Bercakap Dengan Jin jilid 3
<---- back
ILMU PAPAN SEKEPING
SUDAH dua jam, saya duduk di pangkal pokok kekabu di tebing sungai.
Tidak ada seekor ikan pun yang mahu menjamah umpan di mata pancing.
“Banyak ikan yang kau dapat?”
Saya segera menoleh ke kanan. Samad Perang tercegat di situ dengan
sepasang matanya merenung tajam ke arah saya. Batang pancing saya
cacakkan ke tanah.
“Tak ada ikan yang mahu makan umpan pancing. Bila pakcik datang dari
Kuala Lumpur?”
“Dah dua hari, melihat rumah lama dan kawasannya. Sudah penuh dengan
lalang.”
“Dah jumpa datuk saya?”
“Belum lagi, cadang tu memang nak jumpa dia, sengaja pak cik jalan ikut
tepi sungai, redup sikit.”
“Kalau pakcik nak jumpa dia elok sangat tu, diapun ada di rumah. Masa saya
tinggalkan tadi, dia mencangkul.”
“Tak apalah Tamar, kau memancinglah tetapi, kau ingat memancing ni mesti
sabar.”“Ya pakcik.”
Samad Perang terus meninggalkan saya di perdu kekabu. Samad Perang
yang saya lihat sebentar tadi, berbeza dengan Samad Perang yang dulu.
Mukanya kelihatan bersih dan badannya gemuk. Kulit mukanya kelihatan
kemerah-merahan. Matahari petang yang memancar garang mula menurun.
Air sungai yang tadi memancarkan cahaya yang berkilau-kilau kerana
dipanah sinar matahari, sudah tidak bercahaya lagi. Tetapi, ikan-ikan terus
bermain di permukaan air sambil menangkap serangga yang hanyut.
Anehnya, ikan-ikan itu tidak mahu menjamah umpan beras kunyit di mata
pancing. Selalunya, umpan yang dibuat oleh nenek jadi kegemaran ikan,
belum pernah saya pulang ke rumah dengan tangan kosong. Paling kurang
saya akan dapat dua tiga ekor baung putih dan teroboi atau ikan keli. Petang
itu, tuah tidak berada di pihak saya. Pulanglah saya dengan tangan kosong
bersama matahari petang yang kian rapat ke puncak gunung di seberang
sungai.
“Kenapa muka masam macam cuka, kau tak dapat ikan,” tegur nenek bila
saya sandarkan batang pancing di pokok rambutan di belakang rumah.
Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Saya terus duduk di anak tangga bongsu.
“Tamar, aku bercakap dengan kamu, kenapa kamu diam?” Suara nenek mula
meninggi. Berdiri di depan saya bercekak pinggang. Kain tudung yang
menutup kepalanya jatuh atas bahu. Dan sanggul lintangnya jelas kelihatan,
hitam berkilat diselang-seli dengan uban.
“Saya meradang tak dapat ikan nek.”
“Itu puncanya, eh apa kau sudah lupa, rezeki kita di tangan Allah, kalau kau
sudah berusaha tetapi, tidak dapat, ertinya rezeki kau tak ada, apa kau mahu
melawan kuasa Allah.”
“Tidaklah begitu nek.”
“Kalau sudah tahu, kenapa kau mesti marah? Kau harus bersyukur kerana
hari-hari lain kau dapat ikan.”
Saya terdiam mendengar kata-kata nenek itu. Saya terus senyum dan bangun
menuju ke arah datuk yang sedang duduk termenung di penjuru halamanrumah sebelah kanan. Tangannya masih memegang cangkul.
“Ada pakcik Samad Perang jumpa Tuk?”
“Ada, kenapa Tamar?”
“Sebelum dia jumpa tuk, dia jumpa saya di tepi sungai.”
“Hum, macam tu, dia baru saja balik.”
Saya anggukkan kepala mendengar cerita dari datuk itu. Datuk dan saya
beredar dari situ menuju ke bawah pokok manggis yang tidak jauh dari kaki
tangga. Di bawah pokok tersebut datuk dirikan pelantar papan yang muat
untuk empat orang duduk bersila. Tiang pelantar datuk buat dari buluh
kuning, tingginya kira-kira satu kaki dari paras bumi. Saya dan datuk terus
duduk di situ. Beberapa minit kemudian nenek datang meletakkan dua
cawan kopi panas.
“Apa cerita Samad Perang dengan awak? Saya nampak tadi, bukan main
rancak bercakap,” nenek menyoal datuk. Saya cuma senyum saja.
“Tak ada apa-apa, Cuma dia bertanya pendapat saya berhubung dengan
tanah dan rumahnya yang sudah ditinggalkannya hampir dua tahun tu.”
“Kenapa pula?”
“Dulu dia suruh anak buahnya duduk dan bersihkan tanah, tapi anak
buahnya tak mahu, kata mereka tanah dan rumah tu berhantu.”
“Dia suruh awak duduk di situ?”
“Tidak pula...,” datuk tidak meneruskan kata-katanya.
Datuk terus menghirup air kopi. Saya menggigit bibir sambil merenung ke
arah beberapa ekor burung yang hinggap di dahan manggis.
MAWAR
Datuk meletakkan cawan kopi yang berbunga mawar di atas piring. Datuk
kedutkan kedua belah keningnya macam memikirkan sesuatu. Ia merenungke arah muka jalan.
“Mamat Bukit datang,” katanya dengan tenang. Saya dan nenek terus
merenung ke arah muka jalan masuk ke halaman rumah.
Mamat Bukit terbongkok-bongkok mengayuh basikal menuju ke arah kami.
Sampai dekat pelantar Mamat Bukit tongkatkan basikal tuanya. Tanpa
mengucapkan sesuatu, Mamat Bukit terus duduk di sisi datuk. Dahinya
berpeluh dan nafasnya turun naik. Datuk tidak peduli dengan Mamat Bukit
yang nampak agak cemas. Dengan tenang datuk menghirup kopi.
“Pergi buatkan kopi untuk dia,” bisik datuk pada nenek. Nenek pun bangun.
Bila Mamat Bukit sudah tenang, datuk pun menghadiahkan senyum
padanya.
“Ada apa masalah Mamat?” tanya datuk. Mamat Bukit tersenyum, dalam
masa yang sama nenek menghulurkan secawan kopi padanya.
“Minum Mamat.” Kata nenek.
“Terima kasih, kerana susah-susah buat kopi untuk saya,” balas Mamat
Bukit. Nenek terus duduk di tempat asalnya. Saya terus menghirup kopi.
Beberapa helai daun manggis yang sudah tua, gugur ke bumi.
“Jadi kau menjaga dan mengusahakan tanah Samad Perang?” Mamat Bukit
agak terkejut dengan pertanyaan yang dihadapkan oleh datuk padanya.
“Mana awak tahu semuanya ini?” soal Mamat Bukit.
“Samad Perang bertanyakan pendapat aku dalam hal tersebut dan aku setuju
dengan apa yang dirancangkannya, eloklah kau mengusahakan tanah dan
menjaga rumahnya, aku kira kau orang yang paling sesuai sekali, kau
sahabatnya.”
“Apa kata anak buahnya yang lain?”
“Usah kau bimbang hal tersebut, dia sudah serahkan pada anak buahnya tapi,
mereka tak mahu menjaganya.”
“Tapi, ada hal lain lagi.”“Apa dia Mamat? Cakaplah,” suara datuk agak meninggi. Biji matanya
cukup tajam merauti wajah Mamat Perang. Mamat Perang segera
menundukkan kepala. Dahinya nampak berkerut.
“Sebaik saja saya menerima amanat Samad Perang untuk menjaga rumah
dan mengusahakan tanahnya, anak saudaranya datang dan mengatakan
rumah dan tanah Samad Perang, ditunggu jin tanah,” suara Mamat Bukit
tersangkut-sangkut.
Nenek terus renung muka Mamat Bukit. Saya lihat nenek tersenyum dan
terus bersuara:
“Kenapa kau tak tanya Samad Perang, tentang hal itu?”
“Nak tanya macam mana? Anak saudaranya datang sesudah Samad Perang
balik.”
Saya dan datuk ketawa mendengar jawapan dari Mamat Bukit. Datuk terus
menepuk bahu Mamat Bukit.
“Semuanya tu karut, kerana Samad Perang dulu diserang penyakit ganjil,
kaum kerabatnya merasakan penyakit itu berpunca dari tanah yang
didudukinya, semuanya tu karut, kau pergi jaga rumah dan usahakan
tanahnya, jalankan amanat kawan kamu tu dengan jujur dan ikhlas,” ujar
datuk.
Mamat Bukit anggukan kepala. Setuju dengan cakap datuk. Lebih-lebih lagi
datuk telah memberi jaminan padanya. Sedia membantunya jika menghadapi
sebarang masalah.
“Kalau dah ada jaminan macam tu. Saya tak bimbang,” suara Mamat Bukit
merendah. Di bibirnya terpamer senyum. Dia pun menghirup kopi yang
tersedia di depannya. Kemudian Mamat Bukit minta diri untuk pulang.
“Apa yang mahu awak tahu, sekarang sudah jelas,” datuk renung muka
nenek. Saya lihat nenek tersenyum, lalu mengambil cawan kosong.
Beberapa minit kemudian, saya dan datuk pun beredar dari pelantar di
bawah pokok manggis. Senja pun merangkak tiba. Suasana beransur menjadi
samar-samar. Beduk di surau pun dipalu orang dan diikuti dengan suara azanMaghrib.
TETAMU
Saya tidur kembali setelah menunaikan sembahyang Subuh. Bila saya
terjaga dari tidur yntuk kali yang kedua, saya lihat jam bulat yang terletak
atas meja di hujung kepala, sudah menunjukkan pukul lapan pagi. Saya terus
melakukan senaman seperti yang diajar oleh datuk. Senaman yang dilakukan
selamat sepuluh minit itu mengeluarkan peluh di seluruh badan. Saya
biarkan peluh badan kering dengan sendirinya. Saya ingat pesan datuk yang
mengatakan, bila badan berpeluh kerana bersenam, jangan terus mandi.
Jangan kesat peluh dengan tuala, biarkan peluh itu keluar dan kering dengan
sendirinya. Bila dikesat dengan tuala, mungkin liang-liang bulu roma
tersumbat oleh daki peluh. Akibatnya, boleh menimbulkan rasa sakit-sakit
dalam badan. Bila peluh sudah kering, saya terus ke sungai. Biasanya saya
terjun dari bibir tebing ke dalam sungai. Tetapi, pagi itu kebiasaan tersebut
tidak saya lakukan. Apa yang saya lakukan ialah mengenakan kedua belah
telapak kaki saya dengan air di permukaan sungai. Sedikit demi sedikit saya
meranduk air sungai. Mula-mula, kedua belah buku lali saya kena air. Lepas
itu, buah betis melarat hingga ke tempurung lutut. Randuk lagi hingga air
sungai paras pinggang. Kemudian, baru saya tenggelamkan badan paras
leher. Akhirnya, saya terus menyelam dan berenang dengan bebas.
Semuanya yang saya lakukan itu semata-mata mematuhi petua dari datuk.
Menurutnya, bila kita mandi sebaik-baiknya hindarkan menjirus air atau
mengenakan air terus ke badan dengan mengejut. Cara itu, kurang baik,
boleh membuat pergerakan darah dalam urat terganggu. Cara yang baik
kenakan air dari bawah, kemudian terus membawa ke atas (kepala). Dengan
berbuat demikian perjalanan darah tidak terganggu. Tambah datuk, jika
petua itu diamalkan terus menerus, boleh menghindarkan diri dari diserang
penyakit lumpuh,kebas atau sakit-sakit di bahagian sendi badan. Apakah
petuadatuk itu betul atau tidak, saya tidak dapat mempastikannya tetapi,
petua tetap saya amalkan.
Lepas mandi di sungai, saya terus pulang ke rumah. Sampai di rumah saya
agak terkejut sedikit. Dua orang wanita, sedang duduk di pelantar di bawah
pokok manggis. Saya segera menghampiri mereka. Saya lihat wanita yang
memakai baju kurung merah, berusia dalam lingkungan dua puluhan. Wanita
yang memakai baju kurung putih berusia kira-kira lima puluhan.“Cari siapa?” tanya saya. “Tuan rumah ni.”
“Yang lelaki ke, yang perempuan?” wanita yang berusia lima puluhan itu
terdiam. Dia renung muka saya sejenak.
“Awak siapa.” Cara mendadak wanita berusia lima puluh menyoal saya.
Tanpa membuang masa, saya terus menerangkan hubungan diri saya dengan
orang yang dicakap oleh mereka.
“Saya ada hajat besar nak jumpa datuk awak,” terang wanita yang memakai
baju kurung putih. Saya menggigit lidah, saya yakin mereka datang dari
Kedah.
Kalau tidak dari Kedah mungkin mereka dari Perak Utara atau Pulau Pinang.
Sebabnya saya berkata begitu, loghat percakapan mereka, loghat orang
utara.
“Begini saja makcik, biar saya pakai seluar dan baju dulu, kemudian saya
panggil datuk dan nenek saya, kalau tak silap mereka pergi ke kebun
pisang,” terang saya dengan jujur.
“Jauh ke, kebun pisangnya?”
“Dekat aje, makcik tunggulah. Apa hajat makcik yang sebenar?”
“Tak payahlah saya terangkan pada awak, pergilah panggil datuk awak tu,
makcik ni datang dari jauh,” tambah wanita berbaju kurung putih, tanpa
menyebut dari mana dia datang. Setelah mengenakan seluar dan baju, saya
segera menemui datuk dan nenek di kebun pisang. Tanpa banyak cakap
mereka pun pulang.
Nenek terus menjemput kedua orang perempuan itu ke dalam rumah.
Macam selalu, nenek terus menghidangkan kopi pada tetamu yang tidak
diundang itu.
“Saya ni datang dari Kulim, menurut adik lelaki saya yang bekerja di Pusat
Pertanian di pekan ini, awak bomoh handal,” perempuan berbaju kurung
membuka mulut di depan datuk. Saya lihat datuk tenang saja.
“Ini anak perempuan saya nombor dua, dia ni ada penyakit, sudah ramai
bomoh mengatakan dia ni kena buatan orang, saya minta tuk bomoh tolongtilikkan siapa yang membuat anak saya ni,” tambahnya dengan wajah serius.
Datuk segera sandarkan badan ke dinding. Merenung tajam pada nenek yang
duduk tidak jauh dari perempuan berbaju kurung putih.
“Saya bukan bomoh, saya bukan dukun. Cuma adik awak saja yang
mengatakan saya dukun,” suara datuk agak meninggi.
“Tapi...”
“Tak ada tapinya, saya bukan bomoh saya bukan dukun,” datuk terus
memotong cakap wanita yang berbaju kurung putih. Air mukanya segera
berubah. Nenek agak terkejut dengan sikap datuk itu.
Saya tidak tahu kenapa datuk bertindak demikian. Saya lihat kedua orang
wanita itu jadi serba-salah.
“Maafkan saya,” suara datuk menurun. Dia menarik nafas panjang sambil
menggaru-garu pangkal lehernya. Dan wanita yang memakai baju kurung
putih terus tunduk merenung lantai.
“Sepatutnya, saya yang minta maaf kerana datang tidak memberitahu,
mungkin melanggar pantang.”
“Awak tak melanggar pantang, kita sesama Islam tetap bersaudara. Tetapi,
saya kesal kerana awak mengatakan saya bomoh handal, seolah-olah saya ni
lebih berkuasa dari Allah, sedangkan saya bukannya bomoh atau dukun.”
“Maafkan saya.”
“Lagi satu saya marah, kerana awak minta tilik atau minta tengok tentang
orang yang kononnya, membuat anak awak. Saya nak tanya, awak orang
Islam? Betul atau tidak.”
“Saya orang Islam, kenapa awak tanya macam tu.”
“Sebagai orang Islam, awak harus tahu menengok dan menilik tu perbuatan
syirik, kenapa kerja yang ditegah oleh agama awak lakukan? Apa awak
percaya pada bomoh dan dukun dari kuasa Allah?” Wanita berbaju kurung
putih itu terdiam.Kemudian, dengan cara terhormat datuk meminta kedua orang wanita itu
pulang saja ke Kulim dan datuk tidak mahu mendengar tentang masalah
yang mereka hadapi. Bila datuk sudah bertindak demikian, nenek segera
campur tangan.
“Mereka datang dari jauh, setidak-tidaknya awak dengarlah cerita mereka,
kenapa awak nak naik darah tak tentu sebab,” kata nenek. Datuk segera
bangun, berdiri di muka tingkap kedua belah telapak tangannya menekan
bendul tingkap.
Datuk merenung ke arah dedaun manggis dan rambutan yang bergoyang
disentuh angin. Saya lihat kedua belah cuping telinganya seakan-akan
bergerak-gerak. Datuk duduk kembali di tempat asalnya.
“Begini saja, kerana hal ini, hal orang perempuan eloklah awak ceritakan
pada isteri saya. Minta maaf, kalau saya bersikap kasar dengan awak berdua,
saya tahu sangat perangai orang perempuan, kerja tengok menengok atau
menilik dan jumpa bomoh memang kesukaan orang perempuan, janganlah
menambahkan dosa kering dalam hidup kita,” cukup tenang datuk berkatakata.
Datuk bangun kembali. Dia terus menarik tangan saya.
“Ke mana tuk?”
“Tolong kerja aku di kebun pisang.”
“Orang yang datang ni macam mana?”
“Biar nenek kamu yang selesaikan.”
KELUAR
Saya terpaksa patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh datuk. Sampai di
kebun pisang saya terpaksa mencangkul. Bila matahari berada betul-betul di
ubun kepala. Barulah saya dan datuk pulang. Setelah menunaikan
sembahyang Zuhur. Saya dan datuk terus menghadapi hidangan yang
disediakan oleh nenek. Waktu saya dan datuk berehat di anjung rumah.
Nenek segera datang. Duduk dekat saya. Nenek memerhatikan gerak geridatuk dengan teliti. Bila dilihatnya, datuk berada dalam keadaan yang betulbetul tenang. Nenek terus mengusik datuk.
“Awak ni, makin tua makin menarik,” kata nenek.
“Sudahlah, jangan nak mengada-ngada, malu dilihat cucu. Dah tua-tua nak
bergurau,” balas datuk dengan senyum yang lebar.
Nenek terus ketawa panjang sambil menjeling ke arah saya. Datuk terus
mengipaskan badan dengan kipas yang dibuat dari daun mengkuang rimba.
“Apa cerita perempuan tadi?” tanya datuk. Nenek kenyit mata. Memberitahu
saya yang jeratnya sudah mengena.
“Saya dah suruh mereka datang jumpa awak lepas waktu Asar.”
“Apa halnya?”
“Soal rumahtangga. Menurut ceritanya, si suami bersikap dingin pada isteri
dalam setahun hanya sekali bersama, mana ada orang perempuan yang
sanggup menghadapi masalah begini,” terang nenek dengan wajah yang
selamba.
Kemudian nenek terus bercerita:
Perempuan yang memakai baju kurung putih itu namanya Naemah.
Suaminya berniaga kedai runcit. Mereka mempunyai tiga orang anak. Anak
yang tua, lelaki sudah bekerja. Anak yang kedua perempuan namanya
Sariyah yang datang bersamanya memakai baju kurung merah. Anak yang
ketiga seorang perempuan. Sudah menikah dan mengikut suaminya bertugas
di Arau, Perlis. Suami Sariyah bertugas sebagai pegawai dalam Angkatan
Tentera Laut di bahagian kejuruteraan dan ditempatkan di Butterworth. Usia
Sariyah sudah dua puluh tiga tahun dan mempunyai lima orang anak yang
masih kecil. Sebelum menikah dengan Zainuddin (suaminya) Sariyah
bertugas sebagai guru sekolah rendah. Bila sudah menikah terus berhenti
atas permintaan suaminya. Di awal perkahwinan, mereka cukup bahagia.
Bila sudah dapat anak lima. Suaminya berubah sikap, sudah tidak mahu tidur
bersama. Bila didesak, suaminya akan mengeluarkan kata-kata yang kurang
menyenangkan.“Tak apalah, bila mereka datang nanti saya tanya lagi. Pelik juga ceritanya,”
kata datuk sambil termenung panjang. Nenek segera ke dapur.
Saya mengikut nenek. Sampai di ruang dapur nenek meneruskan kerjanya
menganyam tikar mengkuang. Saya terus belajar menganyam tikar
mengkuang dari nenek. Ternyata kerja itu tidak sesuai dengan diri saya.
Nenek saya tinggalkan. Saya terus menuju ke pelantar di bawah pokok
manggis. Rebahkan badan di situ. Saya terus tertidur. Saya dikejutkan oleh
datuk bila sampai waktu Asar untuk sembahyang. Seperti yang dijanjikan
lepas waktu Asar Naemah dan anaknya Sariyah pun datang. Mereka terus
duduk di hadapan datuk yang menunggu kedatangan mereka di anjung
rumah. Kali ini wajah datuk nampak gembira.
“Awak menikah dulu macam mana? Maksud saya, ada tak berkenalan dulu
sebelum nikah,” soal datuk pada Sariyah.
“Kami menikah suka sama suka, kami berkawan sejak di bangku sekolah
lagi. “
“Awak yakin, masa berkenalan dulu suami awak, tidak ada berkenalan
dengan orang lain?”
“Setahu saya tak ada.”
“Hubungan awak dengan mertua dan adik serta abang ipar awak
bagaimana?”
“Dengan mertua tidak begitu baik, begitu juga dengan kakak dan ipar yang
lain.”
Datuk menarik nafas panjang. Dia termenung sejenak. Wajah Naemah
direnungnya sebentar. Datuk menggigit kuku di ibu jarinya dua tiga kali.
“Awak ada ambil tahu tentang anak awak ni, maksud saya awak sudah
mengajar dia memasak dan melayan suami dengan baik,” tanya datuk pada
Naemah, yang sejak tadi mendengar percakapan datuk dengan anaknya.
“Sudah, rumahtangga mereka elok tapi...,” Naemah tidak meneruskan katakatanya. Dan datuk tidak mendesak supaya Naemah menerangkan sesuatu
dengan lebih lanjut lagi. Datuk menghampiri nenek. Mereka berbisiksesuatu.
“Kerana anak awak perempuan, biarlah orang perempuan yang
menyelesaikan. Isteri saya akan menguruskan hal anak awak,”ujar datuk
pada Sariyah. Datuk memerintahkan saya memasang tirai kain. Perintah itu
segera saya patuhi.
“Isteri saya pandai mengurut, biarlah dia memeriksa diri anak awak.
Sekarang pergi sebelah tirai sana,” beritahu datuk lagi. Naemah dan anaknya
segera berubah tempat duduk di
sebalik tirai. Kerana kain tirai itu dibuat dari kain bekas guni gandum yang
tebal, saya tidak tahu apa yang berlaku di balik tirai tersebut. Datuk duduk
dengan membelakangi ke arah muka pintu. Kedua belah telapak tangan
datuk menekan lantai rumah.
“Apa yang mesti saya buat,” terdengar suara nenek dari balik tirai.
“Jamah dan urut perutnya dari pangkal pusat ke atas, Awak tak usah takut
saya akan memberi tunjuk ajar,” jawab datuk.
Saya terus duduk di sisi datuk. Saya lihat telapak tangan datuk bergerak ke
sana ke mari atas lantai, macam orang mengurut tubuh manusia.
“Berhenti di situ,” nada suara datuk meninggi.
“Ya, saya berhenti di sini,” jawab nenek.
“Nafsu suaminya dikunci, melalui urut yang dibuat tadi. Sariyah banyak
kurangnya sebagai seorang isteri bila bersama, tidak dapat memberi sesuatu
yang baik untuk suami, dirinya macam papan sekeping.”
“Apa maksud awak papan sekeping?”
“Sejenis ilmu syaitan yang diamalkan oleh manusia yang lupakan kekuasaan
Allah, Ilmu itu dikenali sebagai ilmu papan sekeping, kalau terkena pada
orang perempuan hidupnya sudah tidak bermakna lagi.”
“Bagaimana dengan perempuan yang saya urut ini?”
“Sudah terlalu jauh.,” datuk seakan-akan mengeluh. Wajahnya nampak
gusar sekali.Datuk menyuruh saya membuka tirai. Datuk memanggil Sariyah. Suruh
duduk berhadapan dengannya. Naemah duduk dekat nenek.
"Apa benda-benda ganjil yang selalu awak temu dalam rumah awak?" Agak
terkejut juga Sariyah mendengar pertanyaan dari datuk itu.
Sariyah renung muka ibunya (Naemah) sambil mengerutkan dahi. Saya lihat
ibunya anggukkan kepala.
"Sudah setahun lebih, setiap Selasa saya jumpa anak-anak ular di bilik air.
Pada setiap malam Khamis ada sejenis belalang, macam belalang kunyit
masuk ke bilik tidur, belalang tu suka hinggap di pangkal belikat saya."
"Apa yang kamu buat?"
"Anak-anak ulat hitam tu, saya jirus dengan air panas. Tapi sebanyak mana
yang mati, sebanyak itu yang datang."
"Dengan belalang."
"Saya bunuh tapi dia datang juga."
Datuk terdiam. Sepasang matanya, merenung keluar menerusi pintu rumah
yang terdedah. Angin terus berlegar-legar di luar rumah menyentuh dedaun
pokok yang terdapat di situ. Dan angin yang masuk ke dalam rumah
menyentuh wajah saya.
Terasa amat nyaman sekali. Tiba-tiba suasana yang begitu tenang, macam
ada orang membaling batu ke dinding. salah satu papan dinding rumah
tercabut. Bila saya mahu memeriksanya datuk segera menahan. Kata datuk,
biarkan papan dinding
itu di situ. Biar dia yang uruskan semuanya.
Aneh, sungguh. Tidak ada manusia yang lalu lalang di sekitar kawasan
rumah. Siapa pula yang membaling batu ke rumah waktu siang. Bunyinya
ada tetapi batunya tidak ada. Macam mana papan dinding yang dipaku kuat
boleh tercabut? Semua
persoalan itu menerpa dalam tempurung kepala saya.
"Saya akan cuba berikhtiar mengatasi nasib malang yang menimpa awak.Kalau diizinkan Allah usaha saya akan berjaya. Tetapi, awak jangan
menggantungkan harapan pada saya," cukup lemah nada suara yang keluar
dari mulut datuk.
"Berdoalah pada Allah, semoga apa yang kita lakukan diberkatinya,
sebagainya, sebagai orang perempuan, saya tahu perasaan awak yang tidak
mendapat perhatian dari suami," nenek meningkah. Sepasang matanya
merenung redup ke wajah Sariyah.
"Awak balik dulu ke tempat awak, dua minggu lagi awak datang ke sini,
kalau tak boleh datang beritahu pada saya cepat. Dengan itu mudah saya
pergi ke tempat awak," saya bangga mendengar kata-kata datuk. Saya
berdoa supaya Sariyah jangan
datang ke rumah datuk. Biar datuk sendiri yang pergi ke rumahnya. Dapat
juga saya berjalan.
"Saya datang. suami saya tidak ada di sana. Dia pergi kursus selama tiga
minggu di Singapura. Semasa dia tak ada, dia izinkan saya pergi ke manamana untuk menghiburkan hati."
"Saya yakin suami awak kasihkan awak tapi ada penghalangnya."
"Bolehkah awak tengok siapa penghalangnya?" Ibu Sariyah turut campur.
"Tolong jangan sampai saya membatalkan usaha ini," jawab datuk keras. Ibu
Sariyah terus membisu.
Datuk terus merenung muka Sariyah. Saya membetulkan rambut saya yang
jatuk ke dahi. Ibu Sariyah tunduk merenung lantai. Nenek terus termenung
panjang.
"Awak balik nanti, buatlah sembahyang hajat. Awak buat sendiri jangan
minta tolong pada orang lain. Mohon pada Allah supaya bencana yang ada
segera hilang dari awak."
"Baiklah," Sariyah memberikan janji.
Sebelum mereka pulang. Datuk membekalkan dua buku lengkuas dan dua
buku kunyit pada Sariyah."Lengkuas ni potong empat dan letakkan pada empat penjuru dalam bilik air
awak. Kunyit pun potong empat letakkan pada empat penjuru bilik tidur,
sebelum meletakkan di tempat yang saya sebut itu, bacalah surah Al-Fatihah
sepuluh kali, barang-barang
ni jangan dilangkah. Awak tinggal di rumah batu?"
"Ya, saya menyewa rumah dua tingkat."
"Bagus, bila awak datang ke mari nanti, ceritakan apa yang awak lihat
setelah benda-benda itu diletakkan di tempat yang saya katakan. Awak kena
buat cepat."
"Ya, saya akan balik ke Butterworth hari ini juga."
Datuk gembira dengan pengakuan yang diberikan oleh Sariyah. Datuk suruh
nenek menghantar Sariyah dan ibunya hingga ke tepi jalan enam kaki.
Datuk terus mencari penukul dan mengenakan papan dinding yang tercabut
ke tempat asalnya. Bila semua kerjanya selesai. Datuk terus duduk di muka
pintu merenung arah ke selatan.
"Tuk"
"Kenapa"
"Ilmu papan sekeping tu apa dia tuk."
Datuk tersenyum. Dia memanggil saya duduk di sisinya. Bila saya berada
dekatnya. Datuk gosokkan kepala saya dua tiga kali. Dia tersenyum.
Menurut datuk, ilmu itu berasal dari salah satu tempat dari selatan benua
India. Ilmu itu dibawa oleh orang-orang India Muslim yang datang ke tanah
Semenanjung.
"Kebanyakkan orang-orang India Muslim yang datang ke tanah air sudah
beristeri, sebelum mereka datang, mereka kenakan ilmu itu pada isterinya,
tujuannya untuk mengelakkan isteri mereka melakukan perbuatan terkutuk,
bila mereka tidak ada kerana merantau," datuk memulakan ceritanya.
"Bila ilmu itu dikenakan, setiap orang lelaki yang memandang isteri mereka
walau secantik mana pun, tidak terasa apa-apa," sambung datuk. Saya hanyaanggukkan kepala.
Tiba-tiba bulu tengkuk saya meremang. Bila datuk menjelaskan orang-orang
yang mengamalkan ilmu tersebut biasanya menyimpan sekeping papan
keranda orang yang mati berdarah. Papan itu dipotong kecil-kecil dan
disimpan dalam peti hitam di sesuatu tempat yang tertentu. Selalunya peti
hitam itu ditanam dalam tanah.
"Cara mereka membuatnya macam mana tuk?" Tanya saya.
"Mereka akan mengambil tiga helai rambut perempuan yang gugur di atas
bantal waktu pagi, dililitkan pada salah satu papan keranda yang sudah
dipotong halus-halus itu, kemudian ditanam di pangkal pokok atau disimpan
saja. Biasanya orang-orang India Muslim yang merantau membawanya ke
mana-mana atau di buang ke laut."
"Kejam," kata saya.
"Memang kejam menganiayakan kaum perempuan, kalau dah sayangkan
bini bawalah ke mana-mana, buat apa ditinggalkan dengan cara ini.
Peliknya, bila sampai ke sini mereka kahwin, bini yang ditinggalkan terus
merana," datuk semacam mengeluh.
Datuk turun ke tanah. Saya terus mengekorinya menuju ke sudut rumah.
Datuk melihat lukah yang tergantung di dahan belimbing buluh. Salah satu
lukah itu datuk ambil.
"Aku mahu menahan lukah di sungai, kau pikul lukah ini ke sungai," saya
segera menyambut lukah yang datuk hulurkan pada saya. Sepanjang jalan
menuju ke sungai datuk terus bercerita tentang ilmu papan sekeping.
Kata datuk, ilmu papan sekeping banyak menggunakan mentera dalam
bahasa yang sukar dimengertikan, banyak menggunakan pemujaan pada
hantu syaitan.
"Bahasa bercampur aduk, ada bahasa hindu tua, ada bahasa jawa tua dan
Siam. Ilmu itu cukup terkenal di kalangan dukun-dukun Siam yang
kemudian dituntut oleh beberapa orang Melayu secara diam-diam,' datuk
berhenti bercakap kerana kami sudah sampai ke tepi sungai.Saya lihat air sungai mengalir dengan tenang. Dua tiga helai daun getah
yang sudah tua terkapar di permukaan sungai dibawa oleh arus menuju ke
hilir.
"Apakah suami Sariyah mengenakan ilmu itu pada isterinya tuk?"
"Aku tak fikir begitu, suaminya orang berpelajaran, mana mungkin mahu
buat kerja macam itu."
"Jadi, siapa yang membuat angkara buruk tu tuk?"
"Aku tak tahu, mungkin perkara itu jadi secara kebetulan. Tak apalah
Taman, aku akan berusaha memulihkannya, selalunya kerja-kerja syaitan
akan musnah dengan kuasa Allah," kata datuk.
Tanpa membuang masa datuk turun ke dalam perut sungai. Dia mencari
lubuk yang difikirkan banyak ikan. Di situ datuk menahan lukah . KELAWAR PONTIANAK
Biji-biji getah yang dikutip saya lambakkan atas tanah. Datuk masih lagi
menjalin bilah buluh dengan rotan. Dia membuat lukah (bubu) baru yang
panjangnya satu hasta dengan injap bermata belas. Memang perangai datuk,
kalau membuat lukah, mesti dimulakan waktu matahari terbit. Bila matahari
sudah tinggi segalah, kerja itu diberhentikan.
Kalau diteruskan, lukah yang dibuat tidak membawa tuah. Ertinya, tidak ada
ikan yang mahu masuk dalam lukah. Saya terus memecahkan kulit biji getah
dengan kayu. Isinya saya taruh dalam penapis buluh.
“Jumlahnya mesti ganjil,” tegur datuk ketika saya mencucukkan dawai halus
ke dalam isi biji getah untuk umpan lukah.
Saya terpaksa mengira kembali isi biji getah yang sudah dicucuk berangkai.
Semua jumlahnya ganjil belaka. Tetapi, ada satu yang mesti saya patuhi. Isi
biji getah itu tidak boleh dilangkah, tidak boleh kena bayang.
“Sekarang kau masukkan umpan biji getah ke dalam lukah yang kita angkat
dari sungai pagi tadi, sandarkan ke pangkal pokok manggis,” datuk suruh
dengan hati-hati. Kalau tersilap, pasti datuk bertempik dari atas pelantar.“Menahan lukah dengan umpan biji getah ni bagus, bila biji getah tu dah
masam, ikan akan mencari sampai ke dalam bubu,” datuk tersenyum dan
terus bangun.
Semua bilah buluh, rotan serta pisau peraut diletakkannya dalam bakul
mengkuang. Datuk tidak mahu meneruskan kerja tersebut kerana matahari
sudah meninggi.
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak tengok putik Salak Jambi,” katanya.
“Tapi tuk, orang yang berjanji dengan kita dulu datang hari ini, tempohnya
dah cukup.”
“Aku tahu, dia orang datang sebelah petang,” balas datuk dengan tenang.
Langkahnya dipercepatkan menuju ke perdu Salak Jambi yang ditanamnya
tidak jauh dari kawasan rumah.
Saya tidak tahu, kenapa datuk menaruh perhatian yang besar pada perdu
Salak Jambi yang jumlahnya tidak sampai lima perdu.
Datuk Cuma memberitahu saya yang pokok salak itu benihnya dibawa dari
tanah Jambi.
Buahnya besar dan agak panjang bentuknya, berbeza dengan buah salak dari
Pahang dan Terengganu. Rasanya manis dan isinya juga tebal.
Datuk tidak pernah menjual buah salaknya. Dia lebih suka memberi percuma
pada orang-orang kampung. Datuk juga menyuruh orang-orang yang
menerima pemberiannya menanam biji salak tersebut.
Kata datuk, pada satu waktu nanti, buah salak akan menjadi buah yang
berharga dan amat digemari orang ramai. Hanya keadaan saja yang dapat
menentukan kebenaran dari kata-kata datuk itu.
Saya mengelap peluh yang mula mengalir di bahu dengan telapak tangan.
Matahari terus memancar dengan garang. Semua kulit-kulit biji getah yangbertaburan atas tanah saya kumpulkan dalam kertas lalu saya buangkan ke
tempat sampah. Petang nanti akan saya bakar.
TEGUR
“Apa yang kau menungkan,” tegur nenek bila melihat saya termenung
panjang di halaman rumah. Saya tidak menjawab pertanyaan kecuali
memberikan senyum mesra.
“Kenapa tak ikut tuk tengok pokok salak?”
“Habis kau nak buat apa.”
“Saya nak pergi ke surau, saya nak main gasing dengan kawan-kawan di
situ.”
“Ikut suka kaulah,” balas nenek.
Saya terus ke surau. Sampai di halaman surau saya lihat sudah ada dua tiga
orang kawan-kawan main gasing. Saya turut campur dalam permainan
tersebut. Saya bangga kerana gasing yang saya buat dari kayu limau berjaya
memecahkan dua buah gasing kawan. Setiap kali saya memangkah gasing
dalam gelanggang kawan-kawan semuanya terdiam. Mereka tumpukan
perhatian ke arah saya. Kerana terlalu asyik bermain, saya pulang ke rumah
kira-kira pukul lima petang dengan perut yang lapar.
Mungkin kerana ada tetamu di rumah, datuk tidak marah pada saya. Macam
selalu, pukul berapa saya pulang, nenek yang baik hati akan menyediakan
hidangan untuk saya. Nenek cuma menasihatkan saya supaya jangan
mengulangi perbuatannya yang tidak disenangi oleh datuk.
Datuk tidak marah saya bermain gasing dengan kawan-kawan. Apa yang
jadi pantangnya, kerana asyik main, saya lupa sembahyang Zuhur serta
lewat menunaikan fardu Asar.
“Bila kau main gasing sampai melupakan perintah Allah, ertinya kau
bermain dengan syaitan,” kata datuk dengan nada suara yang lembut, ketika
saya melintas di depannya menuju ke bilik.
Tetamu yang datang menjeling kearah saya. Terasa tebal kulit muka bilasaya disindir begitu. Saya terus memencilkan diri dalam bilik.
“Sudah awak buat perkara yang saya suruh,” saya terdengar suara datuk.
Telinga saya rapatkan ke dinding. Saya tidak dapat mengawal perasaan ingin
tahu yang timbul meluap-luap dalam dada.
“Sudah,” terdengar suara perempuan menjawab. Pasti suara Sariyah.
“Apa kesannya?”
“Anak-anak ular hitam dan belalang tidak datang lagi. Tetapi, saya tidak
dapat tidur lena, selalu terjaga, mimpi yang bukan-bukan.”
“Apakah mimpi yang kau alami sama pada setiap malam?”
“Ya sama.”
“Apa mimpinya.”
“Orang hitam berbadan besar menangkap saya, dibawa ke sarang ular bisa.
Saya mahu dicampakkan ke situ. Bila saya menjerit saya terus terjaga.”
“Pelik,” kata datuk.
Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak. Saya terasa macam ada makhluk
halus yang tidak dapat saya lihat berdiri di belakang saya. Dan saya rasakan
makhluk itu berbadan besar seperti apa yang diceritakan oleh Sariyah pada
datuk. Saya lawan perasaan yang terjadi dalam diri saya itu. Makin saya
lawan, makin terasa seram. Benda ganjil yang tidak dapat dilihat itu seperti
mengarahkan biji matanya kearah saya.
Saya terus meluru keluar. Duduk dekat datuk. Saya lihat wajah datuk begitu
tenang, seolah-olah dia mengerti dengan apa yang terjadi. Sariyah dan
ibunya tercengang melihat kedatangan saya itu.
“Sekarang awak urut perempuan ini lagi,” beritahu datuk pada nenek. Dahi
nenek nampak berkedut.
“Tak payah pasang tirai? Awak ni dah mengarut nak mengurut perempuan di
depan lelaki,” nenek melahirkan protes dalam senyum. Datuk terdiamsejenak.
“Tak payah, bawa dia masuk ke dalam bilik Tamar.”
“Lagi?”
“Saya akan memberi perintah dari luar macam yang kita buat dua minggu
lalu.”
“Awak tahu, lepas saya mengurut perempuan ini dua minggu lalu, saya
mimpi seperti apa yang diceritakannya pada awak, kemudian seluruh badan
saya terasa bisa-bisa.”
“Kenapa awak tak cakap?”
“Malas nak cakap dengan awak,” nenek menjuihkan bibirnya ke depan.
Datuk tersenyum panjang.
Sariyah dan ibunya masuk ke dalam bilik saya dengan ditemani oleh nenek.
Datuk memperkemaskan silanya dengan meletakkan kedua belah lengannya
atas kedua belah tempurung lututnya. Kedua belah matanya datuk rapatkan.
“Urut rusuk kiri bawa ke kanan. Berhenti di situ. Tekan pangkal pusatnya
dengan tangan kiri. Tangan kanan tekan pangkal pinggangnya kuat-kuat,”
begitu datuk mengeluarkan arahan dengan mata terpejam. Saya kira nenek
tentu mengikut apa yang datuk suruh.
“Aduhhh, tolong,” saya terdengar suara Sariyah.
“Jangan lepaskan, biar dahinya berpeluh,” balas datuk.
“Ada ketul keras macam batu,” jawab nenek.
“Tekan, jangan lepas,” balas datuk.
“Tolong sayaaaa,” suara Sariyah bertambah lemah. Akhirnya saya terdengar
Sariyah mengeluh kuat. Lepas itu tidak terdengar apa-apa.
Dalam masa yang sama, tanpa angin. Daun-daun tingkap bergerak lalu
menghempaskan kayu jenang, melahirkan bunyi yang kuat macam ada orangyang membuka dan menutup, kain langsir putus dari pengikatnya, tidak ubah
macam direntap oleh tangan manusia dengan kasar.
PEDULI
Datuk tidak mempedulikan keadaan yang agak ganjil itu. Dia terus pejamkan
matanya. Dan suasana yang tidak menyenangkan itu terus hilang.
“Sudah lepaskan bahagian yang awak pegang,” seru datuk dari luar. Saya
terdengar suara Sariyah kembali dengan keadaan normal, bercakap sesuatu
dengan ibunya.
“Sekarang genggam penumbuk di tangan kiri dan tekankan ke perut
perempuan itu di bahagian pusatnya,” sambil mengeluarkan perintah itu
datuk membuka silanya lalu bertinggung untuk beberapa minit. Datuk duduk
kembali.
“Buka tangan awak dan lihat apa yang ada.”
“Serpihan papan berbalut kain merah,” jawab nenek.
“Masukkan barang itu ke dalam mangkuk putih, tutup dengan kain atau
kertas, kemudian bawa pada saya,” selesai saja datuk bercakap, kedua belah
kelopak matanya dibuka.
Nenek keluar dari bilik lalu meletakkan mangkuk putih bertutup kain di
hadapan datuk. Bila nenek mahu melangkah ke dalam bilik datuk terus
bersuara:
“Awak urut dia macam awak mengurut perempuan yang baru lepas bersalin
tiga hari.”
“Baiklah.”
Nenek masuk ke bilik lalu melakukan apa yang datuk suruh. Bila nenek
selesai mengurut, Sariyah dan ibunya segera keluar.
Saya lihat muka Sariyah berseri-seri dan merah, macam wajah anak dara
yang baru berusia belasan tahun. Kalau dilihat sekali imbas, pasti orang
tidak menyangka yang Sariyah sudah punya anak lima.Saya tidak menafikan, sesungguhnya dalam usia saya yang begini, saya
memang tertarik pada dirinya. Air mukanya begitu menarik dan menawan
boleh membuat lelaki tidak tidur malam.
Mereka terus duduk di hadapan datuk. Saya lihat kulit Sariyah yang
kemerah-merahan itu bersih dan gebu sekali, tidak terlihat lubang-lubang
bekas jerawat seperti sebelumnya. Kulitnya cukup lembut sekali.
“Awak mesti mematuhi syarat-syarat yang saya berikan ini, jika awak benarbenar mahu masalah yang awak alami ini berakhir,” kata datuk sambil
merenung wajah Sariyah dan ibunya.
“Apa dia syarat-syaratnya tu?” Tanya ibu Sariyah macam tidak sabar-sabar.
Datuk termenung sejenak.
“Mudah saja, syarat pertama jangan meninggalkan sembahyang lima waktu,
membaca yasin malam Jumaat dan selalu bersedekah pada anak-anak yatim
atau orang miskin bila awak mampu berbuat begitu,” datuk bercakap
sebentar.
“Syarat kedua, jangan mengatakan atau membabitkan orang lain yang
kononnya penyakit awak ni, adalah perbuatan orang lain, itu perbuatan yang
salah,” datuk raba pangkal tengkuknya sejenak.
“Awak mesti berbaik dengan ipar dan mak mentua awak,” tambah datuk
lagi.
“Kalau mereka menolak dan menyakitkan hati saya bagaimana?” Tanya
Sariyah.
“Awak harus bersabar, biar apapun yang mereka lakukan jangan melawan
mentua, emak mentua sama juga dengan emak sendiri, kalau tidak tahan
dengan sikapnya, cari jalan asalkan jangan sampai timbul permusuhan, saya
tidak mahu awak memberitahu orang lain awak berubat di sini.”
“Saya berjanji dan saya berterima kasih pada tuan.”
“Jangan berterima kasih pada saya tetapi, bersyukurlah pada Allah kerana
dengan Allah juga, saya boleh menolong awak, jangan panggil saya tuan,panggil saja ayah atau pakcik.
“Ya ayah.”
“Kerana awak saya kira perempuan yang baik dan jujur, mulai dari hari ini
awak saya anggap macam anak saya sendiri,” datuk luahkan apa yang
tersirat dalam hatinya.
Sariyah dan ibunya berpandangan. Mereka pun berbalas senyum tetapi, tidak
dapat mengatasi senyum nenek yang membayangkan kepuasan tersendiri.
Dengan wajah yang manis datuk menyuruh saya memetik tujuh helai daun
sirih yang bertemu urat di belakang rumah. Suruhannya itu segera saya
patuhi. Tujuh helai daun sirih bertemu urat saya serahkan padanya.
Datuk patahkan semua tangkai sirih, begitu juga dengan bahagian
hujungnya. Tiap daun sirih datuk lipat tiga. Semua tulang belakang daun
sirih datuk buang. Daun-daun sirih yang sudah dilipat itu datuk taruh tiga
butir gula pasir.
“Ini bukan apa-apa, cuma petua untuk penyeri wajah kamu, tiap-tiap daun
sirih ini ada tiga biji gula putih, jangan jatuhkan gula-gula itu, selepas
bangun tidur kumur mulut dan kunyah daun sirih ini hingga hancur, telan
hampasnya sesudah itu barulah kamu basuh muka dengan air suam, kenakan
air itu ke seluruh kulit muka kamu,” kata datuk.
Sebelum datuk serahkan daun-daun sirih pada Sariyah datuk membaca
sesuatu.
“Pantangnya, jangan makan benda-benda masam dan pahit sebelum masuk
waktu Asar selama tiga bulan, lepas itu tak apa,” datuk mengingatkan
Sariyah.
Semua daun sirih yang dibungkus itu diserahkan pada Sariyah. Datuk juga
mengingatkan Sariyah supaya daun sirih itu jangan dilangkah atau terkena
bayang diri.
“Berapa upahnya ayah?” Soal Sariyah.
“Saya tidak mencari rezeki cara ini.”“Tapi ayah sudah menolong saya.”
“Ayah tidak menolong awak, Allah yang berkuasa menolong awak, saya
cuma berusaha, kalau Allah tidak mengizinkan, usaha saya tidak berjaya,
lupakan hasrat awak tu.”
“Oh…” keluh Sariyah.
“Pulanglah ke rumah awak, jangan lupa dengan syarat yang saya kenakan,”
ujar datuk dengan tenang.
Sariyah dan ibunya terus bersalaman dengan nenek. Kemudian mereka
meninggalkan rumah dengan tenang.
“Apa yang awak rasa waktu mengurutnya tadi,” datuk bertanya pada nenek.
“Sudah banyak berubah, sudah cukup syaratnya sebagai seorang isteri,
semua urat-urat dalam perut dan sendinya bergerak macam manusia yang
sempurna, tidak terasa macam papan sekeping, sudah ada lekuknya, sebagai
orang perempuan saya tahu apa yang ada pada diri seseorang isteri,
semuanya itu ada pada Sariyah,” jelas nenek pada datuk. Datuk puas hati
dengan keterangan yang diberikan oleh nenek itu.
PISANG
Matahari sudah mula condong tetapi, datuk masih juga mahu mengajak saya
ke kebun pisang. Saya tidak tahu kenapa datuk harus pergi ke tempat
tersebut dalam waktu begini.
Biasanya, kalau matahari sudah condong, datuk tidak mahu pergi ke kebun
pisang.
Dia lebih suka menghabiskan masa petangnya membuat kerja dalam rumah
hingga menjelang waktu Maghrib.
“Sudah petang benar tuk.”
“Tak apa, bila hari sudah remang-remang senja kita baliklah ke rumah.”“Tak apalah tuk,” balas saya.
Saya dan datuk pun menuju ke kebun pisang. Dedaun pisang yang tua
dibuang. Anak-anak pisang yang tumbuh banyak di sesuatu perdu
dikurangkan menjadi satu atau dua. Buah-buah pisang yang sudah cukup tua
diambil untuk dibawa pulang.
Saya begitu seronok bekerja dalam suasana petang yang begitu tenang dan
aman. Datuk juga begitu.
Tanpa disedari matahari kian rapat ke kaki langit, suasana yang terang mula
beransur kelam, beburung kelicap sudah mula kurang hinggap di jantung
pisang. Semuanya pulang ke sarang.
“Sudah beransur gelap tuk,” saya mengingatkan datuk.
“Tunggu sikit lagi Tamar, biar aku buang anak pisang yang tak berguna ni,”
datuk masih lagi membongkok di perdu pisang.
Bila kerjanya selesai di perdu pisang tersebut, datuk meneruskan kerjanya di
perdu pisang lain.
Tidak ada tanda-tandanya yang datuk akan pulang segera. Dia sungguh ayik
dengan kerjanya. Cara ini membuat saya resah dan gelisah.
Hari sudah beransur gelap. Suara gagak liar terbang senja mula kedengaran.
Beberapa ekor gagak liar terus hinggap di pokok pisang sambil berbunyi.
Saya baling burung-burung gagak itu dengan kayu. Burung-burung terbang
sebentar kemudian datang semula ke pokok pisang sambil berbunyi. Saya
cuba sorak dengan suara yang kuat. Burung-burung gagak itu tidak peduli.
Terus berbunyi seolah-olah tidak takut dengan manusia. Saya jadi lemas
dalam keadaan yang tidak menyenangkan itu.
Hari mula beransur gelap. Puncak bukit yang letaknya tidak jauh dari
kawasan kebun pisang sudah tidak jelas untuk saya tatap. Burung-burung
gagak liar terus berbunyi. Saya terus berlari kearah datuk. Darah saya
tersirap. Datuk sedang berguling-guling atas tanah. Tiga ekor kelawar yang
bentuk tubuhnya lebih besar dari kelawar yang biasa saya temui, menuju
kearah pangkal leher datuk. Suara kelawar itu cukup nyaring sambilmengeluarkan giginya yang tajam berbentuk taji kearah datuk. Suara
kelawar itu juga berbeza dengan suara kelawar biasa, begitu juga dengan
bentuk giginya.
Dalam keadaan yang berguling-guling itu datuk sempat membelitkan daundaun pisang kering ke batang lehernya. Cara datuk mempertahankan diri dari
jadi mangsa kelawar aneh itu. Dalam keadaan yang cemas itu, salah seekor
dari kelawar tersebut menjunamkan badannya kearah datuk.
Dengan cepat datuk menghalakan parang panjangnya kea rah kelawar.
Tetakan dari datuk tidak kena sasaran. Dan kelawar itu sempat
membenamkan kukunya ke lengan kiri datuk. Baju di lengan terbelah dua.
Dalam keadaan yang samar-samar itu, saya melihat darah mengalir dari
lengan kiri lalu membasahi seluruh lengan baju yang berwarna putih. Suara
kelawar bertambah kuat, bagaikan orang bersorak dalam sesuatu perlawanan
bola.
“Berlindung Tamar,” jerit datuk, saya segera berlindung di balik pokok
pisang.
Datuk saya lihat berjaya bangun. Dia terus menghayun parang panjangnya
kea rah tiga ekor kelawar. Salah seekor dari kelawar itu terkena parang
panjang. Sayapnya putuh dua. Kelawar itu jatuh atas tanah. Sementara yang
dua ekor lagi terus menyerang bertubi-tubi kearah muka datuk. Saya
terdengar suara datuk menjerit, mukanya mula berdarah. Datuk terus
berjuang hingga kedua-dua ekor kelawar aneh itu terkorban. Datuk segera
menghampiri saya. Darah masih lagi mengalir di mukanya.
“Pipi kanan aku kena cakar,” kata datuk tercungap-cungap sambil mengesat
darah di mukanya dengan pucuk pisang yang belum kembang.
“Kelawar apa tu tuk, ganjil benar rupanya.”
“Kelawar jenis ni menghisap darah manusia dan binatang, kata orang
kelawar pontianak. Selalunya kelawar jenis ini berada dalam hutan tebal
terutama di kawasan yang banyak terdapat rusa, landak dan harimau, banyak
pemburu yang jadi korbannya,” datuk menerangkan pada saya.
“Macam mana boleh masuk ke kampung kita tuk?”“Entahlah, agaknya sudah banyak hutan yang dibuka orang atau sudah tak
ada harimau dan rusa lagi dalam hutan, kelawar jenis ni mencari mangsa
waktu malam.”
“Seram saya tuk.”
“Apa mahu diseramkan, mari kita balik, hari dah gelap benar. Waktu
Maghrib sudah masuk,” balas datuk.
Memang benar hari sudah gelap. Suasana dalam kebun pisang terasa kurang
menyenangkan. Belum pernah datuk meninggalkan kebun pisang dalam
keadaan begini.
Sambil melangkah saya terus merenung ke kiri dan ke kanan. Saya lihat
dedaun pisang terus bergerak, walaupun tiada angin yang bertiup. Saya lihat
beberapa ekor burung gagak liar berterbangan tanpa suara.
“Datuk,” jerit saya. Datuk pun mematikan langkahnya.
“Ada apa Tamar?”
“Tuk tengok ke kanan.”
Datuk segera toleh ke kanan. Dia tidak berkata apa-apa. Badan saya terus
menggeletar. Siapa yang tidak menggeletar bila melihat bayang manusia
yang besar dan tinggi bergerak dalam kebun pisang sambil mematahkan
batang-batang pisang.
Dalam saat-saat tertentu, bayang-bayang itu memperlihatkan bentuk
badannya yang sebenar. Wajahnya mengerutu. Dagunya panjang. Kepalanya
botak dan kuku dari sepuluh jarinya terjulur kira-kira dua kaki. Biji matanya
terperosok ke dalam dan mengeluarkan cahaya yang halus.
“Tak ada apa-apa pun Tamar,” balas datuk.
“Ada hantu tuk.”
“Ah jangan mengarut mana ada hantu di sini, cepat jangan fikir yang bukanbukan.” Sergah datuk.Saya cuba melangkah tapi tidak terdaya. Bayang-bayang itu serasa memburu
saya. Bila melihat keadaan saya begitu. Datuk terus mendukung saya.
Sampai di rumah saya diletakkan di anjung. Saya terkapar di situ. Tidak
terdaya bangun. Sendi-sendi badan terasa tidak dapat digunakan seperti
selalu. Datuk terus menunaikan fardu Maghrib. Sementara menanti datuk
selesai sembahyang bayang-bayang aneh itu terus mengganggu saya dalam
pelbagai bentuk.
Ada ketikanya wajah yang mengerutu itu mengeluarkan darah ke seluruh
muka. Ada ketika lain pula bertukar menjadi wajah yang paling hodoh
dengan mata satu di tengah dahi. Dari kulit wajah yang hodoh itu keluar
beribu cacing tanah. Dan cacing itu dimakannya macam orang makan mi
rebus atau mi goreng.
Paling menakutkan bila bayang-bayang itu mempamerkan giginya yang
bertaring dua. Darah celah-celah taring kulit keluar ulat tidak ubah macam
ulat tahi dengan bau yang amat busuk. Saya tidak terdaya melawan. Hanya
berserah pada Allah.
“Ayahmu menghalang apa yang aku buat, sekarang aku mahu kamu
merasakan kesakitan dari apa yang aku buat,” terdengar bergemuruh suara
dari bayang-bayang tersebut, waktu saya mendengar suara itu, saya melihat
cacing tanah berguguran dari wajahnya lalu menimpa muka saya.
Kemudian, saya terlihat kaki besar, seperti kaki gajah yang kulitnya
berlapis-lapis. Dari lapisan kulit yang berbulu itu mengalir nanah bercampur
darah bersama ulat-ulat halus yang bentuknya panjang, kira-kira dua inci.
Ulat-ulat itu bergerak ke kiri dan ke kanan.
Anehnya, kaki itu cuma sebelah sahaja yang dapat saya lihat. Lagi sebelah
saya tidak tahu ke mana perginya. Kaki gajah itu bergerak untuk memijak
dada saya. Sampai di sini saya tidak terdaya lagi. Saya terus menjerit.
SUARA
Datuk dan nenek terus menerpa pada saya. Mereka meraba seluruh badan.
Saya tidak terdaya mengeluarkan suara. Tekak saya terasa amat kering dan
panas sekali.
“Ambilkan aku semangkuk air,” saya terdengar suara datuk. Air yangdiminta segera nenek adakan. Diserahkan pada datuk. Dengan tenang datuk
membaca surah Al-fatihah yang jumlahnya saya tidak tahu. Datuk curahkan
air itu ke muka saya. Bila air terkena muka baru saya boleh bersuara dan
tekak tidak terasa panas lagi.
“Apa yang kau nampak Tamar?”
“Benda dari kebun pisang datang.”
“Apa yang dibuatnya pada kamu?”
“Mahu memijak dada saya tuk.”
“Kenapa kau tak baca ayat Quran yang aku ajar untuk menghalau syaitan.”
“Saya terlupa tuk.”
“Ah…,”
Datuk dan nenek terus mengusung saya ke bahagian dapur, saya
dimandikan. Kemudian saya diletakkan atas katil lalu diselimutkan dengan
kain tebal.
Nenek terus mengurut badan saya.
“Cuba bangun dan berjalan,” saya terdengar suara datuk. Selimut saya buka.
Saya turun dari katil dan cuba melangkah. Saya terjatuh. Sepasang kaki saya
jadi lemah dengan tiba-tiba.
Kerana saya tidak mahu ditinggalkan sendirian di atas katil, nenek dan datuk
terpaksa mengusung saya ke tengah rumah. Saya disuruh duduk bersandar
pada dinding. Nenek meneruskan kerjanya di dapur. Dan datuk terus
membaca al-Quran.
Lebih kurang pukul dua belas tengah malam, datuk berhenti dari membaca
Quran. Suasana malam terasa sepi dan dingin sekali. Saya sudah dua kali
terlelap dalam duduk. Datuk sudah bersedia untuk melakukan sembahyang
sunat, sebelum melakukan sembahyang istikharah.
Tiba-tiba datuk menghampiri saya. Dia tidak jadi melakukan sembahyangsunat.
“Kalau kau mengantuk, biar tuk bawa kau ke dalam bilik.”
“Tak apa tuk, biarlah saya di sini.”
“Kalau sudah begitu kata kau, tak apalah.”
Tanpa diduga datuk terus menarik sepasang kaki saya dengan kuatnya. Saya
terus jatuh. Tetapi, saya tidak merasa sakit di bahagian kaki yang datuk tarik.
Saya tidak merasakan apa-apa. Jauh sekali untuk menjerit dan mengadu
sakit.
Datuk mendudukkan saya seperti sediakala. Air mukanya nampak berubah.
Saya dapat menduga datuk berada dalam keadaan pilu dan hampa yang amat
sangat. Tetapi, dia tidak mengeluarkan air mata. Datuk terus memeluk dan
mencium dahi saya.
“Tamar, kau lumpuh dengan tiba-tiba, kau tidak dapat menemani datuk ke
mana-mana, apa dosa cucuku hingga dia jadi begini,” keluh datuk. Dia terus
mencium saya dan saya terasa air matanya mengalir di dahi saya.
Datuk terus masuk bilik mengambil bantal. Dia suruh saya baring dan badan
saya terus diselimutkan. Saya lihat datuk berada dalam keadaan yang serba
salah. Sekejap menggigit bibir, sekejap menggigit bibir dan lidah.
Datuk terus membuka pintu dengan luasnya. Saya dapat melihat keadaan
yang gelap di luar. Angin malam terus menyerbu masuk ke dalam rumah.
Suara pungguk terdengar sayup-sayup, bersama dengan bunyi suara kucing
jantan mencari betina.
Belum pernah saya lihat datuk melakukan pekerjaan seperti itu. Macam
kerja orang bodoh membuka pintu rumah waktu malam. Tidak ada sesuatu
keindahan yang dapat dilhat dalam malam yang pekat, selain dari rasa sejuk,
bunyi burung pungguk, bunyi burung hantu dan lolongan anjing liar yang
memanjang dan menyeramkan.
Datuk terus duduk menghadapi pintu yang terdedah. Kerana perbuatan itu
agak asing bagi diri saya lantas saya menyoal.“Kenapa buka pintu tuk?”
“Ada tetamu yang nak datang malam ni, begitulah mengikut petua dan gerak
tubuhku Tamar.”
“Siapa orangnya tuk? Orang gila saja yang berjalan malam.”
“Aku sendiripun tak tahu, kalau yang datang baik, baiklah yang aku beri,
kalau jahat yang datang, jahatlah yang aku beri,” kata datuk.
Datuk terus duduk menghadapi muka pintu yang terdedah. Lengan bajunya
yang agak labuh itu nampak bergerak-gerak disentuh angin, begitu juga
dengan hujung rambutnya yang terjulur dari bawah songkok hitamnya.
Saya terdengar bunyi kucing menggaru papan yang diikuti dengan suara
burung tukang dan jampuk bersahut-sahutan. Datuk masih lagi duduk di
tempatnya.
“Masuk,” saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu sekeping papan
yang panjangnya kira-kira lebih dari lima kaki masuk ke tengah rumah
menerusi pintu, macam ada tangan ajaib yang menolak papan itu masuk.
Papan sekeping yang sudah agak reput itu membawa beberapa cebisan kain
putih yang terlekat pada papan tersebut tertanggal dengan sendirinya.
“Bukan papan dan kain saja yang datang, ada pengikutnya kenapa tak
tunjukkan diri, bukankah kita semuanya makhluk Allah,” ujar datuk dengan
tenang.
Habis sahaja datuk bercakap, semua tingkap rumah yang tertutup terbuka
dengan sendiri. Kemudian tertutup kembali. Papan sekeping di tengah rumah
terus bergerak tersandar pada dinding.
“Ada yang mengangkat dan mengubahnya, aku tahu iblis dan syaitan selalu
menipu dan menggoda manusia mengikut kemampuan yang ada pada diri
manusia, kalau manusia boleh mengubat manusia yang sakit, syaitan akan
mencelah untuk memesongkan keyakinan orang itu, kalau boleh cuba mahu
memaksa orang itu memainkan ayat-ayat Quran untuk tujuan yang tidak
baik,” datuk terus berkata-kata dengan tenang.Datuk terus berdiri. Saya lihat di depannya wujud seorang lelaki berjanggut
dan berjubah membawa tasbih. Orang itu tersenyum pada datuk. Bila datuk
hulurkan tangan untuk bersalam orang itu tidak mahu menyambutnya.
“Tak apa kau tak mahu bersalam dengan aku. Tetapi, aku megah kerana kau
datang dalam keadaan begini, kau datang seperti orang alim yang taat pada
hokum Allah, kau berbuat begitu kerana kau tahu aku selama ini patuh
dengan perintah Allah,” tambah datuk lagi.
Orang itu tersenyum. Dia terus membilang tasbih di tangan.
“Kau halang kerja aku?” suara lelaki itu keras.
“Halangan itu terjadi dengan izin Allah.”
“Tapi, aku memberi pertolongan pada orang yang memerlukan pertolongan,
bukan itu jalan kebaikan.”
“Bukan pertolongan, kau mahu memisahkan sebuah rumahtangga yang
didirikan oleh manusia dengan cara yang betul. Allah tidak menyuruh
sesiapapun di dunia memisahkan si suami dengan isteri yang dinikahinya
secara halal.”
Orang itu terdiam. Datuk tetap tenang. Saya saksikan kejadian dengan penuh
minat, meskipun kedua belah kaki saya ketika itu berada dalam keadaan
lumpuh.
“Aku ini Wali Allah, jangan permainkan aku.” Orang berjanggut dan
berjubah tinggikan suara. Tasbih di tangan terus dibilangnya tanpa berhenti.
“Tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa dirinya Wali Allah, sama ada
orang itu Wali atau tidak ditentukan oleh Allah Yang Maha Besar, bukannya
dirinya sendiri atau manusia yang masih hidup menentukannya, kau
syaitan,” pekik datuk.
Lelaki berjanggut dan berjubah jegilkan biji mata. Datuk terus membaca
ayat-ayat dari al-Quran. Tiba-tiba lelaki itu terus hilang. Tempatnya, segera
digantikan oleh bayang seorang lelaki.
Orangnya berbadan sederhana, memakai songkok dan misaim tebal. Sekaliimbas orang itu macam seorang yang baik dan warak. Orang itu merenung
wajah datuk.
Beberapa saat kemudian bayang orang itu hilang. Begitu juga dengan papan
sekeping di tengah rumah.
Datuk rapatkan daun pintu. Datang menghampiri saya. Badan saya
digosoknya berkali-kali.
“Masih ada halangan yang panjang kerana aku menolong Sariyah dan
menjadikan dia anak angkat aku,” kata datuk.
“Siapa orangnya tuk.”
“Aku tak kenal, tapi orang itu berteduh di bawah ketiak syaitan, banyak
menggunakan ilmu salah dan sihir dalam menolong orang, pandai
memainkan ayat-ayat suci untuk tujuan jahatnya.”
“Kenapa begitu tuk?”
“Aku pun tak tahu, mungkin untuk dihormati mungkin juga untuk mencari
wang, dan orang itu satu ketika akan membalas dendam,” keluh datuk
sambil merenung wajah saya.
LUMPUH DI KAKI
Perlahan-lahan datuk meraba dahi saya. Dari dahi jejari datuk merayap ke
pangkal tengkuk. Saya rasa jejari datuk sejuk macam ais.
“Keadaan badan kamu macam biasa, tidak panas dan tidak pula sejuk,
berdasarkan denyut darah yang aku rasa dari kepala hingga ke pangkal
tengkuk, kau masih ada harapan.”
“Maksud datuk?”
“Lumpuh di kaki kamu boleh sembuh jika diizinkan oleh Allah, cuma aku
mesti berusaha.”
“Bawa saya ke hospital untuk diperiksa, saya tidak mahu berubat dengan
dukun dan bomoh.”“Kalau itu yang kamu mahu, aku turutkan,” balas datuk dengan senyum.
Pintu yang terdedah terus juga menghantar angin malam ke dalam rumah.
Suara jampuk sudah tidak sehebat tadi, begitu juga dengan bunyi burung
hantu. Sesekali terdengar bunyi suara burung cenderawasih yang terbang
berkawan. Kokok ayam jantan pun meningkah dalam suasana malam yang
memburu pagi.
“Mudah-mudahan Allah akan memberkati segala usahaku,” datuk
melahirkan harapan, sambil meraba kedua belah kaki saya yang lumpuh dan
saya memang mengharapkan apa yang datuk katakan itu akan menjadi
kenyataan.
“Sabar Tamar, aku akan berusaha.” Sebaik sahaja datuk mengakhiri katakatanya, satu pancaran kilat melemparkan sinarnya ke dalam ruang rumah.
Datuk dan saya terkejut seketika.
“Barangkali hari nak hujan Tamar?”
“Agak-agaknya begitulah tuk.”
Datuk terus bangun. Ia memulakan langkah menuju ke pintu. Langkah satu,
langkah dua, dan tiga berjalan lancar. Langkah keempat segera terbantut.
Diganggu oleh bunyi petir yang amat kuat. Datuk segera menoleh kearah
saya. Bunyi angin kencang jelas kedengaran melanggar dedaun dan
reranting pokok di luar. Angin itu seolah-olah berlegar-legar di kawasan
rumah.
Datuk pun menghidupkan langkah yang mati. Ia berdiri di muka pintu
sambil kedua belah tangannya merapatkan daun pintu. Datuk terus
memasang selak pintu. Bunyi titik-titik hujan mula kedengaran bersama
dengan tiupan angin. Rasa dingin mula menyerbu tubuh badan. Kokok ayam
jantan terus kedengaran.
“Hujan tu rahmat Allah, menyegarkan pokok-pokok. Kata orang hujan
menjelang Subuh membawa berkat pada orang yang jaga, membawa celaka
pada orang yang tidur.”
“Silap tu tuk, sebetulnya membawa nikmat pada orang yang tidur dan tidakmembawa apa-apa pada orang yang jaga.”
“Dari mana kau belajar semuanya ini Tamar?”
“Dari kawan-kawan tuk.”
Saya lihat datuk tersenyum panjang mendengar kata-kata itu. Ia terus duduk
di sisi saya. Kedua belah kaki saya yang lumpuh diurutnya perlahan-lahan.
“Celaka pada orang yang tidur maksudnya, orang itu tidak akan bangun
menunaikan sembahyang Subuh kerana terlalu seronok tidur waktu hujan
dan syaitan akan membekalkan dirinya dengan mimpi-mimpi yang indah.
Berkat pada orang yang jaga kerana ia dapat menunaikan sembahyang
Subuh dengan sempurna,” datuk menjelaskan pada saya. Saya terus
anggukkan kepala membenarkan kata-katanya itu.
Hujan lebat yang bermaharajalela di luar membuat saya menguap dan rasa
mengantuk yang amat sangat. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk macam
ayam mabuk tahi. Kalau datuk tidak ada di sini, sudah lama saya
berdengkur.
“Aku nak sembahyang jemaah di masjid Tamar.”
“Hujan, macam mana tuk nak pergi?”
“Walau macam mana susah pun, perintah Allah tidak boleh diketepikan.
Aku ni sihat dan diberi akal, lagi pun masjid bukannya jauh dengan rumah,
aku pakai payung, kalau tak ada payung cari daun pisang.”
“Uzur macam saya ni tak payahlah sembahyang tuk.”
“Kena, kalau kau tak boleh bangun, boleh sembahyang cara duduk, soal
utama perintah Allah mesti ditunaikan.”
“Hum…,” keluh saya dalam hati.
Datuk segera mengejutkan nenek. Kemudian, ia terus keluar ikut pintu
dapur. Pesan datuk, nenek mesti menjaga saya supaya jangan terlelap
kecuali matahari sudah memancar, saya dibenarkan tidur.“Jaga si Tamar tu jangan sampai ia tertidur, kalau tertidur sentap kedua
belah kakinya sekuat hati,” saya dapat mendengar pesan terakhir dari datuk.
Kerana tidak mahu kaki saya ditarik secara mengejut, saya mengambil
keputusan tidak akan tidur hingga tengahari. Salah satu cara bagi
mengelakkan saya tertidur, saya minta nenek bercerita sambil memicit kedua
belah kaki saya. Permintaan saya itu ditunaikan oleh nenek. Baru sahaja
nenek mahu memulakan cerita dan mengurut, terdengar azan Subuh dalam
deru hujan. Suara azan itu sungguh merdu dan menusuk perasaan. Saya
terpegun sambil mengingati kebesaran Allah yang menjadikan alam semesta.
“Biar aku sembahyang dulu, jangan tidur,” nenek mengingatkan saya dan
terus menuju ke ruang dapur untuk mengambil air sembahyang.
Nenek menunaikan fardhu Subuh dekat saya. Masa nenek sembahyang itu
saya dapat peluang merapatkan kedua belah kelopak mata. Tetapi, saya tidak
dapat tidur dengan sempurna, bila mahu terlelap, saya didatangi oleh mimpimimpi yang menggerunkan, membuat saya terjaga kembali. Setelah selesai
menunaikan sembahyang nenek terus ke dapur. Ia kembali menghampiri
saya dengan membawa mangkuk tembikar besar berisi kerak nasi bercampur
air dingin.
“Buat apa benda ni nek?”
“Untuk mengubat kaki kau, supaya urat-uratnya jangan kaku.” Nenek terus
melumurkan kerak nasi pada sepasang kaki saya.
Aduh, sejuknya sampai ke tulang. Nenek tersenyum melihat wajah saya
yang berkerut-kerut. Saya merasa beruntung kerana nenek hanya
melumurkan kerak nasi ke kaki sebanyak tiga kali. Kalau lebih dari itu, pasti
saya terkencing. Sebelum matahari terbit di kaki langit, datuk sudah berada
di rumah. Ia sudah pun mandi air embun dan melakukan senaman.
Mungkin, nenek mahu menjaga hati saya supaya tidak rasa disisihkan.
Nenek membawa hidangan sarapan ke tempat saya duduk. Sikap nenek yang
mementingkan perasaan orang lain, membuat hati saya rasa gembira.
Walaupun saya sakit tetapi tidak terpisah untuk bersarapan bersama nenek
dan datuk seperti keadaan sebelum sakit dulu. Selesai sarapan, datuk terus
menyatakan pada nenek untuk membawa saya ke hospital. Wajah nenek
nampak berubah setelah mendengar kata-kata datuk itu.“Kenapa tak berusaha cara kampung?” tanya nenek.
“Kita sekadar memenuhi hajat Tamar.”
“Kalau tak mahu sembuh bagaimana?”
“Kita cuma berusaha, doktor yang mengubat orang sakit tu pun berusaha, dia
tidak dapat menentukan penyakit seseorang itu boleh sembuh, tanpa
diizinkan Allah.:
“Saya faham, selalunya awak tidak begitu, awak tak suka berubat dengan
doktor.”
“Awak silap, saya tak suka tu, kalau sakit itu terjadi pada diri saya, pada
orang lain saya galakkan jumpa doktor, bukankah doktor tu belajar dan
mempunyai alat-alat yang lengkap, kita cuma ada petua saja.”
“Begitu pula,” keluh nenek.
TEKSI
Datuk terus meninggalkan saya dan nenek. Ia pergi mencari teksi. Setengah
jam kemudian, datuk kembali dengan teksi tua milik Awang Said. Saya pun
diusung ke dalam teksi. Duduk di bangku belakang bersama nenek. Datuk
duduk di hadapan bersama Awang Said.
Dalam perjalanan menuju ke hospital daerah yang terletak di bandar kecil
Lumut, datuk terus berborak rancak dengan Awang Said. Sampai sahaja di
hospital yang terletak di atas bukit kecil yang menghadapi Selat Dinding,
saya diusung ke bilik pemeriksaan.
Doktor yang memeriksa saya ialah Doktor M.K. Menon. Orangnya peramah,
pandai berbahasa Melayu meskipun ia dari keturunan Ceylon. Setelah
diperiksa, doktor terus menyatakan pada datuk semua gerakan darah dalam
kaki saya berjalan lancar dan baik. Doktor itu merasa pelik bagaimana sakit
lumpuh itu boleh terjadi. Kaki saya terus di X-ray. Hasil dari X-ray juga
menunjukkan urat-urat di kaki berada dalam keadaan baik, tidak ada yang
tersimpul atau terputus. Keadaan darah juga macam biasa. Saya jadi lemas
dan bosan kerana terlalu banyak pemeriksaan dilakukan sebelum sayadiletakkan dalam wad.
Sebulan lebih saya merengkok dalam hospital. Hari-hari daging paha saya
disuntuk, kesanya tidak mendatangkan apa-apa, tidak ada tanda-tanda sakit
lumpuh yang saya alami akan sembuh. Walaupun demikian, hati saya tetap
terhibur. Setiap pagi nenek mengunjungi saya untuk melumurkan kerak nasi
di kaki. Nenek tidak peduli dengan teguran beberapa orang jururawat yang
bertugas di wad tersebut yang melarangnya membawa kerak nasi serta
melumurkan ke kaki saya.
Nenek menerima larangan itu dengan wajah yang manis, penuh simpati
melambangkan sifat seorang wanita kampung yang banyak menyerahkan
sesuatu pada keadaan. Tidak mudah mahu melawan atau membantah tetapi
banyak merayu.
“Saya berikhtiar cara orang kampung cu, bukan mahu melawan doktor, saya
tahu cu lebih pandai dari saya, doktor lagi pandai, kalau tak boleh sebelah
pagi biar saya buat sebelah malam,” itulah yang diucapkan oleh nenek setiap
kali jururawat yang bertugas menegur perbuatannya.
Di Lumut, nenek menginap di rumah anak buahnya yang bekerja sebagai
pemandu kereta dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jarak rumahnya
dengan hospital tidak jauh. Tidak sampai setengah batu. Tidak menjadi
masalah untuk nenek mengunjungi saya sehari dua kali, pada sebelah pagi
dan petang atau pada sebelah malam.
Biasanya, pada sebelah petang atau malam, ia ditemani oleh anak buahnya
yang dipanggilnya sebagai Din sahaja. Nenek menyuruh saya memanggil
lelaki yang kurus tinggi itu sebagai Pak Din. Dalam masa tertentu nenek
selalu menceritakan pada saya tentang hubung-kait dirinya dengan Mat
Ladin ayah pada Pak Din. Pak Din yang sudah berkeluarga itu juga
menasihati saya supaya sabar. Di samping itu, ia juga berjanji akan
berikhtiar mencari bomoh atau pawang terkenal dalam usaha
menyembuhkan kaki saya yang lumpuh itu.
Secara jujur saya katakan pada Pak Din yang saya tidak begitu tertarik untuk
mengubati kaki saya yang lumpuh itu dengan dukun atau bomoh. Sebabnya,
terlalu sulit mencari seorang dukun yang jujur dan pandai, kebanyakan
dukun atau pawang bila mengubati seseorang selalu menurun dengan
memanggil roh datuk nenek yang saya kira, perbuatan itu bertentangandengan ajaran Islam.
LAWAT
Pada suatu pagi, setelah nenek pulang. Katil saya dikunjungi oleh seorang
lelaki tua. Tinggi lampai orangnya. Dari raut wajahnya, saya dapat meneka
bahawa lelaki tua itu berbangsa Cina.
“Saya Hassan.”
“Saya Tamar.”
Saya segera menyambut huluran tangan orang tua itu. Saya mempersilakan
ia duduk di katil. Ia memakai seluar warna kelabu tahi anjing. Bajunya
berwarna putih yang dibuat dari kain belacu. Bentuknya, seperti bentuk baju
yang selalu digunakan oleh pekebun-pekebun sayur bangsa Cina. Bahagian
tengkuknya bulat, macam tengkuk baju Melayu yang selalu dipakai oleh
orang-orang Melayu Johor. Di tempat saya baju jenis ini disebut sebagai
baju Melayu Teluk Belanga. Bahagian depan baju orang tua itu mempunyai
lima butang. Songkok putih (ketayap) yang dipakainya cukup bersih. Saya
kira ia seorang saudara baru Islam (mualaf) yang mahu mengutip derma.
Saya nanti ia menghulurkan kertas derma. Tetapi ia tidak berbuat demikian.
“Dah lama masuk agama Islam?” Orang tua itu merenung muka saya
sejenak. Ia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu saya. Kemudian ia
menarik nafas, seolah-olah dirinya berhadapan dengan sesuatu kekecewaan
yang amat sangat.
“Setiap orang Melayu yang saya temui, mereka akan bertanya seperti apa
yang awak tanyakan, saya tak salah kan mereka kerana mereka tidak tahu.”
“Cuba terangkan hal yang sebenarnya pada saya.”
“Nanti dulu, barangkali petang ini, esok atau lusa awak akan tahu juga,”
balas orang tua itu dengan tenang.
Kerana tidak mahu mengganggu fikiran dan perasaannya, perkara itu tidak
saya ulangi. Setiap para pekerja hospital Lumut yang bertugas dalam wad
tersebut akan memberi salam pada orang itu dengan ramah sekali. Seolaholah mereka sudah mengenali orang tua itu sejak lama dan orang tua itutidak dilarang untuk menemui sesiapa sahaja pesakit yang ingin ditemuinya.
“Anak sakit apa?” tanyanya pada saya.
“Kedua belah kaki saya lumpuh.”
“Apa kata doktor tentang sakit tu.”
“Doktor sendiri tidak tahu puncanya, bila di x-ray dan diselidik, semua uraturat di kaki saya elok, darah berjalan dengan baik.”
“Dia tak suruh awak keluar?”
“Tidak, kata doktor penyakit saya masih dalam kajian, dua minggu lagi
doktor pakar dari Kuala Lumpur akan datang memeriksa saya.”
“Bersabarlah, esok saya datang jumpa awak, kalau diizinkan oleh Allah saya
akan cuba mengubati kaki awak.”
“Ubat kaki saya?”
“Ya.”
Orang tua itu terus bangun dan meninggalkan saya di katil, tanpa sempat
saya mengucapkan terima kasih padanya. Kepala saya terus digayuti dengan
bebagai-bagai persoalan tentang diri orang itu, yang saya anggap sebagai
orang tua yang ganjil. Bila nenek dan Pak Din menemui saya pada sebelah
petang. Semua yang saya alami pada sebelah pagi saya ceritakan pada
mereka. Nenek terus menggesa Pak Din supaya mengambil datuk yang
tinggal di kampung. Nenek mahu, datuk mesti berada bersama saya ketika
orang tua itu datang.
“Tak apa sekejap lagi saya ambil dia,” Pak Din memberikan ikrar pada
nenek. Tidak sulit bagi Pak Din mengambil datuk di kampung yang jaraknya
kira-kira tiga puluh batu.
“Saya pergi ambil dia,” tiba-tiba Pak Din bersuara dan terus keluar dari wad.
Saya renung wajah nenek yang duduk di sisi saya. Angin petang yang datang
dari arah Selat Dinding membekalkan rasa nyaman ke batang tubuh saya dannenek. Beberapa orang pelawat keluar masuk dari dalam wad. Mereka
melawat sahabat handai yang terlantar di situ.
“Kau kenal orangnya Tamar.”
“Tak kenal nek.”
“Habis macam mana dia mahu menolong kau.”
“Dia datang melawat saya, kemudian berjanji untuk menolong saya.”
Nenek menggigit bibir bawah setelah mendengar penjelasan dari saya.
Matanya merenung saya keluar wad. Macam ada sesuatu yang nenek
fikirkan. Macam selalu, sebelum nenek meninggalkan saya, ia pasti
menekankan ibu jarinya ke pangkal paha saya. Kenapa ia berbuat demikian,
saya sendiri pun tidak tahu.
Nenek keluar dari wad. Dengan renungan yang sayu saya melihat nenek
melangkah di jalanraya menuruni bukit kecil. Saya kira sepanjang perjalanan
menuju ke rumah Pak Din. Ia pasti mendoakan supaya sakit lumpuh yang
saya deritai akan berakhir. Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan lena.
Bahagian kaki saya yang lumpuh terasa amat sakit, macam ditikam dengan
jarum. Bisanya bukan kepalang.
Selain dari itu, wajah orang tua yang menemui saya pada sebelah pagi tadi,
sering-kali datang dalam kepala saya. Bermacam-macam sangkaan buruk
terhadap orang tua itu timbul dalam diri saya. Saya ragu-ragu, apakah
kedatangannya kelak benar-benar mahu menolong saya atau dia ada
menyimpan maksud yang tertentu. Mungkin ia mahu memperdayakan saya.
Susah benar saya mahu menyingkirkan semua persoalan itu dari dalam
kepala saya.
DATANG
Saya gembira, ketika matahari pagi melebarkan sayapnya ke dalam wad,
nenek dan datuk sudah pun berada di sisi saya. Wajah mereka kelihatan
tenang menanti kedatangan orang tua aneh.
“Kalau ia datang dengan tujuan baik untuk mengubat cucuku, aku terima
dengan baik, kalau ia datang dengan niat buruk, ia akan menerimapadahnya,” kata datuk pada nenek. Saya lihat nenek tidak menjawab katakata itu.
Beberapa orang jururawat yang bertugas pada sebelah pagi, berkeliaran
dalam wad. Mereka buat tidak tahu dengan kehadiran nenek dan datuk ke
katil saya, begitu juga dengan para pesakit yang ada dalam wad tersebut.
Rupanya, orang tua yang berjanji itu amanah orangnya. Tepat jam sembilan
setengah pagi ia sudah berada di tepi katil saya. Berkali-kali ia mengucapkan
Alhamdulillah, bila saya perkenalkan dirinya dengan datuk. Mereka terus
bersalam.
“Boleh saya sentuh kaki cucu awak?”
“Silakan.”
“Alhamdulillah.”
Orang tua itu, terus meraba-raba kedua belah kaki saya yang lumpuh. Ia
menekan beberapa urat di pergelangan kaki. Semua gerak-gerinya
diperhatikan oleh datuk dan nenek. Hasil dari sentuhan di urat kaki. Badan
saya terus berpeluh.
“Begini, pagi esok dan lusa saya datang lagi,” katanya sambil memberikan
saya serangkai buah tasbih. Ia menyuruh saya menyebut perkataan
Subhanallah seberapa banyak yang boleh sambil membilang buah tasbih.
Ia juga menyuruh saya meyakinkan diri yang saya tidak mengalami sakit
lumpuh. Hari kedua, orang tua itu datang lagi. Ia terus memicit urat-urat di
pergelangan kaki saya seperti hari pertama. Sebelum pulang, ia
membekalkan saya dengan sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Waqiah.
Ayat itu mesti saya baca pada setiap saat. Pada sebelah petangnya, saya
boleh menggerakkan kaki sebelah kanan dengan perlahan-lahan. Hal itu
segera saya beritahu pada datuk dan nenek. Mereka gembira. Hari ketiga,
orang tua itu datang lebih awal dari biasa. Kali ini semua daging di kedua
belah kaki saya dipicitnya hingga lebam.
Sakitnya Allah sahaja yang tahu, berair mata saya dibuatnya. Selalunya bila
selesai ia mengurut kaki saya, ia terus pulang. Tetapi kali ini ia tidak terus
pulang. Ia terus berada di sisi katil saya. Anehnya, bila doktor melawat ke
katil saya ia terus bercakap dengan doktor tentang keadaan kaki saya.Doktor hanya tersenyum dan terus mencatat sesuatu di kertas yang
tergantung di hujung katil saya.
Kira-kira pukul sebelah pagi, ia menyuruh saya bangun dari katil. Tentu
sahaja saya tidak dapat melakukan seperti apa yang dikatakannya. Mujurlah,
datuk dan nenek memapah saya. Saya dapat berdiri dengan dikapit oleh
nenek dan datuk. Kemudian orang tua itu menyuruh datuk dan nenek
tinggalkan saya. Saya dapat berpaut pada datuk. Orang tua itu menyuruh
datuk memimpin saya berjalan.
“Tolak,” saya terdengar suara orang tua itu. Dan saya dapati datuk
meninggalkan saya sendirian. Kerana datuk tidak menolak saya, orang tua
segera datang dekat saya dan terus menolak bahu saya.
Saya terasa badan saya mahu jatuh ke kanan. Saya cuba mengimbangi badan
suapaya jangan jatuh. Dalam keadaan cemas begitu, saya dapat
mengimbangi badan saya dan terus melangkah beberapa langkah ke depan
dan akhirnya berhenti dekat sebuah katil pesakit lain. Saya terus berdiri di
situ, sambil memikirkan apakah kaki saya sudah tidak lumpuh lagi. Saya
segera teringatkan cakap orang tua yang menyuruh saya menyakinkan diri
bahawa saya tidak lumpuh. Berpegangkan pada keyakinan itu, saya terus
melangkah mendatangi katil saya. Ternyata saya boleh berjalan. Kaki saya
sudah tidak lumpuh lagi.
“Alhamdulillah, kaki cucu awak sudah sembuh,” kata orang tua itu pada
datuk dan nenek.
Apa yang menarik perhatian saya, bila datuk dan nenek mengucapkan ribuan
terima kasih, orang tua tidak mengucapkan perkataan sama-sama seperti
yang dilakukan oleh kebanyakan orang bila menerima ucapan terima kasih.
Ia hanya menjawab dengan perkataan Alhamdulillah. Seolah-olah orang tua
itu bagaikan tidak mengerti dan faham dengan budi bahasa orang Melayu.
Petang itu juga, kaki saya terus diperiksa oleh doktor M.K. Menon. Dan ia
mengakui kaki saya sudah pulih seperti sediakala. Bila datuk menyatakan,
orang tua itu yang berusaha memulihkan kaki saya, doktor M.K. Menon
hanya tersenyum sahaja. Saya dan nenek terus pulang ke rumah Pak Din.
Datuk tidak ikut pulang kerana ia mahu bercerita panjang dengan orang tua
yang menolong saya itu.Sampai di rumah Pak Din, nenek masih mengingatkan saya supaya jangan
bergerak terlalu cergas, menurutnya kaki saya belum begitu baik lagi. Pukul
lima petang baru datuk pulang ke rumah Pak Din. Nenek terus mengajak
datuk pulang ke kampung. Cadangan nenek itu dibantah oleh datuk, kerana
ia sudah berjanji dengan orang tua untuk sembahyang Maghrib dan Isyak
bersama di masjid Lumut.
“Saya setuju, tidur lagi semalam di sini, esok baru balik,” ujar Mak Bedah,
isteri Pak Din menyokong cadangan datuk. Nenek akur dengan permintaan
datuk dan Mak Bedah. Saya tersenyum, kesempatan untuk bermesra dengan
anak-anak Pak Din terbuka luas.
MASJID
Pada mulanya hasrat saya untuk menemani datuk ke masjid ditentang oleh
nenek. Alasan nenek cukup kuat kenapa ia berbuat demikian. Pertama,
keadaan kaki saya belum begitu kuat. Kedua, orang yang baru sembuh dari
lumpuh tidak boleh kena angin dan embun malam.
“Tak mengapa biarlah Tamar ikut saya berjemaah di Masjid. Lepas
sembahyang Isyak, kami balik. Lagi pun saya ada bersamanya,” kata datuk.
“Saya tahu tapi, sejauh mana awak boleh mengawalnya. Awak tahu, kalau
kakinya kena embun, salah satu kakinya akan mengecil dan tidak ada
mempunyai buah betis.”
“Dengan izin Allah saya boleh mengawalnya,” balas datuk. Nenek terus
menarik nafas panjang.
Saya dan datuk terus melangkah ke masjid Lumut yang letaknya di suatu
kawasan yang agak tinggi. Dari pintu masjid saya dapat melihat pangkalan
yang jadi tumpuan orang ramai untuk pergi ke Pulau Pangkor, Damar Laut
dan Kampung Baru.
Ramai juga yang sembahyang jemaah di masjid tersebut, kebanyakannya
terdiri dari kakitangan kerajaan. Lepas sembahyang Maghrib dan Isyak
datuk terus membaca al-Quran yang memakan masa hampir satu jam. Orang
tua yang merawat saya di hospital juga ada di situ. Ia membaca surah yasin
dengan penuh khusyuk. Orang itu menamatkan pembacaan surah yasin. Ia
terus mendekati saya sambil tersenyum.“Saya harap sakit di kaki tidak akan berulang lagi.”
“Saya juga berharap begitu.”
“Bersyukurlah pada Allah,” katanya lalu menepuk-nepuk bahu kanan saya.
Datuk berhenti membaca Quran. Ia terus menghampiri saya dan orang tua
yang duduk di tengan masjid. Semua para jemaah sudah pulang. Sesekali
terdengar hembusan angin yang datang dari Selat Dinding menguasai ruang
masjid yang luas.
“Tak balik?” tanya datuk pada orang tua itu.
“Tidak, saya tak ada rumah, saya bermalam di masjid ini untuk seminggu
dua kemudian saya akan berjalan dan bermalam di masjid lain pula.”
“Macam mana kalau malam ini, bermalam di rumah saudara saya.”
“Alhamdulillah, saya minta maaf.”
Datuk menggigit bibir mendengar jawapan dari orang tua itu. Memang
perangai datuk, dia merasakan dirinya tidak lengkap, kalau ia tidak
mengenali latar belakang orang yang dikenalinya.
“Maafkan saya, kalau pertanyaan saya kurang menyenangkan diri awak?”
“Silakan, saya tak marah.”
“Dah lama masuk Islam?”
“Sejak berada dalam perut ibu saya.”
“Awak mempermain-mainkan saya.”
“Tidak saya bercakap benar.”
Datuk terdiam sambil merenung wajah saya berkali-kali. Mungkin orang tua
itu tahu, apa yang bergolak dalam dada datuk. Dan ia merasakan dirinya
perlu menyelesaikan rasa sangsi yang bersarang dalam dada datuk dan saya.Di bawah bumbung masjid yang tenang didakap malam. Orang tua tersebut
terus mengungkapkan kisah dirinya pada saya dan datuk.
Menurutnya, ia berasal dari Yunan satu daerah di Negara China. Semua
penduduk di situ beragama Islam sejak abad ke-8 yang dikembangkan oleh
pedagang-pedagang Islam dari Tanah Arab.
“Minta maaf, kalau saya katakan bahawa kami lebih awal mengenali agama
Islam, jika dibandingkan dengan kedatangan Islam ke Melaka. Saya bukan
baru sepuluh atau dua puluh tahun beragama Islam, saya Cina Islam tulin,
sejak datuk nenek lagi,” orang tua itu memperkemaskan silanya.
“Masih ada lagi kaum keluarga di sana,” soal datuk.
“Itu saya tak tahu, hanya Allah saja yang menyelamatkan diri mereka.”
“Saya tak faham dengan cakap awak.”
“Kalau awak mahu memahaminya, saya terpaksa bercerita panjang,
mahukah awak mendengarnya.”
“Mahu,” sahut datuk.
Orang tua itu tunduk merenung lantai masjid. Kemudian ia membaca doa.
Katanya, doa itu untuk para arwah umat Islam di tempatnya. Bila dia selesai
membaca doa, wajah datuk direnungnya dengan pandangan yang sayu. Ia
pun memulakan ceritanya.
“Bila komunis berkuasa kebebasan terus disekat, orang-orang Islam di
tempat saya ditekan,” katanya memulakan kisah dirinya.
Menurut orang tua itu lagi, ayahnya menjadi Imam Masjid dan dihormati
oleh para penduduk setempat. Pihak komunis kurang senang dengan
kegiatan ayahnya. Mereka melarang ayahnya menjadi imam dan
menggunakan masjid.
Melihat tekanan yang begitu kuat terhadap diri ayahnya membuat ia
membentuk satu pasukan yang terdiri dari tiga orang pemuda untuk
mempertahankan kesucian agama Islam di samping menghalang anggota
komunis dari membunuh dan memukul orang-orang Islam yang sedangbersembahyang.
“Dua orang kawan saya ditangkap dan dihukum tembak selepas menunaikan
sembahyang Zuhur, saya sungguh sedih dengan peristiwa tersebut, dua hari
kemudian saya terus bertindak menetak dua orang anggota komunis yang
berkawal di kampung saya,” orang tua itu berhenti bercerita.
Ia menelan air liur dan meraba pangkal hidungnya berkali-kali. Menahan
rasa sedih yang mula menggoncang dada. Akibat dari tindakannya yang
terburu-buru itu. Dia terus diburu oleh anggota komunis. Ia berpisah dari
kedua orang tua yang dicintai.
Pada suatu malam ia berjaya meloloskan dirinya masuk ke rumah. Ia terus
meminta pertolongan dari ayahnya untuk menyelamatkan dirinya. Ia kecewa
bila orang tuanya menyatakan tidak dapat berbuat sesuatu terhadapnya.
Orang tuanya menyuruh ia melakukan sembahyang Istikharah. Lepas
sembahyang tersebut, orang tuanya menyuruh ia berzikir hingga menjelang
fardhu Subuh.
“Saya masih ingat, ketika saya melakukan sembahyang Subuh, emak saya
memasukkan pakaian saya ke dalam beg kecil berserta dengan bekalan nasi
serta wang,” orang tua itu berhenti bercerita. Ia termenung panjang.
“Ayah menyuruh saya meninggalkan rumah setelah sembahyang Subuh.
Saya keberatan mahu mengikut cakapnya kerana kawasan rumah saya sudah
dikepung oleh orang-orang komunis, mereka tahu tentang kepulangan saya,”
kata orang tua itu pada datuk. Ia mematikan ceritanya.
“Akhirnya apa yang kau buat?” soal datuk.
“Ayah terus mendesak supaya saya meninggalkan rumah. Ia menyuruh saya
melangkah dengan kaki kanan dan terus membaca doa qunut sepanjang
perjalanan di samping meyakinkan yang diri saya dilindungi Allah.”
“Kau turut cakapnya?”
“Ya, saya turut cakapnya. Saya terus melangkah dan membaca doa qunut
sepanjang perjalanan. Dengan izin Allah, semua anggota komunis tidak
nampak saya. Akhirnya, saya bertemu dengan seorang lelaki dan membawa
saya ke sebuah pelabuhan lalu saya naik tongkang miliknya hingga sampaike Singapura.”
“Hebat pengalaman awak.”
“Semuanya atas izin Allah.”
Saya renung muka orang tua itu sejenak. Saya kira ceritanya berakhir di situ
sahaja. Sangkaan saya itu tidak tepat. Orang tua itu masih mahu bercerita
tentang dirinya.
Menurutnya, dari Singapura ia berhijrah ke Semenanjung dan
kedatangannya disambut oleh saudara-saudara Islamnya di semenanjng
dengan senang hati. Bagi menyarai kehidupannya, ia berniaga buku-buku
agama dan minyak wangi. Hasil dari berjimat cermat, ia sudah dua kali pergi
ke tanah suci.
Orang tua itu juga menceritakan pada datuk ketika di Yunan dulu, ia sempat
belajar dari orang tuanya cara-cara mengubat orang yang kena sakit lumpuh
dan bengkak paru-paru.
“Saya tak pakai hantu syaitan, saya memohon pada Allah berdasarkan pada
ayat-ayat dari quran. Tetapi, orang yang mahu diubati itu mesti diyakinkan
pada diri sendiri.”
“Awak mengubat orang sepenuh masa?” Datuk cungkil rahsia dirinya.
“Tidak, saya ni berniaga menjual buku-buku agama, minyak wangi, saya
merantau dari satu tempat ke satu tempat.”
“Kalau dah berniaga kenapa merayau ke hospital.”
“Ini amal jariah saya, kalau dulu saya pernah ditolong oleh orang, kenapa
saya tidak boleh menolong orang terutama orang seagama dengan saya.”
“Saya berdoa awak akan selamat sejahtera.”
“Alhamdulillah, memang sudah jadi kebiasaan saya, bila saya tinggal di
masjid yang berhampiran dengan hospital saya mesti pergi ke hospital untuk
menolong orang-orang yang memerlukan pertolongan seperti cucu awak.”Saya mula menguap. Tetapi, datuk saya lihat masih bertenaga. Tidak ada
tanda-tanda yang menunjukkan diri datuk akan mengantuk atau mahu tidur.
Ia masih ghairah lagi mahu mendengar cerita dari orang tua itu. Walaupun
apa yang ingin diketahuinya dari orang tua itu sudah habis.
“Cucu awak sakit ganjil, ada syaitan campur tangan.” Saya terkejut
mendengar cakap orang tua itu. Bulu tengkok saya mula berdiri.
“Boleh awak menolong saya dalam hal ini.”
“Minta maaf, awak berusahalah sendiri. Yakinlah syaitan akan kalah dengan
kuasa Allah,” orang tua itu segera bangun. Ia meminta maaf pada datuk
kerana ia mahu tidur.
“Besok saya akan merantau lagi menjual buku-buku agama ke arah selatan,
mungkin dua tiga bulan atau lebih saya akan datang ke sini,” katanya lalu
merebahkan badan di tepi dinding.
Saya dan datuk pun meninggalkan masjid Lumut, kira-kira pukul satu
malam. Sepanjang jalan menuju ke rumah Pak Din, suasana terasa amat sepi
sekali. Cuma terdengar bunyi deru bunyi angin dari Selat Dinding. Tiba-tiba
kaki kiri saya terkena air embun. Sakit datang serta-merta. Tidak terdaya
rasanya mahu melangkah. Mujurlah rasa sakit itu tidak lama, cuma lima
minit sahaja. Lepas itu kaki saya pulih kembali.
Lepas sarapan pagi di rumah Pak Din, datuk bergegas menuju ke masjid
dengan harapan untuk menemui orang tua tersebut. Ternyata, kedatangan
datuk sudah terlewat. Datuk diberitahu, oleh Tuk Siak masjid, yang orang
tua sudah meniggalkan masjid setelah menunaikan sembahyang Subuh.
Datuk pulang ke rumah Pak Din dengan rasa hampa.
“Tak apa, bila ia datang lagi saya beritahu Pak Long,” kata Pak Din, ketika
saya, nenek dan datuk masuk ke dalam perut teksi.
Waktu teksi bergerak meninggalkan bandar kecil Lumut saya melambailambaikan tangan pada Pak Din. Sejak hari itu, saya tidak pernah lagi
berjumpa dengan Pak Din.
Beberapa tahun yang lalu, saya menerima berita Pak Din sudah berhenti dari
jadi pemandu di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Khabarnya sejak berhenti,Pak Din membuka kedai makan di Lumut yang dikenali sebagai Warung Pak
Din.
Di samping itu Pak Din juga membawa teksi bagi menambahkan
pendapatannya. Anak-anaknya sudah besar-besar belaka dan sudah ada yang
bekerja.
