BERCAKAP DENGAN JIN jilid 6



<------ back
             Masih Dalam Ujian


Hujan turun mencurah-curah. Dentuman petir memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut. Tempias hujan terus menerpa ke kamar, lalu jatuh atas halaman akhbar yang tersadai di dada meja. Rasa dingin terasa menggigit kulit tubuh. Tingkap segera saya rapatkan.

Bunyi deru hujan amat jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu saya tersentak oleh bunyi petir, diikuti dengan cahaya kilat yang tajam menyelinap menerangi ruang kamar. Bagi menghilangkan kebekuan itu saya terus membaca berita yang termuat dalam akhbar.

Sejak pulang dari kampung halaman guru silat, saya dan Datuk menghabiskan masa ke kebun getah atau pisang, pada sebelah pagi. Pada sebelah petangnya pula, pergi ke sawah. Kalau tidak turun ke sawah kami pergi memburu ayam hutan atau melihat jerat di pinggir belukar.

Satu hal yang membanggakan Datuk ialah, kerana saya sudah pun menamatkan ilmu persilatan dengan guru silat. Sudah diadakan ujian dan menutup gelanggang tetapi, Datuk tetap mengatakan apa yang saya tuntut itu masih belum cukup. Mesti diperlengkapkan dengan pengalaman dan ujian-ujian yang tidak diduga.

Di samping itu, Datuk tetap menyuruh saya menambahkan ilmu mempertahankan diri sebanyak yang terdaya oleh saya.

“Kau harus belajar lagi, jangan sampai terpesong dari ajaran Islam. Kau harus mendalami ilmu agama kamu,” secara mendadak sahaja saya teringat cakap Datuk. Saya senyum sendirian. Bunyi deru hujan mula beransur reda.

Sudah hampir enam bulan saya meninggalkan kampung halaman guru silat. Tidak ada berita tentang bomoh tua yang disampaikan oleh adik guru silat kepada Datuk. Apakah bomoh tua itu sudah bertaubat atau kian mengganas? Apakah adik guru silat tidak pernah menulis surat pada abangnya? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Saya membuat keputusan sendiri. Besok atau lusa saya akan menemui guru silat untuk bertanyakan perkara tersebut. Kalau guru silat enggan bercerita, saya sendiri akan menulis surat pada beberapa orang kawan di kampung halaman guru silat.

“Bagaimana kalau aku sendiri pergi ke sana, menyiasat keadaan yang sebenar? Tidak mungkin. Kalau Datuk tahu aku pergi sendirian ke sana, teruk aku kena penamparnya,” bisik hati kecil saya.

Saya senyum sendirian teringatkan tingkah laku bomoh tua di hari meninggalkan kampung halaman guru silat. Bomoh tua itu menahan perjalanan kami yang mahu pergi ke perhentian bas. Dia mengingatkan Datuk tentang hasratnya untuk bersahabat dengan Datuk, ingin belajar sesuatu dari Datuk.

Ternyata hati Datuk tidak dapat dilembutkannya. Datuk menyuruh dia bertaubat dulu serta kembali ke jalan yang betul.

Pada mulanya, saya begitu menyesali sikap Datuk yang tidak mahu bertolak ansur itu. saya kesal kerana Datuk begitu angkuh dengan orang yang mahu menjalinkan persahabatan dengannya. Rasa kesal saya itu berakhir bila saya menerima penjelasan dari guru silat.

“Tuk kamu tak angkuh Tamar. Dia tahu bomoh tua tu tak ikhlas, bomoh tu mahu memperdayakan dirinya,” satu penjelasan dari guru silat. Tapi, saya kurang yakin dengan penjelasan itu. guru silat segera melanjutkannya.

“Kau sendiri tahu, Datuk kau bersikap lembut. Dia suruh bomoh tua itu bertaubat. Bila bomoh itu mengetahui dan bersedia mahu bertaubat tentu dia mahu bersahabat. Datuk kau terlalu berhati-hati,” sambung guru silat ketika berada dalam bas, waktu kami pulang dulu.

Akhirnya saya percaya dengan apa yang diluahkan guru silat tersebut. Sebabnya bukan apa-apa. Saya mahu mendapat keterangan yang tepat dari Datuk. Kata Datuk, dia memang menghargai hasrat bomoh tua itu. tetapi, dia tidak yakin apa yang dikatanya itu ikhlas dan jujur. Buktinya, waktu kamu mahu naik bas, bomoh tua itu cuba menggunakan ilmu hitamnya dengan memasukkan segenggam pasir ke dalam beg kain yang saya galas.

Pasir tersebut bila berada dalam beg dalam jangka waktu lebih kurang tiga jam akan bertukar menjadi habuk yang cukup halus macam habuk rokok. Melekat pada pakaian. Bila pakaian itu dipakai, seluruh tubuh menjadi bengkak dan gatal.

Bila terlalu kerap digaru, kulit akan tercalar lalu berair. Dan air itu akan mengeluarkan bau yang busuk. Tidak ada ubat yang boleh menghilangkan penyakit tersebut kecuali dengan cara tradisional iaitu menggunakan pasir yang sudah digoreng dengan hampas tebu. Hanya orang-orang yang tahu sahaja yang boleh melakukannya.

Bukan senang mencari orang yang tahu cara perubatan tradisional itu. kalau tidak menemui orang yang tahu, alamat si sakit akan menderita sampai mati. Mujurlah Datuk sempat bertindak. Kalau lambat bertindak, padahnya akan ditanggung sampai mati. Cara Datuk mengesan perbuatan bomoh tua itu juga amat menarik.

Bila Datuk terpandangkan bomoh tua menaruh pasir ke dalam beg yang saya galas, Datuk segera mengoyakkan bahagian bucu beg. Semua pasir di dalamnya terus jatuh di permukaan jalan raya, menjadi debu. Melihat tindakan Datuk itu, bomoh tua berasa malu lalu meninggalkan kami tanpa mengucapkan sesuatu.

Walaupun begitu Datuk masih yakin bomoh tua itu akan membalas dendam. Bila masanya bomoh tua mahu bertindak tidak ada sesiapa pun yang tahu. Walaupun begitu, Datuk tetap berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk serahkan segala-galanya pada Allah yang maha kuasa.

“Assalamualaikum.”

Saya tersentak dari lamunan.

“Wa'alaikumsalam, naiklah.”

Terdengar suara Datuk menjawab. Perasaan saya bagaikan digaru-garu mahu mengetahui suara siapakah yang memberi salam. Rasa-rasanya saya pernah mendengar suara itu. Di mana dan bila, saya kurang pasti. Saya terus mengamati dengan teliti suara orang yang bercakap dengan Datuk itu.

“Ah, dia datang.”

Saya melonjak kegembiraan dan terus bangun. Buku jendela, titik hujan sudah berhenti luruh dari dada langit. Saya keluar dari kamar lalu menuju ke ruang tengah. Senyum tetap terukir di bibir dan hati terus dikocak kegembiraan.

“Kamu dari mana Tamar?” Tanya guru silat.

“Apa lagi, buat tahi mata lebih-lebih lagi waktu hujan begini,” tingkah Datuk. Saya terus duduk dekat guru silat.

“Saya tak tidur tuk!”

“Kalau kau tak tidur, kau buat apa dalam bilik?”

“Saya membaca tuk.”

“Kau baca apa?”

“Baca surat khabar.”

“Hummmmm aku ingatkan baca kitab,” Datuk juihkan bibir sambil menarik nafas panjang. Guru silat terus senyum. Belakang saya ditepuknya dua tiga kali berturut-turut.

Saya merenung ke arah jam dinding. Sudah petang. Secara mendadak saya teringat hari itu adalah hari Khamis. Bila matahari terbenam di kaki langit, saya akan berada dalam suasana malam Jumaat. Ada beberapa aturan yang mesti saya patuhi. Peraturan itu amat membosankan tetapi apakan daya saya terpaksa mematuhinya.

Biasanya setelah menunaikan fardu Maghrib, Datuk berwirid panjang. Lepas itu membaca surah al-Waqiah atau surah al-Mulk atau surah at-Taubat. Jika tidak membaca salah satu surah itu, dia akan membaca surah Yasin. Pokoknya, dari waktu Maghrib hingga sampai waktu Isyak mesti diisi dengan kegiatan yang mendatangkan faedah. Kegiatan itu ditamatkan setelah menunaikan sembahyang Isyak.

Memang menjadi kebiasaan saya, setelah selesai menunaikan fardu isyak saya menyusur tepi dinding perlahan-lahan kemudian menyelinap masuk ke kamar lalu mematikan diri. Saya tidak mahu melibatkan diri dengan Datuk untuk membaca Quran.

“Eh, apa yang kamu menungkan, Tamar?”

Nenek sergah saya. Cepat-cepat saya renung ke arah Datuk dan guru silat. Mereka juga saya lihat mengelamun tetapi anehnya kenapa nenek tidak menegur mereka.

“Jangan fikir apa-apa. Minum kopi panas ni,” tambah nenek lalu meletakkan cawan kopi di depan saya, di depan Datuk dan guru silat. Asap nipis merayap di permukaan cawan.

“Kopi bujang aje ke?” usik Datuk.

“Ada kawannya. Tunggulah dulu.”

Nenek terus menuju ke dapur. Datang kembali bersama mangkuk bubur kacang. Bau daun pandan yang ditaruh dalam mangkuk bubur membuat selesa saya terbuka luas.

“Memang bagus ni,” kata guru silat.

“Silakan,” pelawa Datuk.

“Ya, sila. Jangan malu,” tingkah nenek.

“Jangan bimbang, fasal makan saya memang tak tolak punya,” guru silat berjenaka disambut dengan ketawa. Nenek kembali ke ruan dapur. Saya memang mengharapkan kedatangan guru silat pada petang itu akan membawa cerita yang baru dan segar untuk saya.

Kopi dalam cawan sudah habis, bubur dalam mangkuk juga sudah selesai. Cerita yang saya harapkan dari guru silat tidak juga muncul. Dia dan Datuk asyik bercerita tentang harga getah, asyik bercerita tentang babi hutan dan monyet yang menyerang tanaman di kebun. Cerita yang membosankan. Tetapi, saya masih bertahan di ruang tamu. Masih mengharapkan cerita dari guru silat.

LUNTUR

Dalam cita-cita yang meluap-luap itu tiba-tiba semangat jadi luntur untuk duduk berdepan dengan guru silat dan Datuk. Tidak ada gunanya menjadi kucing yang menunggu ikan dipanggang. Saya segera angkat punggung. Meraut bilah buluh di pelantar untuk membuat bubu lebih baik dari duduk di depan wajah manusia ini, bentak batin saya. Saya segera mencari pisau raut dan mengeluarkan bilah buluh dari tempatnya.

Sebaik sahaja saya bersila di pelantar, saya terdengar suara Datuk mengajukan pertanyaan pada guru silat.

“Apa kau tak dapat berita dari adik kamu?”

“Ada, pagi tadi saya terima surat darinya.”

“Apa cerita? Soal Datuk lagi. Guru silat saya lihat menarik nafas dalam-dalam. Dia termenung sejenak. Saya terus memasang telinga. Dan mengharapkan kata-kata yang terhambur dari guru silat akan menggembirakan hati saya.

Cepatlah, aku nak dengar cerita dari kampung halaman kamu guru silat, suara batin saya melonjak-lonjak. Saya jeling ke arah guru silat dan Datuk. Mereka kelihatan tenang dan bersahaja. Mungkin tidak ada sesuatu cerita yang menarik, sebab itulah agaknya guru silat tak mahu cerita apa-apa pada Datuk, saya cuba mendamaikan perasaan yang bergelora dalam dada.

“Saya bersyukur pada Allah.”

“Sebabnya?” Datuk menyoal.

“Bomoh tua tu…,” gosok batang hidungnya dua tiga kali. Saya keresahan menanti kata selanjutnya dari guru silat.

“Kenapa dengan bomoh tua tu? Dia dah bertaubat?” suara Datuk agak keras, mungkin tanda protes kerana guru silat lambat sangat menyambung kata-kata yang terputus.

“Bukan bertaubat.”

“Kalau bukan bertaubat, dia dah mati agaknya,” Datuk buat ramalan.

“Dia tak mati.”

“Habis dia buat apa?”

“Pindah ke tempat lain,” guru silat telan air liur.

“Ke mana?” Datuk tidak sabar lagi.

“Ke Langkawi.”

“Langkawi,” mulut Datuk separuh terbuka. Guru silat tunduk menatap permukaan lantai. Batang tubuh bomoh tua segera terpamer dalam tempurung kepala saya. Ketika itu juga saya bagaikan terdengar-dengar suaranya di gegendang telinga saya.

“Biarlah dia dengan halnya. Tapi, adik ipar kamu macam mana? Aku lebih suka mendengar cerita tentang dirinya dari mendengar cerita bomoh tua tu,” Datuk memperkemaskan silanya.

Kali ini saya cuba melintasi di depan Datuk. Berdiri dekatnya sebentar. Tiada teguran dari Datuk, ini menandakan Datuk tidak akan marah kalau saya duduk di sisinya untuk mendengar perbualan selanjutnya antara dia dengan guru silat. Dengan batuknya yang dibuat-buat, saya pun bersila tidak jauh dari guru silat.

“Menurut suratnya pada saya, dia dah boleh turun ke bendang, sudah boleh membuat kerja-kerja berat,” jelas guru silat.

“Syukurlah. Aku harapkan apa yang dialaminya akan mendatangkan keinsafan pada dirinya. Kemudian aku harap dia akan mengikut perintah Allah. Tidak lagi macam dulu, suka membuat kerja yang sia-sia,” Datuk menarik nafas dalam-dalam.

Saya terus melunjurkan sepasang kaki. Perbuatan saya segera ditegur oleh Datuk. Perbuatan saya itu, tidak senonoh dan biadab. Teguran dari Datuk segera saya patuhi. Guru silat nampak resah. Sesekali ekor matanya merenung ke arah saya.

“Saya juga harap macam tu,” guru silat bersuara lembut.

“Dari apa yang aku tahu, adik ipar kamu tu buas juga orangnya. Suka berjudi, suka menipu orang,” celah Datuk.

“Macam mana awak tahu semuanya ini,” mata guru silat terbeliak.

“Dari orang-orang kampung kamu dulu.”

“Ha, siapa yang cerita?” guru silat kerutkan kening.

“Beberapa orang yang aku jumpa di kedai kopi dulu yang menceritakan pada aku.”

“Tapi, saya tak nampak awak bercakap dengan sesiapa pun masa di kedai tu dulu.”

“Masa aku bercakap dengan mereka kau belum datang lagi ke kedai tu. Bila aku dah selesai bercakap, baru kamu datang.”

“Hum. Kalau macam tu, tak hairanlah kalau kamu tahu perangainya,” guru silat ketawa kecil. Perlahan-lahan dia menepuk pangkal paha Datuk.

“Aku harap kedua-duanya bertaubat,” ujar Datuk.

“Saya harap juga macam tu. Kedua-duanya lebih kurang saja perangainya,” guru silat menambah. Senyum terus berbunga di kelopak bibirnya.

“Kau,” guru silat renung ke arah saya.

“Selalulah datang ke tempat aku untuk mendalami ilmu yang ada,” sambung guru silat.

“Betul nasihat kamu tu, ilmu yang ada belum cukup lagi.”

“Bukan apa-apa. Saya cuma mengingatkan, ramai anak murid saya yang sudah tamat tak tamu datang lagi ke tempat saya untuk bertanya itu dan ini,” keluh guru silat. Di wajahnya terbayang kehampaan yang amat sangat.

“Ada masa saya tetap ke sana. Saya tahu apa yang ada pada saya ni masih belum cukup. Banyak perkara lagi yang mesti saya pelajari,” itulah janji saya pada guru silat. Ternyata janji itu menghadiahkan kegembiraan yang amat sangat untuknya.

“Dah pukul berapa sekarang Tamar?”

“Ha,” saya segera meraba pergelangan tangan kiri. Hari ini saya terlupa memakai jam. Saya segera bangun tetapi terpaksa duduk kembali. Guru silat memegang pergelangan tangan kanan saya.

“Kamu nak ke mana Tamar?”

“Nak tengok jam.”

“Jam tangan kamu yang aku hadiahkan minggu lalu mana dia?”

“Saya lupa pakai pak guru.”

“Tak tahu menghargai pemberian orang. Cuai dan pelupa,” Datuk memberi teguran pahit dalam suasana yang tidak menyenangkan.

“Kamu tak payah tengok jam. Aku tahu, sekarang pukul lima lebih. Kau tengok jam gantung di dinding,” guru silat mengarahkan jari telunjuknya ke dinding. Saya segera merenung ke arah yang ditunjuknya.

Kenapa ketika pertanyaan itu diajukan, saya tidak teringat atau memandang ke arah jam dinding? Apakah ini menandakan daya ingatan saya terlalu lemah? Timbul pertanyaan dalam hati saya. Lebih memalukan bila guru silat berkata:

“Orang muda mesti mempunyai ingatan yang kuat. Mesti ingat apa yang ada dalam rumah.”

“Semuanya itu memerlukan latihan,” Datuk turut campur.

“Selain itu mesti ada rasa cinta atau perhatian pada keadaan sekeliling kita, saudara-mara kita, keadaan rumah kita sama ada dari luar atau dari dalamnya. Semuanya ini memerlukan ketelitian,” guru silat memulakan syarahan pendek.

“Saya cuba belajar semuanya itu.”

“Bagus,” guru silat tepuk bahu saya.

Ternyata usaha saya untuk membersihkan mereka dari memperkatakan kelemahan diri saya beroleh kejayaan. Kini tajuk perbualan sudah berubah pada perkara menanam pokok dan memelihara binatang. Memang saya mengharapkan perbualan itu akan berjalan terus. Semoga salah seorang daripada mereka tidak akan mengungkit-ungkit hal saya.

“Biarlah saya balik dulu,” guru silat minta diri.

“Tunggulah sampai maghrib baru balik,” Datuk menahan.

“Hajat saya mahu menyampaikan berita sudah tertunai. Saya juga meminta maaf kerana terpaksa balik. Bukan tak sudi dengan pelawaan awak, tapi saya ada hal.”

“Kalau ada hal pun tak akan sampai tak boleh ditangguhkan,” Datuk berusaha agar guru silat memenuhi permintaannya. Sikap Datuk itu membuat guru silat berada dalam keadaan serba salah.

“Saya minta maaf, balik lepas waktu maghrib merbahaya.”

“Merbahaya?”

“Ya, sekarang musim harimau mengganas,” wajah guru silat cemas.

“Oh. Kalau begitu, saya mula faham. Eloklah kamu balik, musuh jangan dicari.”

“Saya pun berpendapat macam tu.”

Datuk dan guru silat berjabat tangan. Datuk dan saya hantar guru silat hingga ke basikal tuanya yang tersandar di pangkal pohon manggis. Sebelum lompat atas basikal lagi sekali Datuk dan guru silat bersalaman. Guru silat terus kayuh basikal keluar dari kawasan rumah. Saya dan Datuk mendoakan agar perjalanan guru silat diberkati oleh Allah, terhindar dari segala bencana.

“Cuba kamu pergi tengok jerat aku di kaki bukit.”

“Bila tuk? Esok ke atau petang ni.”

“Petang ni, dah suntuk tuk,” saya mula berdalih.

“Tak suntuk. Baru pukul lima. Setengah jam berjalan sampailah ke tempat tu. Cuma ada enam jerat saja. Manalah tahu, kalau dapat ayam hutan. Biasa lepas hujan ayam hutan selalu keluar.”

“Tapi tuk?”

“Tak ada tapi, pergi sekarang. Bawa parang dan kayu panjang untuk memudahkan kamu berjalan.”

“Saya takut tuk.”

“Eh budak ni, belajar silat dah tamat. Sebanyak sedikit petua dah tahu. Apa kamu tak berani pergi ke kaki bukit. Eh Tamar, orang lelaki mesti berani tau.”

“Saya tau tuk, tapi…”

“Pergiiiii…,” jerkah Datuk.

TERKEJUT

Saya terkejut dan dalam sekelip mata saya seperti memperoleh kekuatan yang amat sangat. Tanpa berkata apa-apa pada Datuk saya meluru ke dalam rumah. Pakai baju dan seluar. Dengan parang di tangan saya melangkah.

“Kau tak bawa kayu panjang.”

“Tak payah,” jawab saya tegas.

Langkah saya diatur. Saya tidak tahu apa kata Datuk tentang sikap yang saya tunjuk itu. satu hal yang pasti ketika saya berada agak jauh dari kawasan rumah saya terdengar sayup-sayup suara batuk Datuk memanjang.

Saya yakin benar bahawa batuk itu sengaja dibuat-buat oleh Datuk. Mungkin dia cuba menarik perhatian supaya menoleh ke arahnya. Saya keras hati tidak mahu menoleh.

Kali ini saya mahu buktikan pada Datuk yang saya bukanlah seorang cucu yang penakut atau pengecut. Saya mampu pergi ke mana-mana sendirian. Mampu melakukan apa sahaja seperti apa yang dilakukan oleh anak-anak muda yang seusia dengan saya. Langkah pun saya percepatkan.

Berjalan di celah pepohon kecil selepas hujan memanglah amat menyulitkan. Kesan air hujan di daunan bila kena baju atau seluar membuat pakaian terasa lembap. Bila kena kulit, tubuh terasa sejuk. Semuanya terpaksa saya hadapi. Sesekali saya dongak ke langit. Matahari tidak mahu bersinar lagi. Dalam waktu tertentu, saya gunakan parang untuk memotong reranting yang menghalang perjalanan saya.

Dalam keadaan yang dingin itu, badan saya berpeluh. Nafas tercungap-cungap terasa amat penat sekali. Siapa pun akan merasai penat bila berjalan dalam keadaan yang agak mendaki. Cuaca tidak begitu menggalakkan.

Sejak hujan berhenti, matahari terasa amat malas untuk bersinar. Pada hal kalau cuaca baik, saya tidak mengalami keadaan seperti ini. Hati kecil saya terus merungut dan merasakan tindakan Datuk memang tidak patut. Saya jadi marah dengan tiba-tiba.

Rasa marah itu terus membara dan tidak boleh dikawal lagi. Bagi melepaskan rasa marah itu, saya patahkan ranting kayu yang menghalang perjalanan saya. Perbuatan itu tidak mendatangkan kepuasan. Saya ambil parang lalu ranting yang sudah patah itu saya tetak beberapa kali hingga menjadi potongan kayu yang amat kecil. Tidak memadai dengan itu, ranting kayu yang sudah potong itu saya pijak-pihak hingga terbenam dalam bumi.

Semuanya tidak mendatangkan kepuasan dalam diri. Rasa marah terus menjadi-jadi. Pertama kali saya mengutuk Datuk dengan semahu-mahunya. Saya tunduk Datuk manusia kejam, suka memerintah dan timbul sebuah azam dalam hati untuk memusuhi Datuk, tidak mahu menghormatinya lagi.

Saya tikam bumi dengan parang, terpacak di situ. Ulu parang yang dibuat dari gading itu saya urut beberapa kali.

“Yahooooooo, kamu kejam.”

“Begitulah saya memekik dengan sekuat hati, bergema ke seluruh kawasan di kaki bukit. Saya kira mengejutkan monyet dan lotong di dahan. Mengganggu perjalanan beburung dan haiwan. Tidak memadai dengan itu, saya tendang apa yang ada di kiri kanan saya. Sesungguhnya saya luahkan perasaan marah saya pada apa sahaja yang ada di sekeliling saya.


                        Penjaga Ayam Hutan

Saya terus menyandarkan tubuh pada sebatang pokok. Saya pejamkan sepasang mata hingga rasa marah hilang dari sanubari. Kemudian perlahan-lahan kelopak mata saya buka lebar-lebar. Ketika itu perasaan saya sungguh aman dan tenteram. Dada saya terasa lapang. Saya meneruskan perjalanan.

Jerat pertama saya tengok, tak mengena apa-apa tetapi kesan laluan ayam hutan memang terdapat di situ. Agaknya ayam hutan tahu, di sana ada jerat untuknya. Saya terfikir dan kemudian tersenyum panjang. Jarak jerat antara satu sama lain tidak menentu. Ada yang jaraknya sepuluh kaki, ada yang dua puluh kaki. Sebab jaraknya tidak sama kerana mengikut laluan binatang yang dihajati.

Waktu saya pergi ke jerat yang ketiga, letaknya tidak jauh dari kolam kecil. Saya terlihat laluan pelanduk, saya amati sekelilingnya, memang tidak salah lagi. Di situ terdapat kesan tapak kakinya. Mungkin pelanduk tersebut pergi ke kolam kecil untuk minum. Saya ikut kesan tapak kaki itu hingga sampai ke jerat. Aneh, saya dapati jerat itu bingkas dan ada bekas tapak kaki pelanduk di situ.

Ini mesti pelanduk yang kena jerat ni diambil orang. Siapa yang melakukan semuanya ini? Pasti orang yang sudah lama mengintip gerak-geri Datuk. Manusia suka membuat kerja mudah, rungut hati saya. Jerat yang sudah bingkas itu saya pasang kembali. Saya berdiri di situ mengingati sesuatu. Kata Datuk jerat yang dipasangnya berjumlah lima jerat semuanya. Ertinya masih ada dua jerat lagi yang mesti saya lihat.

Kedudukan kedua-dua jerat ini agak jauh ke dalam bahagian kaki bukit. Pesan Datuk, saya mesti melihat kelima-lima jerat itu. Kalau tak mahu kelima-limanya sekali, mesti lihat tiga. Pokoknya saya mesti membuat kerja yang ganjil. Saya tidak boleh melihat dua atau empat jerat kerana itu perbuatan genap, saya mesti meninggalkan jumlah ganjil.

Tiba-tiba saya merasakan, memang wajar melihat semua jerat itu. Siapa tahu, jerat empat dan lima sudah mengena. Bila sudah mengena, saya tidak pulang dengan tangan kosong. Saya kira Datuk dan nenek tentu gembira melihat saya pulang ke rumah dengan ayam di tangan. Selain dari itu, saya mahu menerima pujian dari Datuk tentang ketabahan hati saya. Biar dia kagum dengan apa yang saya lakukan.

“Ya, aku mesti tengok semua jerat.”

Itulah keputusan muktamad yang saya ambil dalam masa sekelip mata sahaja. Apa yang terjadi, keputusan yang diambil mesti dilaksanakan. Saya pun melangkah perlahan menuju ke jerat yang keempat. Letaknya di bawah pokok yang rendang. Datuk sengaja memilih tempat tersebut untuk menahan jerat.

Mungkin tempat tersebut dipilih kerana kedudukan kawasan tanahnya yang agak cerah, tidak ditumbuhi rerumput yang tebal. Ada dahan sebesar paha manusia melintang arah ke parit kecil. Pada hemat saya, di ranting besar itu jadi tumpuan ayam hutan berdiri sambil mengepakkan badan terutama ayam jantan. Amat suka berkokok di tempat yang agak tinggi.

“Memang pandai Datuk memilih tempat.”

Saya memuji Datuk dalam hati. Saya terus melangkah. Hari sudah beransur agak gelap. Tetapi langit masih kelihatan cerah walaupun matahari tidak bersinar. Saya sampai ke jerat yang keempat. Kali ini saya melihat kawasan di situ cukup bersih seperti baru lepas disapu. Tanah di situ kelihatan seperti baru sahaja dikais-kais oleh ayam. Saya garu kepala dua tiga kali, terasa suasana seperti itu amat ganjil sekali.

Rasanya tidak mungkin ayam hutan mampu mengubah dedaun dan reranting yang terdapat di situ. Lebih menakjubkan jerat yang tidak mengena atau bingkas tetap macam biasa. Batang jerat kelihatan bergerak macam baru disentuh oleh tangan manusia. Hati saya mula berdebar.

Saya renung kiri dan kanan. Bersedia untuk memulakan langkah seribu. Bulu roma terus tegak berdiri. Mesti ada sesuatu yang tidak kena terjadi di sini. Mungkin harimau, mungkin beruang, mungkin kucing hutan berguling-guling di sini. Macam-macam yang timbul dalam hati saya bersama rasa takut yang amat sangat.

Tiba-tiba saya lihat pepohon kecil di kanan bergerak, macam dilanggar sesuatu. Dedaun kering bergerak seperti dipijak sesuatu. Beberapa ekor cengkerik dan katak keluar dari bawah dedaun kering macam ada sesuatu yang memburunya. Dalam keadaan yang serba membingungkan itu, saya terlihat seekor ayam hutan jantan menerpa ke arah jerat dan terus sarungkan kakinya ke dalam jerat.

Dalam beberapa detik sahaja jerat tersebut bingkas. Dan ayam jantan hutan tergantung di udara menggelepar sambil berbunyi. Melihat ayam kena jerat, rasa takut hilang dari hati saya. Semua perkara yang saya kira ganjil dan aneh hilang dari ingatan saya. Hati saya bersorak kegembiraan melihat ayam hutan di depan mata.

Saya mendekati jerat lalu membongkok untuk merendahkan kayu jerat. Bila tali jerat berada dalam tangan, kepala ayam jantan itu saya urut berkali-kali. Ayam itu tetap menggelepar sambil berbunyi nyaring.

Simpul jerat di kaki ayam berhasil saya buka. Kali ini kaki ayam tersebut saya ikat dengan tali guni, lalu saya masukkan ke dalam karung yang dibuat dari mengkuang.

Di bucu karung ditebuk lubang kecil untuk udara, memudahkan ayam bernafas. Hujung karung saya ikat dengan tali lalu saya sandangkan ke bahu. Saya memulakan langkah untuk pergi ke jerat yang kelima. Kedudukannya, betul-betul berada di lereng bukit tidak jauh dari pohon bertam. Memang saya mengharapkan jerat yang kelima akan mengena. Kalau tak dapat ayam hutan dapat napuh atau pelanduk pun sudah memadai, sebuah harapan berbunga dalam hati saya.

Langkah kian rancak, cuaca yang sudah beransur samar-samar tidak menjadi masalah. Kalau cuaca terus jadi gelap saya tidak sudah hati. Kawasan sekitar kaki bukit itu sudah sebati dengan diri saya. Tidak dinafikan saya boleh mengingati kedudukan pelbagai jenis pohon besar di situ. Saya juga tahu di mana letaknya parit atau danau kecil. Kalau saya dicampakkan ke kawasan tersebut pukul dua pagi, saya masih dapat mencari jalan pulang.

“Hai, apa khabar? Seorang aje.”

Saya menoleh ke kanan. Mulut saya bagaikan terkunci untuk menjawab.

“Banyak jerat awak yang mengena, berapa ekor awak dapat ayam?”

Saya menjadi bertambah menggelabah.

“Kenapa tak jawab apa yang saya tanya, awak takut?”

Saya tarik nafas panjang. Renung ke langit, renung kiri kanan. Dada saya terus berdebar. Sesungguhnya, saya tidak tahu dari mana perempuan muda itu muncul. Saya amati wajahnya yang sedang senyum. Orangnya memang menarik. Tetapi, sayang saya tidak kenal dengannya. Ternyata perempuan ini bukannya anak watan kampung saya.

Sebagai orang muda, dalam rasa takut dan darah gemuruh itu, keinginan untuk memikat hati perempuan muda di depan mula bercambah dalam diri. Saya amati dirinya. Baru memasuki usia dua puluhan. Berkulit putih merah. Hidung mancung. Saya terpikat dengan sepasang matanya yang lembut tetapi kelihatan sayu. Mukanya bujur sirih. Aduh! Senyumannya tidak berhenti menari di bibir nipisnya.

“Kenapa tak sembelih ayam tu di sini? Awak tak bawa pisau?”

perempuan yang berambut ikal berbulu kening tebal merapati saya. Darah gemuruh saya terhenti dari bergerak dalam urat saraf. Keinginan mengenali perempuan itu lebih dekat terus berkocak dalam rongga dada.

“Saya tak bawa pisau menyembelih.”

“Awak mahu pisau? Kalau mahu nanti saya ambil di rumah.”

“Tak payahlah.”

“Macam mana kalau saya minta sikit daging ayam?”

“Boleh, apa salahnya.”

“Sepatutnya saya tak payah minta sebab ayam yang kena jerat awak itu saya yang punya.”

“Ha…haa..?” mulut saya terlopong.

Perempuan itu tetap senyum. Hati saya berkata, mungkin perempuan ini mahu bergurau. Ayam hutan mana ada tuannya. Sesiapa pun boleh menjerat atau menembaknya. Dengan rasa jijik saya renung wajah perempuan itu. dia bagaikan tahu yang diri saya tidak mempercayai apa yang diucapkannya.

“Setiap benda di dunia ini ada tuannya, ada penjaganya. Tetapi manusia selalu melupakan semuanya itu.”

“Kamu mengarut dan merepek.”

“Kalau kamu tak percaya tak mengapa, tetapi saya mahu mengambil hak saya kembali.”

Saya segera mengedutkan kening. Karung mengkuang yang saya sandang terasa bergerak-gerak. Ayam di dalamnya menggelepar. Karung mengkuang terasa amat berat macam ada batu pejal di dalamnya. Bahu saya bagaikan mahu patah dibuatnya. Saya terpaksa meletakkan karung mengkuang atas tanah. Perempuan itu tetap berdiri di depan saya tanpa mengucapkan sesuatu. Sepasang anak matanya melihat gerak geri saya dengan teliti.

Paling mengejutkan saya, tali guni yang saya ikat di hujung karung mengkuang terbuka dengan sendiri. Ayam yang ada di dalamnya keluar dengan mudah lalu berkokok bertalu-talu sambil menggoyangkan ekornya. Paling menyakitkan hati, bila ayam itu menghalakan muncungnya ke arah saya dan terus berkokok sambil menjungkitkan ekornya tinggi-tinggi. Kalau diturutkan kata hati mahu rasanya membaling seketul kayu pada kaki ayam itu. biar kakinya patah.

“Suhh..,” pekik saya.

“Jangan halau dia,” suara perempuan itu cukup lembut.

“Kurang ajar punya ayam.”

“Jangan cakap macam tu. Itu ayam saya, marii..,” saya lihat bapak ayam hutan terus meluru ke arahnya. Terbang dan hinggap di bahu sebelah kanannya. Ayam itu berkokok lagi. Saya terpukau dengan suasana yang saya anggap aneh tetapi melucukan.

“Terima kasih kerana kamu sudah memulangkan hak saya.”

“Tapi ayam tu tak bertuan.”

“Itu pendapat kamu. Hakikat sebenar memang bukan begitu. Terima kasih.”

Perempuan itu segera memusingkan badannya membelakangi saya. Ayam jantan yang berbalung merah tetapi berdiri di bahu. Satu perkara yang pasti, waktu perempuan itu menentang wajah saya, suasana sekitar terasa cerah. Bila dia membelakangi saya, suasana bertukar menjadi samar-samar.

“Eh, nama saya Tamar.”

Perempuan itu segera toleh ke arah saya kembali.

“Nama awak siapa?”

Perempuan itu menarik nafas dalam-dalam.

“Cakaplah siapa nama awak?”

“Nanti kita jumpa lain kali. Masa tu saya cakap nama saya.”

“Cakap sekarang,” kata saya lalu mengejar ke arahnya. Dalam sekelip mata sahaja perempuan itu ghaib tetapi ayam miliknya masih dapat saya lihat duduk di ranting dan terus berkokok bertalu-talu. Beberapa detik kemudian ayam jantan itu pun ghaib.

“Syaitan mempermainkan aku,” kata saya dalam nada suara yang agak tinggi.

Saya pusing ke kanan. Memulakan langkah pertama, mencari jalan pulang. Saya terdengar bermacam-macam suara,ada suara kokok ayam. Saya sedar, bila hati dikuasai rasa takut bermacam-macam yang didengar padahal perkara itu tidak wujud sama sekali. Cuma perasaan kita sahaja yang merasakan begitu.

Makin kuat saya menetapkan dalam hati apa yang saya dengar itu adalah perasaan, makin kuat suara-suara yang tidak saya ingini datang dalam gegendang telinga saya. Saya terus lari dengan semahu-mahunya melanggar apa sahaja. Parit lebar saya lompat kerana saya menyangka parit itu kecil. Akibatnya saya terhumban dalam parit. Habis pakaian saya basah kuyup. Keluar dari parit saya terus lari lintang pukang.

Dalam cuaca yang mula samar-samar itu, saya terus berlari dan berlari hingga sampai di bahagian dapur rumah. Bila saya jengukkan muka di pintu dapur, nenek terus menjerit dengan sekuat hatinya. Seluruh kampung dikuasai oleh suara nenek. Datuk yang berada kira-kira tiga rantai dari rumah segera menerpa ke bahagian dapur.

“Kenapa muka kamu penuh dengan lumpur, pakaian basah kuyup. Kenapa Tamar?” soal Datuk.

“Sayaaa…” saya tidak dapat meneruskan kata-kata, mata saya terasa pedih dan hidung saya bagaikan tersumbat dan saya terus bersin dengan sekuat hati. Beberapa orang jiran tetangga segera datang ke rumah. Mereka ketawa melihat keadaan saya.

“Saya jatuh parit tuk.”

“Kamu kena kejar harimau?”

“Tidak.”

“Habis kamu kena kejar jembalang?”

“Bukan dikejar jembalang, saya diburu hantu.”

“Hantu?” biji mata Datuk terbeliak.

Bila keadaan sudah kembali tenang. Saya ceritakan pada Datuk, pada nenek dan jiran-jiran yang datang apa yang saya alami. Kebanyakan dari mereka tidak percaya dengan apa yang saya ceritakan. Nenek secara terang-terangan mengatakan saya mengigau siang. Perbuatan mereka itu membuat saya jadi marah dan tidak mahu meneruskan cerita selanjutnya. Tetapi, Datuk cuba melahirkan simpatinya pada saya.

“Itu perkara biasa, dalam dunia ni selain dari manusia terdapat makhluk lain. Kau tak usah takut. Barangkali makhluk itu mahu bersahabat dengan kamu,” kata Datuk.

“Satu pengalaman yang menakutkan tuk.”

“Tak mengapa, petang esok kau pergi lagi. Kalau kau jumpa dengannya kau ajak dia datang ke rumah.”

“Mengarut, tuk mengarut. Agaknya tuk tahu yang saya akan berjumpa dengan benda macam tu. Kerana tu tuk suruh pergi seorang diri.”

Aku tak tahu Tamar. Tapi dulu aku pernah mengalami perkara semacam tu, itu semuanya syaitan yang cuba nak mengusik kamu.”

“Hum…” saya mengeluh dan tunduk merenung tanah.

Nenek tersenyum. Datuk menyuruh jiran-jiran yang datang pulang ke rumah masing-masing.

Perlahan-lahan saya angkat muka. Sepasang mata saya terpaku ke wajah Datuk. Kegelisahan segera bersarang dalam dada. Kurang senang rasa hati melihat senyuman Datuk yang saya rasa bagaikan menyindir diri saya.

“Tuk tak percaya dengan apa yang saya cakapkan ni?”

“Sudahlah, pergilah kamu mandi.”

Saya kerutkan dahi. Dengan langkah yang longlai saya menuju ke perigi. Setiap kali air perigi menyentuh kulit tubuh, apa yang saya alami segera terbayang dalam kepala.

Sesungguhnya, apa yang telah saya alami itu adalah satu pengalaman yang tidak pernah saya duga akan terjadi dalam hidup saya. Selesai mandi saya segera pulang ke rumah. Sebelum memijak anak tangga, dua tiga kali saya pusing ke belakang. Saya takut dan bimbang macam ada sesuatu dekat saya.

“Cepat naik, jangan pandang kiri kanan lagi. Jangan fikirkan perkara yang dahulu,” terdengar suara Datuk. Saya segera angkat muka. Datuk berdiri di serambi.

Hari sudah beransur gelap. Suara burung kuang sayup-sayup kedengaran di pinggir bukit kota. Saya menarik nafas. Kecantikan paras perempuan yang saya temui bermain-main dalam tempurung kepala.

“Eh, kami ni. Naik cepatlah.”

Tanpa tangguh-tangguh lagi saya pijak anak tangga. Berhenti bila sampai anak tangga kelima. Renung ke halaman yang sudah dikuasai cuaca senja.

“Kita jemaah di masjid, Tamar.”

“Kenapa kita tak sembahyang di rumah tuk?”

“Agama Islam menggalakkan pengikutnya sembahyang berjemaah di masjid atau surau. Sekali-sekala bolehlah kita bersembahyang jemaah di rumah. Kalau dah terlalu kerap berjemaah di rumah, tak elok jadinya.”

“Saya malas nak pergi tuk.”

“Ah, jangan banyak karenah, ikut cakap aku,” bentak Datuk keras. Saya tidak ada pilihan lain lagi. Cakap Datuk harus dipatuhi.

Saya masuk ke rumah menukarkan pakaian. Amat selesa rasanya memakai seluar dan baju Melayu warna kuning tanah liat. Datuk senyum panjang. Saya tahu kenapa Datuk senyum begitu. Bukan apa-apa kerana letak songkok saya melintang. Letak songkok segera saya betulkan. Tanpa banyak soal jawab saya terus mengekori Datuk ke masjid.

Sepanjang jalan saya lebih banyak mengelamun. Sesekali kelihatan Datuk meraba pangkal telinga sebelah kanannya. Ada masanya Datuk batuk kecil. Saya tidak tahu, apakah batuk itu memang benar-benar terjadi atau batuk yang sengaja dibuat-buat.

Selesai menunaikan solat maghrib, saya dan Datuk seperti orang-orang kampung yang lain terus mengikuti tafsiran hadis. Apa yang diungkapkan oleh guru agama tersebut semuanya tidak masuk dalam kepala saya. Fikiran saya masih memikirkan apa yang telah saya alami petang tadi. Ada masanya, saya rasakan peristiwa itu harus berulang dalam hidup saya. Satu ketika yang lain saya berdoa supaya peristiwa itu jangan berulang dalam hidup ini

“Kalau mahu dinisbahkan tentang banyaknya makhluk Allah di dunia ini, lebih kurang begini. Para malaikat 90 peratus, para jin 9 peratus dan manusia cuma satu peratus saja. Kalau kita boleh melihat para Malaikat dan para Jin, kita jadi takut dan tidak boleh bergerak,” tutur guru agama. Semua biji mata dalam masjid terbeliak, tidak jadi mengantuk.

“Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Kaya kerana itu para Malaikat dan para Jin tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Kalau Allah menghendaki seseorang itu melihat para Malaikat dan para Jin, perkara itu tetap akan terjadi,” tambah guru agama. Saya terus gosok pangkal hidung beberapa kali. Datuk tumpukan seluruh perhatiannya pada guru agama yang tertonggok di ruang tengah masjid dengan para jemaah mengelilinginya.

“Makhluk jin juga ada yang baik dan ada yang jahat. Kalaulah ditakdirkan kita dapat melihat Jin, agak sukar untuk kita menentukan yang mana baik dan yang mana jahat,” lanjut guru agama itu. pelajaran tafsir itu berlanjutan hingga menjelang waktu Isyak.

Saya kira setelah selesai solat Isyak, wajah guru agama tidak akan saya lihat. Begitulah juga dengan suaranya tidak akan saya dengar. Perkiraan saya itu meleset sama sekali. Tidak saya duga Datuk mengundang guru agama itu datang ke rumah. Banyak perkara yang Datuk tanya pada guru agama itu. semuanya berkaitan dengan hukum agama.

“Kalau pelajaran tafsiran hadis ni dapat diadakan setiap minggu alangkah baiknya,” Datuk bersuara.

“Saya faham, ramai para jemaah berpendapat macam awak. Mereka mahu pelajaran tafsiran ini diadakan pada setiap minggu.”

“Soalnya, bila diadakan dua minggu sekali, perkara yang dipelajari hampir mahu lupa disambung pelajaran yang baru.”

“Ya, ya saya faham. Kalau boleh saya mahu datang tiap-tiap minggu di sini. Boleh jumpa awak selalu dan boleh makan dan tidur di sini. Tapi apa boleh buat semua jadual sudah disusun.”

“Tak bolehkah dirombak?”

“Tunggu tahun depan.”

“Hum…,” Datuk seperti mengeluh. Guru agama tersenyum.

CAKAP

Dan malam itu Datuk terus bercakap-cakap dengan guru agama. Datuk terus membaca Al-Quran di bahagian surah al-waqiah. Guru agama terus membuat tafsirannya dan menghuraikannya dengan teliti. Datuk terus mendengar huraian terjemahan itu. dalam waktu tertentu Datuk mencatatkan ke dalam buku kecil.

Guru agama itu juga menasihatkan Datuk, kalau ada masa supaya membaca surah al-waqiah pada setiap malam, terutama setelah menunaikan sembahyang Subuh. Menurut guru agama itu, surah tersebut surah yang baik. Lebih-lebih lagi kalau kita sudah memahami tafsirannya. Sesekali saya terdengar Datuk dan guru agama berdebat panjang. Perdebatan mereka segera terhenti bila mereka dapat membuat sesuatu kesimpulan.

Saya sandarkan badan ke dinding bilik. Jari-jemari saya terus melukis sesuatu di kertas. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, saya begitu minat pada lukisan. Saya mahu abadikan apa yang saya lihat ke kertas untuk dinikmati oleh orang lain. Sambil melukis saya terus pasang telinga. Mengikuti dengan teliti apa yang dibualkan oleh Datuk dengan guru agama.

Ada perkara yang menarik dan ada perkara yang tidak menarik jadi topik bualan Datuk dengan guru agama. Bila perkara menarik diperkatakan, saya terus jelingkan biji mata dan mengikutinya dengan penuh minat. Kalau perkara yang membosankan saya terus rasa mengantuk. Ketika itu saya terdengar suara kedua-duanya sayup-sayup dan akhirnya menghilang. Dalam saat begitu, saya terus tersengguk-sengguk.

Bila mereka bincang tentang alam ghaib, mata saya terbeliak besar. Minat saya untuk mengikutinya bertambah ghairah. Saya tahan mata dari mengantuk. Saya bersenam memanaskan badan. Sayang seribu kali sayang, perkara alam ghaib hanya disentuh sambil lalu sahaja. Perkara begini amat saya kesalkan. Apakan daya, saya tidak ada kuasa untuk menyuruh Datuk dan guru agama memperkatakan perkara yang amat saya minati. Dalam keadaan demikian, saya terus terlelap.


                  Di Kunjungi Gadis Waktu Malam

Macam dikejutkan sesuatu, saya terus terjaga. Saya lihat jam tua di tangan. Sudah pukul dua pagi. Badan terasa dingin. Saya segera beredar ke katil. Sebaik sahaja saya rebahkan badan di katil, perempuan yang saya temui di kaki bukit berdiri di hujung katil. Pamerkan senyum seiring dengan renungan dari sepasang mata yang tajam. Saya tergamam, tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

"Ubah tempat tidur?"

Saya terus membisu.

"Udah kamu tanya pada orang-orang di sini tentang diri aku?"

Saya gelengkan kepala.

"Cuba tanya nenek kamu, tentang anak Haji Rashid yang bernama Siha. Dia tentu dapat memberikan jawapan yang tepat."

Saya kerutkan dahi, masih belum dapat mengucapkan sesuatu. Dada saya cemas dan sekujur tubuh berpeluh di malam yang begitu dingin. Saya renung kiri kanan, atas dan bawah. Suara Datuk dan guru agama masih kedengaran. Mereka tidak lagi berbincang masalah agama, tetapi mereka membaca Quran. Saya cuba menyebut nama Datuk, malangnya suara saya bagaikan tersekat di kerongkong.

"Kamu takut dengan aku? Kamu nak panggil Datuk kamu?"

Saya anggukkan kepala.

"Datuk kami juga kenalkan aku, sampaikan salam aku padanya."

"Eh, kenapa kau tak jumpa dengannya sendiri, bukankah kamu berada di rumahnya?", cara mendadak sahaja saya bersuara. Saya renung mukanya. Kali ini, saya merasakan diri saya seperti memperoleh kekuatan tenaga yang tersendiri. Saya cuba bangun.

"Aku segan", katanya spontan. Perempuan yang menamakan dirinya Siha terus duduk di bibir katil. Jari-jemarinya menekan permukaan tilam. Saya resah.

"Biar aku beritahu tuk yang kamu ada di sini"

"Tak payahlah, aku datang cuma nak tengok kamu saja"

"Sebenarnya aku tak suka kamu datang ke sini lagi"

"Baiklah, kalau kamu tak suka, biar aku balik dulu", sebaik sahaja perempuan itu mengakhiri kata-katanya dia terus ghaib dari pandangan saya. Saya terus mengucap beberapa kali.

Saya segera merasa telinga dan bibir. Saya menarik nafas panjang. Saya tidak berkhayal dan juga tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata. aneh, kenapa perkara yang tidak masuk di akal itu terjadi di depan saya. Kalau diceritakan pada orang lain pasti jadi bahan ketawa. Dahi segera saya kedutkan. Badan saya mula menggigil.

Saya cuba berdiri di lantai, ketika itu saya terasa badan terlalu ringan dan sepasang kaki yang bagaikan tidak mampu mengimbangi berat badan. Saya terlayah ke kiri dan ke kanan. Saya rebah ke lantai. Datuk dan guru agama segera mendekati saya. Apa yang saya dengar hanya bunyi kokok ayam hutan bertalu-talu memekakkan telinga. Saya juga terlihat rimbunan hutan tebal. Saya bagaikan berada di dalam hutan yang amat besar.

Saya melihat ular sawa, harimau dan gajah. Semuanya menerkam ke arah saya. Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit sekuat hati dan cuba melarikan diri dari berdepan dengan semua binatang tersebut. Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya terasa ada telapak tangan menyentuh dai saya.

Daun telinga saya seperti dihembus sesuatu dan diikuti dengan suara lembut mengucapkan kalimat dari Surah Al-Fatihah dan Surah An-Nas berkali-kali. Harimau, gajah, ular dan hutan tebal yang wujud di depan saya terus ghaib. Diganti dengan lautan yang bergelombang lembut. Lubang telinga saya terus disumbat ayat-ayat suci yang biasa saya dengar malah pernah saya ucapkan. Maki jelas kalimat-kalimat suci itu masuk ke telinga saya. Makin samar-samar gelombang air laut di depan mata dan akhirnya terus ghaib.

Saya mula melihat tubuh Datuk, nenek dan guru agama. Semua menghadap ke arah saya dengan wajah yang tenang. Mulut guru agama terus membaca ayat-ayat suci. Dari gerak mulutnya saya yakin, guru agama itu masih membaca Ayatul Kursi dengan penuh khusyuk.

"Bangun anakku", guru agama tepuk bahu kanan saya. "Kau sebenarnya tidak apa-apa", sambungnya dengan tenang. Senyum terus terpamer di kelopak bibirnya. Saya segera menggosok pangkal hidung beberapa kali. Nenek segera mendekati saya, badan saya dipicitnya penuh kemesraan. Datuk tidak berkata apa-apa. Matanya tidak berkedip merenung wajah saya.

"Masa kamu tak sedar tadi, apa yang kamu nampak?", soal guru agama.

"Bila saya tak sedar, bila?", saya menyoal guru agama kembali. Datuk menarik nafas panjang. Dia terus mendekati saya.

"Apa yang kamu nampak tadi?", tanyanya.

"Saya nampak...", saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Saya cuba mengingati sesuatu.

"Kamu nampak binatang, kamu nampak laut?", tiba-tiba Datuk bersuara. Saya segera anggukkan kepala. Datuk renung muka guru agama. Cepat-cepat guru agama melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

"Lupakan apa yang kamu ingat", ujar guru agama penuh sopan. Saya segera mengangguk. Nenek saya lihat menarik nafas lega.

"Tidurlah, kau tak apa-apa, tidurlah", Datuk seperti memujuk.

"Tidur cu”, sahut nenek.

Saya pun merebahkan badan atas katil. Datuk dan guru agama segera meninggalkan saya tetapi nenek masih setia menunggu saya di hujung katil. Mata saya masih tertumpu kepada lelangit rumah.

Saya berpusing ke kiri, berpusing ke kanan. Perasaan terasa tidak tenteram sekali. Nenek mengikuti gerak-geri saya dengan teliti. Sesekali dia meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi merasa suhu badan saya. Kalau panas sudah pasti saya demam.

"Kamu tak demam Tamar. Hawa badan kamu macam biasa"

"Memang saya tak demam nek"

"Tapi kamu aku tengok resah tak tentu pasal"

"Hum..."

Saya menelentangkan badan. Nenek menyelimutkan sepasang kaki saya dengan gebar. Mungkin kerana rasa mengantuk yang amat sangat, nenek terus merebahkan badannya di lantai. Tidak sampai sepuluh minit nenek terus berdengkur. Saya terdengar suara perempuan memanggil nama saya di halaman rumah. Saya segera membuka tingkap. Saya lihat perempuan yang baru mengunjungi saya sebentar tadi berdiri di tengah halaman sambil tersenyum ke arah saya. Kali ini dia memakai baju kebaya dan kain putih bersih. Rambutnya terhurai atas sepasang sayap bahu. Tangan kanannya melambai-lambai ke arah saya.

Tingkap segera saya rapatkan. Mungkin ketika daun tingkap itu bercantum telah mengeluarkan bunyi yang menyebabkan nenek terjaga dari tidur. Dia terkejut melihat saya meninggalkan katil.

"Kenapa Tamar?"

Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Cepat-cepat saya melangkah dan terus duduk di bibir katil. Sikap membisu saya menimbulkan rasa tidak puas di hati nenek. Dia segera mahu mendapatkan Datuk yang berada di ruang tengah rumah. Sebelum nenek melangkah hasratnya itu saya halang.

SAYU

Saya bersyukur pada Allah. Nenek masih mahu mematuhi permintaan saya. Dia duduk di bibir katil merenung sayu ke wajah saya. Saya terus didakap keresahan yang memanjang.

"Kenapa kamu bangun Tamar?"

"Sengaja bangun, nek .. Tak ada apa-apa nek"

"Dengan aku kamu nak berbohong?"

Nada suara nenek merendah. Mengandungi rasa hampa dan kecewa yang amat sangat. Saya rasa bersalah kerana memperlakukan demikian pada nenek.

"Nek kenal tak dengan Siha, anak Haji Rashid?" "Kenapa dengan dia Tamar?"

"Masa saya pergi ke kaki bukit menengok jerat, saya jumpa dengannya. Dia kata ayam hutan di kaki bukit kepunyaannya."

"Baa...", mulut nenek terlopong macam orang terkejut besar. Dia renung kiri kanan. Nenek segera meraba pangkal leher dan terus termenung panjang.

"Agaknya kamu ni mimpi Tamar?"

"Tidak nek, tadi dia datang dan kirim salam pada nenek dan Datuk."

"Eh, kamu jangan bergurau Tamar"

"Saya tak bergurau nek. Kenapa nek?", saya minta satu kepastian darinya. Nenek terus gelengkan kepala beberapa kali. Saya bertambah takjub. Kedinginan dinihari kian kuat menguasai kulit tubuh.

"Kenapa dengan perempuan tu nek, saya tak pernah dengar nama Haji Rashid dan anaknya, Siha"

"Kedua-dua manusia tu berada di kampung ni sebelum kamu dilahirkan. Aku kenal baik dengan kedua-duanya. Haji Rashid tu kawan Datuk kau. Anaknya, si Siha memang terkenal dengan kecantikannya." .

"Begitu," saya segera memotong kata-kala nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Nenek dapat membaca rahsia hati saya yang memang minat dengan cerita yang diluahkannya itu.

"Masa zaman Jepun, Haji Rashid di tangkap kerana menentang tentera Jepun. Dia dipancung hingga mati, mayatnya dibawa ke Pulau Pinang. Sampai sekarang tidak ada sesiapa yang tahu di mana kuburnya", nenek memulakan cerita di malam yang kian mendekati siang. Saya segera melompat dari katil lalu duduk di sisi nenek.

"Anak perempuannya bagaimana nek?" Tanpa sabar-sabar saya terus menyoal nenek yang kelihatan terpinga-pinga. Perlahan-lahan nenek membetulkan silanya. Renung kiri kanan, macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.

"Apa dah jadi pada Siha, bila ayahnya mati?", saya mendesak. Nenek menggigit bibir. Dia keberatan untuk menerangkan tentang Siha. Kenapa? Apakah Siha sudah meninggalkan sumpahnya? Apakah cerita diri Siha memang jadi rahsia? Macam-macam persoalan dan pertanyaan timbul dalam tempurung kepala saya. Muka nenek saya tatap.

"Panjang dan sedih ceritanya," nenek memulakan. Silanya diperkemasnya. Kedinginan terus menggigit kulit tubuh. Suasana dinihari terasa amat sunyi. Saya tumpukan seluruh perhatian pada nenek. Saya berdoa, semoga nenek tidak akan memberhentikan cerita tentang Siha, anak gadis Haji Rashid separuh jalan.

"Sayang, gadis yang baik tu jadi korban”

"Korban siapa nek?"

"Korban nafsu tentera Jepun. Dua bulan sesudah ayahnya hilang, ibunya pula meninggal dunia. Dia marah pada Jepun, dia berpendapat semua kecelakaan yang terjadi tu, berpunca dari Jepun."

"Jadi apa yang dilakukannya nek?"

"Dia terus menyerang pondok kawalan tentera Jepun di kepala simpang dengan pelepah kabung yang sudah ditajamkan, senjata tu dipanggil selegi kabung”

“Berapa orang yang dibunuhnya nek?”

“Tiga orang.”

“Hebat orang perempuan bunuh tiga orang askar Jepun.”

“Bukan sebarang perempuan, dia tu pendekar. Alang-alang lelaki jangan cuba nak rapat”, nenek terus senyum panjang.

Sebaik sahaja nenek selesai bercerita terdengar tapak kaki orang memijak dedaun kering di luar rumah. Saya renung muka nenek. Tidak lama setela itu terdengar suara perempuan batuk. Bulu roma saya mula tegak. Badan saya terus menggeletar bila terdengar bunyi suara orang perempuan berbisik sesuatu di luar rumah. Saya cuba mengamati buah butir perkara yang dibisikkan. Semuanya tidak jelas dan sukar di mengertikan.

“Jangan pedulikan semuanya itu”, Datuk urut ibu jari kaki kanannya bekali. Nenek kelihatan tenang. Mala terus bangun menuju ke arah pintu. Saya kira nenek mahu membuka pintu. Perkiraan saya itu tidak tepat. Nenek hanya berdiri di situ buat beberapa ketika. Kembali mendekati saya.

“Entah macam mana, Siha dapat diberkas oleh tentera Jepun. Tujuh oran tentera Jepun menangkapnya”, sambung nenek.

“Kemudian dia dibunuh?”, tanya saya.

“Tidak”

“Dia diperkosa tentera Jepun sampai mati?”

“Juga tidak”

“Habis, apa yang jadi padanya, nek?”

“Dia berjaya melepaskan diri dan terjun ke dalam sungai dan terus hilang sehingga sekarang”

“Ke mana agaknya dia menghilang, nek?”

“Entah”, nenek menggelengkan kepala.

Tetapi, nenek berpendapat sebagai makhluk, Siha pasti mati. Kalau masih hidup tentu dia kembali ke kampung halamannya. Lebih-lebih lagi bila dia mengetahui keadaan negaranya yang sudah bebas dari penjajahan Jepun dan Inggeris.

“Masa Jepun menyerah pada orang putih, ada orang melihat Siha berdiri di tepi tebing sungai waktu senja, kemudian ada orang melihat Siha bermain-main di halaman rumahnya waktu terang bulan. Bila ada orang-orang kampung menyebut namanya, dia akan datang dekat orang yang menyebutnya.”

“Berapa lama masa dia datang tu nek?”

“Sekejap aje, lepas tu dia hilang entah ke mana. Masa darurat dulu ada orang ternampak dengannya. Kemudian orang-orang kampung baca Yasin beramai-ramai. Dia terus hilang, sekarang dia datang balik. Anehnya, dia mencari kamu", nenek menamatkan ceritanya. Dan saya tidak mahu bertanya tentang Siha pada nenek lagi.

Saya kembali atas katil semula. Nenek masih duduk sambil berdiri lutut. Perlahan-lahan saya rebahkan badan atas katil untuk beberapa detik sahaja. Saya bangun kembali.
"Apa yang kita dengar tadi nek, bole jadi suara Siha?", saya tatap wajah nenek.

"Dia sudah tak ada, jangan fikirkan tentang dirinya. Kau tidur, jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan. Kalau dia datang biar aku selesaikan," jawab nenek. Saya menarik nafas panjang-panjang. Rebahkan badan atas katil, kembali merenung lelangit rumah. Saya baca beberapa ayat Quran untuk mencari ketenangan dan akhirnya saya terlelap.

Bila kelopak mata saya buka, nenek sudah tiada di sisi. Rasa marah dan geram mula bersarang dalam dada. Kenapa saya ditinggalkan sendirian. Ini sudah keterlaluan? Di mana letaknya rasa kasih sayangnya pada saya? Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terdengar suara azan Subuh sayup-sayup menyentuh gegendang telinga.

Saya segera bangun lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, saya lihat nenek berdiri dekat pintu dapur. Dia merenung ke arah saya dengan senyum.

"Cepat, Datuk dan kawannya menanti di kaki tangga"

"Hum, saya fikirkan tadi nak sembahyang di rumah"

"Sudahlah, jangan banyak cerita. Pergi siap"

Saya terus masuk bilik. Pakai kain sarung dan baju kemeja putih. Songkok hitam saya letak melintang di kepala. Melangkah keluar menuju ke pintu.

"Apa yang kamu tanya, apa yang kamu rasakan, semuanya sudah nenek sampaikan pada Datuk kamu", kata nenek sebaik sahaja saya melintas di depannya.

"Kenapa nenek cerita dengan Datuk?"

"Itu cara yang baik, barangkali dia lebih banyak tahu perkara begitu dari aku”

“Tapi, saya tak suka, nek”

“Suka atau tidak, perkara tu dah terjadi”

Saya diam dan terus menggabungkan diri dengan Datuk dan guru agama yang menanti di kaki tangga. Kami meredah kabus pagi yang bangkit dari permukaan tanah kampung. Langkah terus dipercepatkan. Sampai di masjid terus tunaikan sembahyang fardu dengan berimam tuan guru. Lepas itu diadakan kuliah Subuh. Kali ini memperkatakan tentang ilmu Tauhid.

Selesai mengikuti kuliah Subuh, semua paras jemaah bersarapan pagi di luar kawasan ruang sembahyang. Seorang penduduk yang baik bati menyediakan makanan dan minuman untuk sarapan. Satu hal yang membanggakan diri saya, orang kampung yang baik hati itu tidak pernah memberitahu pada para jemaah yang dia menyediakan sarapan pagi setiap kali kuliah Subuh diadakan. Hanya tuk siak dan bilal sahaja yang tahu.

Saya tidak tahu, siapakah manusia dermawan di kampung tumpah darah saya itu. Memang sukar untuk mengesaninya. Siak dan bilal tetap bersikap tutup mulut. Bagi mereka memberitahu nama penderma pada orang lain adalah perbuatan tidak amanah dan bersubahat menggalakkan amalan riak serta takbur dalam masyarakat Islam.

Bagi orang-orang kampung mereka menderma dengan rasa ikhlas pada saudara seagama dan sebangsa. Bukankah meringankan beban saudara seagama itu memang dituntut oleh Allah. Tetapi, bila pertolongan itu jadi bualan atau dihebohkan, perbuatan begitu memang tidak baik dan tidak digalakkan oleh Allah dan boleh mengurangkan pahala dari amalan yang kita lakukan. Orang-orang kampung rata-ratanya mendapat pendidikan dari sekolah atap di zaman penjajah begitu patuh dengan ajaran agama. Mereka tidak buat apa yang ditegah.

Mereka lakukan apa yang disuruh oleh Allah dengan rendah hati dan penuh kejujuran. Mereka bercakap benar. Menjaga amanah yang diberikan. Jika ada orang hulurkan wang derma untuk surau atau masjid, wang itu tetap digunakan untuk masjid, tidak hilang di tangan atau menjadi hak orang lain. Orang yang menderma pula tidak minta resit atau sebarang tanda yang mereka telah menderma.

Prinsip mereka mudah sahaja. Tuas mereka hulurkan derma dengan ikhlas. Tugas orang yang menerima derma mesti menjalankan kewajipan dengan betul hingga derma itu dapat di manfaat seperti yang diingini. Kalau tukang kumpul derma menggelapkan wang derma tersebut, itu adalah urusan dirinya dengan Allah.

Oran yang menderma tak perlu mengheboh-hebohkan perkara tersebut. Tidak perlu menceritakan keburukan pengutip derma pada oran. Perbuatan membuka pekung seseorang pada orang lain adalah perbuatan yang ditegah oleh Allah.

Orang yang wajar bertindak ialah ahli jawatankuasa masjid atau surau. Mereka boleh bermuafakat dengan orang yang melakukan kesilapan. Minta orang yang terlibat membetulkan kesilapan yang dibuat. Kalau orang yang terlibat tidak mahu, perkara tersebut dibawa ke pengetahuan pihak yang berkuasa.

Biasanya, orang yang melakukan kesilapan akan insaf dan terus membetulkan kesilapan yang dibuat. Bila perbuatannya dibetulkan, dia akan bertindak meninggalkan Kampong pindah ke tempat baru. Malu merenung muka penduduk kampung. Kalau tidak pindah, dia akan mengadakan majlis pertemuan dengan orang-orang kampung dalam masjid.

Dalam majlis pertemuan itu, pak imam akan bertindak sebagai kepala. Menerangkan pada orang kampung apa yang terjadi. Kemudian orang yang melakukan perbuatan salah itu segera bangun secara terbuka tentang perkara yang dilakukannya. Bila orang-orang kampung memberi jawapan yang mereka memaafkan perbuatannya itu, orang tersebut akan menemui setiap orang kampung. Majlis minta maaf itu akan diakhiri dengan pembacaan doa.

Orang-orang kampung diingatkan jangan mengungkit-ungkit perkara tersebut oleh pak imam. Biasanya, bila sudah diingati begitu, tidak ada seorang pun yang berani menyebut-nyebut perkara yang lalu. Di kampung, imam dihormati dan buah fikirannya dikagumi. Biasanya, orang yang jadi imam orang yang sudah berumur, luas pengetahuan agamanya.

"Tamar, apa yang kamu ingat?"

Saya segera garu pangkal leher. Renung ke kanan, menatap wajah kawan yang menegur saya. Dia ketawa kecil. Renung hidangan di depan. Nasi lemak dan air kopi masih seperti tadi, tidak berubah tempat.

"Sejak duduk tadi, aku tengok kamu menung aje, tengok orang dah selesai makan, barang makanan kau tak jamah", tambah kawan itu.

"Aku memikirkan sesuatu"

"Apa yang kau fikirkan?"

"Tentang orang yang menyediakan sarapan pagi ni"

"ltu bukan urusan kita. Itu urusan penderma dengan Allah. Urusan kita ialah makan apa yang ada di depan kita"

"Betul juga cakap kamu", balas saya. Kami ketawa dan saya pula menjamah sarapan pagi.

Selesai sahaja bersarapan, saya terus mendekati Datuk dan guru agama yang menanti saya di halaman masjid. Para jemaah seorang demi seorang pulang ke rumah masing-masing di bawah keramahan sinar matahari pagi.

"Datuk kamu dah ceritakan pada aku, apa yang kamu alami," guru agama itu renung muka saya dengan senyum. Saya tidak memberikan sebarang jawapan. Saya kira kisah itu tidak wajar diceritakan pada manusia seperti guru agama. Boleh mengganggu tugasnya.

"Perkara seperti itu tidak mustahil, apa yang mesti kamu fikirkan ialah betapa Maha Kuasa Allah. Boleh mengadakan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan," lanjut guru agama itu lagi.

Saya renung muka Datuk. ingin mendengar pendapat darinya. Datuk terus membisu. Dalam saat-saat demikian, saya kira tidak ada gunanya mengenangi apa yang telah terjadi. Saya mahu segera pulang ke rumah.

"Syaitan tak akan berhenti dari menguji keimanan manusia. Bila dunia dah kiamat, dah hancur baru syaitan berhenti menyesatkan manusia," terdengar suara Datuk seperti orang merungut.

Guru agama yang berdiri tidak jauh darinya dapat mengikuti dengan teliti apa yang diucapkan oleh Datuk.

"Ini sudah jadi perkara biasa. Kita harus mengawal diri supaya jangan terpengaruh, terutama mengawal keinginan dan nafsu", sahut guru agama sambil meraba-raba pangkal dagunya dua tiga kali.

"Barangkali ini ujian untuk manusia"

"Perkara ini, bukannya barangkali, tetapi memang benar dihadapkan pada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuan akal fikiran manusia digunakan dengan sebaik mungkin".

"Ya, itulah kebesaran Allah", ucap Datuk setelah mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh guru agama.

Guru agama terus mendekati saya. Bahu saya ditepuknya dua tiga kali. Matanya menatap seluruh wajah. Dia senyum.

"Bila kamu diberikan kekayaan, kau jangan lupa kekayaan itu bukan milik kamu"

"Sebab?", saya bertanya.

"Kekayaan itu milik Allah, kau cuma diberikan amanat, untuk menjaga dan menggunakannya. Di akhirat nanti, cara kita menggunakan dan memanfaatkan kekayaan akan disoal”.

"Oh", mulut saya terlopong.

"Kekayaan yang ada itu, pada bila-bila masa saja boleh diambil oleh Allah dengan berbagai-bagai cara seperti dicuri orang, terbakar dan macam-macam lagi."

"Begitu", saya anggukkan kepala.

Senyum guru agama bertambah lebar. Datuk tetap memperhatikan dengan teliti segala tindak-tanduk guru agama pada saya. Sesekali saya lihat Datuk senyum.

"Eloklah diberikan nasihat padanya", suara Datuk meninggi.

"Bukan nasihat, kami bercerita," jawab guru agama.

"Bercerita?", saya terkejut.

Datuk terus ketawa. Saya tidak tahu apa yang menggelikan perasaannya hingga Datuk ketawa begitu.

"Saya bercerita, terpulanglah pada kamu untuk gunakan akal fikiran, apakah perkara yang saya ceritakan itu memang benar atau tidak? Kalau benar atau betul kau ikut, kalau salah kamu buang", lanjut guru agama.

"Cucu saya tu, tak faham bercakap macam tu, dia tak faham bahasa kiasan", sahut Datuk.

''Tak apa, suatu hari nanti dia akan faham", sanggah guru agama. Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat guru agama tersebut.

Panas pagi mula beransur keras, langit nampak cerah dengan gumpalan awan putih bersih. Guru agama segera mendekati Datuk. Hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan mereka bergoncangan.

"Saya balik dulu", lembut suara guru agama.

"Selamat jalan. Kalau ada umur kita jumpa lagi".

"Saya juga berharap macam tu. Jaga cucu awak baik-baik".

"Insya-Allah", jawab Datuk.

Kami pun berpisah dengan guru agama tersebut. Kata Datuk, rumah guru agama agak jauh. Kira-kira lima puluh batu dan terpaksa naik bas.

"Berapa dia dapat duit mengajar tuk?"

"Hum...", Datuk seperti tersentak. Langkahnya terus dimatikan matanya merenung langit dan awan.

"Kenapa kamu tanya macam tu Tamar?"

"Setahu saya, bila seseorang itu dipanggil guru dia dapat gaji macam guru sekolah, ada kereta dan rumah tapi guru ini naik bas pula?"

Datuk menggaru kulit pipinya yang tidak gatal. Perjalanan yang terhenti diteruskan kembali.




                        Harimau Disangka Kucing

Sudah hampir lima rantai berjalan. Datuk tidak juga menuturkan sesuatu. Saya masih sabar menanti jawapan darinya. Tetapi, lama-kelamaan rasa sabar itu segera bertukar menjadi rasa cemas dan takut.

Mungkin Datuk tersinggung atau mungkin dia marah dengan pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan kepadanya. Tak mengapa, apa pun yang akan terjadi terpaksa saya hadapi. Sesungguhnya, saya ingin mengetahui sesuatu dengan jelas dan tepat. Saya kira apa yang saya lakukan itu memang wajar, fikir saya sendirian.

"Imam beri dia duit, yang di kumpul dari derma para jemaah", tanpa diduga Datuk bersuara. Melenyapkan kebimbangan yang bersarang dalam dada saya.

"Berapa dia dapat tuk?"

"Itu aku tak tahu, biasanya tak banyak"

"Tak banyak tu berapa tuk?", saya terus mendesak.

"Kamu ni, suka sangat bertanya. Kamu tahu, dia cuma ambil duit tambang dia datang dan balik, kemudian dia ambil tiga empat ringgit untuk beli beras"

"Kalau macam tu, sampai bila-bila pun dia tak senang".

"Dia bukan nak cari kesenangan, dia mahu menyebarkan ilmu agama pada umat Islam, itu sumbangannya. Kamu harus tahu setiap kita yang hidup ini, bila mati akan disoal apa sumbangan kita pada agama dan manusia".

"Hum... Kalau macam itu sampai bila pun dia tak akan senang"

"Eh kamu", Datuk terus menengking saya.

Saya terdiam, sesungguhnya saya terkejut dengan perubahan sikap Datuk dari ramah bertukar menjadi bengis dan marah-marah.

"Aku tak mahu kamu tanya tentang guru tu, dia tidak mengharapkan wang ringgit dari hasil usahanya", kata Datuk dan saya mula mengetahui punca Datuk menengking saya.

"Dia mengajar dengan ikhlas, dia tidak mengharapkan wang ringgit", kata Datuk lagi, mengulangi apa yang telah diucapkannya.

"Begitu, tapi ada orang mengajar agama kerana wang".

"Itu bukan mengajar namanya, Tamar".

"Kalau bukan mengajar, nak sebut apa tuk?"

"Jangan kamu tak tahu, itu namanya gunakan agama untuk cari duit, itu perbuatan tak ikhlas, faham. Jangan tanya-tanya hal itu lagi".

"Baiklah tuk".

Perjalanan seterusnya terasa sunyi. Cuma kicau burung yang terdengar. Saya mengambil sikap mengunci mulut dan berazam tidak akan menyoal Datuk hingga sampai ke kaki tangga. Tanpa diduga, Datuk bersuara.

"Kamu balik dulu, aku ada hal".

"Tuk nak kena mana?"

"Aku nak pergi ke kaki bukit, nak tengok jerat yang kamu tinggalkan petang semalam".

"Baik tuk balik dulu, lepas tu kita pergi bersama".

"Tak payah, beritahu pada nenek kamu aku ke sana".

"Jangannnnnn...", jerit Datuk. Mukanya nampak merah. Saya segera mempercepatkan langkah ke rumah.

Dalam asyik melangkah itu, saya terpandangkan sepasang anak kucing bermain-main di tepi jalan. Timbul keinginan untuk menangkapnya. Saya terus mendekati dan sepasang anak kucing itu melompat ke dalam semak. Saya terus memburu. Rupa sepasang anak kucing itu sungguh menarik, berbeza dengan anak kucing peliharaan. Bulunya memikat dengan jalur yang besar dan terang.

Makin saya kejar, makin manja sepasang anak kucing itu melompat-lompat di hadapan. Seolah-olah mencabar saya supaya menangkapnya. Keghairahan saya kian menjadi untuk memiliki dan memelihara sepasang anak kucing tersebut. Kerana asyik memburunya, dua tiga kali saya terjatuh. Akibatnya kain yang saya pakai terus koyak, begitu juga dengan baju. Songkok yang dipakai, tidak lagi berada di kepala. Sudah hilang, entah di mana jatuhnya, saya sendiri tidak tahu. Pedulikan dengan songkok.

Tiba-tiba saya dapati diri saya sudah berada jauh dalam hutan. Saya tidak mahu sorot kembali, walau apa pun yang terjadi, sepasang anak kucing itu mesti saya tangkap. Badan saya mula berpeluh dalam sinar matahari pagi yang kian keras. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, hutan tebal saya redah.

BERHENTI

Sepasang anak kucing itu berhenti dari berlari, masuk ke kawasan yang ditumbuhi dengan pepokok kecil. Tidak jauh dari pepokok kecil itu terdapat sepohon pokok yang amat besar. Akar-akar berjuntaian di dahan, kerana daunnya terlalu lebat, sinar matahari tidak sampai ke kawasan tanah di bahagian pangkal pokok. Walaupun begitu, keadaan sekitar kawasan bawah pokok kelihatan bersih.

Dalam sekelip mata sahaja sepasang anak kucing hilang di pangkal pokok besar. Saya kira, anak-anak kucing itu pasti menyembunyikan diri dalam lubang yang terdapat di perdu pokok. Saya melangkah dengan perlahan-lahan, saya berusaha supaya ranting dan daun kering yang dipijak tidak mengeluarkan bunyi yang akan mengejutkan anak-anak kucing tersebut.

Hidung saya mula terhidu bau yang kurang menyenangkan. Saya yakin bau itu adalah bau binatang. Tetapi, saya tidak dapat memastikan apakah bau itu dari binatang yang merbahaya atau sebaliknya. Kerana mahu menangkap anak-anak kucing, bau tersebut tidak saya hiraukan, saya terus berjalan membongkok menyusup di bawah akar-akar yang berjuntaian.

Secara mendadak sahaja hati saya berdebar, kaki saya tidak berdaya melangkah, perkara yang tidak pernah terlintas dalam otak, kini wujud di depan mata. Badan saya berpeluh. Ya Allah, selamatkan aku dari kecelakaan dan bencana ini. Sesungguhnya, kerana gagal mengawal nafsu dan keinginan membuat aku jadi susah. Mencari celaka sendiri. Tolonglah, suara batin saya terus meraung. Badan terus menggigil. Perlahan-lahan saya rendahkan badan lalu duduk di balik pokok besar.

Saya kumpulkan tenaga untuk memulakan langkah seribu. Ternyata saya tidak berupaya berbuat demikian. Saya rasa, maut sudah hampir benar dengan saya. Dalam keadaan terdesak saya teringatkan surah Al-Fil. Kata Datuk, kalau surah itu dibaca dalam keadaan diri kita terdesak, boleh menguatkan jiwa, berani menghadap sesuatu dengan cekal.

Dengan terketar-ketar saya menyebut surah al-Fil yang bermula dengan: Alam tarakai fafa 'ala Rabukka bi asha bil fil... ayat itu saya ulang berkali-kali. Rasa gementar pun hilang. Saya serahkan diri saya pada Allah. Kalau janji saya mahu mati di pangkal pokok besar ini, tetap saya terima. Kalau saya terselamat saya bersyukur pada Allah kerana usia dilanjutkan lagi.

Perlahan-lahan saya bangun dan merenung ke arah tanah yang agak lapang. Saya perhatikan sepasang anak harimau (yang pada awalnya saya sangka anak kucing) bermain-main dengan ibunya. Ekor ibunya bergerak-gerak. Sesekali menampar dan menggigit badan anaknya yang nakal. Entah macam mana, ibu harimau itu terpandang ke arah saya. Ia segera bangun dan membuka mulut, memperlihatkan gigi dan lidahnya.

Semuanya, terpaksa saya hadapi dengan tenang. Hati saya tidak pernah penat membaca Surah Al-Fil. Satu saat mata saya dengan mata harimau bertentangan. Perlahan-lahan harimau merendahkan badan. Berguling-guling di bumi bermesra dengan sepasang anaknya yang comel.

Saya segera meletakkan telapak tangan ke bibir. Saya terkejut melihat perangai harimau beranak dua itu. Tidak mempedulikan kehadiran saya. Ternyata harimau itu tidak mahu menjadikan diri saya sebagai musuh utamanya. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Ketika itu juga, saya teringat kata orang tua-tua yang berbunyi "Musuh jangan dicari. Tuah jangan ditolak". Berpegang pada kata-kata tersebut, saya segera berundur setapak demi setapak.

Setelah dihitung, lebih dari dua puluh tapak saya undur ke belakang dan yakin harimau tidak akan mengikuti saya. Cepat-cepat saya memusingkan tubuh (membelakangi harimau) lalu memulakan langkah seribu. Saya terus memecut dengan sekuat hati, bagaikan tidak cukup bumi. Sambil berlari, saya merenung ke belakang. Saya bimbang, kalau harimau beranak dua menyusuri jejak langkah saya.

SELEKOH

Sampai di satu selekoh kecil yang kerap digunakan oleh orang-orang kampung sebagai jalan pintas pergi ke hutan mencari rotan, saya toleh ke belakang. Dalam perhitungan saya, itulah renungan terakhir untuk harimau dan anak-anaknya. Beberapa langkah dari selekoh kecil itu adalah kawasan perkampungan yang subur dengan pepohon pisang dan perdu tebu.

“Aduh”

Saya terasa bahu sebelah kanan terlanggar sesuatu yang lembut dan badan saya ikut jatuh bersama benda yang saya langgar itu. Apa yang saya lihat ialah kepulan awan putih. Saya tidak terdaya mahu merenung ke kiri dan ke kanan. Bila saya gerakkan anggota tubuh terasa sakit. Dalam keadaan yang agak cemas itu, saya terasa benda yang saya langgar bergerak lemah. Serentak dengan itu saya terdengar desir nafas.

Apakah desir nafas itu dari manusia? Atau dari ular sawa? Timbul pertanyaan dalam diri. Kata orang, hembusan nafas ular sawa yang tertindih, tidak jauh bezanya dengan hembusan nafas manusia. Saya jadi panik dan saya kira saya jatuh atas lingkaran badan ular sawa. Saya tidak berani menggerakkan badan dan saya pasrah pada Allah.

Saya segera membayangkan, sebentar lagi ular sawa yang tertindih itu akan membelit tubuh saya lalu menjerutnya dengan sekuat hati. Segala tulang-temulang saya remuk. Badan menjadi lembik dan ular menelan saya perlahan-lahan. Benda yang saya tindih terasa bergerak dan sepasang tangan memeluk tubuh saya erat-erat. Saya cuba meronta-ronta. Sehelai daun tebu jatuh atas pipi kiri. Saya mula terasa miang.

“Babi kamu Tamar, lari tak tengok orang,” terdengar rungutan.

Serentak dengan itu badan saya di angkat dan ditolak ke kanan dengan kuat. Saya jatuh atas dedaun tebu kering. Saya terpaksa bangun perlahan-lahan di perdu tebu.

"Kamu tak ada otak”, sambung Mazlan lalu mencabut golok perak di pinggang. Saya lihat mukanya bercalar terkena tebu muda. Bajunya koyak, kain ikat kepalanya terlucut.

"Kalau orang lain, aku tikam kamu dengan golok ini sampai terburai isi perut. Kamu tengok botol kopi aku pecah, nasi bekal aku habis bertabur atas tanah", lanjut Mazlan yang kerja sehari-hariannya mencari rotan. Saya terdiam.
Saya lihat air kopinya yang meresap ke bumi, saya lihat bekalnya bertaburan. Timbul rasa belas dalam hati.

"Kamu bayar semua ini?”, Mazlan mula mengugut.

"Aku tak sengaja”.

"Tak sengaja, kepala bapak kamu".

“Maafkan aku Mazlan, aku tak sengaja"

“Bodoh, sial", kutuk Mazlan.

“Cakap jangan sebarang, silap cakap buruk padahnya", rasa marah mula meruap dalam dada saya. Terasa malu dan hilang harga diri bila disebut bodoh dan sial. Mazlan yang lebih besar bentuk tubuhnya itu saya renung.

“Ada mata, tak tahu nak guna, lari membabi buta inilah akibatnya. Ada otak tak tahu guna”, Mazlan membakar perasaan saya dengan kata-kata yang amat menyakitkan.

“Kamu juga tak tahu gunakan mata, kalau kamu gunakan mata tentu kamu boleh mengelak bila aku datang", saya meningkah. Kata-kata itu menaikkan kemarahan Mazlan seratus-peratus. Matanya tidak berkedip merenung muka saya. Mazlan menerpa ke arah saya sambil mengangkat goloknya tinggi-tinggi. Bila dia menjatuhkan goloknya ke arah bahu kanan saya, Cepat-cepat saya mengelak dan melepaskan buah silat lalu menendang tangan yang memegang golok. Mazlan terdorong ke kiri. Mata goloknya yang tajam sempat merebahkan lima batang tebu dalam sekelip mata.

Andainya saya tidak sempat mengelak, bukanlah satu perkara yang mustahil tali perut saya bertabur atas bumi. Mazlan yang marah itu terus bangun serta-merta. Dia membuka langkah silat. Saya tergamam. Bukanlah mudah untuk menentang kawan seperguruan. Masing-masing tahu kelemahan dan kelebihan rentak serta langkah masing-masing. Siapa silap membaca langkah dan lambat bertindak, orang itu pasti tewas.

“Jaga kamu Tamar”

Mazlan terus menyerang. Saya mengelak lagi sambil menyusun langkah di balik batang tebu. Mazlan bertambah marah. Dia tahu saya cuba menjadikan batang-batang tebu yang tumbuh itu sebagai perisai. Dia terpaksa merebahkan batang-batang tebu terlebih dahulu, sebelum menghunuskan mata goloknya ke tubuh saya. Mazlan terus bertindak macam orang gila. Semua batang tebu yang saya jadikan perisai habis rebah ke bumi. Saya terdesak.

“Hei, kamu tahu, aku langgar kamu tadi kerana harimau kejar aku”, saya menjerit. Langkah silat dan gerak tangan Mazlan yang pantas bergerak, terhenti serta-merta.

“Apa Tamar?”

“Aku dikejar harimau, fasal tu aku lari”

“Tamar", suara Mazlan lemah. Golok di tangannya terlepas.

“Harimau, aku dikejar harimau",saya bersuara dengan keras dan berpusing ke kanan lalu lari.

“Tamar, nanti dulu”, pekik Mazlan. Saya berhenti berlari dan menoleh ke arahnya.

“Aku tak boleh tunggu kamu, Mazlan. Aku takut”

“Tunggulah, aku maafkan kamu. Jangan tinggalkan aku”, suara Mazlan bertambah lantang. Rasa belas timbul dalam hati. Ingin sekali saya memenuhi permintaannya. Bagaimana? Bila sudah berdekatan dia bertindak lain pula, mana tahu dia terus menyerang. Mungkin saya menemui ajal di hujung goloknya atau cedera parah. Cakapnya, bukan boleh dipercayai. Hati manusia selalu berubah. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Ada baiknya, saya melupakan tentang dirinya. Pergi jahanam dengan Mazlan. Saya membuat keputusan nekad.

“Maafkan aku Mazlan, aku tidak boleh menolong kamu", jerit saya lalu membuka langkah semula. Melihat saya tidak mahu menunggunya, Mazlan segera renung kiri dan kanan dengan wajah yang amat cemas. Beberapa detik kemudian, Mazlan terus membuka langkah seribu. Saya lari arah ke rumah Datuk dan Mazlan lari ke rumahnya. Dia terus berteriak sepanjang masa berlari.

"Tolong, harimau, harimau masuk kampung", teriaknya bertali-tali. Berjaya menarik perhatian para penduduk kampung. Mereka keluar beramai-ramai ke halaman rumah dengan rasa terkejut dan hairan. Beberapa orang dari mereka yang turun ke sawah dan ke kebun pagi itu terpaksa membatalkan rancangan mereka. Anehnya, tidak sampai setengah jam kemudian, keadaan kampung jadi haru-biru.

Bermacam-macam cerita yang menakutkan mula timbul.

MENGADU

"Dah dua orang di baham harimau keramat", kata seorang penduduk yang datang mengadu pada Datuk. Saya yang kepenatan terus duduk di kerusi kayu dekat tiang seri di bawah rumah. Datuk pula yang kebetulan baru sahaja pulang dari melihat jerat di kaki bukit termenung sejenak. Wajah penduduk kampung yang singgah di kaki tangga direnungnya.

“Jadi kamu ni nak ke mana?”, tanya Datuk.

“Nak ikut orang-orang kampung menghalau harimau keramat dan nak ambil mayat orang yang dibahamnya", terang penduduk tersebut. Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Baru setengah jam saya meninggalkan pinggir hutan bermacam-macam cerita terjadi.

“Siapa yang kena baham harimau tu?”

“Zaharin, anak Alang Usman"

“Mana kamu tahu?", soal Datuk bersungguh-sungguh. Rasa penat yang menguasai diri saya beransur kurang. Saya lihat beberapa orang kampung membawa kayu dan parang berlari ke arah pinggir hutan. Datuk jadi cemas melihat keadaan tersebut.

“Aku baru balik dari kaki bukit, aku tak nampak apa-apa", Datuk menarik nafas sambil menggaru pangkal dagunya.

“Itu saya tak tahu, orang-orang kampung semuanya dah bersiap sedia nak halau harimau”

“Dari mana kamu tahu semuanya ini?", Datuk mula mencungkil rahsia.

“Si Ramli beritahu. Dia dapat cerita dari Suhaimi dan Suhaimi pula dapat tahu dari Syamsuri dan Syamsuri dapat cerita dari siapa saya tak tahu", orang itu menelan air liur. Di mukanya terbayang keresahan. Tidak suka dirinya disoal begitu.

“Kalau awak nak ikut mari, saya nak bantu orang kampung, kemudian nak cari mayat si Zaharin", orang itu memberi kata putus lalu melangkah meninggalkan Datuk. Dua tiga kali Datuk gosok pangkal hidung. Dia jadi serba salah. Hati menyuruh pergi, sedangkan fikirannya menyuruh dia bersabar.

Setelah ditilik dan ditimbang dengan teliti, Datuk membuat keputusan untuk mengikut kata hatinya. Datuk segera mengikut langkah lelaki itu. Dua kali saya memanggil nama Datuk. Sayang, seribu kali sayang, panggilan saya tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga Datuk. Dia memburu lelaki itu. Mereka bersatu dan melangkah seiring sebaik sahaja sampai dekat pokok tualang yang mati pucuk. Rasa sesal mula bertandang dalam hati. Kerana penat berlari saya tidak dapat menerangkan keadaan sebenar pada Datuk.

Apa yang perlu dilakukan sekarang? Perkara yang wajar dibuat, ikut Datuk dan lelaki itu. Terangkan keadaan sebenar pada mereka. Itu keputusan yang saya ambil. Tanpa berlengah-lengah lagi saya terus mengejar Datuk. Bukan mudah mahu mendekati mereka. Mereka sudah terlalu jauh. Saya terus berlari. Saya berazam, bila Datuk menoleh ke belakang, saya akan melambaikan tangan ke arahnya.

Apa yang saya harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Datuk dan lelaki itu sampai ke pinggir hutan (di tempat saya melanggar Mazlan hingga jatuh). Bila saya sampai ke tempat tersebut, Datuk dan lelaki itu sudah meninjau ke arah lain. Melihat batang-batang tebu yang bersepah. Badan saya berpeluh, saya lihat ramai orang-orang kampung di situ. Beberapa orang dari mereka memikul senapang kampung berlaras satu dan dua. Sebahagiannya membawa kayu dan parang panjang. Keadaan di situ memang kelihatan sibuk.

Semua yang hadir bercakap besar. Masing-masing mahu membantai harimau jahanam sampai mampus. Beberapa orang pemuda membawa buluh kuning yang sudah ditajamkan.“Kamu hidup lagi, tadi dia orang kata kamu dibaham harimau, badan kamu dah dibawa harimau ke dalam hutan", kata Shahril lalu melihat tubuh saya atas bawah. Dia bagaikan tidak percaya yang dirinya sedang berdepan dengan kawan sekampung yang pernah main gasing dan guli. Malah pernah bertumbuk kerana kalah main congkak.

“Dari mana kamu dengar cerita ni, Sha?”

“Jaafar, dia dapat cerita dari Mazlan", Shahril terus memerhatikan pakaian saya yang terdapat kesan tanah dan koyak. Dia melihat lengan kanan saya luka dan bercalar. Wajahnya jadi cemas.

“Kau berjaya selamatkan diri dari harimau, kau gunakan ilmu silat menentang harimau, kau memang handal", jerit Shahril hingga menarik perhatian orang-orang lain. Dalam beberapa detik sahaja saya terus dikerumuni oleh orang-orang kampung. Saya jadi resah. Terasa seram sejuk, bila bercupak-cupak biji mata orang kampung tertumpu ke arah saya.

Dari raut muka dan gerak-geri beberapa orang dari mereka secara terang-terangan mengagumi kehebatan saya. Mulut Shahril yang tidak terkawal itu terus memuji-muji diri saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat Datuk dan kawannya berdiri tidak jauh dari depan saya.

“Mana satu yang betul, tadi orang ini mengatakan Zaharin anak Alang Usman yang dibaham harimau. Sekarang dah lain pula orangnya",Datuk melangkah setapak, memisahkan dirinya dari kumpulan orang ramai. Jari telunjuknya masih mengarah kepada lelaki di sebelahnya.

“Siapa di antara kita yang berbohong. Perkara mati jangan dibuat main-main, boleh menyusahkan orang yang hidup, terutama keluarga yang terbabit", sambung Datuk lagi. Semua wajah orang kampung ditatapnya satu-persatu.

“Kamu Sha", jari telunjuk Datuk menghala ke arah Shahril,"Jumpa Jaafar di mana?”, lanjut Datuk lagi.

“Dekat kedai, dia dapat cerita dari Mazlan", jawab Shahril dengan tenang dan penuh keyakinan. Orang kampung berpandangan sama sendiri. Mereka masih tertanya sesama sendiri, macam mana cerita seperti ini boleh tersebar dengan luasnya.

“Itu dia Zaharin", kata salah seorang dari kumpulan orang kampung. Semua biji mata tertumpu arah selatan. Zaharin berjalan dengan tenang keluar dari rerumpun pokok kecil sambil membuka kain ikat kepalanya. Dia mendekati kumpulan orang kampung.

“Kenapa berkumpul? Ada apa-apa masalah?”, tanyanya.

“Kami dapat tahu kamu dibaham harimau", jawab rakan Datuk.

“Dibaham harimau? Siapa yang beritahu?”, Zaharin kehairanan.

“Mazlan", jawab Datuk.

“Hiss...ini dah mengarut, memang kami berdua nak ke hutan mencari rotan. Saya masuk ke hutan dulu dan berjanji dengannya bertemu di tempat biasa”, Zaharin berhenti bercakap. Sepasang matanya merenung tepat ke wajah saya. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Hati orang-orang kampung terus berdebar, menanti cerita darinya.“Saya tunggu-tunggu, dia tak datang. Saya keluar ni nak cari dia", terang Zaharin dengan wajah kesal. Dia sendiri terasa aneh, macam mana cerita dirinya dibaham harimau boleh timbul.

“Kita ni sebenarnya, salah faham. Bila dah salah faham kita pula tak mahu mencari macam mana punca salah faham tu boleh timbul", Datuk bersuara dengan rasa kecewa. Tanpa disangka-sangka sepasang mata Datuk tertumpu ke arah saya.

“Kamu ni, apa kena calar-balar? Pakaian koyak-rabak apa fasal? Apa tadi kamu tak terus pulang ke rumah", saya tergamam dengan pertanyaan yang tidak diduga sama sekali keluar dari mulut Datuk. Saya renung ke arah Shahril minta simpati dan bantuan darinya.

“Kamu mesti selesaikan perkara ini, terangkan pada kami kedudukan sebenar. Macam mana kamu dengan Zaharin disebut-sebut sudah dibaham harimau?", terdengar suara dari arah belakang. Saya renung ke arah Datuk. Dia nampak serius. Tunduk merenung bumi.

“Ceritakan, kami nak tahu siapa yang bawa cerita palsu ini?", terdengar lagi suara dari arah belakang.

“Ya, kami nak tahu", sahut dari sebelah kiri. Saya jadi serba salah.

“Begini mulanya, sa...”, saya tidak terdaya meneruskan kata-kata. Diganggu oleh bunyi sorakan yang kuat dari arah pangkal kampung. Saya segera menoleh ke arah tersebut. Apa yang saya lihat amat mengejutkan. Mazlan dipegang oleh beberapa orang lelaki dan dibawa ke arah kami. Mazlan meronta-ronta dan cuba menendang ke kiri dan ke kanan. Usahanya itu tidak mendatang apa-apa hasil. Orang-orang kampung yang memegangnya bukan orang lain tetapi dari keluarganya sendiri.

“Sekarang terangkan pada kami macam mana perkara ini boleh terjadi", Usman, Abang Mazlan yang paling tua bersuara. Mazlan merenung ke arah saya.

“Kau terangkan Tamar", katanya.

“Aku, Mazlan?”

“Ya, siapa lagi kalau bukan kamu”

“Hum", kata saya lalu renung muka Datuk Perlahan-lahan Datuk anggukkan kepala suruh tunaikan permintaan Mazlan. Semua orang kampung yang berada di situ tatap muka saya kembali.

"Tadi balik dari masjid saya nampak anak harimau. Saya ikut sampai dalam hutan dan tengok ibunya. Kemudian saya lari kerana takut. Masa lari tu saya terlanggarkan Mazlan", dengan tenang saya mulakan cerita. Semua orang kampung terdiam. Masing-masing pasang telinga mahu dengar cerita dari saya.

Tangan Mazlan tidak lagi dipegang oleh keluarganya. Dia dilepaskan. Miang daun tebu jelas kelihatan lekat di pipi dan baju Mazlan. Lengan dan pipinya calar balar. Ada kesan luka dipangkal kening kirinya.

"Bila saya langgar Mazlan, dia terus marah dan nak tikam saya dengan golok", saya sambung kembali cerita yang terputus.

“Lepas tu apa yang terjadi?, soal Abang Mazlan.

"Kami bergaduh. Masa bergaduh tu saya beritahu Mazlan ada harimau kejar saya. Mazlan terkejut. Masa Mazlan tergamam tu saya tinggalkan dia"

"Kamu lari ke mana?", Datuk ajukan pertanyaan.

“Saya lari ke rumah, Mazlan saya tak tahu ke mana dia pergi"

“Habis siapa yang beritahu orang kampung tentang harimau yang mengganas?", lelaki di sisi Datuk menyoal. Saya terdiam dan terfikir bahawa soalan yang diajukan ada kena-mengena dengan diri Mazlan. Ada baiknya Mazlan menjawab pertanyaan tersebut.

“Saya yang beritahu, saya menjerit sepanjang masa saya berlari. Saya beritahu, harimau, harimau", Mazlan menyelesaikan kebuntuan yang bersarang dalam hati saya.

“Habis, macam mana boleh timbul aku yang kena baham harimau?”, mendadak sahaja Zaharin menyoal. Saya lihat Mazlan menarik nafas lemah.

“Masa lari tu, saya jumpa Jaafar dia tanya kamu, aku kata kamu di hutan. Itu saja", dengan penerangan Mazlan itu kesilapan kian terserlah. Dan tanpa diduga, Jaafar yang ada dalam kumpulan orang kampung tampil ke depan.

“Cakap Mazlan tu betul. Apa yang saya dengar saya beritahu orang kampung, saya cuma menambah sikit cerita tu dengan menyebut mungkin Tamar mati dibaham harimau, begitu juga dengan Zaharin yang ikut Mazlan ke hutan. Entah macam mana cerita itu boleh berubah begitu jauh", Jaafar bersuara dengan rasa penuh kesal.

Orang-orang kampung segera gelengkan kepala. Beberapa orang dari mereka segera mencampakkan kayu yang mereka bawa ke dalam hutan. Manakala yang memikul senapang terus mengeluh dengan penuh rasa kesal.

“Semuanya terjadi kerana tidak ada usul periksa, terlalu cepat bertindak ikut perasaan. Apa salahnya bila dah dengar khabar ada yang kena baham harimau pergi tanya keluarganya dulu sebelum beritahu orang lain", lelaki di sisi Datuk melepaskan kehampaan. Dia wajahnya terbayang rasa kecewa yang amat sangat. Mungkin dia merasa dirinya bersalah kerana menyampaikan berita yang tidak tepat kepada Datuk dan kemudian mengheret Datuk ke mari.

“Tak apalah, jadilah semuanya ini satu pengalaman dan pengajaran. Di masa-masa akan datang jangan diulangi", ujar Datuk dalam nada suara yang lembut. Dengan penuh hormat Datuk menggesa orang-orang kampung yang berkumpul itu supaya bersurai. Permintaan Datuk diperkenankan.

MARAH

Kerana marah di leter oleh Datuk agak lama, saya mengambil keputusan memprotes perbuatannya itu. Saya mengelakkan diri dari memandang wajahnya serta tidak mahu bertutur walau sepatah pun perkataan dengannya.

Sejak lepas makan tengah hari, saya terus meninggalkan rumah. Menghabiskan masa dengan kawan-kawan bermain catur di bawah pokok cempedak dekat surau. Jemu main catur, kami main gasing atau godam. Kawan-kawan bagaikan bersimpati dengan saya. Tidak seorang pun yang mahu bertanya berhubung dengan peristiwa pagi tadi. Mereka melupakan terus bagaikan peristiwa itu tidak pernah terjadi.

“Tamar, aku nak cari kerja, kau nak ikut?”, Najib anak anggota polis yang baru bersara membisikkan ke telinga saya.
Saya tergamam sebentar. Otak saya ligat berfikir, apakah cadangan Najib itu wajar saya terima atau saya tolak.

“Kerja apa kau nak minta?”

“Aku nak minta polis, aku dapat tahu tak lama lagi polis nak cari orang baru. Aku nak minta kerja tu di Alor Setar"

“Kenapa nak pergi ke sana. Alor Setar tu jauh Jib"

“Di sana peluang aku cerah”

"Peluang kau cerah di sana?”, saya bertanya hairan. Sukar untuk menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib. Mungkin dia mahu bergurau dengan saya. Mungkin kerana Najib tidak mahu rancangannya diketahui oleh kawan-kawan yang lain dia segera menarik tangan saya menuju ke warung Wak Dollah. Kami duduk di bangku yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Najib minta dua cawan kopi sambil memberitahu saya:

“Kamu jangan bimbang Tamar, hari ini aku belanja kamu. Tapi, kamu mesti ingat, aku cuma belanja minum saja. Kalau kamu makan kuih, sendiri bayar”

"Aku tahu, kamu bukannya ada duit sangat”

“Kamu bijak", jawab Najib berjenaka. Serentak kami ketawa. Beberapa detik kemudian air kopi yang dipesan diletakkan oleh Wak Dollah atas meja depan kami.

“Sebab aku nak ke Alor Setar kerana harapan aku nak dapat kerja cukup cerah", Najib membuka rahsia. Memang saya tahu, kedua orang tua Najib berasal dari Alor Setar. Datang ke kampung kelahiran saya sejak Najib dilahirkan. Kedua orang tuanya mahu memperjudikan nasib di rantau orang. Mereka membeli tanah sawah. Ternyata usaha kedua orang tua Najib berhasil. Dari sekeping tanah, mereka berjaya membeli berpuluh keping tanah sawah dan jadi orang yang agak kaya dan ternama di kampung saya.

“Bapa saudara aku jadi OCPD di Alor Setar, dia boleh tolong rekomen aku. Kalau kamu mahu, dia boleh tolong", satu cadangan dan harapan yang amat baik dari Najib. Soalnya, apakah Datuk bersedia mengizinkan saya pergi ke Alor Setar mengikut Najib.

“Apa macam nak ikut tak?", tanya Najib.

“Kena tanya Datuk aku dulu”

“Kalau dia tak izinkan, macam mana?”

“Aku tak pergilah”

“Tapi, kamu nak jadi polis, bukan begitu”

“Tentu", saya anggukkan kepala.

Najib terus menghirup air kopi. Otak saya terus bekerja untuk mencari jalan bagaimana mahu memujuk Datuk. Kalau permintaan saya tidak diperkenankan apakah yang wajar saya lakukan.

“Kalau Datuk kamu tak kasi, kamu lari saja dari rumah ikut aku", Najib memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam kepala saya.

“Itu satu cadangan yang baik tapi, sulit untuk aku kerjakan Najib”

“Tak sulit, kau bukan lari untuk selama-lamanya, lari sehari dua untuk cari kerja. Sama ada dapat kerja atau tidak kau balik juga ke rumah"

“Betul juga cakap kamu Najib", kata saya riang.

Susulan dari keriangan itu, cepat-cepat telapak tangan Najib saya sambar. Buat seketika tangan kami bergoncangan. Mata berpandangan penuh sejuta makna.

“Jadi", kataku.

“Berjaya", sahut Najib. Senyum kami pun bertambah lebar. Serentak kami menghirup kopi dalam cawan hingga habis.

“Bila kita mulakan?”, saya menyoal tanpa sabar.

“Aku tulis surat dulu pada bapa saudara aku, bila pemilihan itu mahu diadakan, bila dapat jawapan kita terus pergi"

“Kau jangan main dan tipu aku"

“Tidak, aku berjanji", jawab Najib. Lagi sekali telapak tangan kami bercantum dan bergoncang. Warung Wak Dollah kami tinggalkan. Saya mula membayangkan betapa hebatnya saya memakai pakaian seragam polis dengan kayu cota di pinggang. Bertindak cergas menangkap orang jahat.

Saya senyum sendirian.