari untuk membuat persiapan. Kamu jangan ke mana-mana, tolong nenek buat kerja untuk kita yang mahu ke tanah seberang,” tutur Datuk sebelum dia masuk ke bilik tidurnya. Baru dua langkah Datuk melangkah, dia berpatah balik ke arah saya. Perbuatannya itu memeranjatkan saya. Rasanya tak ada kesalahan yang saya lakukan.
“Ingat Tamar. ”
“Ingat apa tuk ?”
“Jangan beritahu sesiapa dengan apa yang kamu tengok tadi. Pada nenek kamu pun jangan kamu ceritakan.”
“Saya faham tuk.”
“Begitu juga dengan hajat kita nak ke Jambi. Jangan kau hebahkan dengan orang lain.
“Saya faham tu.”
Setelah melihat biji mata dan wajah saya dan yakin saya akan mematuhi pesanannya, barulah Datuk masuk ke bilik. Sepuluh minit kemudian Datuk keluar. Dia mengambil wuduk, tidak lama berselang terdengar suara Datuk membaca al-Quran.
Dengan rasa letih dan mengantuk, saya rebahkan tubuh atas ranjang, sementara menanti mata terpejam, saya segera pasang angan-angan, saya gambarkan betapa sukarnya dan payahnya naik tongkang membelah ombak Selat Melaka. Dan akhirnya saya pun terlena.
TINGGAL
Segala barang-barang yang mahu dibawa sudah disediakan oleh nenek di muka pintu. Saya duduk di kaki tangga melihat kelip-kelip yang terbang subuh.
Dan Datuk pun mengakhiri doa sembahyang subuhnya. Sebentar lagi, sebelum matahari terbit saya dan Datuk harus meninggalkan rumah, tidak boleh berpatah balik walaupun ada barang yang tinggal.
Bagi menjamin semua barang-barang dibawa tidak tinggal, saya ditugaskan memeriksa dan melihatnya,
Kata Datuk, berpatah balik setelah memulakan perjalanan akan membawa padah buruk, mungkin orang yang berjalan itu akan berhadapan dengan masalah besar dalam perjalanan. Petua yang diwarisi dari nenek moyang itu tetap mahu dipelihara dan dikekalkan oleh Datuk.
“Sudah cukup semuanya, Tamar?” Tanya Datuk dari arah belakang. Saya segera menoleh arahnya, Datuk memakai kemeja hitam lengan panjang. Seluar kuning panjang, bersongkok hitam serta bertali pinggang lebar hitam, macam tali pinggang anggota polis sebelum merdeka.
“Semuanya sudah siap tuk.”
“Sudah kamu periksa, apa yang aku suruh sediakan?”
“Sudah tuk.”
“Tak ada yang tinggal, Tamar?”
“Tak ada tuk,” tutur saya dengan penuh yakin.
“Kau bawa beg kecil, beg besar biar aku yang bawa,” kata Datuk sambil menyelitkan lawi ayam ke celah tali pinggang besarnya.
Di bahagian dalam tali pinggang sengaja dibuat tempat kas untuk senjata kecil seperti lawi ayam, kerambit, keris kecil dan sebagainya. Hari itu, di samping lawi ayam, Datuk juga menyelitkan keris kecil.
Dilihat sepintas lalu dari luar, keadaan tali pinggang itu kelihatan macam biasa saja. Di hujung tali pinggang terdapat tembaga kuning yang disatukan dengan kulit tali pinggang yang lebarnya sama dengan ukuran tali pinggang dan panjangnya kira-kira dua inci.
Datuk pernah menggunakan tembaga di hujung tali pinggang sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya diserang orang jahat. Datuk sendiri yang menceritakan perkara itu kepada saya. Kesimpulannya, tali pinggang itu, bukan sekadar tali pinggang tetapi ada tujuan yang lain bila di pakai.
“Eloklah kita mulakan perjalanan.”
Datuk segera mengambil capal kulit lalu disarungkan ke kaki. Tanpa mengeluarkan arahan selanjutnya Datuk melangkah ke pintu. Berdiri di situ dengan tangan kiri memegang jenang pintu dan tangan kanan terletak di pinggang.
Perbuatan Datuk berdiri di muka pintu menghalang perjalanan saya. Kalau saya bersuara mungkin Datuk marah atau menengking saya.
Saya mengambil keputusan tunggu dan lihat. Sekiranya Datuk berubah tempat, barulah saya keluar dari rumah. Seluruh pancaindera, saya tumpukan ke tubuh Datuk yang tercegat di ambang pintu.
Tiba-tiba saya lihat, sepasang tangan Datuk memeluk tubuh dan sepasang matanya tidak berkedip melihat ke arah halaman rumah. Macam ada sesuatu dilihatnya di situ. Lebih kurang lima minit lamanya, Datuk terpaku begitu.
Datuk menarik nafas dalam-dalam seraya menjatuhkan sepasang tangannya, lurus ke bawah tetapi, jari telunjuk, jari manis dan jari hantu tangan kanan dibengkokkannya, sementara jari telunjuk dan ibu jari diluruskan.
Datuk mengerakkan tubuhnya membelakangi ambang pintu untuk menatap wajah saya. Matanya nampak bercahaya.
“Sudah selesai Tamar.”
“Sudah tuk.”
“Kalau begitu sekarang kita mulakan perjalanan.”
Datuk mendekati saya lalu membongkok mengambil beg besar dekat tiang besar. Datuk galas beg besar ke bahu.
Dengan serta merta saya bangun dan mencapai beg kecil yang isinya entah apa, terus saya sangkutkan ke bahu. Neneklah yang mengisikan barang-barang ke dalam beg kecil itu.
Waktu saya mahu memulakan langkah, nenek segera mendekati saya. Nenek paut bahu kiri saya dari belakang. Datuk hanya melihat saja apa yang nenek lakukan terhadap saya.
“Jaga beg itu baik-baik, Tamar,”
“Kenapa nek?”
“Dalam beg tu ada bekalan makanan untuk kamu dengan Datuk, ada rendang ayam dan daging, Cuma elakkan diri kamu berdua dari makan di sebarang tempat, kuih-kuih kering juga ada aku bekalkan.”
“Oh, begitu,” kata saya.
“Jangan makan merata-rata Tamar,” nenek mengingatkan saya untuk kedua kalinya. Saya segera anggukkan kepala.
“Saya kira, apa yang nenek turutkan itu sampai juga ke telinga Datuk. Tetapi, dia buat tak kisah saja dan berdiri tenang di ambang tangga. Kemudian Datuk merenung wajah nenek, penuh sayu, penuh penghargaan.
“Kami pergi, doakan kesejahteraan untuk kami,” kata Datuk. Dengan lembut nenek anggukkan kepala sambil sepasang anak matanya menyorot langkah Datuk memijak tangga menuju ke halaman rumah. Dan langkah kami untuk merantau pun bermula.
BERDIRI
Sebaik saja dekat pohon rambutan, saya menoleh ke arah rumah untuk melihat nenek. Apakah dia masih berdiri di pintu atau sudah beredar di situ.
“Kalau sudah melangkah, pantang menoleh ke rumah,” Datuk segera menegur perbuatan saya.
“Maafkan saya tuk.”
“Lain kali ingat, kalau sudah bulat tekad untuk berjalan, jangan niat apa-apa, jangan toleh kiri kanan, jangan renung depan belakang. Tumpukan hati pada perjalanan. Biar selamat, terhindar dari malapetaka dan perbuatan jahat dari makhluk lain.”
“Begitu ke tuk?”
“Iyalah, sekarang kamu dah faham, apa sebabnya aku larang kamu menoleh ke rumah tu.”
“Iya, saya faham tuk.”
“Bagus, lekatkan di hati dan di kepala pesanan aku ini.”
“Iya tuk.”
“Bagus.”
Terlalu cepat Datuk melangkah melanggar rerumput dan pepohon renek hingga hujung seluarnya jadi lembap dan basah diresapi air embun. Agar tidak ketinggalan jauh oleh Datuk, saya terpaksa berlari dalam dingin pagi yang menyengat itu.
Datuk tidak peduli, sama ada saya tersepak tunggul atau terjerlus dalam lubang. Dia terus melangkah tanpa mahu mengambil tahu apa yang berlaku sekitarnya.
Pada hemat saya, dalam perjalanan kali ini Datuk memperlihatkan tanda-tanda ganjil dan luar biasa. Sebelumnya, Datuk tidak pernah bersikap demikian. Ciri-ciri yang diperlihatkan oleh Datuk secara tidak langsung menimbulkan tanda-tanya dalam diri saya.
Kicau burung mula kedengaran di reranting pohon. Cukup rancak dan bersahut- sahutan. Sesekali terdengar kokok ayam jantan yang terlewat berkokok. Kabus nipis mula bangun di celah-celah pepohon kecil. Beruk dan monyet mula bergerak di dahan pokok dengan rasa malas untuk mencari rezeki.
Dan sepanjang perjalanan itu, saya dan Datuk tidak berkata apa-apa pun. Mungkin kerana mahu sampai ke Teluk Senangin, Datuk terpaksa menggunakan jalan pintas membelah paya kecil yang penuh dengan pokok-pokok rumbia dan bemban. Betapa seksanya terpaksa meranduk air paya yang dalamnya separas buku lali. Serangan nyamuk dan pacat bagaikan tidak mahu bertimbang rasa.
Waktu matahari mula memancarkan senyumannya di bibir langit, saya dan Datuk sudah pun ada di gigi pantai Teluk Senangin. Alun ombak yang lembut nampak sekata memburu pantai, pancaran matahari yang mula mengembang terus menampar ke permukaan ombak lalu memancarkan cahaya yang sungguh cantik dan indah, sementara warna langit di hujung nampak merah keemasan. Saya jadi terpesona dengan keindahan itu.
“Mana dia orang yang tuk katakan tu, tak nampak pun dia datang. Hari dah beransur cerah,” itu pertanyaan pembuka mulut dari saya untuk Datuk. Saya lihat Datuk menarik nafas dalam-dalam sambil menggigit bibir. Matanya tajam merenung ke arah laut lepas.
“Mana dia tuk?”
“Kita tunggu dia.”
“Sampai dia datang tuk. ”
“Iyalah,” suara Datuk meninggi. Saya tersentak dan tidak jadi untuk mengemukakan pertanyaan selanjutnya.
Datuk menguis-nguis pasir pantai dengan hujung capalnya. Dan saya terus memeluk tubuh sambil menghadapkan wajah ke tengah laut. Kerana tidak sanggup menahan rasa dingin akibat hembusan angin laut, saya segera bergerak ke arah selatan dan berhenti dekat selonggok kulit nipah yang sudah kering.
Tidak jauh dari longgokan sabut nipah itu terdampar batang buruk yang dihantar oleh ombak ke pantai.
Bahagian pangkal dan hujung batang buruk sudah reput tetapi, bahagian tengahnya masih utuh. Di bahagian yang masih utuh itulah menjadi sasaran meletakkan punggung.
Bagi menghilangkan rasa lenguh di sendi, sepasang kaki saya luruskan sambil mata merenung ke beberapa ekor burung yang sedang berada di dahan yang menjulur ke arah saya. Beburung itu terus berkicau.
NIKMAT
Sedang saya asyik menikmati kicau burung serta bunyi deru ombak. Tiba-tiba saya terasa ada benda lembut jatuh betul-betul di bahagian ubun-ubun kepala.
Benda lembut itu menggelongsor perlahan-lahan ke bahagian bahu. Buat beberapa saat tidak ada pergerakan dari benda lembut tersebut, bila saya memusingkan leher ke kanan dan ke kiri, benda lembut tersebut turut bergerak keras lalu membelit batang leher saya.
Apakah benda yang membelit leher saya ini. Barangkali ular sawa? Mana mungkin ada ular sawa waktu pagi begini, timbul pertanyaan dalam hati saya. Puas saya menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak ada sesuatu yang saya nampak di bahu atau di badan saya. Anehnya! Leher saya tetap dirasakan ada sesuatu yang menjerut.
Saya semakin terasa sukar bernafas. Manakala kulit pipi saya terasa seperti dijilat dengan lidah yang bercabang. Kulit pipi yang dijilat itu terasa amat gatal dan pedih. Saya juga tercium bau hanyir.
Paling mencemaskan, bila benda lembut dan lembik itu terus membelit seluruh badan.
Seludup Senjata Untuk Pejuang
Sebaik saja mendengar kata-kata Datuk itu, terpamer senyum di wajah anak muda. Dengan ramah dia menepuk bahu Datuk dan saya berkali-kali. Kepuasan dan ketenangan dapat saya rasa dari gerak-gerinya.
“Kenapa kamu tak ikut jalan darat? Kenapa kamu pilih jalan laut? ” Datuk mengulangi pertanyaan yang tidak berjawab.
“Nanti saya ceritakan, beri saya masa untuk menghisap rokok,” anak muda itu memberi jawapan. Datuk angguk kepala, lalu memenuhi permintaannya.
Dengan tergesa-gesa anak muda mengeluarkan sekotak rokok dari saku seluar. Dicabutnya sebatang, setelah diapit ke bibir dan dipasang api dia menyedutnya dalam-dalam. Asap rokok di hembusnya perlahan-lahan.
“Maafkan saya, biar saya habiskan sebatang rokok ni dulu,” katanya lalu duduk di bahagian pangkal akar pokok besar yang condong ke laut. Bau asap rokok keretek yang kurang menyenangkan itu terus menyumbat lubang hidung. Akhirnya, anak muda menghabiskan sebatang rokok.
“Panjang ceritanya kenapa saya ikut laut,” anak muda itu memulakan cerita, pada masa itu kaki langit kian cerah, matahari sudah pun mengembangkan sayapnya, kabus nipis sudah berkurangan.
“Lain yang dirancang, lain pula jadi. Mula-mula disuruh ikut jalan darat, bila semua persiapan dibuat, disuruh ikut jalan laut, akibatnya saya lambat jumpa tuan,”lanjut anak muda itu dengan wajah yang serius.
“Tak mengapa, mungkin ada sebab tertentu yang bapa saudara kamu suruh buat macam tu, soalnya sekarang, kamu sudah pun menjalankan tugasnya.”
“Saya faham tuan”
“Usah bertuan dengan aku, umur kamu dengan cucu aku, bezanya tidak jauh. Kamu muda antara lapan hingga sepuluh tahun saja,” Datuk memberi saranan kepadanya, Anak muda itu anggukkan kepala setuju dengan saranan itu.
“Sudah bercakap begini lama, kamu tak perkenalkan diri kamu pada aku?” Dalam senyum Datuk bersuara.
“Oh ya, nama saya Nyak Abdul Jabar, orang panggil Nyakbar saja.”
“Kalau begitu aku panggil kamu Nyakbar juga, apa macam kamu setuju?”
“Tentulah setuju,” anak muda anggukkan kepala, “ kata bapa saudara saya, pak cik bukan sebarang orang,” sambungnya.
“Ah, kamu jangan dengar sangat cakap bapa saudara kamu tu,” tingkah Datuk. Mereka terus ketawa dan saya tumpang tersenyum.
Abdul Jabar dan Datuk merenung ke arah laut, sinar matahari mula meninggi, kicau burung agak berkurangan. Saya kira dalam tempoh setengah jam lagi, seluruh alam akan terang-benderang.
“Mari kita pergi pak cik, dalam perahu nanti saya cerita kisah sebenar kenapa saya tak ikut jalan darat.”
“Silakan, pak cik hanya mengikut saja, pokoknya pak cik mesti berada di tempat yang dijanjikan sebelum pukul lapan pagi.”
“Saya faham, pak cik.”
Abdul Jabar memulakan langkah menuju ke perahu, lalu diikuti oleh Datuk dan saya. Kami bertiga menolak perahu kecil ke dalam air. Bila perahu sudah berada di air, saya disuruh naik dulu. Disuruh duduk diam-diam di situ sambil mengimbangi tubuh mengikut rentak gelombang air laut.
Beberapa minit kemudian, Datuk mula naik. Duduk di hujung perahu. Abdul Jabar menolak perahu supaya lajak agak jauh di tengah, masa perahu itu bergerak dia melompat ke dalam perahu. Dia duduk di pangkal perahu dengan dayung di tangan. Saya tidak sedar, bila masa dia mengenakan terendak kepalanya.
BELAKANG
Perahu yang didayung terus melawan ombak, terumbang ambing. Tubuh saya juga turut bergerak, tersengguk ke depan, tersengguk ke belakang.
“Kalau dengan perahu ini kita ke Sumatera, alamat kita mati kering, Entah-entah kita bertiga masuk perut ikan Yu,” saya luah rasa bimbang kepada Datuk. Datuk Cuma tersenyum tetapi, Abdul jabar ketawa besar.
“Kita tak akan mati, ada orang bergayut pada papan sekeping di laut boleh hidup,” Abdul Jabar memberi komen. Saya terus gigit bibir.
Abdul Jabar terus mendayung perahu. Pancaran matahari kian terasa, beberapa bahagian tubuh saya mula diruapi peluh halus. Ombak terus mengalun menatang buih menuju pantai. Perut mula terasa perit dan saya terus sendawa beberapa kali. Kepala terasa berat dan rasa mahu muntah tidak dapat ditahan-tahan lagi.
Melihat wajah saya pucat dan tidak bermaya, Datuk segera meletakkan tangannya ke batang leher saya., Jari-jemarinya segera bergerak mencari urat lalu memicitnya. Lebih kurang lima minit Datuk memicit batang leher saya, jari-jemarinya terus beralih ke tapak kaki saya. Di situ juga Datuk mencari urat dan memicitnya.
Rasa pedih perut, mahu muntah dan sakit kepala segera hilang. Dua tiga kali kentut. Abdul Jabar terus ketawakan saya. Muka dan badan saya berpeluh dengan banyaknya, saya kembali bertenaga. Pada saat itu juga saya menyedari yang Abdul Jabar tidak mendayung ke arah tengah laut tetapi menyusur pantai arah ke selatan.
“Kalau nak naik tongkang kena dayung ke tengah laut Nyakbar, kenapa kamu dayung menyusur pantai, agaknya kamu tersilap atau terlupa,” belum pun sempat saya berkata apa-apa, Datuk sudah pun meluahkan teguran untuk Abdul Jabar.
“Saya tak lupa pak cik, saya tak silap. Sengaja saya buat macam ni.”
“Sengaja kamu buat?” Datuk jegilkan biji mata.
“Iya,” sahut Abdul Jabar penuh yakin.
Saya lihat Datuk melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dia termenung panjang macam memikirkan sesuatu. Mungkin dia merasakan dirinya sudah dipermainkan atau ditipu oleh nakhoda tongkang dari Aceh.
“Inilah rahsianya saya mahu bagi tahu pak cik,” kata anak muda itu sambil memegang pendayung dengan kemas.
“Rahsia apa Nyakbar.”
“Rahsia janji yang tak sama pak cik.”
“Aku tak faham dengan cakap kamu Nyakbar.”
“Mudah aje pak cik, bapa saudara saya janji dengan pak cik naik tongkang, nampaknya janji tu dah bertukar.”
“Kenapa jadi begitu Nyakbar?” Tanya Datuk agak gugup. Matanya tetap terpaku ke wajah Abdul Jabar yang menggunakan sepenuh tenaga untuk mendayung perahu.
“Tongkang bapa saudara tak jadi pergi ke Belawan, dia suruh saya bawa pak cik ke satu tempat…..”
“Ke mana?” Datuk segera memotong cakap Abdul Jabar.
Saya dipesan olek bapa saudara saya supaya jangan memberitahu nama tempat tersebut, kecuali bila sudah sampai.”
“Agaknya nak dihantar ke tempat lanun,” tingkah saya.
“Boleh jadi tempat lanun, boleh juga jadi tempat orang penyeludup barang,” sahut Abdul Jabar.
“Kalau aku dan cucu aku selamat, aku tak kisah, kalau dalam bahaya kamu teruk aku kerjakan Nyakbar,” suara Datuk keras, wajahnya nampak garang sekali.
“Rasanya, tidak sampai ke situ pak cik,” dengan tenang Abdul Jabar bersuara. Seluruh badannya basah dengan peluh.
“Aku juga fikir begitu,” Datuk anggukkan kepala.
Perahu terus meredah ombak, sinar matahari makin garang. Kulit muka saya mula terasa pedih tetapi tubuh terasa segar disentuh bayu laut. Dari jauh kelihatan berbalam sebuah tanjung, juga kelihatan kepulan asap.
“Itulah tempat yang kita nak tuju, pak cik”
“Hum, kalau tak silap aku, itu Tanjung Keluang, tak jauh dengan Kuala Panchor,” kata Datuk sambil mengedutkan dahi, matanya kelihatan mengecil merenung tajam ke arah tanah yang terjulur ke permukaan laut.
TANJUNG
Akhirnya, kami sampai ke pengkalan kecil Tanjung Keluang, terdapat beberapa buah perahu nelayan. Kerana Datuk pernah datang ke situ dia dapat menceritakan kepada Abdul Jabar serba sedikit tentang tempat tersebut, menurut Datuk kira sepuluh keluarga tinggal di situ, kebanyakannya berasal dari seberang (Sumatera). Mereka datang ke Tanjung Keluang sebelum perang dunia kedua.
Di situ terdapat sebuah surau dan sebuah balai raya. Pada masa itu tidak ada kemudahan asas di tempat tersebut. Bagi mendapatkan air mereka menggali perigi.
Waktu malam mereka menggunakan lampu minyak tanah. Anak-anak mereka bersekolah di Kampung Panchor. Apa yang menariknya setiap rumah mempunyai radio yang menggunakan bateri kering.
Mata pencarian mereka ialah ke laut atau menjadi buruh kepada beberapa buah syarikat nelayan di Bagan Panchor. Ada juga yang menjadi peniaga di Pantai Remis, Sungai Batu dan Tuntung.
“Kalau begitu nampaknya, pak cik banyak tahu tempat ini,” dari nada suara Abdul Jabar terus mengikat perahu di pengkalan.
“Serba sedikit pak cik tahu, bukan semua,” Datuk tatap wajah Abdul Jabar, mereka berbalas senyum.
“Di zaman Belanda jadi raja di Sumatera, tempat ini jadi tempat perlindungan orang dari Aceh, Jambi, Palembang, Deli dan Serdang, mereka ke mari melarikan diri dari ditangkap askar Belanda,” Datuk lanjutkan cerita.
Saya dan Datuk mengikut langkah Abdul jabar menuju ke arah sebuah bot usang yang letaknya agak terpencil dengan bot-bot lain, sambil berjalan saya terus mengawasi keadaan sekeliling.
“Pak cik,” Abdul Jabar berhenti melangkah, “ orang itu yang akan menguruskan pelayaran pak cik,” sambung Abdul Jabar sambil telunjuknya menuding ke arah seorang lelaki yang memakai baju dan seluar ala tentera, orang itu menyandarkan tubuh ke batang kelapa sambil menghisap rokok dengan tenang.
Melihat kedatangan kami, lelaki itu bergegas menuju ke arah pelantar kecil yang dibuat dari pelepah kelapa. Tetapi, empat tiang nya dari batang jambu batu. Tingginya kira-kira dua kaki dari permukaan bumi.
Lelaki itu duduk di pelantar dan cuba melindungi mukanya dari dilihat oleh Datuk dengan merenung ke arah rimbunan pepokok renek di sebelah kiri pelantar, asap rokok yang di luah berkepul di udara.
“Assalamualaikum…” Datuk memberi salam mendahului Abdul Jabar.
“Mualaik….,” lelaki berpaling ke arah Datuk. Dengan serta merta dia bangun.
Matanya tidak berkelip merenung Datuk dengan wajah yang serius. Lagaknya seperti berhadapan dengan musuh. Saya jadi cemas lalu memandang ke arah Abdul Jabar, saya lihat Abdul Jabar juga resah seperti saya. Keselamatan Datuk dan saya dalam bahaya.
“Hai kawan, kita berjumpa juga,” lelaki itu menjerit dengan lantang. Dia menerkam dan memeluk Datuk, sudah tentunya perbuatannya itu amat mengejutkan diri saya. Datuk saya lihat terpampan.
“Ingat saya?”
Dia mengajak Datuk duduk di pelantar.
“Ingat tak saya?” Ulang lelaki yang berkulit hitam, bentuk muka nya bujur sirih. Datuk segera kerutkan dahi dan kening untuk mengingati sesuatu. Perasaan saya terus berdebar, macam mana dia boleh kenal dengan Datuk? Agaknya dia salah orang.
Dengan ekor mata saya jeling lelaki itu, ternyata dia resah selagi Datuk tidak memberi jawapan. Dia luruskan kaki kanan dan menyeluk saku seluar mengeluarkan pistol jenis browning lalu diletakkan atas lantai pelantar. Datuk masih lagi kerutkan dahi dan kening. Sepasang kaki saya terasa lenguh, saya segera duduk di batang kelapa. Abdul Jabar juga turut duduk sama.
HITAM
Lelaki berkulit hitam manis dalam usia 45-50 itu terus mencapai pistol. Muncung pistol dihalakan ke arah kepala Datuk, sementara jari telunjuknya ke arah kepala Datuk, sementara jari telunjuknya terus bergerak di sekitar picu pistol. Darah saya berderau, nyawa Datuk dalam bahaya. Andainya jari telunjuk itu tertarik picu, pasti muncung pistol meluahkan peluru segar ke arah kepala Datuk. Darah bersemburan dan Datuk jatuh tergolek atas pelantar menjadi mayat.
Anehnya, Datuk tetap tenang menghadapi suasana yang begitu mendebarkan hati saya, mungkin juga hati Abdul Jabar.
“Awak tak ingat saya?” ulang lelaki itu lagi.
Muncung pistolnya tidak juga berubah dari sasarannya. Abdul jabar tunduk merenung pasir. Barangkali dia mengawal perasaan cemas yang berkocak di dadanya.
“Iya, saya ingat sekarang,” suara Datuk bergetar.
“Apa yang awak ingat tentang saya.?”
“Saudaralah yang menerima wang derma yang saya kumpulkan untuk membantu orang-orang di Tanah Acheh melawan Belanda,” tambah Datuk. Ada senyum terpamer di wajah lelaki berkulit hitam, hanya untuk seketika.
“Betul, saudara masih ingatkan saya,” kata lelaki dalam nada suara yang lemah. Keriangan di wajahnya segera bertukar menjadi muram, “ tetapi awak tidak mahu membantu saya , bila saya menjadi pengikut Wood Barueh menentang Sukarno,” sambungnya dengan rasa hampa yang amat sangat.
Perlahan-lahan dia menghalakan muncung pistolnya ke arah tandan buah kelapa gading. Dia menarik picu pistol dan bunyi tembakan bergema, serentak dengan itu juga dua biji kelapa muda jatuh ke bumi.
“Kamu menyimpan dendam kerana aku tidak menolong kamu?”
“Dendam-mendendam bukan amalan hidup saya. Sama ada awak mahu menolong atau tidak, itu hak awak.” Jawab lelaki itu lalu memasukkan pistol ke saku seluar kuningnya.
Saya dan Abdul Jabar segera mendekati Datuk dan lelaki berwajah bujur sirih.
“Nama kamu Nyak Sulaiman?” Tanya Datuk. Lelaki itu anggukan kepala.
“Sudah kenal, tak perlulah saya perkenalkan,” celah Abdul Jabar bersama senyum riang.
“Iya Jabar, ayah saudara kamu menyuruh kamu membawa lelaki ke sini,” Nyak Sulaiman menatap wajah Abdul Jabar.
“Iya,” angguk Abdul jabar.
“Kamu tahu yang bapa saudara kamu menyuruh aku membawa orang ini ke Sumatera?”
“Itu saya tak tahu.”
“Sekarang kamu sudah tahu, kalau begitu eloklah kamu tinggalkan kami di sini,” tutur Nyak Sulaiman kepada Abdul Jabar.
Tanpa mahu membuang masa, Abdul Jabar hulurkan tangan pada Nyak Sulaiman. Kemudian bersalam dengan saya dan Datuk. Dengan senyum Abdul Jabar atur langkah menuju ke perahunya.
“Dia tu ada pertalian keluarga dengan saya, begitu juga saya dengan Nakhoda Tongkang, kami berasal dari satu moyang,” terang Nyak Sulaiman, dia juga memberitahu Datuk bahawa nama sebenar Nakhoda Tongkang ialah Amirul, di zaman menuntut kemerdekaan dia mengetuai pasukan gerila yang bergerak dari Acheh Timur hingga ke kawasan Acheh Utara.
Bila Indonesia mencapai kemerdekaan dia terus terjun ke dalam dunia dagang. Hasil bekerja keras dalam dunia dagang dia berjaya membeli dua buah kapal untuk membawa barang dari Singapura ke Tanjung Pinang, Lhok Seumawe dan ke Sigli di Acheh. Dari situ balik semula ke Pulau Pinang, kerana perniagaan awalnya menggunakan tongkang, dia terus dipanggil Nakhoda Tongkang hingga ke hari ini.
Nyak Sulaiman mengajak saya dan Datuk menjenguk bahagian dalam bot. saya tersentak dengan apa yang wujud di depan mata saya. Sesungguhnya bot yang kelihatan usang dan tidak menarik di luar, ternyata berbeza bila berada di dalamnya, bagaikan bot kepunyaan jutawan. Semuanya nampak lengkap. Ada bilik tidur, bilik istirahat dan mesyuarat. Keadaan di dalamnya sungguh lapang sekali.
“ Ini bukan bot nelayan nak menangkap ikan,” komen Datuk setelah duduk di bangku ruang tamu. Nyak Sulaiman anggukkan kepala, setuju dengan pendapat Datuk itu.
“Aku rasa, dulu kau bawa bot lain,” tutur Datuk lagi sambil melihat setiap sudut.
“Iya, masa itu botnya kecil. Bot yang awak naik ini, bot orang Belanda, kami curi masa revolusi di Tanjung Periuk, kami ubah suai ikut selera kami, catnya kami tukar, bila revolusi sudah selesai, bot ini diserahkan kepada saya,” Nyak Sulaiman berhenti bercakap. Dia tinggalkan saya dan Datuk di bilik tamu. Nyak Sulaiman masuk ke bilik sebelah, entah apa yang dibuatnya di situ, saya tidak tahu.
TALAM
Nyak Sulaiman keluar dari bilik sebelah dengan menatang talam bersama dua cawan kopi.
“Minum,” dia meletakkan talam atas meja, kemudian dengan tenang dua cawan kopi di depan saya dan Datuk. Asap nipis berkepul di permukaan cawan
“Minum, kopi asli Acheh, bijinya saya kisar sendiri. Biji-biji kopi ni saya jual sepikul sepuluh ringgit, kepada pengilang di Sungai Batu, pengilang kopi kisar pakai mesin kemudian di jual kepada kedai runcit dan kedai kopi dengan harga sekati tujuh ringgit,” sambung Nyak Sulaiman.
“Baunya sudah membuka selera,” kata Datuk.
“Maklumlah barang tulen tentulah baik,”
“Lagi apa kau bawa dari Sumatera untuk kau jual di sini?” Risik Datuk lagi.
“Macam-macam, kalau awak nak orang pun saya boleh carikan,” Nyak Sulaiman bergurau. Datuk ketawa begitu juga dengan Nyak Sulaiman, saya hanya tersenyum saja.
Setelah minum kopi panas, badan rasa segar dan berpeluh. Hembusan bayu dari Selat Melaka yang masuk ke ruang tamu bot membuat saya terasa mengantuk dan menguap panjang.
“Mari saya tunjukkan tempat rahsia di bot ni.”
“Tempat rahsia?” Datuk jegilkan biji mata.
“Iya, mari ikut saya.”
Nyak Sulaiman segera menarik tangan Datuk menuju ke tempat rahsia. Saya hanya mengekori dari belakang. Nyak Sulaiman menunjukkan tempat menyimpan senjata api, tempat menyimpan barang-barang keperluan seharian untuk diseludupkan ke Sumatera semasa merebut kemerdekaan dari Belanda.
Tempat rahsia ini dibuat di bahagian lantai, dindingnya dilapisi dengan zink dan penutupnya dari papan yang menyerupai lantai, sukar membezakan antara penutup tempat rahsia dengan lantai bot.
Sekali pandang kelihatan sama, tidak ada siapa yang dapat menduga bahawa di bawah lantai yang dipijak itu tersembunyi khazanah yang berharga yang sukar dapat dikesan oleh Tentera Laut Belanda. Saya tetap memuji, mengagumi orang yang mereka cipta tempat khas itu.
“Sekarang ini, tempat ini tak digunakan lagi?” Soal Datuk.
“Kamu masih membantu orang-orang Daud Berawih yang mahu mendirikan Republik Islam Acheh atau ringkasnya RIA.”
Nyak Sulaiman tidak menjawab pertanyaan yang Datuk ajukan kepadanya. Sebaliknya dia menarik tangan kanan Datuk menuju ke bucu bot. Dengan menggunakan besi bulat sebesar ibu jari yang bahagian hujungnya bengkok dan tajam, dengan senyum dia memanfaatkan besi itu untuk mencungkil sekeping papan berlidah.
Setelah papan sekeping itu dicabut dari tempatnya, apa saya lihat tersusun sepuluh pucuk rifle panjang, sekarang rifle itu tidak digunakan lagi. Rifle jenis ini amat popular semasa perang dunia kedua dan di zaman darurat. Di samping itu terdapat lima pucuk senapang kampung laras satu. Lima dari sepuluh bom tangan dan peluru ditempatkan di situ. Saya lihat Datuk menarik nafas panjang, entah apa yang Datuk fikirkan, saya sendiri pun tidak tahu.
“Sekarang awak dah tahu apa yang saya buat,” kata Nyak Sulaiman sambil mengenakan papan sekeping di tempat asalnya. Dengan menggunakan besi bengkok, dia mencantumkan lidah papan hingga rapat dan kejap. Dengan kata-kata yang diucapkan oleh Nyak Sulaiman itu fahamlah Datuk bahawa Nyak Sulaiman masih menyokong perjuangan untuk menegakkan RIA (sekitar awal enam puluhan)
Saya lihat Datuk berada dalam keadaan yang serba salah. Datuk sebenarnya tidak mahu terjebak dalam situasi yang tidak menyenangkan ini.
“Dari mana kau dapat semua senjata ini?”
“Dari Thailand, Burma, India semuanya dibekalkan orang anggota RIA, saya hanya menyeludupkan sahaja.”
“Aku masuk perangkap,” Datuk mengeluh.
“Maksud awak?”
“Aku tak mahu terlibat dalam hal yang merugikan ini. Aku sudah melihat saudara-saudaraku melawan Belanda, kemudian saudara-saudara itu berperang sesama sendiri. Kenapa tak bersatu di bawah pimpinan Sukarno,” Datuk gelengkan kepala.
Nyak Sulaiman menggigit bibir, kemudian menelan air liur. Wajah Datuk ditatapnya penuh simpati.
“Usah bimbang, awak tak akan menghadapi apa-apa masalah. Awak selamat,” Nyak Sulaiman meluahkan janji kepada Datuk. Dia bergegas menuju ke bahagian enjin. Beberapa saat kemudian bot mula meraung.
BERGERAK
Di saat bot mula bergerak, lima orang lelaki melompat ke atas bot. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu muncul. Bagi mengetahui keadaan sebenar , saya terus menuju ke tempat enjin. Di situ kelima-lima lelaki itu mengelilingi Nyak Sulaiman. Mereka mendengar arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Nyak Sulaiman dengan tenang. Menyedari kedatangan saya dan Datuk, Nyak Sulaiman terus bersuara:
“Usah bimbang mereka semua adalah anak buah saya.”
“Begitu,” kata Datuk dengan senyum.
“Kamu uruskan perjalanan ini,” tutur Nyak Sulaiman kepada salah seorang anak buahnya.
Tanpa banyak cakap, anak buah yang telah diberikan tugas terus mengendalikan perjalanan yang sudah ditetapkan haluan dan arahnya. Bot terus membelah ombak. Saya dan Datuk dibawa oleh Nyak Sulaiman ke ruang tamu kembali. Kami di layan dengan baik.
Kira-kira satu setengah jam perjalanan di laut yang tidak kelihatan tanah tepi, saya terasa mual, isi perut terasa mahu keluar. Mungkin semuanya ini berpunca dari bot yang terlalu kuat dilambung ombak. Bagi mengatasi masalah itu, saya rebahkan diri di bangku tanpa mempedulikan Datuk dan Nyak Sulaiman yang rancak berborak.
Mungkin menyedari keadaan saya tidak begitu baik, Datuk segera mengurut tiap sendi saya. Akhirnya dia mengurut bahagian perut hingga badan saya berpeluh. Kemudian Datuk suruh saya minum segelas air setengah masak. Rasa muak segera hilang, saya kembali bertenaga, dapat melihat ombak laut yang beralun dalam sinaran matahari yang kian meninggi. Sayup-sayup saya melihat kapal dagang yang besar bergerak di permukaan laut.
“Bersedia,” jerit Nyak Sulaiman sekuat hati, bila melihat bot laju menghampiri bot yang kami naiki.
“Awak berdua tenang saja,” sambungnya lagi lalu keluar ke bahagian atas bot. Empat orang anak buahnya segera mengikuti Nyak Sulaiman.
“Perlahankan, “ jerit nyak Sulaiman lagi. Bot yang kami naiki mula memperlahankan lajunya. Dan bot yang mendatang segera mendekati bot kami.
“Matikan enjin dan campakkan sauh,” dengan mudah arahan yang dikeluarkan oleh Nyak Sulaiman dipatuhi oleh anak buahnya. Bahagian tepi bot kami bertemu dengan bahagian tepi bot pendatang.
Bentuk bot yang mendatang itu agak kecil dari bot milik Nyak Sulaiman. Dua orang lelaki berpakaian seperti nelayan melompat ke atas bot Nyak Sulaiman. Bercakap dengan Nyak Sulaiman. Saya dan Datuk berpandangan, rasa cemas dan takut tetap bersarang dalam dada saya. Mana tahu, kalau Nyak Sulaiman menyerahkan saya dengan Datuk kepada nelayan tersebut.
Setelah berbincang agak lama. Nyak Sulaiman membawa kedua orang nelayan ke tempat rifle, Dia serahkan rifle, senapang kampung dan bom tangan kepada dua orang lelaki itu.
Dengan pantas dua lelaki itu membawa senjata api ke dalam botnya lalu diletakkan di tempat khas di bahagian perut bot yang kemudian ditutup dengan papan lapis. Di atas papan lapis diletakkan hasil ikan dan alat-alat kelengkapan menangkap ikan.
Lawi Ayam Pembelah Perut
Nyak Sulaiman bercakap dengan salah seorang daripada nelayan tersebut. Selesai bercakap, nelayan itu menghulur sampul surat berwarna kuning kepada Nyak Sulaiman. Mereka berdakapan dan bersalaman.
Enjin bot nelayan bergerak-gerak. Sinar matahari yang terik membuat kulitnya menjadi merah.
Pada hemat saya, waktu itu lebih kurang dua petang. Datuk terus menuju ke bilik air mengambil wuduk dan melakukan solat zuhur. Selesai menjalankan perintah Datuk kembali duduk di ruang tamu. Nyak Sulaiman mendekatinya.
“Siapa orang tadi?” Tanya Datuk.
“Saya tak tahu, tapi soal senjata api saya berurus dengan mereka. Mereka memberi upah kepada saya,” jawab Nyak Sulaiman sambil melangkah menuju ke arah anak buah. Saya terdengar suara Nyak Sulaiman menyuruh anak buahnya menyiapkan makan tengah hari. Nyak Sulaiman kembali menemui saya dan Datuk.
“Apa yang awak tengok tadi, itulah kerja terakhir saya dengan RIA,” Nyak Sulaiman menyambung kembali cerita yang terputus.
“Maksud kamu?” Soal Datuk.
“Esok dan sampai bila-bila saya tak akan libatkan diri dengan perjuangan RIA, bot ini nak saya gunakan bawa penumpang berulang alik dari Belawan ke Pulau Pinang, Dumai ke Melaka, dari Lhok Senawi ke Lumut atau Bagan Datoh. Ramai orang Deli, Acheh, Riau berniaga dan berkampung laman di Semenanjung. Saya nak jadi saudagar, saya dah jemu berjuang,” Nyak Sulaiman meluahkan apa yang tersirat dalam dadanya.
Datuk tersenyum. Dua tiga kali bahu Nyak Sulaiman ditepuknya.
“Bagus, otak pedagang memang memikirkan untung walaupun terpaksa jadi tukang seludup senjata untuk membunuh orang,” ungkap Datuk dengan diakhiri ketawa kecil. Nyak Sulaiman mengaru-garu pangkal dagunya beberapa kali.
“Apa yang awak katakan itu memang benar. Ini kenyataan, saya tak nafikan,” pengakuan jujur dari Nyak Sulaiman.
“Bagus, sekarang bukan masanya bergaduh sama sendiri, kamu mesti ikut Nakhoda Tongkang,” Datuk memberi semangat kepada Nyak Sulaiman.
“Iya, sudah tentu,” sahutnya dengan sinar mata yang bercahaya.
“Sudah siap,” anak buah Nyak Sulaiman yang diarahkan menyediakan makan tengah hari muncul tiba-tiba di depan kami. Dengan serta merta Nyak Sulaiman bangun.
“Mahu dibawa ke sini atau makan di bahagian dapur,” sambung anak buah Nyak Sulaiman dengan senyum.
“Di dapur saja.” Secara mendadak bersuara.
“Saya setuju dengan cadangan itu,” sahut Nyak Sulaiman. Saya dan Datuk segera bangun.
Kami melangkah ke bilik dapur. Di situ adalah bangku yang dibuat dari peti susu. Ada meja kecil untuk hidangan. Keadaan biliknya cukup sempit. Bagi mengatasi gangguan waktu makan, periuk nasi, gulai, ikan bakar, ulam malah lesung batu penumbuk sambal diletakkan atas meja.
“Ikan bakar ni, ikan yang baru dipancing dari laut,” tutur Nyak Sulaiman, “ikan ari laut ni terasa manisnya,” tambah Nyak Sulaiman lagi. Saya dan Datuk angguk-angguk kepala.
“Orang kamu makan di mana?” Tanya Datuk.
“Usah fikirkan mereka, bila lapar tahulah dia masak makan untuk perut mereka,” jawab Nyak Sulaiman selamba.
Memang tidak dapat saya nafikan makan di tengah laut amat menyelerakan. Dua tiga kali saya tambah nasi. Dua ekor ikan bakar saya lanyak dengan sepuas-puasnya. Walaupun begitu selera sekali saya makan tetapi, Datuk tetap makan seperti biasa. Tidak tambah nasi dan tidak tambah lauk. Kalau nasi di pinggan untuk enam suap, habis enam suap dia terus berhenti.
Lepas makan saya segera keluar bilik dapur terus menuju ke ruang tamu. Beberapa minit kemudian Nyak Sulaiman menyuruh anak buahnya angkat sauh.
BERGERAK
Bot kembali bergerak di perairan Selat Melaka. Beberapa jam berlayar, saya mendapat tahu bot yang saya naiki sudah masuk zon antarabangsa. Dalam tempoh sejam dua lagi, bot itu akan memasuki kawasan perairan Sumatera. Mungkin kerana terlalu kenyang saya terus terlelap.
Bila saya terjaga, Datuk sudah pun menunaikan sembahyang Asar. Bot juga sudah berhenti bergerak, saya segera menemui salah seorang anak buah Nyak Sulaiman yang sedang asyik memancing ikan di bahagian hujung bot.
“Kenapa labuhkan sauh.” Tanya saya.
“Itu perintah,” jawab anak buah Nyak Sulaiman yang bernama Agus. Batang pancingnya, seekor ikan merah terdampar atas bot. Begitu cepat Agus memisahkan mata pancing dari mulut ikan merah lalu ditaruh ke dalam raga khas.
“Untuk makan malam, kalau kita lambat rapat ke pantai, malam ini, kita tangkap ikan lagi,” dengan senyum Agus bersuara. Saya juihkan bibir ke depan , tidak berminat apa yang disebut oleh Agus.
Saya segera ke bahagian ruang tamu, saya lihat Datuk sedang bercakap-cakap dengan Nyak Sulaiman.
“Kita ni di mana?” saya terdengar Datuk mengajukan soalan kepada Nyak Sulaiman.
“Kita berada di kawasan Laut Sumatera.”
“Kenapa terapat terus ke tepi,” Datuk mendesak.
“Biar agak jauh malam kita rapat ke pantai,”
“Sebabnya?”
“Tak payahlah awak tahu sebabnya,” Nyak Sulaiman menepuk bahu Datuk. Dan Datuk tidak mengajukan sebarang pertanyaan. Malah, sabar menanti waktu yang akan dipilih oleh Nyak Sulaiman untuk rapat ke pantai Sumatera.
“Lebih kurang pukul sebelas malam, enjin bot pun dihidupkan. Sauh segera diangkat. Nyak Sulaiman segera memberi arahan kepada anak buah supaya memastikan laluan bot menuju ke pantai. Di samping itu, Nyak Sulaiman juga mengingatkan anak buahnya berusaha dengan sedaya upaya menjauhi sebarang bot. Anak buahnya akur dengan arahan.
Di saat bot kian mendekati pantai, tiba-tiba secara kilat muncul sebuah bot laju memintas perjalanan bot yang kami naiki. Belum pun sempat anak buah Nyak Sulaiman mengubah haluan bot, beberapa orang dari bot laju melompat ke atas bot milik Nyak Sulaiman.
“Kita dalam bahaya, jangan menyerah,” suara Nyak Sulaiman lantang. Bot laju itu seolah-olah memaksa bot yang kami naik menuju ke sebuah pulau di depan.
Walaupun demikian, pemandu bot Nyak Sulaiman tidak mudah ditundukkan. Dengan sedaya upaya dia melawan, saling tunda-menunda. Masing-masing tidak mahu mengalah.
Lagi sekali saya di amuk keresahan dan ketakutan. Andainya terjadi sesuatu yang buruk, sukar untuk saya dan Datuk menyelamatkan diri. Kami dikelilingi oleh Selat Melaka. Dalam keadaan yang tidak tenteram itu, Nyak Sulaiman mengajak saya dan datu keluar dari bilik tamu.
“Kalau kita berada di bahagian atas, senang kita bertindak,” mendengar cakap Nyak Sulaiman itu hati saya terus berdebar. Apakah dia menyuruh Datuk dan saya terjun ke laut dan kemudian berenang dalam gelap mencari pantai. Saya dongak ke langit, mata saya mencakup awan dan bintang yang bertaburan, saya renung ke bawah, hanya ombak laut alun beralun.
BERDIRI
Dua orang lelaki berdiri di depan kami, dari sinar lampu yang agak gelap, saya lihat kedua-dua lelaki itu berbadan tegap dan tinggi. Wajah dan kepala di sarung dengan kain hitam kecuali bahagian mata.
“Siapa mereka?” Tanya Datuk.
“Lanun pulau,” jawab Nyak Sulaiman.
“Kita dalam bahaya,” kata Datuk lagi.
“Iya, ita cuma ada pilihan sama ada melawan atau menyerah.”
“Selalu kamu menghadapi masalah macam ni?”
“Belum, biasanya kami dapat melarikan diri,” suara Nyak Sulaiman terketar-ketar. Datu menggigit bibir.
Dua lelaki yang memakai sarung kepala dekat kepada kami. Salah seorang menghalakan muncung pistol ke arah Nyak Sulaiman, manakala seorang lagi mengangkat parang panjang seperti mahu memancung kepala saya dan Datuk.
“Serahkan semua barang-barang yang ada dalam bot ini kepada kami, kalau menentang, kamu semua kami bunuh,” tutur salah seorang lelaki itu.
“Kami tak ada barang berharga,” jawab Nyak Sulaiman.
“Kalau begitu, serahkan jam tangan, cincin dan makanan yang ada dalam bot.” sambung lanun pulau.
Nyak Sulaiman pandang wajah Datuk. Bot yang tadi bergerak laju, saling himpit-menghimpit terus berhenti. Beberapa orang lanun yang berada di bot mereka terus melompat ke atas bot Nyak Sulaiman. Mereka mengelilingi kami.
“Kami nak rampas bot awak, sekarang awak semua mesti terjun ke laut, pandai-pandailah selamatkan diri sendiri,” tutur lelaki yang memakai sarung kepala warna hijau.
“Tak patutlah buat begitu kepada kami, kalau awak mahu rampas bot ni, hantarkan kami ke pantai Tanah Melayu atau Sumatera, setidak-tidaknya ke pulau,” Nyak Sulaiman merayu.
Lelaki itu tersenyum. Beberapa orang anak buah Nyak Sulaiman yang baru ditangkap, segera disatukan dengan kumpulan kami. Saya kira lelaki bersarung kepala hijau itu ialah ketua lanun, sebabnya saya berkata begitu kerana dialah orang yang paling akhir melompat ke atas bot Nyak Sulaiman. Cakap-cakapnya dipatuhi oleh orang-orangnya.
“Tadi janji nak rampas jam tangan, cincin dan makanan bukan nak rampas bot,” Datuk bersuara.
“Itu bukan cakap aku, Aku ketua, kamu mesti ikut cakap aku,” lelaki bersarung kepala hijau terus bersuara. Dia memerintah anak buahnya menyelongkar isi perut bot. Dengan mendadak ketua lanun itu menolak bahu kanan Datuk. Kerana Datuk tidak melawan dia terus merampas jam tangan Nyak Sulaiman. Dia datang kepada Datuk semula, badan Datuk dirabanya. Datuk sudah berusaha supaya dia tidak menyentuh tali pinggang. Dia bagaikan tahu yang Datuk tidak suka dia menyentuh tali pinggang tersebut.
“Saya mahu ini, katanya.
“Ini tali pinggang pusaka,” Datuk berdalih.
“Jadi awak tak mahu serahkan pada saya.”
“Bukan tak mahu serah, lain kali saya serahkan pada awak.”
“Kurang ajar ,” jerit ketua lanun lalu melepaskan penampar ke muka Datuk. Saya lihat datu tertiarap atas lantai bot. Bila ketua lanun itu mahu menendang Datuk, Nyak Sulaiman segera menghalang. Ketua lanun berpusing ke arah Nyak Sulaiman. Nyak Sulaiman terlentang atas lantai bot. Bibirnya pecah dan berdarah.
Dalam keadaan yang kelam kabut itu, saya segera mencari tempat persembunyian, tetapi usaha saya tidak berjaya. Ketua lanun menyambar tangan kanan saya lalu dikilaskan ke belakang. Saya terus menjerit kesakitan.
“Diam, kalau kamu menjerit aku campak kamu ke laut,” ketua lanun jegilkan mata ke arah saya. Rasa cemas mula menguasai hati, tetapi saya cuba dengan sedaya upaya bersikap tenang dengan mendiamkan diri. Semoga tindakan saya itu melembutkan hati ketua lanun, mudah-mudahan dia akan melepaskan tangan saya yang dipulasnya.
Harapan saya tidak menjadi kenyataan. Tangan saya terus dipulas. Sakitnya tidak dapat saya gambarkan. Saya mengerang kesakitan dan ketua lanun terus ketawa kecil.
Dengan keadaan serba tidak kena itu, saya terus berfikir dan merancang sesuatu untuk melepaskan tangan dari genggaman ketua lanun.
TEKAN
Tiba-tiba secara tidak disangka-sangka, ketua lanun menekan muka saya ke pangkal pahanya. Bau hapak dari seluarnya membuat saya terasa mahu muntah pada saat itu juga timbul dalam fikiran saya untuk melakukan sesuatu. Dengan serta merta saya bertindak, daging pahanya yang dibalut dengan seluar terus saya gigit dengan sekuat hati.
“Aduuuhhh!!!” Jerit ketua lanun.
Serentak dengan itu dia melepaskan penampar kencang ke muka, saya terus jatuh atas lantai bot. Kulit muka saya terasa pedih. Pandangan saya berpinar-pinar, bintang di langit kelihatan sekejap besar, sekejap kecil.
Malam yang sememangnya sudah gelap menjadi hitam pekat. Deru ombak sudah tidak begitu jelas kedengaran. Dalam beberapa saat, terasa tubuh menjadi kecil dan terumbang ambing di awang-awangan. Dan seterusnya saya tidak ingat apa yang terjadi.
Bila saya dapat menggerakkan tangan dan membuka mata, saya dapati diri saya berada di celah kangkang ketua lanun. Manakala Nyak Sulaiman sudah pun berdiri sambil mengesat darah di bibir. Datuk duduk mencangkung dengan sepasang mata merenung ke arah saya.
“Kau tak apa-apa Tamar?” Tanya Datuk.
“Eeerrr…,” saya tidak dapat meneruskan percakapan. Kedua belah rahang saya terasa sakit.
“Bertenang Tamar, masanya belum sampai.”
“Saya cuba tuk, tapi mulut saya sakit tuk,” saya terus mengadu dalam keadaan yang serba mencemaskan itu. Rasa sakit itu membuatkan air mata saya mengalir di pipi.
Melihat keadaan yang serba payah itu, timbul rasa belas di hati Datuk. Dia tidak rela melihat saya diseksa begitu. Dengan memberanikan diri Datuk terus berkata.
“Lepaskan cucu saya.”
“Lepaskan cucu awak? Iya, sekarang saya lepaskan. Ambillah dia di celah kangkang saya ni.”
Mendengar kata-kata ketua lanun itu, terbayang kegembiraan di wajah Datuk. Tanpa membuang masa, Datuk renung Nyak Sulaiman. Saya lihat Nyak Sulaiman kenyitkan mata seolah-olah menyuruh Datuk supaya mengikuti arahan ketua lanun.
“Lepaskan cucu saya,” rayu Datuk
“Ambillah, saya tak halang.”
Setelah meyakini yang ketua lanun itu tidak akan memperdayakan dirinya, Datuk pun menginsut perlahan-lahan sambil berusaha supaya salah satu anggota tubuhnya masuk ke dalam kangkang ketua lanun itu. Kerana menyedari apa yang Datuk inginkan, saya pun hulurkan tangan kepadanya.
Di saat telapak tangan saya hampir bertemu dengan telapak tangan Datuk, ketua lanun angkat kaki kiri lalu melepaskan tendangan ke arah Datuk. Dengan cepat Datuk mengelak dan tendangan itu hinggap ke peti kosong di kanan Datuk.
Ketua lanun naik darah dia segera mencapai sebatang kayu bulat panjang. Dengan sepenuh tenaga dia menghayun kayu itu ke arah Datuk. Macam tadi juga, Datuk dapat mengelak dan saya pula berjaya keluar dari bawah kangkang ketua lanun dengan cara merangkak. Saya segera menggolekkan diri hingga sampai di sisi Nyak Sulaiman.
Ketua lanun terus melakukan serangan dengan berbagai-bagai cara terhadap Datuk. Saya lihat Datuk lebih banyak bertahan dan mengelak dari melakukan serangan kepada ketua lanun. Kesimpulannya, Datuk tidak mahu mencetuskan perkelahian. Dia mahu berdamai dan kekeruhan yang terjadi mahu diatasi dengan cara yang paling baik.
Ternyata harapan Datuk tidak difahami oleh ketua lanun yang sedang berang itu. Dia mahu memperlihatkan kekuatan dan kemampuannya. Dia seolah-olah mahu memberitahu Datuk yang dirinya tidak dapat ditewaskan oleh sesiapapun. Laut itu adalah kawasan takluknya, siapa yang berani menentang akan kecewa juga akhirnya.
TEMBAK
Setelah puas mengelak dan bersabar, akhirnya Datuk mengambil keputusan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Tembak dia!”
Tiba-tiba saja ketua lanun mengeluarkan arahan kepada anak buahnya. Lima muncung pistol menghala ke arah batang tubuh Datuk. Tembakan itu berterusan hingga peluru kehabisan.
Anak buah ketua lanun bagaikan terpukau bila melihat tubuh Datuk tidak menghadapi sebarang kecederaan. Mereka pun menjauhkan diri dari Datuk, masing-masing mencari tempat perlindungan. Mereka mengira Datuk akan bertindak.
Ternyata Datuk tidak bertindak. Ini membuat anak buah ketua lanun bertambah bingung. Ketua lanun keluarkan pistol lalu mendekati Datuk sambil menghalakan muncung pistol ke arah dahi Datuk. Sebelum ketua lanun menarik picu pistol, Datuk segera menghentakkan tumit kaki kanannya ke lantai bot, serentak dengan itu pistol terlucut dari tangan ketua lanun. Jatuh atas lantai lalu meletup sendiri.
Ketua lanun mencabut pedang dari sarung lalu melepaskan tetakan kencang ke arah Datuk. Tetakan itu tepat mengenai bahu kanan Datuk, tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan. Malah pedang yang digunakan terus bengkok dan matanya sumbing.
Melihat keadaan yang luar biasa itu, anak buah ketua lanun segera melarikan diri dengan melompat ke atas bot mereka. Ketua lanun yang terdesak itu mula mencari helah untuk menuruti jejak langkah anak buahnya. Datuk segera memintas dan merapatinya. Datuk pegang leher baju ketua lanun.
“Mahu ke mana kamu, tak ada gunanya mengambil harta orang lain untuk dijadikan hak sendiri, awak baliklah dan bertaubat, jangan buat kerja tak senonoh ni,” tutur Datuk.
“Kurang ajar, siapa awak nak mengajar saya,” sahut ketua lanun, lalu menepis tangan Datuk yang memegang leher bajunya. Pegangan Datuk terlucut dan ketua lanun melepaskan penumbuk. Datuk dapat mengelak.
Pada saat itu juga terdengar bunyi jentera kapal lanun dihidupkan. Nyak Sulaiman segera bertindak dengan membelitkan tali botnya ke bahagian depan bot lanun. Melihat keadaan sudah terdesak, anak buah ketua lanun segera mematikan jentera bot mereka lalu melompat kembali ke atas bot Nyak Sulaiman, anehnya, mereka seperti tergamam bila berdepan dengan Nyak Sulaiman, mereka terus mencampakkan senjata ke atas lantai bot.
PETI
Demi untuk menyelamatkan diri, saya terus menyorok di balik peti sambil mengintai tindak-tanduk selanjut antara Datuk dengan ketua lanun. Saya lihat ketua lanun cukup geram dengan karenah Datuk itu.
“Hei, sial laknat, kenapa diam, tangkap manusia babi ni,” ketua lanun mengeluarkan arahan. Seperti kilat anak buahnya yang tergamam tadi mengambil senjata (parang panjang) atas lantai lalu bergerak ke arah Datuk.
Mereka mengelilingi Datuk. Dengan tenang Datuk menghadapi semuanya, dia memperkemaskan langkah dan duduk.
“Kurang ajar.”
Ketua lanun membuka silat dengan sebilah lawi ayam. Dia menerkam ke arah Datuk macam harimau lapar, serentak dengan itu anak buahnya melangkah mendekati Datuk sambil menghalakan mata parang ke tubuh Datuk. Saya cemas.
“Sedia,” suara ketua lanun datang. Dia terus melompat tinggi dengan perancangan yang teliti untuk jatuh atas badan Datuk dengan hujung mata lawi ayam menggaris dari dada hingga ke perut Datuk. Dengan berbuat demikian perut Datuk akan terbelah dan segala isi perut Datuk akan terburai di atas perut bot.
Tetapi, semua gerakkan ketua lanun itu dapat Datuk baca kerana itu di saat ketua lanun itu melompat, Datuk sudah mengatur strategi yang berkesan. Dia merendahkan badannya, di saat tubuhnya mahu dihempap oleh ketua lanun, Datuk segera bangun lalu menyambar tangan kiri ketua lanun yang tidak bersenjata. Tangan kiri itu dikilas sekuat hati hingga lawi ayam yang berada di tangan kanan terlucut. Pada saat itu juga Datuk memusingkan tubuh ketua lanun lalu menjulang ke atas dengan kedua belah tangannya.
“Kamu yang mencari musuh,” kata Datuk lalu memusingkan tubuh ketua lanun yang besar dan tegap itu sebanyak tiga kali. Kemudian batang tubuh ketua lanun dihumban ke laut. Ternganga mulut Nyak Sulaiman melihat kejadian yang tidak pernah difikirkannya berlaku di depan mata. Sayup-sayup terdengar suara ketua lanun memaki hamun Datuk dari permukaan laut. Dia terpaksa berenang untuk mengimbangi badannya agar jangan tenggelam ke dasar laut.
“Siapa lagi.”
Datuk terus menatap biji mata anak ketua lanun yang mengelilingi. Semuanya terdiam, ada di antara menjeling ke arah laut yang nampak sekata dengan gelap malam.
“Siapa lagi, sila rapat.”
Datuk pun merendahkan tubuhnya lalu membuka silat sambil mengambil pedang ketua lanun yang terdampar atas lantai bot. Melihat Datuk berbuat demikian, dua orang dari mereka undur tiga tapak ke belakang, kemudian menjerit lantas terjun ke laut.
Tiga orang yang masih tinggal, tetapi kelihatan tenang dan cuba mahu menentang Datuk. Mereka berpandangan sama sendiri dan saling mengenyitkan mata. Salah seorang dari mereka yang wajahnya seperti orang Arab, bertubuh tinggi tetapi kulitnya hitam dengan misai dan jambang yang lebat maju setapak ke arah Datuk.
Bagaikan kilat dia mengeluarkan ekor pari dari dalam bajunya lalu melibaskan ke arah Datuk. Libasan pertama membelit tubuh Datuk hingga meninggalkan kesan bintit-bintit merah di pipi dan bahu, baju Datuk terus koyak. Datuk tidak pula jatuh atau mengalami sebarang rasa kesakitan. Dia tetap seperti tadi, masih mengatur langkah silat untuk mempertahankan diri dari sebarang kemungkinan.